19 June 2010

Kenyataan Mengarut : Bukti Tidak Kuasai Maqasid Syariah - Abezuh

oleh : Abezuh (link)




Banyak isu-isu yang berlaku yang melibatkan perbincangan para ulama di dalam bertegas meletakkan pendirian bagi menjaga maslahat umum sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Selain itu, terdapat juga beberapa pihak yang mungkin mahu popular apabila sibuk menyatakan pandangan mereka yang boleh merosakkan kefahaman masyarakat umum.

Apa yang mahu saya perkatakan ialah kenyataan-kenyataan mengarut tersebut ekoran kelemahan mereka tidak menguasai maqasid syariah dengan tepat. Hanya sekali pandang, maka terus melontarkan pandangan berkenaan hukum. Pelik sedangkan syariat yang diturunkan oleh Allah SWT mempunyai maqasid tertentu.

Maka, Dr Yusof Al-Qardhawi mengatakan bahawa maqasid di dalam syariat Islam itu dapat dilihat melalui 2 perkara :

- merujuk dan mengkaji ke atas nas yang diturunkan mengapa hukum tersebut diturunkan.

- mengkaji cabang-cabang hukum dan menganalisa perbandingan cabang-cabang hukum tersebut di dalam mengeluarkan ketentuan sebab hukum diletakkan.

Justeru, di dalam apa jua isu yang berkaitan agama, hukum dan maslahat dunia ia perlu dilihat berdasarkan kefahaman maqasid syariah. Sebab itu, saya telah nyatakan di dalam posting sebelum ini, ramai yang mengaku faham apa itu maqasid syariah sedangkan mereka semata-mata hafal dharuriyat kahmsah tanpa penguasaan yang tepat.

Kita lihat, isu kalimah Allah para ulama berselisih pendapat di dalam penggunaannya. Namun apa perlu diketahui hukum adalah disepakati cuma apa yg diperselisihkan oleh para ulama ialah persetujuan menggunakan kalimah tersebut berdasarkan kefahaman konsep sad zarai' masing-masing. Lebih jelas lagi begini, mereka sepakat hukum penggunaan bagi kalimah Allah ke atas muslim ialah harus, namun berlaku perselishan ulama terhadap penggunaan tersebut ke atas non muslim kerana memikirkan penyelewengan yang bakal berlaku. Jelas bukan ...

Mengenai isu lesen judi sempena bola sepak dunia. Para ulama semua sepakat hukum tidak boleh, haram. Apabila hukum dah haram, maka tidak timbul permasalahan setuju atau tidak. Hal ini demikian kerana bila dah haram, maka tidak perlu diizinkan. Berbeza dengan hukum harus, maka setuju atau tidak bergantung kepada perbincangan berdasarkan penjagaan ke atas maqasid syariah.

Namun, pelik ada juga pihak yang cuba untuk mengharuskan lesen judi berdasarkan kaedah-kaedah yang tidak tepat seperti katanya konsep tadarruj sebagaimana pengharaman arak dan kaedah menggunakan dharurat yang kecil apabila bertembung 2 dharurat.

Saya rasa ramai pihak dah jelaskan begitu juga MANHAL PMRAM. Apa yang saya ingin katakan ialah bagaimana boleh keluarnya kenyataan mengarut daripada pihak terbabit? Ini disebabkan mereka tidak mahir di dalam urusan agama lebih-lebih lagi melibatkan kefahaman maqasid syariah.

Saya jawab sedikit berkenaan konsep tadarruj ke atas judi yang disamakan dengan arak. Saya jawab berdasarkan Fiqh Iqtisadi, bahawa qiyas atau persamaan yang dikatakan adalah tidak sama, kerana arak adalah tradisi gaya kehidupan yang menjadi adat, bukan pernigaan, akan tetapi judi berkonsepkan melibatkan untung atau rugi seakan-akan perniagaan.

Justeru lihat di dalam perniagaan mana-mana yang melibatkan untung rugi atau unsur perniagaan, maka sekiranya ia haram maka terus diharamkan tanpa berperingkat. Lihat riba, maka tanpa berperingkat-peringkat haram terus adalah haram walaupun ketika itu masyarakat jahiliyah mengatakan riba adalah sebagaimana jual beli yang menjadi adat mereka.

Bagi kaedah menggunakan dharurat yang kecil apabila bertembung 2 dharurat ialah, pihak tersebut perlu memahami kaedah ini ialah apabila tiada jalan yang membawa ke arah maslahat. Maka sekiranya masih ada ruang ke arah maslahat, maka secara total mesti menolak dharurat samada besar atau kecil.

Kerana kaedah mengatakan bahawa apabila bertembung maslahat dengan dharurat maka mesti tolak dharurat. Justeru, yang utama ialah menolak dharurat secara total. Bukannya memilih mana yang kecil atau besar. Isu judi juga bukan boleh dikategorikan sebagai maslahat di dalam dharuriyat khamsah yang mesti dijaga, yang mana tidak lakukan lesen judi tidak mendatangkan sebarang dharurat ke atas dharuriyat khamsah.

Ini adalah contoh isu semasa yang berlaku. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana ramai pihak yang telah menjelaskan kembali dan membidas kenyataan yang mengarut tersebut. Cuma apa yang ingin diketengahkan ialah inilah gambaran contoh apabila tidak menguasai maqasid syariah, hasilnya akan mengeluarkan kenyataan yang mengarut.

Dan akhirnya betapa penting kefahaman ke atas maqasid syariah kerana kesemua hukum dan syariat yang ditetapkan oleh Allah kesemuanya ada maqasid samada kita tahu tidak, kerana tidak ada suatu hukum yang diturunkan itu adalah sia-sia. Inilah yang disepakati oleh semua para ulama.

P/S : Kepada pihak yang tidak menguasai kefahaman maqasid syariah dengan jelas, diharapkan lebih baik diam daripada mengeluarkan kenyataan yang mengarut dan mungkin menyesatkan masyarakat umum... Serahkan sesuatu urusan itu kepada ahlinya...

tambahan : yang terbaru saya tahu, ada pihak berkenaan yang mengeluarkan kenyataan yang mengarut berkaitan isu pengebom berani mati. Jelas pihak tersebut tidak memahami perbincangan ulama secara jelas dan maqasid syariah secara secara tepat.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal