13 January 2011

Asal Usul Hawa - Ulasan Artikel

Insya Allah, kali ini saya agak tertarik untuk mengulas artikel yang bertajuk “Benarkah Asal Kejadian Perempuan Dari Tulang Rusuk?” yang telah ditulis oleh Ustaz Muhammad Hanief bin Awang Yahya yang boleh dibaca di sini.

MUQADDIMAH

Di dalam artikel tersebut, menafikan bahawa penciptaan Hawa bukanlah dari tulang rusuk, sebaliknya penciptaan Hawa tidak diceritakan pun. Beliau menyebut :

Kenyataannya ialah tidak ada satupun ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang jelas menyebutkan hakikat kejadian Hawa. Al-Quran tidak menyebutkan Hawa dicipta daripada Adam tetapi manusia itu dicipta daripada jiwa yang satu. Apa yang disebutkan di dalam al-Quran ialah manusia itu diciptakan daripada jenis yang sama dengannya juga. Seorang manusia tentunya ibu bapanya manusia juga bukan makhluk yang lain.

- sila baca artikel tersebut sehingga habis –

Suka untuk saya mengulas di sini bahawa di sana sememangnya terdapat 2 pandangan dalam menceritakan asal-usul Hawa. Adakah benar ia dicipta daripada tulang rusuk Nabi Adam? Atau Hawa dicipta daripada jenis yang sama?

Pandangan pertama :

Syeikh Tantawi RA telah menukilkan di dalam Tafsir al Wasit (1/837), bahawa Jumhur Ulama berpandangan bahawa Hawa dicipta daripada Nabi Adam AS, iaitu daripada tulang rusuknya. Ketika itu Nabi Adam AS sedang tidur, setelah berjaga, beliau ternampak Hawa dan rasa suka kepadanya, kerana Hawa diciptakan daripada tubuhnya sendiri.

Pandangan ini berhujahkan dengan Hadis Nabi SAW

إن المرأة خلقت من ضلع أعوج فإن ذهبت تقيمها كسرتها وإن تركتها وفيها عوج استمتعت بها

Pandangan Kedua :

Abu Muslim al Asfahani berpandangan bahawa Hawa bukanlah diciptakan daripada Nabi Adam AS, tetapi diciptakan “daripada jenis yang sama”, iaitu manusia. Perkara yang sama juga telah dijelaskan di dalam ayat-ayat yang lain di dalam al Quran :

والله جَعَلَ لَكُمْ مِّنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجاً

إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولاً مِّنْ أَنْفُسِهِمْ

Perbandingan :

Syeikh Tantawi menukilkan kalam al Qadhi Iadh bahawa pandangan pertama lebih kuat (1/837). Dr Wahbah Zuhaili juga mengutarakan kedua-dua pandangan ini di dalam Tafsir al Munir (2/557), dan beliau mengatakan bahawa pandangan kedua tersebut bercanggah dengan apa yang dinyatakan di dalam Hadis Shahih di bawah

اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ
(Shahih Bukhari : 3084)

Dr Wahbah Zuhaili menambah lagi bahawa penciptaan Hawa daripada tulang Nabi Adam AS adalah untuk menampakkan kekuasaan Allah SWT, iaitu menciptakan sesuatu yang hidup, daripada benda hidup yang lain, bukan dengan cara kelahiran. (2/557)

Syeikh Tantawi menyatakan lagi (1/837) bahawa sekiranya Hawa itu bukan dicipta daripada Nabi Adam, sudah pasti semua manusia ini dicipta daripada 2 jiwa, bukan 1 jiwa. Sedangkan di dalam al Quran (Surah an Nisa : 1) menyatakan bahawa semua manusia dicipta daripada 1 jiwa. Perkara ini juga telah dinyatakan oleh Syeikh Sayyid Ahmad Musayyar RA di dalam kitab Qadhaya Insaniah.

PENJELASAN PETIKAN

Di dalam artikel tersebut, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijelaskan semula di sini, iaitu :

Mengapa Berlaku Kekeliruan Tentang Kejadian Hawa Ini? Ada beberapa faktor mengapa berlaku kekeliruan dalam memahami makna sebenar ayat ini:

1. Berpegang Dengan Riwayat Israiliyyat

Fasal yang kedua di dalam Sifr al-Takwin menyebutkan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam ketika baginda sedang tidur. (Tafsir al-Manar, jil. 4, hal. 268.) Disebabkan ada riwayat dalam kitab-kitab yang dahulu, ahli-ahli tafsir terus menganggap ia sebagai sokongan atau pentafsiran kepada al-Quran. Bagaimana mungkin ayat al-Quran ditafsirkan dengan riwayat Israiliyyat walhal penurunan kitab-kitab nabi terdahulu lebih awal lagi daripada al-Quran. Sepatutnya, kitab yang turun kemudianlah yang menjelaskan kitab-kitab yang terdahulu.

Hadis berkenaan perkara ini mempunyai beberapa versi. Antaranya ialah;

1. Perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk
2. Perempuan seperti tulang rusuk
3. Perempuan adalah tulang rusuk.

2. Mengkhususkan Keumuman Hadis Tanpa Nas Yang Jelas

Antara kesilapan dan kekeliruan ialah mengkhususkan lafaz hadis yang menyebut perempuan kepada Hawa. Hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. semuanya dengan jelas menyatakan perempuan dalam bentuk tunggal atau jamak dan tidak ada yang menyebutkan Hawa secara khusus. Jelasnya, para pentafsir menyangka wanita dalam hadis tersebut adalah Hawa tanpa berdasarkan kepada nas yang lain yang menentukan makna yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. itu.

3. Kesilapan Memahami Kata Sendi Nama Min من

Walaupun perkataan min itu memberi erti “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau “sebahagian”, kata sendi nama min juga mempunyai makna lain seperti “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak semestinya terikat dengan satu makna sahaja. (lihat, Ibn Hisyam, Mughni al-Labib, jil. 1, hal. 319)

Penjelasan semula

Pertama

Tidak boleh dikatakan bahawa “semua” Isra’iliyyat perlu ditolak. Sebaliknya pendekatan terhadap Isra’iliyyat perlulah selari dengan Hadis Nabi SAW. Iaitu, melihat kepada pembahagian Isra’iliyyat (berdasarkan kitab ad Dakhil, hasil penulisan Bahagian Tafsir, Universiti al Azhar)

Pembahagian pertama, iaitu dari segi keshahihannya. Terbahagi kepada :

Shahih,
Dha’if (lemah)
Maudhu’ (rekaan)

Di dalam hal ini, Nabi SAW bersabda :
حَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ
Sampaikanlah cerita-cerita Bani Israil, tetapi jangan keterlaluan (Sunan Abi Daud : 3177)

Pembahagian pertama ini boleh diriwayatkan dengan tujuan untuk menjadikan dalil, untuk menolak hujah-hujah orang Yahudi.

Pembahagian kedua, iaitu dari segi topik yang disampaikan oleh Isra’iliyyat tersebut. Terbahagi kepada :

Berkaitan dengan Akidah dan Pegangan
Berkaitan dengan hukum hakam
Berkaitan dengan peringatan dan peristiwa-peristiwa

Pembahagian kedua ini tidak boleh diriwayatkan, melainkan dengan menyertakan penjelasan terhadap penipuan tersebut.

Pembahagian ketiga pula, iaitu dari aspek keselariannya atau percanggahannya dengan syariat. Terbahagi kepada tiga, iaitu

Selari dengan syariat
Bercanggah dengan syariat
Tidak selari, dan tidak juga bercanggah (maskut – tiada dalil yang menolak, dan tiada dalil yang menerimanya)

Apa yang selari dengan syariat, boleh diriwayatkan. Apa yang bercanggah dengan syariat, tidak boleh diriwayatkan. Sekiranya tiada dalil yang menolak atau mengiyakannya, maka ia dinamakan “maskut”

Nabi SAW bersabda :

لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ
Jangan mengiyakan apa yang dikatakan oleh ahli kitab, jangan pula menafikannya. Katakanlah, kami beriman dengan Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan juga apa yang diturunkan kepada kamu. (Shahih Bukhari : 6814)

Sekiranya apa yang diriwayatkan oleh Jumhur Ulama (yang menyatakan bahawa Hawa diciptakan daripada Nabi Adam AS) adalah sesuatu Isra’iliyyat, maka kenapakah mereka meriwayatkannya juga? Ini kerana Jumhur Ulama bersandar kepada Hadis Shahih yang dinyatakan sebelum ini.

Kedua

Saya tidak dapat memastikan, hadis manakah yang dimaksudkan oleh penulis, yang menyatakan bahawa :

pentafsir menyangka wanita dalam hadis tersebut adalah Hawa tanpa berdasarkan kepada nas yang lain yang menentukan makna yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. itu

Sekiranya hadis tersebut ialah :

اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ

Maka, saya menjelaskan di sini bahawa saya tidak menemui apa yang dimaksudkan oleh penulis, yang mengatakan bahawa “ulama mengkhususkan maksud perempuan di sini hanya Hawa”.

Sebaliknya, kita perlu faham bahawa “Hawa juga tergolong dalam golongan perempuan”. Maka, ia juga termasuk hadis ini, iaitu dicipta daripada tulang rusuk. Adakah semua perempuan dicipta daripada tulang rusuk? Ya, kerana asal-usul jantina perempuan bermula daripada Hawa, dan Hawa dicipta daripada tulang rusuk.

Para ulama tidak mengkhususkan maksud “perempuan” itu dengan “Hawa”. Sebaliknya, Hawa adalah perempuan, bahkan perempuan yang pertama di dunia. Maka, kesemua asal-usul perempuan, berpunca daripada asal-usul Hawa. Dan sepertimana yang telah disebutkan bahawa Hawa dicipta daripada Nabi Adam AS.

Ketiga

Penulis menyatakan bahawa Hawa dicipta bukan daripada tulang rusuk Nabi Adam AS, bahkan ia dicipta daripada jenis yang sama. Ini kerana penulis mengatakan bahawa من نفس واحدة bermaksud “daripada satu jenis”. Iaitu perkataan من bermaksud “daripada”. Iaitu daripada jenis yang satu.

Dalil-dalil yang disandarkan oleh penulis telah disebutkan sebelum ini, iaitu berdasarkan beberapa ayat al Quran yang menjadi hujah bagi Abu Muslim al Asfahani. Penulis menyebut :

Walaupun perkataan min itu memberi erti “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau “sebahagian”, kata sendi nama min juga mempunyai makna lain seperti “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak semestinya terikat dengan satu makna sahaja. (lihat, Ibn Hisyam, Mughni al-Labib, jil. 1, hal. 319)

Apa yang disebutkan oleh Ibnu Hisyam di atas jelas menunjukkan bahawa “tidak semestinya من bermaksud “daripada jenis yang sama” sepertimana yang penulis maksudkan. Apakah hujah untuk menyatakan bahawa من tersebut bermaksud “daripada”?

Syeikh Tantawi RA mengulas perkara ini di dalam Tafsir al Wasit bahawa من tersebut bermaksud للتبعيض , iaitu “daripada sebahagian”. Maka, Ibn Abi Hatim menukilkan kalam Ad Dhohak bahawa maksud ayat tersebut ialah “Hawa dicipta daripada Nabi Adam, daripada tulang rusuknya (no. 4764)

Imam Ibn Kathir juga menyatakan perkara yang sama di dalam Tafsir Ibnu Kathir, bahawa Hawa dicipta daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam AS. Beliau dikenali dengan kepakaran dalam bidang tafsir, dan begitu mendalami selok-belok sanad. (rujuk ad Dakhil)

Maka, Jumhur Ulama meletakkan bahawa من tersebut bermaksud للتبعيض , berdasarkan pandangan mereka yang mengatakan bahawa Hawa dicipta daripada tubuh Nabi Adam AS.

Manakala Abu Muslim al Asfahani mengatakan :

أن المراد من قوله { وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا } أى من جنسها
Sesungguhnya, yang dimaksudkan dengan firman Allah “Dan diciptakan daripadanya (jiwa yang satu itu) pasangannya”, iaitu daripada jenisnya.

PENJELASAN TENTANG AYAT AL QURAN

Beberapa ayat-ayat al Quran yang dijadikan oleh penulis sebagai hujah ialah :

Pertama

والله جَعَلَ لَكُمْ مِّنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجاً
Dan Allah lah yang menjadikan daripada diri-diri kamu ini, isteri-isteri kamu (Surah an Nahl : 72)

Maksud daripada ayat ini terbahagi kepada dua pandangan :

Imam Sayuti RA menukilkan di dalam ad Durrul Manthur Fi Tafsiri Bil Ma’thur,

عن قتادة في قوله : { والله جعل لكم من أنفسكم أزواجاً } قال : خلق آدم ثم خلق زوجته منه
Daripada Qatadah RA, menafsirkan “Dan Allah lah yang menjadikan daripada diri-diri kamu ini, isteri-isteri kamu” beliau berkata : Adam dicipta, kemudian pasangannya dicipta daripada dirinya.

Manakala Imam Baidhawi mengatakan bahawa :

أي من جنسكم لتأنسوا بها ولتكون أولادكم مثلكم . وقيل هو خلق حواء من آدم
Iaitu, daripada jenis kamu, untuk kamu hidup dengannya, dan menjadikan anak-anak kamu seperti kamu. “Qil” mengatakan bahawa Hawa dicipta daripada Adam.

Imam Nawawi menyebut di dalam Muqaddimah Minhaj at Tolibin bahawa “Qil” yang digunakan oleh beliau merujuk kepada pandangan dha’if.

Tetapi, saya tidak melihat bahawa Imam Baidhawi menyokong pandangan Abu Muslim al Asfahani. Sebaliknya, beliau hanya menafsirkan maksud من tersebut ialah “daripada jenis kamu”. Iaitu tidak berkaitan dengan penciptaan Hawa daripada Nabi Adam. Sebaliknya, ia berkaitan dengan diri kita, yang mana isteri-isteri kita adalah “sama jenis dengan kita”.

Imam Baidhawi menafsirkan ayat 1 Surah an Nisa dengan mengatakan bahawa Hawa dicipta daripada tulang rusuk Nabi Adam AS. Manakala di dalam ayat Surah an Nahlu ayat 72 beliau menafsirkannya sebagai “daripada jenisnya” kerana beliau tidak menyamakan maksudnya dengan kisah Nabi Adam AS.

Kedua

لَقَدْ مَنَّ الله عَلَى المؤمنين إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولاً مّنْ أَنفُسِهِمْ
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, (Surah Ali Imran : 164)

Jelas menyatakan bahawa maksud من tersebut ialah “dari kalangan kamu”. Lantas, penulis menggunakan ayat ini sebagai hujah untuk menyamakannya dengan Ayat 1 Surah an Nisa, dengan menyatakan bahawa “Hawa dicipta dari jenis Nabi Adam AS” iaitu sejenis, bukannya dicipta daripada tulang rusuknya.

Maka, sepertimana yang saya sebutkan, penafsiran ayat 164, Surah Ali Imran tidak boleh disamakan dengan Surah an Nisa ayat 1. Tidak boleh menyamakan kesemua من di dalam ayat al Quran merujuk kepada “daripada jenis”. Kadangkala ia bermaksud للتبعيض , رفعاً للجنس , للجنس , صِلةً , تعجّباً dan banyak lagi.

Kesimpulan

Kesimpulan di sini, Jumhur Ulama berpandangan bahawa Hawa dicipta daripada tulang rusuk Nabi Adam AS, manakala Abu Muslim al Asfahani berpandangan bahawa Hawa bukan dicipta daripada Nabi Adam AS, tetapi dicipta daripada jenis yang sama dengan Nabi Adam AS.

Perbezaan ini tidak perlu diperbesarkan. Cukup sekadar ini. Perkara ini pun sudah diperincikan oleh ulama-ulama sebelum kita. Saya bersetuju dengan apa yang penulis nukilkan, iaitu :

Dalam hal ini Shah Waliyullah menyebutkan dengan jelasnya. Kata beliau ketika mengulas kisah-kisah yang diceritakan oleh al-Quran: “Bukanlah maksud cerita-cerita di dalam al-Quran untuk mengetahui cerita itu sendiri. Maksud sebenarnya ialah supaya pembaca memikirkan betapa bahayanya syirik dan kemaksiatan serta hukuman Allah hasil dari perbuatan syirik itu di samping menenangkan hati orang-orang yang ikhlas dengan tibanya pertolongan dan perhatian Allah kepada mereka” (al-`Fawz al-Kabir Fi Usul al-Tafsir, hal. 138)

Perbincangan yang sebenar bukanlah asal-usul Hawa. Tetapi hikmah daripada penciptaan Hawa daripada tubuh Nabi Adam AS.

Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
Felo Akidah dan Falsafah
MANHAL PMRAM

1 comments:

Norita Kamaruddin on January 14, 2011 at 8:32 AM said...

Syukran jazilan di atas ulasan tersebut. Saya pun agak keliru dgn artikel berkenaan.Saya paparkan di blog saya agar ada yang komen atau betulkan fakta tersebut.Mohon share di blog saya.

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal