03 November 2010

Laksanakan Dakwah Dengan Hikmah - Presiden



Sumber : PMRAM.org

KAHERAH 1 Nov - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menyatakan bahawa manhaj yang digunapakai oleh Universiti Al-Azhar merupakan manhaj yang berbentuk dakwah Islamiyah.

Beliau menegaskan perkara tersebut ketika berucap dalam Majlis Hi-Tea bersama masyaikh Al-Azhar As-Syarif yang diadakan di dewan Sally Mall, Haiyu Thamin. Majlis tersebut diadakan bagi merai mahasiswa-mahasiswi Universiti Al-Azhar As-Syarif yang baru menamatkan pengajian pada tahun ini.

Katanya lagi, sesungguhnya dakwah islamiyah merupakan seruan yang bersifat kasih sayang, rahmat, lembut serta bersifat sederhana. Dakwah islam yang disampaikan pada masyarakat mestilah menggunakan uslub yang sesuai agar Islam dapat diamalkan di setiap peringkat.

Menurutnya, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul bukan sahaja sebagai rahmat bagi orang arab, orang timur ataupun orang muslimin. Bahkan kedatangan Islam melalui Rasulullah SAW adalah sebagai rahmat bagi sekalian alam.

"Kedatangan Islam adalah sebagai rahmat bagi seluruh alam. Hal ini kerana risalah dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah risalah yang berbentuk 'alamiyah' (global)". Ujar beliau ketika berucap dalam Majlis Hi-Tea tersebut.

Justeru katanya, sebagai seorang yang bergelar graduan Universiti Al-Azhar, kita akan pulang ke tanah air Malaysia tercinta untuk menyampaikan ilmu yang dipelajari di Perlembahan Nil ini. Jadi sampaikanlah ilmu tersebut dengan penuh hikmah serta bersikap sederhana terhadap masyarakat umum.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Sheikh Doktor Umar Abdullah Kamil, Sheikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith Al-Kattani, Sheikh Jamal Farouk Ad-Daqqaq Al-Hasani dan Sheikh Usamah As-Saiyid Al-Azhari.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal