26 May 2010

Ringkasan Falsafah Islam, Silibus Tahun 3, Usuluddin (Siri 4)


Alhamdulillah, saya baru tiba di rumah. Pulang daripada menduduki peperiksaan Takhaluf Falsafah Islam Tahun 3. Ketika saya mustajid tahun 3, kitab telah diajar dan karang oleh Dr Mu'ti Bayyumi. Tahun lepas, kitab telah ditukar, sama seperti tahun ini, iaitu karangan Dr Sami Afifi Hijazi, yang telah saya ringkaskan ini.

Alhamdulillah, soalan yang keluar tadi sepertimana yang dijangkakan. Bahagian pertama yang menceritakan falsafah secara umum "tidak masuk". Apa yang saya terjemah ini (Bahagian Kedua) sahaja yang masuk. Teruskan membaca.

Ringkasan ini telah saya siapkan sebelum peperiksaan lagi. Cuma tiada kesempatan untuk mem"post"nya. Untuk mereka yang bakal menduduki peperiksaan Falsafah Islam "bukan takhaluf", bolehlah mendapatkan ringkasan ini. Terima kasih..

Bab Keempat
Menjawab Dakwaan Tinman

Sebelum ini, bab ketiga telah menceritakan tentang falsafah di dalam al Quran, seterusnya menolak dakwaan pertama Tinman yang mengatakan al Quran menyekat manusia daripada berfikir.

Dakwaan Pertama

Dakwaan pertama telah dijawab di dalam Bab Ketiga (sebelum ini). Dakwaan Tinman yang selebihnya ialah :

a) Ahlus Sunnah adalah golongan yang hanya berpegang dengan nas-nas

b) Mereka (Islam) banyak mencedok pemikiran Aristotle, sedangkan mereka tidak memahami alirannya (Aristotle) yang sebenar

c) Tabiat mereka yang bersifat nasionalisme dan lebih cenderung kepada keraguan

Dakwaan Kedua

Di dalam item (a) merupakan dakwaan kedua yang dibuat oleh Tinman terhadap Falsafah Islam. Tinman mengatakan bahawa, disebabkan Ahlus Sunnah begitu berpegang dengan nas-nas, maka mereka menolak sebarang pemikiran, dan menyekat perkembangan Falsafah Islam.

Antara hujah untuk menafikan dakwaan ini ialah :

1. Telah disebut sebelum ini, nas-nas al Quran yang dipegang oleh Ahlus Sunnah itu sendiri menggalakkan manusia supaya berfikir. Maka, di sana akan wujud golongan pemikir Islam, yang berpegang dengan nas-nas al Quran, sepertimana firmanNya :

Maksudnya : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Surah Ali Imran : 190-191)

2. Al Quran bukanlah menceritakan sesuatu yang dongengan kosong, atau hikayat-hikayat, bukan juga buku-buku falsafah, akan tetapi al Quran adalah Kalam Allah yang merupakan perlembagaan bagi manusia.

Maksudnya :Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar (Surah al Isra : 9)

3. Nas-nas yang dipegang oleh Ahlus Sunnah begitu meninggikan kedudukan akal manusia, sehinggakan mereka yang tidak menggunakannya atau menggunakan dengan cara salah, disifatkan seperti binatang

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al A’raf : 179)

Dakwaan Ketiga dan Keempat

Dakwaan ketiga dan keempat yang disebut di dalam item (c) dan (d) menafikan ketulenan dan keaslian Falsafah Islam. Tinman menyifatkan bahawa Falsafah Islam banyak meniru Aristotle, dan dicemari dengan pemikiran taksub bangsa (nasionalism).

Antara hujah yang sesuai untuk menafikan perkara ini ialah :

1. Nasionalisme didokongi oleh golongan-golongan tertentu, dan ia bercanggah dengan Islam. Bahkan bukan Bangsa Arab sahaja yang bersifat demikian, bangsa-bangsa lain turut taksub dengan bangsa mereka. Tetapi Islam menolak dan menafikan pemikiran nasionalisme ini.

2. Islam menerima pemikiran yang tidak bercanggah dengannya, walaupun ia dihasilkan oleh bukan Islam. Falsafah Islam berpaksikan kepada al Quran dan Hadis. Beberapa pemikiran Yunan yang bercanggah, ditolak. Contohnya seperti pegangan mengatakan bahawa di sana terdapat dua tuhan, iaitu tuhan baik, dan tuhan jahat.

3. Manhaj Falsafah Islam tidak sama dengan Manhaj Aristotle secara umumnya. Ini kerana Falsafah Islam mendahulukan al Quran dan Hadis, kemudian mencari keserasian dan keselarian dengan akal. Agama yang shahih, tidak akan bercanggah dengan akal yang betul.

4. Islam menggalakkan umatnya merantau dan mencedok pemikiran masyarakat berbilang bangsa dan budaya. Tetapi tidak bermakna menggadaikan Akidah Islam yang dipegang.

5. Islam menggalakkan umatnya memperbanyakkan pemahaman bahasa yang pelbagai. Jelas menunjukkan bahawa Islam tidak bersifat nasionalism, mahupun mengongkong daripada mempelajari dan memahami bahasa masyarakat seluruh dunia.

Kesimpulan di sini, Falsafah Islam mempunyai ketulenannya yang khusus, iaitu pegangan bahawa Tuhan itu satu, Allah SWT, yang tiada syirik bagiNya. Dia tidak beranak mahupun diperanakkan, sempurna dengan semua sifat kesempurnaan, dan bersih daripada sebarang sifat kekurangan. Inilah ketulenan Falsafah Islam.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal