Kawasan Yang Diserang Oleh Dajjal
Sebelum ini telah disebut bahawa Dajjal akan melakukan operasi serangan terhadap umat Islam di Negara-negara Arab. Adakah Dajjal akan menyerang seluruh dunia? Adakah negara-negara lain tidak dihadiri oleh Dajjal? Perkara ini akan diperincikan di sini, insya Allah.
رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمُ ، قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيْسَ مِنْ بَلَدٍ إِلَّا سَيَطَؤُهُ الدَّجَّالُ إِلَّا مَكَّةَ وَالْمَدِينَةَ لَيْسَ لَهُ مِنْ نِقَابِهَا نَقْبٌ إِلَّا عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ صَافِّينَ يَحْرُسُونَهَا ثُمَّ تَرْجُفُ الْمَدِينَةُ بِأَهْلِهَا ثَلَاثَ رَجَفَاتٍ فَيُخْرِجُ اللَّهُ كُلَّ كَافِرٍ وَمُنَافِقٍ
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda : Tiada satu negara pun tidak dikunjungi (atau diserang) oleh Dajjal, melainkan Mekah dan Madinah.. dan tiada laluan pun yang ditemui melainkan terdapat Malaikat yang berbaris sedang berkawal. Lalu, Dajjal singgah di sebuah ladang, lalu menggegarkan (menyeru penduduk) Madinah sebanyak 3 kali. Maka, keluarlah semua orang kafir dan munafiq dari situ (Shahih Bukhari : 1748)
Mekah dan Madinah adalah kawasan yang diharamkan bagi orang kafir. Maka, di dalam hadis ini bermaksud orang munafik yang menyembunyikan kekafiran mereka. WaLlahua’lam. Di dalam hadis yang akan disebut selepas ini, menceritakan tentang kunjungan Dajjal ke Mekah, dan Dajjal melakukan perkara yang sama untuk menarik penduduk Mekah dan Madinah dari luar.
Di dalam hadis ini jelas menunjukkan bahawa semua negara akan dikunjungi oleh Dajjal. Kunjungan Dajjal tersebut dengan membawa bantuan makanan dan sebagainya sepertimana yang akan diceritakan di dalam fitnah-fitnah Dajjal. Ketika itu, semua manusia sedang menghadapi krisis kebuluran yang teruk.
Kawasan Yang Tidak Diserang
Semua negara akan dikunjungi oleh Dajjal melainkan Mekah dan Madinah. Di dalam riwayat lain mengatakan bahawa tempat yang tidak dapat dimasuki oleh Dajjal sebanyak empat, iaitu :
عَنْ جُنَادَةَ بْنِ أَبِي أُمَيَّةَ أَنَّهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : وَإِنَّهُ يَلْبَثُ فِيكُمْ أَرْبَعِينَ صَبَاحًا يَرِدُ فِيهَا كُلَّ مَنْهَلٍ إِلَّا أَرْبَعَ مَسَاجِدَ مَسْجِدَ الْحَرَامِ وَمَسْجِدَ الْمَدِينَةِ وَالطُّورِ وَمَسْجِدَ الْأَقْصَى
Daripada Junadah bin Abi Umayyah, Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya Dajjal akan hidup di dunia selama 40 hari, dia akan menyerang semua tempat melainkan empat tempat, iaitu : Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Bukit Sinai, dan Masjidil Aqsa (Musnad Imam Ahmad : 22572)
Empat kawasan tersebut ialah :
1. Masjidil Haram yang dimaksudkan di sini ialah Mekah
2. Masjid Nabawi ialah Madinah
3. Masjidil Aqsa ialah Baitul Maqdis
4. Bukit Sinai
Maka, sudah jelas bahawa semua tempat dikunjungi olehnya melainkan beberapa tempat yang telah disebutkan. Dajjal akan mengunjungi seluruh dunia dengan membawa bekalan makanan yang tidak terdapat pada ketika itu. Sebarang pertanian dan sistem saliran tidak wujud, tetapi dengan kunjungan Dajjal, manusia tempat tersebut akan mendapat semua bantuan ini.
Tetapi dengan syarat menerima ketuhanan Dajjal ini. Dajjal akan mempublisiti dirinya dengan mengunjungi semua negara. Kenderaan yang digunakan ialah keldai bertelingan panjang. Apakah yang dimaksudnya dengan kenderaan seperti ini?
Kenderaan Dajjal
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ الدَّجَّالُ فِي خَفْقَةٍ مِنْ الدِّينِ وَإِدْبَارٍ مِنْ الْعِلْمِ فَلَهُ أَرْبَعُونَ لَيْلَةً يَسِيحُهَا فِي الْأَرْضِ الْيَوْمُ مِنْهَا كَالسَّنَةِ وَالْيَوْمُ مِنْهَا كَالشَّهْرِ وَالْيَوْمُ مِنْهَا كَالْجُمُعَةِ ثُمَّ سَائِرُ أَيَّامِهِ كَأَيَّامِكُمْ هَذِهِ وَلَهُ حِمَارٌ يَرْكَبُهُ عَرْضُ مَا بَيْنَ أُذُنَيْهِ أَرْبَعُونَ ذِرَاعًا
Daripada Jabir RA, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Dajjal akan muncul dalam keadaan manusia jauh daripada agama dan ilmu, dia akan hidup di dunia selama 40 hari, satu hari bersamaan setahun, satu hari lagi bersamaan dengan sebulan, satu hari lagi bersamaan seminggu, dan hari-hari yang lain seperti hari-hari biasa. Dia mempunyai keldai yang ditungganginya, panjang dua telingga ialah sepanjang 40 hasta (Musnad Imam Ahmad : 14426)
Kelajuannya mengunjungi semua tempat di seluruh dunia dengan menggunakan keldai ini. Kedua-dua telinganya sepanjang 40 hasta. Kebanyakan kita mungkin mengatakan bahawa ia adalah kapal terbang, namun tanggapan ini ditolak oleh Syeikh Hammud bin Abdullah at Tuwaijiri (1413 H) di dalam kitabnya Ithaf al Jamaah, Bima Ja’ Fil Fitan Wal Malahim Wa Asyratis Sa’ah di dalam bab Ma Ja’ Fi Markub ad Dajjal.
Beliau mengatakan bahawa sekiranya Dajjal menggunakan kapal terbang, sudah pasti ia tidak dikatakan sebagai sihir (bercanggah dengan adat kebiasaan). Maka, beliau menolak sebarang takwilan yang mengatakan bahawa kenderaannya ialah kapal terbang. Beliau juga mengemukakan hadis riwayat Imam Ahmad dalam bab as Sunnah yang mengatakan bahawa kenderaan tersebut melalui jalan darat. WalLahua’lam.
Pada pandangan penulis, Dajjal akan menggunakan sebuah kenderaan yang pelik yang mempunyai saiz sepanjang 40 hasta. Samada menggunakan kapal terbang atau bukan, itu berdasarkan takwilan masing-masing.
Mungkin juga kapal UFO yang berbentuk bulat. Di dalam kajian yang bertajuk The Arrivals terbitan A Noreagaa And Achernahr Production, menjelaskan bahawa sebuah “anggota rahsia” sedang berusaha membangungkan kapal UFO. Beberapa siri penemuan kapal UFO sebelum ini dikatakan hasil daripada kajian “anggota rahsia” tersebut. Ia dikaitkan dengan Zionis dan bahagian Ketenteraan Rahsia Amerika. WaLlahua’lam.
Hakikatnya dengan menggunakan sihir, tidak memerlukan kenderaan untuk ke mana-mana. Cukup dengan sihir, kita sudah dapat berada di mana-mana tempat. Maka, kenderaan yang dimaksudkan oleh Nabi SAW mungkin juga boleh dikatakan sebagai sihir, atau makhluk halus yang dapat membawa Dajjal ke serata dunia. WaLlahua’lam.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment