AMPANG: Tertekan tidak dibenarkan berhenti kerja, seorang lelaki mengamuk dan bertindak kejam mengetuk kepala rakan serumah abangnya hingga maut sebelum dia yang bersembunyi di bumbung sebuah rumah kedai di Jalan Bandar 3, Taman Melawati, di sini terjun dari bangunan itu, semalam.
Lelaki itu turut mencabar anggota polis menembaknya kerana mendakwa mahu mati dan sempat melambaikan tangan sebelum terjun daripada ketinggian 15 meter dalam keadaan dirinya berlumuran darah selepas menikam perutnya sendiri. Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan (gambar) berkata, suspek bekerja di sebuah kolam ikan di Ipoh, Perak datang ke rumah sewa abangnya sejak dua hari lalu.
“Suspek menyatakan hasrat berhenti kerja kepada abangnya, tetapi dihalang sebelum berlaku perselisihan faham.
“Rakan serumah yang menyewa di situ turut menasihatinya supaya tidak berhenti kerja membuatkan dia tidak berpuas hati,” katanya.
Menurutnya, sehari sebelum itu, suspek turut mengamuk namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Bagaimanapun, kira-kira jam 9 pagi semalam, dia dikatakan tidak dapat mengawal kemarahan sebelum mengamuk dan nekad mengetuk kepala rakan serumah abangnya itu.
“Abang suspek bersama beberapa rakan cuba menenangkannya namun gagal sebelum dia yang mengesyaki berlaku perkara buruk kemudian membuat laporan polis selepas melihat perut adiknya berdarah kira-kira dua jam selepas itu.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Taman Melawati kemudian bergegas ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran rumah terbabit sebelum menemui seorang mangsa yang berlumuran darah di tingkat dua kediaman itu,” katanya.
Menurutnya, siasatan kemudian mendapati suspek bersembunyi di atas bumbung bangunan itu dan polis terpaksa memanjat untuk memujuk lelaki terbabit menyerah diri.
“Bagaimanapun, usaha memujuk suspek yang mengambil masa kira-kira 10 minit itu sukar berikutan dia membawa sebatang besi panjang berbentuk T dan cuba untuk terjun dari bangunan itu serta cabar dengan meminta polis menembaknya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment