Beberapa hari lepas, saya menerima email daripada seorang saudari yang keliru tentang masalah yang perkahwinan. Sah atau tidak? Boleh atau tidak? Dan bermacam-macam soalan lagi yang timbul. Entah kenapa persoalan tentang kahwin ini yang ingin ku jawab. Tidak kurang juga, pelbagai ulasan yang diberikan, menambahkan dorongan kepada saya untuk memperbetulkan situasi.
Email pertama yang ditanya :
Salam semua, dua hari yang lepas saya dikejutkan dengan berita terbaru daripada sahabat saya yang telah berhijrah dan bekerja di Oman. Sahabat saya seorang adalah gadis yang tidak pernah berkahwin. Namun 2 hari yang lepas dia telah mengkhabarkan kepada saya bahawa dia telah bernikah dengan seorang jejaka islam berasal dari India. pernikahannya langsung tidak ke ketahui oleh keluarga. memandangkan kedua-dua mereka adalah bukan warga oman maka semasa pernikahan mereka, saksi mereka hanya terdiri daripada rakan-rakan sekerja. sahabat saya memang sudah tidak mempunyai ayah dan ibu tetapi mempunyai adik lelaki berusia 23tahun. Saya musykil adakah prnikahannya itu sah? Dia menjelaskan kepada saya bahawa dia bernikah dengan berwalikan sahabat karib kepada suaminya sekarang.
Pada pemahaman saya hanya janda atau balu sahaja yang tidak memerlukan wali dari kalangan keluarga atau wali hakim untuk bernikah untuk kali kedua. mohon perbetulkan saya di mana-mana saya silap.
Mohon para sahabat yang arif tentang perkara ini dapat memberikan penjelasan. Wassalam
-----------------------------------------
Antara ulasan dan persoalan tambahan yang ditimbulkan oleh beberapa orang ialah :
saya juga berpendapat seperti saudara, itu jugalah yg dilalui saya semasa bernikah 6 tahun lepas. Iaitu adik kandung seibu-sebapa menjadi wali. Hairan juga, sedangkan adik boleh jadi wali. Kenapa guna sahabat karib kepada suami?? Mohon penjelasan pada sesiapa yg pakar. Tq.
-----------------------------------------
Adik kandung memang boleh jadi wali tapi ada berdekatan dgn kita. Bila berada di tempat jauh dari saudara mara. Perempuan yang hendak berkahwin dan memohon wali hakim sekurangnya ada surat persetujuan wali di malaysia utk memberi kebenaran menjadi wali hakim. Lagipun kita ada 4 mazhab. kalau orang arab berkahwin dengan wali hakim pasti ada syarat2 nya. Sekarang ni perempuan tersebut berada di luar malaysia, pasti ada syarat yg membolehkan dia berkahwin walaupun wali hakim di kalangan kawan suaminya. Pasti perkahwinannya sah. Ini pandangan saya. Saya masih bujang.mungkin ada jawapan yg lebih baik dari apa yg saya berikan.
-------------------------------------------
Salam! Sekadar yang saya tahu. Seseorang wanita yang tidak pernah berhubungan badan dengan lelaki, samada secara sah atau tidak, adalah tidak memiliki hak perwalian ke atas dirinya sendiri. Oleh itu dia juga tidak berhak mewakil-walikan dirinya (melantik wali) bagi dirinya. Dengan itu pernikahan yang tidak mempunyai wali yang tidak sah juga adalah tidak sah dari sudut syarak. Perwakilan wali tersebut hanya sah jika ia dilakukan oleh wali yang sah, iaitu saudara dari sebelah ayahnya seperti bapa saudara, datuk, atau saudara lelakinya. Wali hakim kalau dikelantan disebut sebagai Wali Raja. Ini adalah kerana seseorang Raja bertanggung jawab atau rakyatnya atau sebarang orang yang berada dalam kawasan pemerintahannya. Dengan itu beliau sendiri atau wakilnya boleh menikahkan mana-mana wanita yang ketiadaan wali. Oleh itu bukan semua orang layak jadi wali hakim. WallahuA'lam
------------------------------------------
Salam, tolong check yea..saya pun tak pasti...cuma yang saya tahu bagi mereka yang ingin bernikah diluar daerah dan wali susah nak hadir, boleh berwalikan wali hakim...bahasa kitalah...saya tak tahulah terms nya...Cuma sebelum tu kena diminta kebenaran wali sebenarnya untuk bernikah. Contoh bapa jika masih ada..atau abang atau bapa saudara...ikut que die lah...Kalau pun si wali tak setuju...selepas 3 kali nyata tak setuju baru boleh pakai wali hakim ni untuk nikah juga bagi perempuan... .Tolong bagi explanation bagi yang lebih arif...inilah yang saya faham semasa saya berada di luar negara dan sahabat2 berkahwin disana...itulah yang diajarkan... wallahukalam.
-------------------------------------------
Perlu kita fahami bahawa kaedah pernikahan di Malaysia telah ditambah-tambah syarat yang menyebabkan urusan menjadi lebih sukar daripada sepatutnya. Pihak berkuasa agama ada alasan-alasan tertentu dalam menambah-nambah syarat dan prosedur itu. Ada buruk dan ada baiknya
Perkara buruk antara yang saya lihat ialah menjadikan masyarakat keliru, tidak tahu yang mana syarak, yang mana adat, yanag mana prosedur dan masalah birokrasi yang diada-adakan. Dengan bahasa mudah ialah menjadikan masyarakat yang jahil bertambah jahil
Sepatutnya inilah isu yang sepatutnya kita bahaskan, apa yang wajib, apa yang direka-reka dan apa alasannya, dan apa kesannya buruk dan baik. Bukan dok berbalah tentang benda yang Allah telah haruskan (poligami) sehingga boleh merosakkan keimanan sendiri. Terima kasih
--------------------------------------------
masalahnya kamu sendiri pun tidak menyebut apakah kaedah yang menunjukkan keburukkan dan membuat orang bertambah jahil wahai ustaz. nampaknya ustaz sendiri cuba mengelirukan ramai orang atau cuba menunjukkan sesuatu yang baharu.
islam bergerak seiring dengan kemodenan. maka khilaf ulamak perlu untuk mengibangi keadaan. sebab dah takde lagi Nabi selepas Nabi kita Nabi Muhammad. tiada lagi wahyu selepasnya untuk merungkai masalah terkini. sebab sebelum wafatnya Nabi kita, telah sempurna Islam yang didakwah oleh Nabi.
---------------------------------------------
Ulasanku
Setelah membaca kesemua email dan ulasan yang diberikan, saya pun melontarkan jawapan dengan menulis artikel di bawah untuk tatapan semua..
Wali Bagi Perempuan Untuk Proses Perkahwinan
Saya terpanggil untuk menjawab persoalan ini, yang berkait rapat dengan “wali” bagi perempuan dalam proses perkahwinan. Secara umumnya, perempuan itu mestilah mempunyai wali untuk pernikahannya. Sekiranya tidak, akad tersebut tidak sah sama sekali. Cuma di sana terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan.
Pertama : Siapakah wali bagi perempuan?
- Bapa
- Atuk (ayah kepada bapa)
- Adik beradik lelaki seibu sebapa
- Adik beradik lelaki sebapa
- Anak saudara (anak kepada adik beradik lelaki seibu sebapa)
- Anak saudara (anak kepada adik beradik lelaki sebapa)
- Bapa saudara seibu sebapa (adik beradik lelaki kepada bapa, yang seibu sebapa)
- Bapa saudara sebapa (adik beradik lelaki kepada bapa, yang sebapa)
- Sepupu (anak lelaki kepada bapa saudara, yang seibu sebapa)
- Sepupu (anak lelaki kepada bapa saudara, yang sebapa)
* Senarai ini adalah berdasarkan turutan mengikut keutamaan.
* Jika kesemua yang disebut di atas ini “tiada”, maka wali bagi perempuan itu ialah “wali sultan”.
Kedua : Syarat-syarat wali
- Beragama Islam
- Adil
- Baligh
- Berakal
- Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menjejaskan pandangan
- Bukan dari kalangan “safih”, iaitu mereka yang tidak boleh menguruskan diri sendiri
- Bukan orang yang sedang berihram
* Jika kesemua syarat ini tiada pada wali terdekat, maka hak sebagai wali berpindah kepada wali selepasnya berdasarkan turutan sebelum ini
Ketiga : Permasalahan
- Sekiranya seorang perempuan yang cukup syarat berkahwin, meminta dikahwinkan dengan lelaki yang sekufu dengannya, tetapi walinya enggan memberi kebenaran berkahwin. Maka, dia boleh menggunakan “wali sultan”, sekalipun yang enggan memberi kebenaran itu ialah bapanya sendiri.
- Sekiranya seorang perempuan yang cukup syarat berkahwin, dan masih dara, meminta dikahwinkan dengan lelaki yang sekufu dengannya, tetapi walinya ingin mengahwinkannya dengan lelaki lain yang juga sekufu dengannya, maka si wali lebih berhak menentukan pasangannya, dan perempuan tersebut tidak boleh menggunakan wali sultan.
- Wali berada lebih daripada 2 marhalah (90 KM), maka, wali tidak berpindah kepada wali selepasnya (seperti dalam turutan sebelum ini), tetapi ia adalah hak “wali sultan”. Sekiranya berada kurang daripada dua marhalah, maka wali sultan tidak dibenarkan mengahwinkannya, melainkan dengan kebenaran wali tersebut.
Keempat : Undang-undang Perkahwinan
- Undang-undang yang digariskan di Malaysia, selagi mana tidak “bercanggah” dengan apa yang telah disyaratkan oleh Islam, maka ia wajib dipatuhi. Contohnya wajib bagi mereka yang ingin berkahwin, mengisi borang terlebih dahulu. Ia tidak bercanggah dengan Islam. Sekiranya bercanggah, contohnya membenarkan perkahwinan tanpa wali, maka perkahwinan itu tidak sah, sekalipun di”sah”kan oleh manusia.
- Perkahwinan tanpa pengetahuan majlis agama, atau sebagainya, perkahwinan tersebut “sah” sekiranya mencukupi syarat-syaratnya. Akan tetapi ia telah melanggar undang-undang, dan ia dikira sebagai perkara yang berdosa. Perkahwinan sah, tetapi berdosa. Contohnya seperti mendirikan solat dengan menggunakan sejadah yang dicuri. Solat sah, tetapi berdosa.
- Sesiapa yang ingin berkahwin di luar negara, tidak perlu untuk mendapatkan kebenaran daripada walinya, namun dia MESTI mendapatkan kebenaran dari “wali sultan”. Namun, prosedur hari ini, wali sultan akan meminta pasangan yang ingin berkahwin, supaya meminta kebenaran dengan ibu bapa di Malaysia. Walaupun ia adalah “prosedur”, namun ia dikira MESTI dilaksanakan kerana tidak bercanggah dengan asal syara’.
- Saudara yang melontarkan persoalan, memberitahu bahawa “wali” dalam perkahwinan tersebut ialah “sahabat karib” bagi si lelaki. Maka, sekiranya sahabat karibnya itu adalah wali sultan, maka perkahwinan tersebut sah, tetapi berdosa kerana melanggar undang-undang. Sekiranya sahabat karibnya itu “bukan” wali sultan, maka perkahwinan tersebut TIDAK SAH.
WalLahu a’lam
-----------------------------------------------
Seorang lagi hamba Allah telah bertanya, soalannya berbunyi :
salam.. sebelum tu sye ingin menompang sekaki nk menanye pd kekwan yg arif bab wali di mana bapa yg ingin menjadi wali itu tidak menunaikan solat dan brpuasa..atau tidak solat melebihi 40 hari..Adakah dia masih layak untuk menjadi wali..sah ke pernikahan itu jika dia beriya2 untuk menikahkan anaknyer walaupun tidak menunaikan kewajipan hukam Islam ke atas dirinye..minta perjelasan.. ?? tq..
---------------------------------------------
Lalu saya membalas email tersebut dengan artikel ini,
Syarat Sebagai Wali
Terima kasih kepada saudari yang bertanya. Sebelum ini telah dinyatakan syarat-syarat sebagai wali, dan ia agak ringkas untuk diperjelaskan di sini. Oleh itu, saya jelaskan kesemua syarat-syarat tersebut, bagi membantu menyelesaikan masalah ini. Syarat-syarat dan penjelasannya seperti berikut :
- Beragama Islam
Tidak sah bagi seorang bapa yang “kafir” mengahwinkan anaknya yang beragama Islam. Di dalam turutan wali tersebut, secara automatik, hak sebagai wali tersebut berpindah kepada wali yang selepasnya. Sekiranya kesemua walinya itu “kafir”, maka boleh digunakan wali sultan. Firman Allah SWT :
Dan Allah tidak sekali-kali memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman (Surah an Nisa : 141)
Demikian juga dalam harta warisan. Orang kafir tidak boleh mewarisi harta orang Islam, dan begitu juga sebaliknya. Sekiranya perkahwinan sesama kafir, contohnya antara Yahudi dan Nasrani, maka itu terserah kepada mereka.
- Adil
Wali yang adil ialah wali yang tidak melakukan dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil dan tidak melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah. Contoh dosa besar ialah meninggalkan solat fardhu. Contoh bagi berterusan dengan dosa kecil ialah berterusan mengamalkan amalan mengumpat. Dan contoh bagi melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah ialah kencing di tepi jalan, berjalan di bandar dengan kaki ayam dan sebagainya.
Maka, apabila seorang bapa tiada syarat ini, maka hak sebagai wali itu berpindah kepada wali selepasnya, iaitu atuk (ayah kepada bapa). Sekiranya atuk juga tidak lengkap syarat ini, maka ia berpindah kepada wali selepasnya mengikut turutan. Nabi SAW bersabda
Tidak ada pernikahan melainkan dengan wali yang mursyid (Riwayat Imam Syafie Dengan Sanad Yang Shahih)
Namun sebahagian ulama berpandangan, tidak mengapa sekiranya syarat “adil” ini tiada pada seorang wali, memandangkan ia agak sukar untuk didapati pada hari ini. Saya menambah, sekiranya berlaku demikian, lebih sesuai sekiranya kita mengesyorkan supaya wali itu memberi kebenaran kepada “wali sultan”.
- Baligh
Kanak-kanal tidak boleh menjadi wali dalam perkahwinan. Kerana dia tidak boleh menguruskan dirinya sendiri. Maka, sekiranya tiada wali melainkan adik kita yang belum baligh, maka hak wali diserahkan kepada “wali sultan”.
- Berakal
Orang yang gila tidak boleh menjadi wali. Ataupun seorang yang hilang akal ketika hendak mengahwinkan anak perempuannya. Atau mengidap penyakit sawan, atau mabuk ketika akad tersebut dan sebagainya. Ataupun si wali tertidur “ketika” mengahwinkan anak perempuannya. Ia juga termasuk dalam kategori hilang akal, atau tidak sedar.
- Tidak mempunyai kecacatan yang menjejaskan pandangannya
Orang yang tidak jelas pandangannya, disebabkan penyakit tua atau kurang akal, tidak layak untuk menjadi wali bagi perempuan. Ini kerana ia gagal untuk memilih pasangan yang sekufu dengannya. Rabun tidak termasuk di dalam masalah ini, selagi mana penyakit tersebut tidak menjejaskan pandangan.
- Bukan dari kalangan safih
Safih ialah mereka yang tidak boleh menguruskan dirinya sendiri, walaupun sudah dewasa. Kebiasaanya mereka gemar membazirkan wang, tidak tahu mengurus dan sebagainya. Contoh yang paling jelas ialah adik yang sudah dewasa, tetapi masih gagal untuk menguruskan dirinya sendiri.
- Bukan orang yang sedang berihram
Orang yang sedang berihram, samada haji atau umrah, tidak boleh mengahwinkan orang lain. Perkara ini jelas. Sekiranya satu-satunya wali bagi seseorang perempuan itu sedang mengerjakan ihram, maka, hak wali tersebut berpindah kepada wali sultan.
Permasalahan Yang Timbulkan
Si bapa yang “beriya-iya” hendak menjadi wali, tetapi dirinya tidak mencukupi syarat sebagai wali, iaitu tidak mengerjakan solat melebihi 40 hari, tidak berpuasa, dan sebagainya. Syarat sebagai wali, seperti yang telah disebutkan ialah “adil”. Si bapa yang di dalam kategori yang dimaksudkan ini adalah tidak “adil”. Adakah pernikahan yang berwalikan bapa seperti ini adalah sah?
Sepertimana yang telah disebutkan, syarat sebagai wali ialah adil. Namun di sana terdapat perbezaan pandangan di kalangan fuqaha, kerana menilai dengan situasi hari ini. Ini kerana, syarat ini menimbulkan kesulitan yang besar dalam mendapatkan wali yang “adil”.
Maka, saya mengesyorkan beberapa perkara :
- Si bapa hendaklah kembali melaksanakan kewajipan yang dituntut oleh Islam, seperti berpuasa dan mendirikan solat. Atau dengan kata lain, bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
- Si bapa hendaklah mengutamakan wali-wali yang lain, yang lebih “sesuai” daripada dirinya.
- Saudari yang bertanya, hendaklah merujuk kepada pejabat agama, untuk menilai pandangan yang lebih sesuai oleh pihak pejabat agama. Mungkin pejabat agama lebih berpandangan dengan pandangan sebahagian fuqaha’, iaitu membenarkan perkahwinan dengan berwalikan si bapa seperti itu. Atau, mungkin juga pejabat agama lebih menekankan tentang syarat asal yang diletakkan.
Pejabat agama memainkan peranan sebagai pemerintah. Dan ini adalah hak “pemerintah” yang bertanggungjawab dalam memilih salah satu daripada pandangan-pandangan fuqaha ini, sebagai penelitian terhadap keperluan semasa, dan situasi hari ini.
- Sekiranya “sudah” berkahwin, dari sudut pengesahan perkahwinan tersebut diserahkan kepada pejabat agama. Samada mereka perlu diakadkan semula, atau pejabat agama mengambil pendekatan pandangan sebahagian fuqaha, maka itu terpulang kepada pejabat agama, yang meletakkan undang-undang. Saya yakin, pejabat agama juga yang telah membenarkan si bapa tersebut menjadi wali. Maka, perkahwinan tersebut dikira sah.
WalLahu a’lam
-----------------------------------------
Semoga artikel ini bermanfaat untuk semua. Terima kasih
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Universiti al Azhar asy Syarif
2 comments:
Sahkah perkhawinan jika seorang janda berkhawin baru dan bapanya menjadi wali ? Walaupun janda bole bernikah tanpa wali
Salam....
Post a Comment