22 May 2010

Ringkasan Kitab Syarah Mawaqif (Siri 3)

Ada satu perkara yang terlupa untuk dijelaskan di sini. Kitab Mawaqif ini menggunakan beberapa istilah. Tajuk yang paling besar dipanggil "mauqif". Kemudian, di dalam satu mauqif, ada beberapa marshod. Di dalam satu marshod pula, ada beberapa maqsad. Di dalam satu maqsad, ada beberapa maslak.

Tajuk yang saya ringkaskan ini, adalah mauqif yang kelima, yang bertajuk "keTuhanan". Bukan semua saya ringkaskan, sebaliknya, hanya memilih marshod yang pertama yang bertajuk "Tentang Zat". Saya juga tidak ringkaskan semua sekali kandungan marshod ini, sebaliknya memilih "maqsad" yang pertama sahaja.. iaitu "Membuktikan kewujudan Pencipta"..

Di dalam maqsad inilah terdapat beberapa maslak. Syeikh Idhoduddin al Ijie hanya meletakkan sebanyak 5 maslak sahaja di dalam maqsad ini. Namun, ia boleh dihuraikan sehingga 7 maslak seperti yang saya nyatakan di sini. "muktazilah" yang disebut di bawah ini masih lagi dalam maslak pertama, iaitu maslak mutakallimin.. WaLlahua'lam.

sambungan daripada artikel lepas





Keempat : Muktazilah

Muktazilah membuktikan dalil kewujudan Allah SWT, tanpa menggunakan sebarang dalil naqli. Antara faktor-faktornya ialah :

a. Muktazilah muncul ketika “zaman fitnah” pada tahap kritikal. Maka mereka menggunakan dalil akal untuk berhujah dalam perdebatan

Mereka muncul pada zaman kejatuhan Saidina Ali, dan digantikan dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan mereka berpihak kepada Saidina Ali. Setelah kejatuhan Saidina Ali, mereka bersembunyi daripada manusia, dengan berkata “kita fokuskan kepada ilmu dan ibadah semata-mata”.

b. Mereka menggunakan dalil akal, tidak bermakna mereka mengabaikan dalil naqli. Mereka mengaplikasikan dalil naqli di dalam ibadah, dan pegangan. Manakala dalam aspek perdebatan, mereka menggunakan dalil akal.

c. Pada zaman ini juga, tersebarnya proses penterjemahan kitab. Maka, pemahaman yang paling mudah untuk diserapkan ke setiap lapisan masyarakat adalah dengan menggunakan dalil akal.

Dalil Muktazilah Tentang Kewujudan Allah

1. Dalil Baharu

Sebelum mengenali tentang “dalil baharu” kita perlu mengenali 4 pembahagian dalil mengikut Muktazilah, iaitu :

a. Kekuatan hujah akal
b. Kekuatan hujah al Quran
c. Kekuatan hujah hadis
d. Kekuatan hujah ijma’

Perkara yang dikaitkan dengan “baharu” mengikut pandangan Muktazilah ialah :

a. Baharunya “aradh”

Kita perlu tahu tentang baharunya “aradh” dengan dua perkara ini :

• Aradh itu wujud
• Aradh itu baharu

Maka, kita perlu mengesahkan kewujudan “aradh” kemudian kita mengesahkannya sebagai “baharu”. Setelah itu, barulah kita melihat bahawa aradh memerlukan kuasa yang mewujudkannya. Kuasa itulah Allah SWT.

b. Baharunya “jisim”

Dalil membuktikan baharunya jisim melalui tiga cara :

• Membandingkannya dengan Allah SWT, dan kita mampu mendengar bunyi yang terhasil daripada jisim. Maka, ia menunjukkan bahawa jisim tersebut baharu.

• Membandingkannya dengan sifat qidam pada Allah (tiada permulaan bagi kewujudannya).

Iaitu, sekiranya jisim itu tidak baharu, maka ia qadim (baharu lawan bagi qadim). Maka, sudah pasti terjadi penyerupaan pada Allah kerana terdapat dua yang qadim, iaitu jisim dan Allah. Maka perkara ini mustahil, kerana qadim itu mestilah tidak berbilang.

• “Alam tidak terpisah dari unsur-unsur baharu, dan tidak juga mendahuluinya (dengan sifat qadim). Maka, sudah pasti alam itu baharu seperti unsur-unsur baharu tersebut.

Dalil ini terbentuk dengan mengesahkan kewujudan ciptaan, kemudian mengesahkan ke”baharu”annya.

2. Dalil Memerlukan

Sama sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini di dalam pandangan al Asya’irah. Iaitu berkaitan dengan “keperluan” jisim dan aradh, kepada satu kuasa yang dapat mengaturnya, dan mewujudkan kedua-duanya daripada tiada.

Contohnya, mana mungkin kita kita boleh membesarkan diri kita sendiri tanpa ibu bapa yang menjaga. Bolehkah seorang bayi itu membesar dengan sendirinya? Adakah kita tidak sedar jantung kita berdegup walaupun kita sedang tidur? Ataupun paru-paru kita bernafas sedang kita tidak sedar?

Bolehkah kita berlari tanpa menggunakan tangan dan kaki? Maka semuanya memerlukan kepada Allah yang memberikan tangan dan kaki untuk bergerak, paru-paru untuk bernafas, dan sebagainya.

Maka, semua ini membuktikan kewujudan Allah SWT, disebabkan zahirnya keperluan manusia terhadap Kuasa Pentadbir Alam, iaitu Allah SWT.

3. Menqiaskan sesuatu yang ghaib (tidak kelihatan) dengan sesuatu yang kelihatan

“Apabila kita melihat kepada makhluk yang baharu dicipta, pasti ada satu kuasa yang mewujudkannya. Kita nampak penciptaan berlaku di hadapan mata kita, dan kita juga perlu menghukumkan bahawa pasti ada kuasa yang mengaturnya”

Contohnya, kesan tapak kaki, menunjukkan ada orang lalu di tempat tersebut. Atau, kita tidak nampak graviti, tetapi kita merasai kesan kewujudannya. Maka, kita juga tidak melihat Allah SWT, sebaliknya jelas terbentang di hadapan mata kita bahawa “kesan” kewujudan Allah SWT begitu ketara sekali.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal