12 March 2010

Firaq-firaq Di Bumi Mesir

Pendahuluan

Masyarakat Melayu yang berada di bumi Mesir, bergiat dalam aktiviti masing-masing. Antaranya ialah bersukan, bertalaqqi, berhibur, bergiat dalam permainan komputer, filem-filem download.

Tetapi di dalam artikel ringkas ini, hanya membentangkan tentang kewujudan firaq (pecahan) dalam bentuk fikrah. Maka, firaq yang wujud di bumi Mesir ini antaranya :

1. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
2. ISMA
3. Nadi UMNO
4. Konsis
5. Dan sebagainya

Maka, di sini akan menghuraikan beberapa firaq yang wujud di kalangan masyarakat Melayu di bumi Mesir. Terdapat juga beberapa firaq yang tidak disenaraikan di sini. Insya Allah akan dijelaskan di dalam siri-siri akan datang.

Tujuan Mempelajari Tentang Firaq

Kita mempelajari tentang firaq ini bukanlah bertujuan menambahkan lagi parah perpecahan tersebut, atau bertujuan membuka keaiban sendiri, bukan juga untuk menyebarkan fitnah. Tetapi ia adalah bertujuan menjernihkan keadaan Melayu di Mesir, dan menjelaskan di manakah kebenaran dan kesilapan dalam memahami etika berjemaah.

( an Nadwah al Alamiah Lisy Syabab al Islami WAMY, al Mausu’ah al Muyassarah Fil Adyan Wal Mazahib Wal Ahzab al Mu’asirah, susunan Dr Mani’ bin Hammad al Juhani, terbitan Darul Nadwah al Alamiah, jilid 1, ms 1 )

Kesilapan Dalam Mengenali Firaq ( kumpulan )

Penulisan ini bertujuan merungkaikan kekeliruan yang terdapat di kalangan Melayu Mesir yang terkeliru dengan firaq yang wujud di bumi Mesir. Ada di antara yang mendakwa bahawa ISMA itu lebih sesuai tarbiahnya berbanding PMRAM. Ada pula yang mengatakan bahawa Konsis itu lebih jelas matlamatnya, dan sebagainya.

Maka, untuk menjelaskan beberapa kaedah untuk menjelaskan kepada kita tentang jemaah yang sebenar, dan pemahaman tentang “ta’addud jema’ah”. Masing-masing mendakwa bahawa mereka adalah jemaah yang terbaik dalam memperjuangkan Islam. Ia akan dijelaskan selepas ini.

Dakwaan Setiap Firaq

Setiap firaq, pasti akan mendakwa bahawa mereka adalah jemaah yang paling betul, benar dan hebat dalam tarbiah. Contoh tersebut kita boleh lihat berdasarkan beberapa perkara berikut :

1. ISMA mendakwa bahawa mereka ditubuhkan disebabkan kekurangan tarbiah yang menjadi kelemahan PMRAM.

2. Konsis pula mendakwa bahawa mereka ditubuhkan sebagai pembaiki kepada kerompongan dalam tarbiah PMRAM.

3. Nadi UMNO pula mendakwa bahawa mereka hanyalah sebagai kelab penyokong UMNO yang bertapak di Malaysia.

4. Islam Hadhari pula mendakwa bahawa mereka memperjuangkan Islam yang berwajah baru, sepertimana perjuangan Islam Hadhari di Malaysia.

Dan sebagainya. Penjelasannya akan diceritakan di dalam siri-siri berikutnya.

Sejarah Permulaan Kewujudan Firaq Melayu Di Mesir

1. PMRAM adalah persatuan induk yang ditubuhkan pada 1930 lagi, dan berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir.

2. Pada 1964, Badan Kebajikan Anak Negeri mula ditubuhkan.

3. Pada 1980 / 1981 sudah wujud beberapa firaq, antaranya Tabligh, al Arqam dan sebagainya.

4. Pada kebelakangan ini, bermula 2000, sudah mula wujud Nadi UMNO, ABIM, ISMA, dan baru-baru ini Konsis.

5. Rufaqa’ (al Arqam) dan tabligh masih lagi wujud sehingga hari ini. Cuma gerakan mereka tidak kelihatan.

Inilah beberapa sejarah ringkas tentang kewujudan firaq di bumi Mesir.

Ciri-ciri Jemaah Islam

Diantara perkara yang tidak dapat dipertikaikan lagi, bahawa setiap pertubuhan atau jemaah sama ada jemaah Islamiah atau selain daripada jemaah itu, mesti mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Dengan demikian ia dikenali dan dapat dibezakan dari jemaah yang selain daripadanya. Jadi apakah ciri-ciri atau prinsip-prinsip jemaah islamiah yang menonjol dan membezakannya dari ideologi yang dibuat oleh manusia di atas muka bumi ini.

Sebenarnya ciri-ciri jemaah islamiah telah ditentukan oleh Allah dan Rasulullah SAW. Terdapat nas-nas daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang menerangkan ciri jemaah Islamiah.

Diantara ciri-ciri yang ada pada sebuah jemaah islamiah ialah:-

1. Jemaah yang menyakini bahawa Islam adalah satu-satunya kekuatan yang dapat membangunkan semula ummah, dapat membebaskan semula golongan yang benar dan menyelamatkan dunia daripada huru-hara dan kehancuran.

Maka, jemaah yang tidak meyakini Islam itu adalah kekuatan, maka ternyata jemaah tersebut bercanggah daripada bentuk ini. Maka Nadi UMNO yang hanya ditubuhkan sebagai kelab penyokong, lebih bersifat kulit, yang tidak bertujuan untuk membangunkan semula ummah.

2. Jemaah yang lahir dari kesedaran sendiri, tidak dipengaruhi oleh mana-mana golongan sama ada timur ataupun barat. Lahirnya kerana tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Imran ayat 104 :

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang berjaya. (Surah Ali Imran : 104)

Maka, jemaah yang ditubuhkan atas dasar peniruan ataupun kesan pengaruh daripada sesuatu kebangkitan, maka ia bercanggah dengan bentuk ini. Contohnya ISMA adalah jemaah lain yang ditubuhkan bertujuan melihat kekurangan pada PMRAM.

Sepatutnya mereka perlu memberi sokongan dan dokongan dalam membantu PMRAM dalam menyelesaikan isu tarbiah yang mereka dakwa sebagai satu kekurangan.

3. Jemaah yang menyakini akan kesejagatan Islam dan kesyumulannya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya’:

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Surah al Anbiya : 107)

Maka, jemaah yang merasakan bahawa Islam itu tidak sempurna, mereka mula mempertikaikan penubuhan PMRAM. Mereka mendakwa bahawa Islam itu hanya tafaqquh semata-mata. Dan Islam juga bukanlah kepimpinan semata-mata yang tidak bertafaqquh. Maka, pendekatan PMRAM adalah dengan keyakinan bahawa Islam itu merangkumi semua bidang.

4. Jemaah yang memperjuangkan Islam secara menyeluruh sebagaiman firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 207.

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya. (Surah al Baqarah : 207)

Maka, jemaah yang hanya menumpukan sebahagian ciri-ciri Islam, adalah jemaah yang tidak lengkap. Contohnya Konsis dan ISMA hanya melihat bahawa jemaah itu hanyalah tarbiah semata-mata. Bahkan mereka akan memilih ahli-ahlinya yang “hebat-hebat” sahaja, tanpa menyebarkan “dakwah” tersebut kepada ahli-ahli biasa, yang tidak punya kelebihan.

Ia berbeza dengan PMRAM yang melaksanakan Islam itu secara menyeluruh. Di dalam PMRAM terdapat unit Hisbah yang tidak dibentuk di dalam firaq-firaq yang lain. Juga terdapat Bahagian Sukan, Kepimpinan dan sebagainya yang jelas menunjukkan bahawa PMRAM melaksanakan Islam secara menyeluruh.

5. Jemaah yang mengutarakan kebenaran yang tunggal dalam sejarah perjuangan umat Islam iaitu jemaah yang memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh Ahli Sunnah Wal Jemaah.

Inilah amalan dan sikap jemaah islamiah. Ia terus-terang di dalam menyatakan kebenran walaupun disaat orang lain membisu seribu bahasa. Biarpun tindakan demi tindakan dikenakan terhadap anggotanya, namun jemaah Islam teta[p dengan perjuangnnya sekadar yang termampu dilakukan olehnya.

6. Jemaah yang tidak melupai wadah perjuangan yang bersifat keterbukaan yang boleh menyatukan para anggotnya pada prinsip dan dasar sekalipun merek berbeza di dalam masalah furu’. Firman Allah SWT dalam surah Al-Imran ayat 64:

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi. (Surah Ali Imran : 64)

Maka, PMRAM istiqamah dalam membentuk ahli supaya berpegang kepada al Quran dan Sunnah, dan melaksanakan Islam dalam kehidupan seharian.

7. Jemaah yang terdapat dikalangan anggotnya sifat-sifat Hizbullah. Diantara sifat-sifat itu ialah:

- Cintakan Allah SWT dan Allah SWT cintakan mereka.
- Merendahkan diri sesama mukmin.
- Bersikap tegas terhadap orang kafir.
- Berjihad di jalan Allah SWT dan tidak takut celaan orang-orang yang mencelanya.
- Memberi kesetian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, orang mukmin (pimpinan).
- Mendirikan sembahyang.
- Menunaikan zakat.
- Sentiasa ruku’ kepada Allah SWT.

Sifat-sifat tersebut di atas selari denga firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat 54 hingga 56. Maka, sesuatu jemaah tersebut hendaklah menjauhi daripada mengadakan program berunsur maksiat, atau membiarkan maksiat terpamer dalam program mereka.

Peristiwa ini lebih jelas apabila terdapat kerjasama di antara ISMA dan Nadi UMNO dalam mengadakan Festival Asean 2009, yang terdapat aktiviti tari menari di dalamnya.

8. Selain daripada itu juga, jemaah islamiah adalah mereka yang dianggotai oleh mereka yang mempunyai sifat berikut:-

- Bertafakur kepada kebesaran Allah SWT dan kejadianNya. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Jasiah ayat 3.
- Takut hanya kepada Allah SWT. Bukanlah dengan berdiam diri dengan kejahatan yang berlaku, sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal
- Taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
- Kembali kepada undang-undang Allah SWT dan Rasulullah SAW sepertimana firmanNya dalam surah An-Nisa’ ayat 59
- Berkasih-sayang kerana Allah SWT dan benci kerana Allah SWT. Bukanlah dengan menumpukan dakwah kepada golongan tertentu sepertimana yang dilakukan oleh ISMA
- Bertawakkal kepada Allah SWT dengan sebenar-benar tawakkal.
- Berbudi pekerti mulia.
- Bergembira apabila melakukan taat dan berdukacita apabila melakukan maksiat.

9. Jemaah yang berjuang secara amali, tidak hanya teori semata-mata dan ia turun ke medan tidak hanya di tempat-tempat tertentu sahaja.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada prinsip-prinsip gerakan Islam seperti yang dibentangkan di atas maka dapatlah kita membuat keputusan bahawa mana-mana gerakan Islam yang wujud mestilah mempunyai asas dan matlamat penubuhannya. Ia ditubuhkan di atas kesedaran sendiri bukan didorong oleh rasa tidak puas hati kepada gerakan Islam yang telah sedia ada.

Ia terjadi apabila ISMA ditubuhkan disebabkan tidak berpuas hati dengan PMRAM. Kemudian Konsis pula ditubuhkan disebabkan tidak berpuas hati dengan ISMA. Mereka mendakwa bahawa ISMA dan JIM sudah tersasar daripada hadaf sebenar, iaitu mendirikan negara Islam.

Untuk lebih jelas dan yakin lagi, bahawa gerakan Islam mestilah mempunyai tujuan sebagaimana berikut :

1. Memperjuangkan yntuk mewujudkan dalam sebuah masyarakat dan pemerintahan yang melaksanakan hukum Allah SWT untuk mendapat keredhaan daripadaNya.

2. Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Untuk merealisasikan semua tuntutan itu, jemaah Islam mestilah mempunyai usaha-usaha seperti berikut:

1. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah SWT dan sunnah RasulNya melaluli dakwah secara lisan, tulisan, dan amalan.

2. Memperjuangkan Islam sebagai wadah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan politik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan, pentadbiran, ekonomi, sosial, pelajaran atau pendidikan, dan sebagainya.

3. Memupuk dan menguatkan lagi ukhuwah Islamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagikehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan kebajikan.

4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuha, dan orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan cara hidup Islam.

5. Menyediakan rancangan-rancangan dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik dan keadilan ekonomi dan negara untuk membela kepentingan umat Islam keseluruhannya.

6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawan dengan gerakan Islam bila mana dan selama mana ianyamustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan syariat Allah SWT.

7. Memperjuangkan hak serta kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

Sebenarnya perkara-perkara di atas telahpun dinyatakan sebagaimana yang sedia wujud di dalam perlembagaan dan objektif penubuhan PMRAM.

Kalau kita lihat dan meneliti dengan fikiran yang terbuka dan menjauhkan diri dari mempunyai perasaan taa’sub terhadap mana-man pertubuhan, maka kita akan mendapati bahawa semua perkara itu telah pun dan sedang diusahakan oleh PMRAM walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran.

Oleh itulah bagi saya tidak ada sebab mengapa perlunya ada jemaah yang lain yang memperjuangkan perkara yang sama dan mempunyai matlamat yang sama. Masalah kelemahan adalah merupakan perkara biasa bagi mana-mana pertubuhan, yang perlu bagi kita ialah jangan merasa putus asa dan merasa lemah semangat bila menghadapi permasalahan.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal