12 June 2010

Sempurnakan Agama Dengan Perkahwinan - UBM PMRAM


الحمد لله وحدة، والصلاة والسلام على من لا نبي بعده وعلى آله وأصحابه والتابعين ، ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.

Firman Allah SWT;

“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah”. [Al-Nahl:72].

Sempurnakan Agama Dengan Perkahwinan

Bait Muslim PMRAM dengan tema “Sempurnakan Agama Dengan Perkahwinan” bercita-cita untuk melihat golongan mahasiswa Mesir benar-benar merealisasikan sunnah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Baginda bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tabrani;

“Barangsiapa yang dikurniakan oleh Allah seorang wanita solehah, sesungguhnya Allah telah menyempurnakan sebahagian imannya, maka bertaqwalah dengan sebahagian yang berbaki”.

Perkahwinan merupakan suatu jalan untuk memelihara diri daripada menjadi hamba yang melakukan maksiat kepada Allah SWT. “Al-Zawaj” yang disyariatkan oleh Allah SWT merupakan suatu nikmat yang perlu direbut kerana banyak perkara yang diharamkan oleh Allah SWT menjadi halal dengan perlaksanaan “al-zawaj” tersebut.

Sebagai contoh jenayah zina (persetubuhan haram yang dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang belum berkahwin) yang diharamkan oleh Allah pada asalnya bertukar menjadi halal dengan dengan perlaksanaan “az-zawaj”. Setelah dinikahkan, kalimah zina tersebut akan bertukar menjadi “al-jima’” iaitu persetubuhan halal yang dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang telah berkahwin.

Islam Agama Yang Meraikan Fitrah

Firman Allah SWT;

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”. [Ali-Imran: 14]

Kecenderungan lelaki untuk berkasih sayang dengan seorang perempuan merupakan suatu fitrah yang tidak dapat ditolak kerana ia merupakan suatu kesempurnaan yang diciptakan oleh Allah di dalam diri manusia. Namun, kecenderungan tersebut perlu selari dengan kehendak dan prisip yang telah ditetapkan oleh Islam.

Barat telah mencacatkan fitrah tersebut dengan membenarkan hubungan sejenis yang terang-terangan menyalahi norma kehidupan manusia normal. Hasilnya, bertebaran penyakit-penyakit pelik dan merbahaya dikalangan golongan ini sehingga membuahkan penyesalan yang tiada kesudahan.

Islam datang dengan suatu metod yang cukup indah di dalam meraikan fitrah tersebut. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Rum ayat ke-21;

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.

Berdasarkan ayat tersebut Allah SWT mengurniakan tiga nikmat bagi manusia yang mengikuti ketetapan yang ditetapkan oleh Allah SWT iaitu;

1. Al-Sakinah (ketenangan hati).
2. Al-Mawaddah (kasih sayang).
3. Al-Rahmah (belas kasihan).

Satu Fikrah Satu Amal

Konsep “Satu Fikrah Satu Amal” yang diperkenalkan oleh PMRAM juga cukup sesuai untuk diadaptasikan sebagai salah satu panduan untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Di dalam konteks bait muslim ianya selari dengan panduan yang diterangkan oleh Baginda SAW di dalam hadis yang masyhur;

“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana keturunannya, kerana hartanya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama, beruntunglah kedua tanganmu”. [Muttafaqun Alaih]

Satu fikrah satu amal yang dimaksudkan daripada hadis ini adalah pemilihan calon suami atau isteri daripada sudut agama. Fikrah yang satu daripada setiap pasangan akan menatijahkan gerak kerja yang satu. Malah ianya juga turut memudahkan pasangan tersebut untuk membina sebuah rumahtangga yang membantu perjuangan Islam.

Bait Muslim Sebagai Penyelesai

Akhirnya, Unit Bait Muslim yang ditubuhkan oleh PMRAM adalah sebagai penyelesai masalah sosial yang meruncing akhir-akhir ini. Gabungan kerjasama yang dilakukan bersama dengan Unit Hisbah PMRAM diharapkan mampu untuk mengurangkan masalah sosial yang mampu untuk mengganggu gugat kualiti seorang ulama dan pejuang Islam.

Muhamad Hakimi Bin Hussain
Pengarah Bait Muslim PMRAM 2010

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal