21 November 2010

Jangan Tipu Sejarah Tarbiah!

Agak pelik apabila sebilangan manusia mengatakan bahawa PMRAM kurang "Tarbiah". Kononnya tarbiah mereka lebih mantop.. Entahlah, apa hujah mereka. Satu perkara yang ingin dikongsi bersama ialah, pentarbiahan terhadap diri manusia terbahagi kepada dua bentuk :

1. Tarbiah Dalaman

Tarbiah dalaman boleh didapati dengan cara berzikir, membaca al Quran, bermunajat, qiamullail dan sebagainya.

2. Tarbiah Luaran

Tarbiah luaran pula boleh didapati dengan cara menjadi AJK Program, menghadiri Muzakarah Berkelompok, bergiat dalam agenda kebangkitan dan gerakan Islam dan sebagainya.

Contoh

1. Contoh yang boleh kita lihat, di dalam Sirah Nabi SAW, Baginda SAW mentarbiah Para Sahabat dengan kedua-dua elemen ini, iaitu dalaman dan luaran. Kita akan lihat para Sahabat RA bersungguh-sungguh dalam berqiamullail, bermunajat kepada Allah, berpuasa dan sebagainya. Ia adalah Tarbiah Dalaman yang diserapkan oleh Baginda SAW kepada Para Sahabat RA.e

Manakala Tarbiah Luaran pula, Nabi SAW mengajar dan mendidik Para Sahabat ke medan Perang, berhijrah, mendirikan Daulah Islamiah, berdakwah dan sebagainya. Maka Tarbiah Luaran juga bukanlah perkara yang diabaikan oleh Baginda SAW.

2. Kemudian, sunnah ini diteladani pula oleh para pewaris Nabi SAW. Kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh Khulafa ar Rasyidin dalam menyebarkan Islam. Mereka bukan hanya mengalirkan air mata kerana Allah di malam hari, tetapi menyibukkan diri mereka di jalan dakwah dalam menyebarkan Islam.

Saidina Abu Bakar memerangi gejala murtad.. Kita? Isu murtad sedang berleluasa, apa usaha kita? Saidina Umar pula hebat dalam penyeragaman sistem pemerintahan.. Kita? Adakah kita sibuk dengan perut sendiri sehinggakan tidak mahu melibatkan diri dengan persatuan?

3. Contoh seterusnya, kita boleh lihat pada Para Imam Mazhab. Mereka bukan sahaja mentarbiah diri mereka secara "dalaman" semata-mata, tetapi mereka juga terlibat dalam perjuangan menegakkan agama Allah. Contohnya Imam Ahmad sanggup diseksa untuk menyelamatkan keagungan al Quran ketika berlakunya "isu penciptaan al Quran".

Ingat, Imam Mazhab bukan hanya mendalami ilmu agama sehingga tidak mempedulikan nasib masyarakat.. Bahkan mereka hidup bermasyarakat. Imam Malik adalah seorang peniaga, dan Imam Syafie pernah menjadi doktor.

4. Contoh yang lain, Omar Mokhtar yang digelar Singa Padang Pasir.. Malamnya diisi dengan Tarbiah Dalaman, di siang harinya pula, beliau mengisi jiwanya dengan Tarbiah Luaran, sehingga mendapat gelaran tersebut.

Sejarah Masyaikh al Azhar pun mencatatkan bahawa al Azhar terlibat secara langsung dalam memerangi penjajahan Perancis satu masa dahulu. Siapakah mereka? Adakah mereka hanya tahu menjaga perut sendiri? Kita pula bagaimana?

5. Contoh yang lain, Imam Hassan al Banna, terlibat dalam ketenteraan, dan beliau juga terkenal dengan kesufian dan gerakan. Said Badiuzzaman an Nursi juga terkenal dengan kesufiannya, tetapi tidak pernah mengabaikan "Tarbiah Luaran"nya sehinggakan beliau dipenjara.

Said Hawwa seorang ulama sufi yang turut memikirkan masalah umat. Beliau bukanlah hanya berzikir seorang diri, bahkan beliau terlibat sepenuh masa dengan Gerakan Islam dalam mengislah umat. Banyak lagi tokoh untuk diketengahkan di sini.

Kesimpulan

Apabila kita membaca sejarah, kita akan dapati bahawa para pejuang Agama Allah bukanlah mereka yang hanya tahu mengisi jiwa mereka dengan "Tarbiah Dalaman" sahaja, bahkan mereka juga kerap mengisi jiwa mereka dengan "Tarbiah Luaran".

Jangan jadi seseorang yang hanya tahu menjaga periuk nasi sendiri.. tetapi tidak memikirkan masalah umat. Janganlah jadi seorang yang berilmu, tetapi bisu. Jangan juga menjadi seorang yang berilmu, tetapi ego dengan ilmunya.

Satu kalam pernah berbunyi : "Sesiapa yang tidak membaca sejarah, dia tidak akan dapat mencipta sejarah!"

"Jangan tipu sejarah tarbiah". Kalam ini adalah nasihat kepada mereka yang cuba pesongkan sejarah dengan mengatakan bahawa Para Ulama kita adalah orang yang menekankan ilmu semata-mata.. tidak terlibat dengan gerakan dan lain-lain. Ada juga yang mengatakan bahawa para ulama sufi kita hanya tahu beruzlah dan bersendiri tanpa menghiraukan masalah umat.

"Jangan tipu sejarah tarbiah"! Syeikh Ibrahim as Samalluti adalah salah seorang Tok Guru kepada Syeikh Idris al Marbawi dan Syeikh Soleh Ja'fari.. beliau pernah berkata : "Wali Allah itu bukanlah mereka yang berada di gua, gunung atau hutan berseorang diri.. tetapi wali Allah itu adalah mereka yang berada di tengah-tengah kala jengking tetapi kala jengking tersebut tidak dapat menyengatnya!"

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal