14 June 2010

Ringkasan Nusus Falsafiah Tahun 4, Akidah Falsafah (Akhir)


Alhamdulillah, habis juga ringkasan ini. Semoga bermanfaat.

BAHAGIAN KEDUA
3 NAS FALSAFAH YANG TERPILIH

Bahagian kedua ini, kita akan mengkaji dan melihat 3 nas yang dipilih di dalam kajian nas falsafah. Iaitu al Kindi, al Farabi dan Ibnu Sina. Matan nas tersebut boleh rujuk di dalam kitab yang saya nyatakan pada ruang pendahuluan, dan apa yang ditulis di sini adalah pembelajaran kepada nas-nas ini.

Bab Pertama
Nas Falsafah al Kindi

“pembuat yang sebenar ialah yang pertama, manakala pembuat yang kurang, iaitu pembuat yang dikatakan sebagai majaz”

Pengenalan

Nama sebenar al Kindi ialah Abu Yusuf, Ya’qub bin Ishaq al Kindi. Lahir di Kufah sekitar 803 Masihi. Daripada kabilah Kandah, yang berasal daripada Arab. Beliau banyak mempelajari ilmu di Basrah, kemudian ke Baghdad.

Ketika ini, beliau sibuk menterjemahkan kitab Yunani ke dalam Bahasa Arab, dan beliau berkhidmat di Istana Khalifah Baghdad sebagai ahli falak dan doktor. Tetapi beliau mengakhiri hayatnya di luar istana. Beliau antara yang menolak ke”qadim”an alam, dan berkata tentang keadilan dan ketauhidan Allah, sepertimana yang dikatakan oleh Muktazilah.

Huraian

Perkara pertama yang perlu kita ketahui ialah, beliau adalah berasal dari bangsa Arab, dan terkesan (bukan bermaksud terpengaruh) dengan pembelajaran Muktazilah. Dan beliau hidup di dua negara, Basrah dan Baghdad, yang merupakan tempat perkembangan pemikiran Muktazilah.

Di dalam nas ini, beliau membezakan secara jelas di antara dua jenis pembuat, dan dua jenis perbuatan. Iaitu antara pembuat yang sebenar, dan pembuat yang tidak sebenar. Dan perbuatan pembuat yang sebenar, dan perbuatan pembuat yang tidak sebenar. Iaitu perbezaan di antara Allah dan selain dariNya.

Daripada nas beliau, menyatakan bahawa “pembuat yang sebenar ialah yang pertama, manakala pembuat yang kurang, iaitu pembuat yang dikatakan sebagai majaz”

Iaitu pembuat yang sebenar, yang mencetuskan ciptaan ialah Allah SWT, Tuhan yang sempurna dan tiada sebarang kekurangan dalam penciptaannya. Manakala pembuat yang kedua, yang terdapat kekurangan dan kelemahan, juga dikatakan sebagai pembuat, tetapi pembuat secara majaz. Atau dengan kata lain, pembuat yang sebenar ialah Allah SWT.

Nas ini jelas menunjukkan bahawa al Kindi begitu berpegang dengan baharunya alam, dan menolak fahaman yang mengatakan alam itu qadim. Bahkan, nas ini juga menampakkan hubungan yang terlalu rapat di antara al Kindi dan Penciptanya, iaitu Allah SWT.

Manakala pembahagiannya dari sudut perbuatan pula, jelas menunjukkan bahawa terdapat dua jenis perbuatan, iaitu perbuatan Allah sebagai Pencipta, dan perbuatan hamba. Perbuatan hamba bersandar adalah majaz, dan perbuatan yang sebenar ialah Allah SWT. Manusia melakukan apa yang dikehendaki, dan Allah lah yang membolehkan perbuatan tersebut terlaksana.

Bab Kedua
Nas Falsafah al Farabi

“Sesuatu yang wujud itu, samada wajib wujud, atau mungkin wujud”

Nas ini menjelaskan bahawa di sana terdapat dua jenis kewujudan sahaja, iaitu wajib wujud, atau mungkin wujud. Tiada yang ketiga. Manakala mustahil wujud bukanlah satu kewujudan. Maka pembahagian seperti berikut :

Pertama

Kewujudan yang bersifat mungkin. Iaitu kewujudannya sama di antara wujud dan tidak wujud. Maka, sesuatu yang mungkin wujud, boleh jadi wujud, dan boleh jadi tak wujud.

Pengarang Mu’jam Falsafi berkata bahawa “mungkin” itu terdapat dua makna, iaitu :

1. Menafikan kemestian (dhoruri). Iaitu menafikan kemestian wujud. Mungkin wujud ialah “tidak mesti wujud”.

2. Wujud dengan kekuatan, iaitu bukan wujud serta merta, tetapi terdapat unsur lain yang wujud terlebih dahulu sebelum itu.

Kedua

Kewujudan yang bersifat wajib. Iaitu wajib wujud. Atau dengan kata lain, akal tidak boleh menerima ketiadaannya. Berbeza dengan “mungkin” yang boleh jadi ada, boleh jadi tiada.

Al Farabi mengatakan bahawa wajib wujud terbahagi kepada dua, iaitu :

1. Wajib Wujud dengan zatNya, iaitu Allah

2. Wajib Wujud bukan dengan zatNya, contohnya seperti nombor 4, yang wujud hasil kiraan 2 tambah 2.

Maka, “mungkin” menurut pandangannya ialah sesuatu yang berubah dari satu bentuk ke bentuk yang lain. Maka :

1. Ia adalah umum, kerana ia boleh berubah bentuk dan berubah gambaran.

2. Kewujudannya bersifat minda semata-mata. Tidak diketahui bentuknya yang sebenar. Melainkan Kuasa yang membentuknya, iaitu Allah

3. Ia adalah jauhar, iaitu kewujudannya secara tersendiri.

4. Ia adalah praktikal kepada akal dan mantik, bukan praktikal yang realiti

Bab Ketiga
Nas Falsafah Ibnu Bajah

“Banyaknya ilmu, adalah ilmu keTuhanan”

Sebelum ini, al Farabi telah membentangkan hubungan di antara Allah dan alam dari aspek “mewujudkan” dan “mencipta”. Manakala Ibnu Bajah pula membentangkan hubungan di antara kedua-duanya dari aspek ilmu.

Ia terbahagi kepada dua penjelasan, iaitu :

1. Akal manusia yang dangkal dalam menghitung ilmu yang banyak dan bercabang

2. Jirim yang bersifat tinggi, yang sukar untuk dicapai oleh akal.

Maka, untuk menjelaskan nas ini, perlulah menggunakan dua jalan, iaitu :

1. Kaedah huraian, yang telah dijelaskan sebelum ini.

2. Kaedah keobjektifan (objectivity), iaitu dengan menggabungkan beberapa nas walaupun ia berpisah di antara satu sama lain.

Daripada nas yang telah dijelaskan oleh Ibnu Bajah, di sana terdapatnya akal manusia dan akal Tuhan. Maka, seseorang itu mampu untuk mencapai akal Tuhan (ilmu yang banyak), dengan cara membersihkan jiwa dan pemikiran. Maka, ia bukanlah bermakna setanding dengan ilmu Allah, tetapi mampu mendekatkan jiwa dengan Allah SWT.

Kita boleh juga kaitkan dengan ilham, yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang terpilih. Daripada nas ini menjelaskan kepada kita tentang peranan tasawwuf dengan lebih dekat, dan jelas. Iaitu mereka yang menyucikan diri untuk “sampai” kepada Allah. (Sampai di sini bukan bermaksud ittihad, tetapi merasa kebersamaan dengan Allah)

Tamat

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal