19 January 2011

Kesatuan Islam Takkan Kukuh Dengan Adanya Anai-anai

Pertama

Insya Allah, kali ini saya tertarik untuk mengulas beberapa perkara yang berkaitan dengan tajuk di atas. Sebelum itu, suka untuk saya perkenalkan “falsafah anai-anai”. Anai-anai adalah serangga yang diciptakan oleh Allah, supaya manusia berfikir dan sedar.

Anai-anai adalah satu kelompok yang bersatu, taat kepada pimpinan, bekerjasama dan banyak lagi. Cuma, anai-anai ini akan memberi kerosakan kepada sesuatu binaan. Anai-anai akan bekerjasama mengorek dinding-dinding rumah, tanpa mengira rumah siapakah itu. Bahkan, anai-anai juga akan membuat “rumah di dalam rumah”.

Iaitu, mereka membina masyarakat mereka di dalam rumah yang dibina. Akhirnya rumah yang kita bina akan rosak disebabkan rumah yang dibina oleh anai-anai ini. Walaupun mereka bekerjasama, tetapi bekerjasama merosakkan dinding rumah. Fikirlah wahai manusia yang berakal.

Kedua

Gerakan Islam yang dibina, sering juga diserang oleh anai-anai ini. Mereka akan membina rangkaian sulit di dalam gerakan Islam tadi. Lalu anai-anai ini akan merosakkan gerakan Islam secara dalam dengan cara membina “rumah di dalam rumah”. Maka, “rumah” gerakan Islam ini tidak akan kukuh, disebabkan kewujudan anai-anai ini.

Anai-anai di dalam gerakan Islam ini akan bercanggah dengan arahan pimpinan, buat kepala sendiri, tidak ilzam (berpegang) dengan keputusan mesyuarat, membuat jemaah belakang di dalam jemaah yang asal dan sebagainya.

Antara yang boleh kita lihat ialah, sejarah pembinaan Masjid Dhirar. Anai-anai di dalam Gerakan Islam yang dibina oleh Nabi SAW di Madinah, telah membina sebuah Masjid bertujuan memecah belahkan umat Islam di Madinah.

وَالَّذِينَ اتَّخَذُواْ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ وَلَيَحْلِفَنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. (Surah at Taubah : 107)

Ambillah iktibar dari kisah ini.

Ketiga

Masjid Dhirar yang diceritakan sebelum ini sarat dengan falsafah anai-anai yang telah saya kaitkan sebelum ini. Firman Allah SWT :

وَالَّذِينَ اتَّخَذُواْ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ وَلَيَحْلِفَنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ (107) لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ (108)

Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: "Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.

Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (Surah at Taubah : 107-108)

Anai-anai ini menyatakan bahawa :

“kami bina masjid ini adalah untuk kebaikan semata-mata”.

Tetapi hakikatnya pembinaan tersebut bertujuan :

1. Membahayakan keselamatan ahli gerakan Islam
2. Menguatkan keingkaran mereka terhadap dakwah Nabi SAW
3. Memecahbelahkan kesatuan gerakan Islam
4. Dijadikan tempat intipan untuk merosakkan gerakan Islam

Lalu, pengajaran yang Allah SWT berikan daripada kisah ini ialah :

1. Janganlah engkau bersolat di masjid yang dibina oleh anai-anai itu selama-lamanya
2. Teruskan bersolat di masjid asal yang telah dibina lebih awal, di atas dasar taqwa.

Huraiannya selepas ini. Insya Allah

Keempat

Berdasarkan artikel tentang anai-anai ini, saya cuma ingin mengajak para pembaca berfikir, dan berhati-hati dengan kelompok anai-anai ini, yang suka membina rumah di dalam rumah. Mereka saling bekerjasama antara satu sama lain, berusaha gigih dan sebagainya, tetapi mereka telah merosakkan rumah yang susah payah kita bina, iaitu gerakan Islam.

Mereka juga mempamerkan bahawa “kami cuma ingin membawa kebaikan” tetapi hakikatnya matlamat mereka adalah “membina rumah di dalam rumah”. Mereka inginkan jemaah yang mereka bina di dalam jemaah besar itu mengembang, sehinggakan meruntuhkan jemaah yang asal.

Lalu, Allah SWT telah menyebutkan kisah kewujudan golongan ini di dalam al Quran, dan membentangkan kepada kita pengajaran-pengajaran kisah tersebut. Supaya kita berfikir, dan mendalami tentang perkara ini.

Kemudian, Allah SWT juga menyenaraikan 2 penyelesaian yang cukup mudah untuk dilaksanakan, iaitu :

1. Janganlah engkau bersolat di masjid yang dibina oleh anai-anai itu selama-lamanya. Iaitu, janganlah engkau bersama dengan golongan anai-anai tersebut walaupun mereka mengadakan sesuatu yang baik.

2. Teruskan bersolat di masjid asal yang telah dibina di atas dasar taqwa. Iaitu, engkau perlulah mengukuhkan kebersamaan kamu dengan jemaah yang asal, yang dibentuk lebih awal, di atas dasar taqwa.

(Sila lihat Tafsir Syeikh Sya’rawi ayat 107-108, Surah at Taubah)

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal