3 siswi Malaysia cedera nahas Kaherah (ralat : sebenarnya kat Mansurah)
KUALA LUMPUR: Tiga siswi Malaysia yang menuntut di Ma’had Qiraat Al-Azhar, Mansurah cedera selepas dilanggar sebuah kereta dipandu laju ketika melintas sebatang jalan di Mansurah, Kaherah, Mesir, kelmarin.
Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan, Kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Noor Akmaizan Yusof berkata, tiga siswi terbabit adalah penuntut tahun satu.
Menurutnya, mereka ialah Nur Mahfuzah Mohd Roslan, Nurul Ain Asmah Wahit dan Ummu Sofia Mohd Rostam, masing-masing berusia awal 20-an, namun ketiga-tiga pelajar terbabit sudah dibenarkan keluar dari wad, pagi semalam.
“Nur Mahfuzah yang cedera di tangan, menerima 11 jahitan dan ibu jari kaki dikatakan retak sedikit, Nurul Ain Asmah Wahit cedera ringan di kepala dan Ummu Sofia yang berasal dari Melaka cedera di bahagian kepala dan mengalami trauma.
“Tetapi pagi tadi (semalam), mereka dibenarkan keluar dari hospital dan pulang ke rumah sewa masing-masing,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
Kemalangan itu berlaku ketika mereka bertiga mengikuti seorang lelaki tua tempatan melintas jalan menuju ke Bank HSBC. Namun, belum sempat melangkah ke bahu jalan di seberang, tiba-tiba sebuah kereta meluru laju, melanggar mereka berempat.
Noor Akmaizan berkata, akibat rempuhan itu Nur Mahfuzah diseret beberapa meter di jalan manakala lelaki tua terbabit hanya mengalami cedera ringan di dahi. Menurutnya, ketika kejadian, ketiga-tiga pelajar terbabit dikatakan pengsan dan hanya sedar di hospital.
“Mereka dalam perjalanan ke Bank HSBC dan ketika melintas jalan mereka mengikut seorang pak cik tua. Mereka bersama lelaki itu dilanggar ketika menghampiri pembahagi jalan berdekatan Bank HSBC Mansurah, hanya selangkah lagi sampai ke bahu jalan.
“Tetapi belum sempat melangkah, mereka dirempuh kereta. Ketiga-tiga mereka tercampak ke tengah jalan, Nur Mahfuzah diseret jauh ke hadapan dan paling teruk cedera,” katanya.
0 comments:
Post a Comment