19 February 2010

Yang Disangka Hudud..

Berita

Semalam (18 Februari) saya terbaca akhbar Berita Harian, Utusan dan lain-lain, diceritakan tentang “hukuman sebat” yang telah dilaksanakan, “katanya” ia adalah undang-undang Islam (Hudud). Hukuman tersebut dijatuhkan kepada 3 orang hamba Allah yang tidak dikenali, iaitu Ayu, Aishah dan Nur.

Mereka dijatuhkan hukuman di atas kesalahan yang kurang jelas. Persoalannya ialah :

a. Adakah mereka dijatuhkan hukuman disebabkan kesalahan berzina?
b. Adakah mereka menuduh orang berzina (qazaf)?
c. Adakah mereka mencuri?
d. Adakah mereka meminum arak?
e. Adakah mereka murtad?
f. Adakah mereka seorang pelampau (bugho)?
g. Adakah mereka samseng?
h. Adakah mereka menyamun?
i. Adakah dan adakah…

Ulasan

1. Ringkasan daripada enakmen hudud yang telah panjang lebar dijelaskan kepada kita, menampakkan kepada kita tentang perbezaan hudud yang sebenar. Tidak perlu bagi saya untuk memperincikan kaedah-kaedah tersebut, memandangkan ia sudah disebutkan dengan panjang lebar.

2. Cuma, apa yang ingin ditulis di sini ialah, beberapa bentuk kesilapan yang berlaku dalam penjatuhan hukuman sebat, pada 9 Februari lalu, sepertimana yang telah disiarkan di dalam akhbar.

Hudud Sebenar, dan Hudud Tiruan

1. Hudud yang sebenar, berbeza mengikut kesalahan. Contohnya sebat sebanyak 100 kali bagi orang bujang (belum kahwin) yang berzina. 80 kali sebatan bagi mereka yang minum arak dan sebagainya. Di dalam berita yang disiarkan, mereka dikenakan sebanyak 4 dan 6 sebatan, disebabkan kesalahan yang tidak disebutkan. Perkara ini akan diulas selepas ini.

2. Hukuman dijatuhkan di dalam penjara, bukan di khalayak ramai. Hudud yang sebenar perlulah diadakan di hadapan khalayak ramai. Perkara ini akan dijelaskan kemudian.

3. Melaksanakan undang-undang Allah bukanlah hanya “sekerat-sekerat”. Sebaliknya wajib bagi pemerintah melaksanakan keseluruhannya dan secara menyeluruh. Perkara ini akan dijelaskan kemudian.

4. Saya tidak pasti samada ia dilakukan secara berdiri (pesalah) atau dalam keadaan duduk. Hukuman sebat bagi perempuan perlu dilakukan dalam keadaan duduk.

5. Saya tidak pasti samada kes ini dibicarakan atau tidak. Sebelum hukuman hudud dijatuhkan, hendaklah dibicarakan dengan terperinci, seperti mendatangkan 4 orang saksi bagi mereka yang menuduh orang lain berzina, pengakuan daripada pesalah dan sebagainya.

Bilangan Hukuman Sebat

1. Hukuman sebat dijatuhkan kepada pesalah zina, liwat, tuduh zina (qazaf) dan minum arak. Ia juga dijatuhkan berdasarkan hukuman ta’zir ( Imam Nawawi RA, Raudhah at Tolibin, cet 1405 H, Maktab al Islami, Beirut, bah. 10, ms 172 ).

2. Bagi penzina, hukuman sebat dalam hudud hanya dilakukan kepada orang yang belum berkahwin. Manakala mereka yang sudah berkahwin, lalu berzina, maka hukuman hudud baginya ialah rejam sehingga mati. ( Dr Wahbah Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. ke 4, Maktabah Darul Fikr, jilid. 7, Fasal 1, ms 305 )

3. Bagi peminum arak, pesalah akan dijatuhkan sebanyak 40 hingga 80 sebatan. ( Dr Wahbah Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. ke 4, Maktabah Darul Fikr, jilid. 7, Fasal 5, ms 420 / Kata-kata Saidina Ali KAW di dalam Khatib asy Syarbini, Mughnil Muhtaj Ila Ma’rifati Alfazil Minhaj, terbit al-Islam.com, bah. 17, ms 170 )

4. Mereka yang menuduh orang lain berzina atau liwat, sekiranya disabitkan kesalahan bahawa tuduhannya tidak berasas (dengan tanpa membawa 4 orang saksi), maka djatuhkan hukuman 80 kali sebatan. ( Dr Wahbah Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. ke 4, Maktabah Darul Fikr, jilid. 7, Fasal 2, ms 337 )

5. Tiada di dalam hukuman hudud hukuman sebatan sebanyak 4 atau 6 kali. Bilangan sebatan yang paling rendah di dalam hukuman hudud ialah sebanyak 40 kali sepertimana yang telah disebutkan. Tetapi, ia mungkin wujud di dalam hukuman ta’zir, yang dilaksanakan berdasarkan kesesuaian yang diletakkan.

Hudud Perlu Dilaksanakan Di Hadapan Khalayak Ramai

1. Mazhab Hanafi dan Hanbali mewajibkan pelaksanaannya di hadapan khayalak ramai. Ini berdasarkan dalil :

Maksudnya : dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (Surah an Nur : 2)

2. Mazhab Syafie dan Maliki mengatakan bahawa hukuman tersebut digalakkan dihadiri beberapa orang, iaitu melebihi 4 orang. ( Dr Wahbah Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. ke 4, Maktabah Darul Fikr, jilid. 7, Fasal 1, ms 333 )

3. Imam al Qarafi mengatakan bahawa bilangan hadirin tersebut, hendaklah memadai untuk melepaskan tanggungjawab bagi orang lain untuk menjadi saksi dalam pelaksanaan tersebut. Sekiranya bilangan itu memadai, maka orang lain tidak perlu menyaksikannya kerana sudah memadai dengan bilangan yang ada. ( Abu Abbas Ahmad al Qarafi, al Furuq, cet. Darul Kutub al Ilmiah 1418 H, tahqiq Khalil al Mansur, bah 2, ms 28 )

4. Kesimpulannya, kesemua mazhab menggariskan bahawa pelaksanaan hudud perlu diadakan di khalayak ramai, dan bilangan hadirin yang hadir menyaksikannya paling kurang 4 orang, atau bilangan yang memadai. ( Dr Wahbah Zuhaili, at Tafsir al Munir, cet. 2, 1418 H, Darul Fikr, tafsir ayat 2, Surah an Nur, bah. 18, ms 128 )

5. Maka, pelaksanaan hudud di dalam penjara atau tempat yang tertutup masih belum boleh dikatakan sebagai hudud yang sebenar. Ia hanya sekadar hukuman sebatan biasa. Bahkan apa yang terjadi, ia hanya disaksikan oleh beberapa orang yang belum memadai untuk menjadikkannya sebagai “khalayak ramai”. WaLlahualam.

Pelaksanaan Hudud, Hendaklah Menyeluruh

1. Islam adalah agama yang menyeluruh dan sempurna. Sekular mengecilkan skop Islam di dalam skop ibadah semata-mata. Begitu juga di dalam pelaksanaan hudud, ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh, bukannya “sekerat-sekerat”. Ia berdasarkan firman Allah SWT :

Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan (Surah al Baqarah : 85)

Iaitu Allah mengharamkan Bani Israel daripada mengambil Islam secara “sekerat-sekerat”. ( Abu Muhammad Makki bin Abi Talib al Qairawani, al Hidayah Ila Bulughin Nihayah, cet. 1, 1429 H, Majmu’ah Buhuthul Kitab Was Sunnah, bah. 1, ms 336 )

2. Larangan yang sama kepada umat Nabi Muhammad SAW, supaya tidak melaksanakan undang-undang Islam dengan “sekerat-sekerat”, sepertimana yang terjadi. ( Abdul Qadir Audah, at Tasyri’ al Jina’i al Islami Muqorinan Bil Qanun al Wadh’ie, cet. Darul Kutub Ilmiah, bah. 1 ms 73 no. 38 dan ms 185, no. 121 )

3. Apa yang terjadi ialah, melaksanakan 4 dan 6 sebatan, tetapi tidak melakukannya dengan kadar yang sepatutnya. Maka ia belum dikatakan hudud yang sebenar. Begitu juga hukuman hudud hanya dilakukan kepada 3 orang yang disebut ini sahaja, sedangkan kesalahan-kesalahan lain juga perlu dihukum dengan hudud.

Hukuman Sebat Bagi Wanita Perlu Dalam Keadaan Duduk

1. Hukuman sebat dalam hudud berbeza mengikut jantina. Pesalahn lelaki perlu berdiri, manakala pesalah perempuan perlu duduk ketika disebut. Penjelasannya selepas ini.

2. Bagi lelaki, ulama’ berbeza pandangan. ( Muhammad bin Muhammad al Mukhtar asy Syanqiti, Syarah Zadul Mustaqna’, rakaman pengajian terbitan Islamweb.net, bah. 372, ms 11) Iaitu :

a. Jumhur menggariskan bahawa pesalah lelaki hendaklah dijatuhkan hukuman sebat dalam keadaan berdiri.

b. Mazhab Maliki berpandangan ia perlu disebat dalam keadaan duduk.

( Wizarah al Auqaf Wasy Syu’un al Islamiah Kuwait, al Mausu’ah al Fiqhiyyah al Kuwaitiah, cet. 2, 1404-1427, bah. 15, ms 248 )

3. Bagi wanita, perlu dihukumkan secara duduk berdasarkan pandangan ulama salaf. Ini kerana kedudukan tersebut lebih stabil bagi perempuan. ( Muhammad bin Muhammad al Mukhtar asy Syanqiti, Syarah Zadul Mustaqna’, rakaman pengajian terbitan Islamweb.net, bah. 372, ms 11)

Bukan Mudah Untuk Disabitkan Hukuman

1. Islam menggariskan beberapa panduan sebelum dijatuhkan hukuman. Samada dengan cara pengakuan daripada pesalah, atau dengan saksi. ( Dr Wahbah Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. ke 4, Maktabah Darul Fikr, jilid. 7, Fasal 1, ms 314 )

2. Bagi hukum sebat bagi penzina, boleh dijatuhkan sekiranya pesalah tersebut mengaku kesalahannya. Ataupun dakwaan orang lain, yang disertakan seramai 4 orang saksi yang dipercayai. Sekiranya tidak, mereka yang membuat dakwaan tersebut akan dikenakan hukuman qazaf, iaitu 80 sebatan. ( Dr Wahbah Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. ke 4, Maktabah Darul Fikr, jilid. 7, Fasal 1, ms 314 )

3. Bagi peminum arak, perlu mendatangkan dua saksi lelaki yang boleh dipercayai. Sekiranya tidak, dakwaan tersebut tidak sah, dan mereka yang mendakwanya boleh dikenakan ta’zir. Sekiranya bukti seseorang meminum arak disebabkan bau, atau bukti, maka di sana terdapat khilaf ulama’. ( Dr Wahbah Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. ke 4, Maktabah Darul Fikr, jilid. 7, Fasal 5, ms 440 )

4. Islam menekankan aspek keshahihan yang teliti sebelum menjatuhkan hukuman hudud kepada pesalah. Ia bukanlah dilakukan dengan perbicaraan di mahkamah sivil yang hanya mengemukakan bukti atau kepetahan berhujah semata-mata. Perkara ini telah dijelaskan oleh saya di dalam artikel sebelum ini yang bertajuk “Isu Menuduh Liwat Mengikut Perspektif Syara’”.

Kesimpulan

Undang-undang Islam bukanlah satu permainan mahupun gimik politik. Ia adalah undang-undang Allah SWT untuk semua manusia. Ia juga bukanlah boleh diambil sebahagian, dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Hakikatnya, undang-undang Allah inilah yang menjaga keamanan dan kesejahteraan manusia untuk terus hidup. Bahkan ia juga memuliakan manusia, dan hak-hak makhluk Allah SWT yang lain.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal