26 November 2010

4 Ahli DPMT Terlibat Dalam Satu Kemalangan

QUWAISSINA, 25 Nov - Empat ahli Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta, telah tercedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tramco di kawasan lebuhraya, Jalan Shibin– Tanta, dekat sini, malam tadi.

Maklumat dari hospital Quwaissina berkata, mangsa yang cedera itu dikenali sebagai Mohd Ridhuan Bin Abdullah,22, Mohd Kamel Bin Abdul Rahman,22, Mohd Fakhrullah Bin Abdul Halim,22 dan Nurhaliz Syafiq Bin Zakaria,20.

"Mohd Ridhuan Bin Abdullah, kini telah dipindahkan ke hospital Shibin untuk menerima rawatan lanjut dan mangsa- mangsa lain dibawa pulang untuk menerima rawatan di Hospital Universiti Tanta dan telah dibenarkan pulang.

Antara magsa lain dalam kejadian itu, Saudara Imran Bin Zainal Abidin dan Hasmadi Mohd Nor. Kedua- dua mereka terselamat.

Selain kecederaan dialami, mangsa juga telah kehilangan telefon bimbit, wang ringgit, passport, Kad Bank dan dokumen penting dan lain- lain lagi.

Sebelum kejadian berlaku, tramco tempahan dari Tanta berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari Airport setelah mengambil Saudara Kamel, saudara Fakhrullah dan saudara Asmadi yang baru tiba dari Malaysia. kejadian itu berlaku pada kira-kira 8.15 malam waktu mesir.

Ketika ditanya kepada salah seorang mangsa yang selamat, Saudara Imran,"Kita percaya kenderaan itu dipandu laju ketika memotong sehingga menyebabkan ia terbabas dan merempuh tiang dan terbalik ditengah jalan, Semua terpelanting keluar dari tramco" katanya.

Sejurus menerima panggilan dari mangsa dan beberapa orang individu, Pihak DPMT yang diketuai oleh Pengerusinya, Saudara Sulaiman Bin Ismail terus bergegas segera ke Quwaissina untuk mengetahui keadaan mangsa.

Setelah tiba di sana kira- kira jam 9.45 malam, Pihak DPMT berusaha mendapatkan maklumat jelas mangsa dari pihak Hospital Quwaissina. Selepas selesai mendapatkan maklumat mangsa, Pihak DPMT menbuat perbincangan meminta untuk membawa pulang mangsa untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Tanta supaya memudahkan urusan.

Selepas tiba kira- kira 10.45 membawa pulang tiga orang mangsa ke Tanta, Pengerusi bersama Exco UKK dan beberapa lagi orang bergegas pula ke Hospital Shibin untuk mengetahui status rawatan saudara Mohd Ridhuan yang dirawat disana.

Pihak DPMT berharap, supaya semua ahli dan Mahasiwa yang lain berdoa untuk keselamatan dan kesihatan sahabat kita yang mengalami kemalangan ini agar tabah dan bersabar diatas ujian besar ini. Untuk maklumat lanjut mangsa, Pihak DPMT akan memaklumkan dari masa kesemasa.
Baca seterusnya

25 November 2010

2 Ahli KPIPM Kemalangan Siang Tadi

Kaherah,25 November – Dua anak Perak dilaporkan telah mengalami kemalangan jalan raya. Mereka yang datang dari Hayyu Sabie’ melalui susur atas menuju ke Masjid Azhar untuk mengikuti kelas pengajian. Mangsa adalah saudara Mohd Aliff Hadi bin Mohd Radzi,kuliah Usuluddin,tahun 1 Kaherah dan saudara Talha bin Muhammad,kuliah Syariah Islamiah,tahun 2 Kaherah.

Kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah motosikal telah melanggar but belakang sebuah kereta warga tempatan kerana gagal mengelak kenderaan yang berhenti secara mengejut tersebut. Segalanya berpunca dari kemalangan kecil berlaku oleh kenderaan hadapan yang menyebabkan kenderaan ketiga tersebut berhenti mengejut.

“Mereka cuba mengelak ke bahagian kiri namun gagal lalu merempuh kereta hadapan”. Lapor seorang saksi kepada wartawan yang berada di tempat kejadian.

Saudara Mohd Aliff Hadi yang menunggang mengalami sakit di dada akibat terhentak ke hadapan. Manakala saudara Talha bengkak kaki kanan akibat terhentak bersama motosikal yang dibonceng.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Ta’min Sihhi bagi menjalani rawatan. Setelah pemeriksaan dijalankan mendapati kaki kanan saudara Talha disahkan patah dan perlu menjalani pembedahan.

Sejurus itu,saudara Talha dipindahkan ke Hospital Raba’ah bagi menjalani pembedahan. Pembedahan dilakukan pada jam 5.00 petang tadi dan selamat selesai pada jam 7.15 malam. Kini saudara Talha masih ditahan di wad bagi menjalani beberapa rawatan lanjut. Sementara saudara Aliff Hadi dibenarkan pulang setelah menjalani beberapa pemeriksaan.

Wakil PMRAM dan KPIPM turut hadir bagi menziarahi mangsa kemalangan. PMRAM dan KPIPM mengingatkan kepada semua ahli supaya lebih berhati-hati apabila berada di jalan raya.
Baca seterusnya

24 November 2010

Piawaian Jemaah Islam Contoh

(petikan dari buku Sheikh Mustafa Mashyur)
Oleh : Us Din Tantawi

Seperti kata-kata Saidina Ali (ra), "Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya".

Hatta, dengan jemaah juga, seseorang itu harus mengetahui terlebih dahulu ciri-ciri jemaah tersebut sebelum menggabungkan diri kedalamnya.

Artikel ini adalah berdasarkan huraian Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya, 'Contoh Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah' dan 'Dakwah Fardiah'. Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai panduan atau rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat pilihan dan menggabungkan diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan tanggungjawab dakwah yang diwajibkan keatasnya.

Pilihan seseorang itu memerlukan perincian yang halus, hikmah, penjelasan yang terang dan meyakinkan dan tidak terburu-buru. Dalam medan dakwah masakini, terdapat banyak jemaah-jemaah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan huraian ini juga tidak bertujuan untuk menimbulkan perbezaan dan persengketaan antara jemaah yang sedia ada, tetapi sebaliknya mengharapkan ianya dijadikan sebagai titiktolak bagi sesebuah jemaah tersebut untuk kembali kepada hakikat kesatuan ummah sejagat berdasarkan ciri-ciri haraki Islam yang dihuraikan.

Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam Contoh ialah :

1) Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan memiliki segala ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardhatillah). Jemaah ini jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran, kedudukan atau suka menonjol diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari dorongan-dorongan Jahiliyyah seperti taa'sub kelompok (assabiyah), batas-batas geografi atau kenegaraan (nationalisma), dan seumpamanya.

Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawa jemaah ini kearah kegagalan.

2) Jemaah Islam ini hendaklah menggunakan AlQuran dan Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi mesej dakwahnya.

3) Jemaah itu dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh dan bersepadu yakni untuk menegakkan agama Allah dibumi ini dengan mendirikan Daulah Islamiah Alamiyyah (Negara Islam Sedunia). Manhajnya (methodologi) adalah berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) untuk mencapai tujuan ini, dan juga apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak atau qias). Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam 'perkara-perkara juzuk' dalam Islam seperti ekonomi, politik, ibadah dan sebagainya.

4) Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh (kesyumulan Islam) dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw), dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.

5) Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah) dan tidak tertakluk pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja. (sila rujuk karangan Ustaz Said Hawa, 'Durus Fil Amal AlIslami')

6) Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah), beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira faktor persekitaran (waqi').

Baginda mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan ibadah, mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi.

Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).

7) Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah.

Firman Allah swt, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu" (Surah Hujurat:11-13)

8) Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.

9) Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.

10) Jemaah contoh ini jangan sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama.

Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.

11) Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.

12) Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.

13) Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan

14) Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa, tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikitpun..

15) Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama- sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.

16) Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam, sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.

17) Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah AlHadiid: 28,

"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua (2) bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu".

18) Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan, ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.

19) Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah, ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

20) Jemaah ini sentiasa menketakutan yang dialami. Mereka ini akan terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".

Demikianlah penjelasan yang terperinci mengenai marhalah ini. Apa yang baik itu sesungguhnya bersumberkan dari Allah swt, dan segalakekurangan itu adalah merupakan kelemahan diri saya sendiri.
Baca seterusnya

23 November 2010

Si Pemalas Yang Tidak Sedar Dirinya Malas


Insya Allah, dalam post kali ini, suka untuk saya menulis tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan gerak kerja Islam yang sering dipandang sebelah mata oleh beberapa pihak yang tidak memahami tentang Konsep Syumul dalam Islam.

Kisah

Satu kisah yang diceritakan oleh Dr Yusof al Qaradhawi di dalam bukunya, "Ainal Khalal" - Di manakah kesilapan - :

Satu hari seorang ustaz mengajar seperti biasa di sebuah masjid. Setelah selesai mengajar, seorang daripada hadirin bangun dan berkata "Sudah 30 tahun berlalu, sedangkan kamu masih lagi berkata-kata.. Apa yang kamu buat untuk kemenangan Islam? Ustaz tersebut menjawab : Sudah 30 tahun berlalu, sedangkan kamu hanya mendengar.. Apa yang kamu buat untuk kemenangan Islam?

Kisah di atas adalah salah satu contoh pengajaran bagi kita. Kadangkala kita begitu suka mempertikaikan gerak kerja orang lain, sedangkan kita hanya bergoyang kaki. Sibuk mengatakan itu tak kena, dan ini tak kena, sedangkan apa usaha kita untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut?

Di dalam kisah tersebut juga menerangkan 2 peranan yang perlu dimainkan :

1. Peranan Ulama

2. Peranan Masyarakat

Bahkan semua pihak perlu berperanan dalam mengislah umat. Antara yang lain, pimpinan juga terlibat sama dalam gerak kerja ini. Bukan hanya tahu menunding jari kepada orang lain, tetapi diri sendiri hanya tahu menggoyangkan kaki.

Apabila kita lihat sejarah PMRAM yang sudah berusia 80 tahun, pernahkah kita terfikir bahawa di sana terdapat ribuan manusia yang telah berjuang untuk menegakkan kesatuan Islam ini. Tiba-tiba datang seseorang yang tidak bersama PMRAM mengatakan "PMRAM perlu buat ini.. perlu ubah itu dan bla bla.."

Lalu golongan yang tahu berkata ini balik ke rumahnya, minum susu kemudian tidur. Keesokan harinya, dia merepek perkara yang sama.

Empat Perkara

Empat perkara yang ingin saya tekankan :

1. Memikirkan tentang Islam

Sebagai seorang yang bergelar umat Islam, kita perlulah berfikir untuk Islam. Gunakan beberapa minit untuk berfikir tentang umat manusia, berfikir tentang perancangan dalam membangunkan Islam dan lain-lain. Kita menghadapi masalah apabila umat Islam malas berfikir!

Mereka hanya tahu memikirkan tentang periuk nasi sendiri. Hanya tahu memikirkan kejayaan sendiri.. sambil berkata "tengok.. inilah hasil usaha aku" sedangkan hasil tersebut adalah anugerah Allah.

Lihat kisah ulama mazhab. Mereka memainkan peranan untuk menghidupkan golongan yang mampu berfikir tentang Islam. Mereka sendiri berfikir untuk Islam. Imam Syafie ketika bermalam di Rumah Imam Ahmad, berfikir pelbagai masalah sehinggakan wudhu Isya digunakan untuk subuh keesokannya. Kita bagaimana?

2. Bekerja untuk Islam

Tidak cukup dengan hanya berfikir untuk Islam, perlu juga bekerja untuk Islam. Ramai juga golongan yang hanya tahu berfikir, tetapi malas untuk bekerja. Tetapi lebih teruk sekiranya terdapat golongan yang malas berfikir, dan malas bekerja.

Ingat, ramai orang mampu berfikir, tetapi tidak ramai yang mahu bekerja walaupun dia mampu. Ada juga yang hanya tahu bekerja untuk periuk nasi sendiri.. sambil berkata : Lantaklah apa nak jadi.. asalkan aku bahagia.

Lihat pula sejarah ulama Hadis. Kita hanya tahu mereka ini bersungguh-sungguh dalam mendapatkan hadis. Hakikatnya, apa yang kita nak daripada sejarah kesungguhan mereka ialah "mereka bekerja untuk Islam". Hari ini, kita hanya tahu berkata : Saya nak jadi ulama Hadis.. lalu dia akan menuntut ilmu, tetapi tidak mahu bersama dengan gerakan Islam. Pelik, sedangkan ulama'-ulama hadis tersebut bekerja untuk Islam, bukan untuk periuk nasi mereka.

3. Berkorban untuk Islam

Tidak cukup dengan hanya berfikir dan bekerja untuk Islam.. Tingkatkan lagi dengan "berkorban untuk Islam". Ada juga yang sanggup berfikir dan bekerja untuk Islam, tetapi belum sanggup untuk berkorban.

Lalu golongan ini akan meninggalkan kerja tersebut (tidak istiqamah) apabila diancam atau menerima rintangan dalam gerak kerja tersebut. Lihat kisah Asy Syahid Abdullah Azzam, meninggal dunia dalam dunia jihadnya.

Beliau pernah berkata : "Kita tanpa jihad umpama ikan tanpa air.."

Ikan akan mati tanpa air, dan roh seorang muslim akan hilang sekiranya malas berjihad, tidak mahu berkorban untuk Islam.

4. Ithar untuk Islam

Ithar adalah melebihkan kepentingan orang lain berbanding kepentingan sendiri. Contohnya kita telah meletakkan bahawa masa tidur aku adalah 5 jam. Tetapi disebabkan kewajipan terhadap umat yang begitu besar, maka saya sanggup tidur 3 jam sahaja kerana 2 jam lagi adalah untuk Islam.

Cuba lihat sejarah salafussoleh, mereka bukan hanya tahu berzikir seorang diri, beruzlah, bahkan mereka mengeluarkan harta mereka untuk Islam. Asy Syahid Abdullah Azzam sanggup melepaskan kerja sebagai pensyarah yang bergaji 20 000 sebulan, semata-mata untuk berjihad. Kita bagaimana?

Sudahlah sukar berkorban, apatalah lagi ithar? Sanggupkah kita tak tidur malam untuk memberi ruang kepada orang lain untuk tidur? Ramai yang mampu berkata : Kita kena berkorban.. kita kena itu dan ini.. Kemudian orang yang berkata ini balik rumah, minum susu dan tidur.

Kesimpulan

Perkara yang perlu diingatkan kepada kita termasuk diri ini ialah empat perkara yang disebutkan. Mengabaikan salah satu daripada empat perkara tersebut menampakkan kerompangan dalam perjuangan. Seolah-olah ada yang tak kena sekiranya salah satu daripadanya terabai.

Berfikirlah untuk Islam, bekerjalah untuk Islam, berkorbanlah untuk Islam dan itharlah untuk Islam. Janganlah kita berfikir, bekerja, berkorban dan ithar untuk memecahbelahkan Islam, atau meruntuhkannya.

Tidak perlu berpaling tadah, cukuplah dengan hanya kita malas, sudah menyebabkan kita tergolong dalam golongan yang merosakkan Islam.

Di dalam buku "Ainal Khalal" karangan Dr Yusof al Qaradhawi menukilkan kalam dari Syeikh Jamaluddin al Afghani, beliau berkata :

"Kalaulah jutaan kamu ini adalah lalat yang menghinggapi telinga Inggeris, sudah pasti kamu akan merosakkan telinga-telinga mereka!"

Cukup dengan kita ini hanya kumpulan lalat yang bersatu, kita boleh menghalau penjajah dari negara kita. Lihatlah bagaimana Raja Namrud yang mati dengan hanya seekor nyamuk. Lihatlah bagaimana tentera bergajah Abrahah yang mati disebabkan serangan burung. Lihatlah bagaimana tentera Yakjuj dan Makjuj akan musnah disebabkan serangan wabak.

Cukup dengan kita memainkan peranan sebagai kumpulan lalat.. Kita hari ini bagaimana? Bilangan kita ramai, tetapi kita tidak bersatu..

1. Fikrah tidak satu.. masing-masing membawa agenda masing-masing sambil berkata : "Lantaklah Islam itu berpecah.. Lantaklah Islam itu tak menang.. asalkan kamu bersama kami.." Bukan kerana Allah.

2. Gerak kerja tidak satu.. Jemaah yang kedua sibuk dengan gerak kerja mereka.. "Lantaklah gerak kerja Islam tak selaras (disebabkan perpecahan).. Asalkan kamu bersama kami.. " Bukan kerana Allah.

Adakah matlamat kita "menyeru kepada kami"? Tidak.. Matlamat kita adalah menyeru kepada Allah. Itulah slogan PMRAM selama ini, "Satu Fikrah Satu Amal".

Baca seterusnya

22 November 2010

Selamatkan Negara Daripada "Pesta Seks"

Sumber : episodeperjuangan.blogspot.com

1. Tidak salah mahu berhibur dan bergembira tetapi mestilah TIDAK keterlaluan dan melampaui batas dalam meruntun hawa nafsu yang sememangnya tidak pernah kunjung puas biar 1001 keseronokan dianjurkan. Sementelah pula majlis hiburan dan keseronokan melampau yang membawa implikasi buruk pada moral , minda , akhlak dan peradaban seperti seks bebas , tarian lucah , pil ectasy , pil kuda dan lain - lain .

2. Biasanya menjelang tahun baru atau lainnya termasuklah meraikan hari - hari perayaan tertentu dalam negara kita, akan ada pelbagai bentuk keraian melampau yang diraikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap moral masyarakat. Apa yang mereka fikir ialah happy dan enjoy sehingga tergamak melanggar batas agama dan norma tatasusila serta adab orang timur .

3. Saya menggesa supaya pihak berwajib mengambil serius perkara ini agar tidak terlepas pandang pelbagai aktiviti mungkar yang boleh merosakkan akhlak dan minda masyarakat lalu meletakkan mereka dan negara tercinta ini di bawah kemukaan Allah swt .

4. Terlebih penting bagi pihak kerajaan sendiri agar mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang cuba merosakkan moral dan nilai diri manusia justeru ia juga sebahagian dari usaha menjaga pembangunan seimbang rakyat dan negara. Negara akan musnah dan binasa jika rakyatnya hanya disogok dengan pembangunan material tanpa pembangunan spiritual atau ruhani mereka .

5. Akhlak dan moral yang rosak inilah akhirnya meningkatkan kadar bencana sosial , jenayah , rasuah , salah laku seks dan 1001 pencemaran moral yang lain . Jangka panjang negara ini akan binasa . Saya mendapat maklumat bagaimana sambutan Krismas kali ini [ 25 Dec 2010 ] juga ada pihak tertentu yang mengaku muslim mahu menganjur parti yang menjerumus ke arah seks bebas di kelab malam tertentu. Aktiviti seperti inilah yang saya maksudkan supaya pihak berwajib tidak berdiam diri atau hanya menunggu laporan kes setelah aktiviti itu selesai dilangsungkan .

[ Maklumat yang saya terima : Seorang perempuan berusia 20 tahun. Melayu dan beragama Islam menganjurkan satu pesta yang diberi nama Christmas Party Foam yang dijadualkan pada 25 Dec ini . Dia juga berkerja sebagai model sambilan. Dia ambil gambar bogel dan paparkan di internet utk cari rezeki. Dia anjurkan event krismas. Jualan tiket sedang berjalan , ada jualan arak. dan tak boleh pakai baju. kena pakai bikini sahaja dan ianya dianjurkan di kelab malam .]

Kini kempen party ini di facebook tidak lagi boleh diakses tetapi belum tentu penganjuran party tersebut dibatalkan. Harap pihak berkuasa memantaunya

6. Cegahlah sebelum parah justeru realitinya saya lihat aktiviti ini ia tidak terhenti setakat bergaul bebas lelaki perempuan dengan mabuk - mabukan atau khayal - khayalan dengan arak , pil kuda , ectasy serta penzinaan atau seks bebas malah ia akan mengheret pelaku yang terjebak dalam kancah nafsu liar ini sehingga mengisytiharkan diri mereka murtad .

7. Selamatkan Negara dari anasir mungkar seperti ini . Generasi muda atau generasi baru hari ini sudah muak dan jelek dengan hiburan yang keterlaluan ini . Apa yang anak muda mahu ialah hiburan yang berinformasi , hiburan yang mendamaikan jiwa , hiburan yang menenangkan perasaan dan hiburan yang tidak mencabar kesucian minda , moral dan akhlak mereka .

8. Pemikiran positif generasi muda baru di zaman ini ialah fokus bagaimana mereka mahu membangunkan negara , memurnikan sosial dan meningkatkan nilai suci pada modal insan atau sumber manusia yang akan menjadi mengisi ruang kemerdekaan negara yang telah dicapai sekian lama .

9. Tentunya generasi muda hari ini tidak mahu mindanya kembali dijajah oleh budaya dan cara hidup penjajah biarpun mereka tidak lagi datang menjajah tanahair sebagaimana episod penjajahan sebelum merdeka . Tiada ertinya merdeka andai minda dan jiwa masih dibawah pengaruh cara dan gaya hidup penjajah . generasi muda pasti menuntut satu nilai dan harga diri yang mulia dan bebas dari pengaruh penjajah .

10. Inilah sinar baru buat negara dan rakyat . Negara dan rakyat yang hebat. Tidak runtuh peribadi dan nilai integriti sebaliknya memiliki kualiti nilai yang tinggi . Disegani dan dihormati dan apa yang paling penting ialah diiredhai Tuhan rabbul izzati .
Baca seterusnya

21 November 2010

Jangan Tipu Sejarah Tarbiah!

Agak pelik apabila sebilangan manusia mengatakan bahawa PMRAM kurang "Tarbiah". Kononnya tarbiah mereka lebih mantop.. Entahlah, apa hujah mereka. Satu perkara yang ingin dikongsi bersama ialah, pentarbiahan terhadap diri manusia terbahagi kepada dua bentuk :

1. Tarbiah Dalaman

Tarbiah dalaman boleh didapati dengan cara berzikir, membaca al Quran, bermunajat, qiamullail dan sebagainya.

2. Tarbiah Luaran

Tarbiah luaran pula boleh didapati dengan cara menjadi AJK Program, menghadiri Muzakarah Berkelompok, bergiat dalam agenda kebangkitan dan gerakan Islam dan sebagainya.

Contoh

1. Contoh yang boleh kita lihat, di dalam Sirah Nabi SAW, Baginda SAW mentarbiah Para Sahabat dengan kedua-dua elemen ini, iaitu dalaman dan luaran. Kita akan lihat para Sahabat RA bersungguh-sungguh dalam berqiamullail, bermunajat kepada Allah, berpuasa dan sebagainya. Ia adalah Tarbiah Dalaman yang diserapkan oleh Baginda SAW kepada Para Sahabat RA.e

Manakala Tarbiah Luaran pula, Nabi SAW mengajar dan mendidik Para Sahabat ke medan Perang, berhijrah, mendirikan Daulah Islamiah, berdakwah dan sebagainya. Maka Tarbiah Luaran juga bukanlah perkara yang diabaikan oleh Baginda SAW.

2. Kemudian, sunnah ini diteladani pula oleh para pewaris Nabi SAW. Kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh Khulafa ar Rasyidin dalam menyebarkan Islam. Mereka bukan hanya mengalirkan air mata kerana Allah di malam hari, tetapi menyibukkan diri mereka di jalan dakwah dalam menyebarkan Islam.

Saidina Abu Bakar memerangi gejala murtad.. Kita? Isu murtad sedang berleluasa, apa usaha kita? Saidina Umar pula hebat dalam penyeragaman sistem pemerintahan.. Kita? Adakah kita sibuk dengan perut sendiri sehinggakan tidak mahu melibatkan diri dengan persatuan?

3. Contoh seterusnya, kita boleh lihat pada Para Imam Mazhab. Mereka bukan sahaja mentarbiah diri mereka secara "dalaman" semata-mata, tetapi mereka juga terlibat dalam perjuangan menegakkan agama Allah. Contohnya Imam Ahmad sanggup diseksa untuk menyelamatkan keagungan al Quran ketika berlakunya "isu penciptaan al Quran".

Ingat, Imam Mazhab bukan hanya mendalami ilmu agama sehingga tidak mempedulikan nasib masyarakat.. Bahkan mereka hidup bermasyarakat. Imam Malik adalah seorang peniaga, dan Imam Syafie pernah menjadi doktor.

4. Contoh yang lain, Omar Mokhtar yang digelar Singa Padang Pasir.. Malamnya diisi dengan Tarbiah Dalaman, di siang harinya pula, beliau mengisi jiwanya dengan Tarbiah Luaran, sehingga mendapat gelaran tersebut.

Sejarah Masyaikh al Azhar pun mencatatkan bahawa al Azhar terlibat secara langsung dalam memerangi penjajahan Perancis satu masa dahulu. Siapakah mereka? Adakah mereka hanya tahu menjaga perut sendiri? Kita pula bagaimana?

5. Contoh yang lain, Imam Hassan al Banna, terlibat dalam ketenteraan, dan beliau juga terkenal dengan kesufian dan gerakan. Said Badiuzzaman an Nursi juga terkenal dengan kesufiannya, tetapi tidak pernah mengabaikan "Tarbiah Luaran"nya sehinggakan beliau dipenjara.

Said Hawwa seorang ulama sufi yang turut memikirkan masalah umat. Beliau bukanlah hanya berzikir seorang diri, bahkan beliau terlibat sepenuh masa dengan Gerakan Islam dalam mengislah umat. Banyak lagi tokoh untuk diketengahkan di sini.

Kesimpulan

Apabila kita membaca sejarah, kita akan dapati bahawa para pejuang Agama Allah bukanlah mereka yang hanya tahu mengisi jiwa mereka dengan "Tarbiah Dalaman" sahaja, bahkan mereka juga kerap mengisi jiwa mereka dengan "Tarbiah Luaran".

Jangan jadi seseorang yang hanya tahu menjaga periuk nasi sendiri.. tetapi tidak memikirkan masalah umat. Janganlah jadi seorang yang berilmu, tetapi bisu. Jangan juga menjadi seorang yang berilmu, tetapi ego dengan ilmunya.

Satu kalam pernah berbunyi : "Sesiapa yang tidak membaca sejarah, dia tidak akan dapat mencipta sejarah!"

"Jangan tipu sejarah tarbiah". Kalam ini adalah nasihat kepada mereka yang cuba pesongkan sejarah dengan mengatakan bahawa Para Ulama kita adalah orang yang menekankan ilmu semata-mata.. tidak terlibat dengan gerakan dan lain-lain. Ada juga yang mengatakan bahawa para ulama sufi kita hanya tahu beruzlah dan bersendiri tanpa menghiraukan masalah umat.

"Jangan tipu sejarah tarbiah"! Syeikh Ibrahim as Samalluti adalah salah seorang Tok Guru kepada Syeikh Idris al Marbawi dan Syeikh Soleh Ja'fari.. beliau pernah berkata : "Wali Allah itu bukanlah mereka yang berada di gua, gunung atau hutan berseorang diri.. tetapi wali Allah itu adalah mereka yang berada di tengah-tengah kala jengking tetapi kala jengking tersebut tidak dapat menyengatnya!"
Baca seterusnya

20 November 2010

Fahami Erti Tafaqquh Yang Sebenar - Timb. Presiden


KAHERAH, 19 Nov - Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Zuhaili Saiman di dalam khutbahnya pada Hari Raya Eidil Adha mengajak kembali seluruh mahasiswa/wi Islam memahami secara betul akan kehendak tafaqquh yang digarapkan oleh Islam.

Hal ini berikutan masih lagi wujud segelintir pihak yang menyalah erti akan kehendak sebenar tafaqquh itu sendiri sehingga mendatangkan beberapa masalah.

Dalam khutbah beliau itu, beliau turut membidas kenyataan segelintir pihak yang hanya 'mewajibkan' pendidikan kuliah dan kitab turath semata-mata tanpa melibatkan diri dengan kerja-kerja Islam melalui medium persatuan yang sedia ada iaitu PMRAM.

"Mesti ingat bahawa konsep tafaqquh menekankan 2 eleman yang saling melengkapi iaitu memahami hukum di dalam Islam dan melaksanakan tuntutan dan hak sebagaimana yang diseru oleh Islam. Ramai yang tahu hukum itu dan hukum ini, tetapi tidak ramai yang bangkit melaksanakan tuntutan dan hak di dalam Islam," jelas beliau.

"Sebab itu kita lihat integriti mahasiswa Islam kini tercalar ekoran tidak memahami konsep tafaqquh yang sebenar. Mereka tahu mempertahankan hak dan maruah itu wajib, namun tidak bertindak," tambah beliau lagi.

Beliau turut mengingatkan semua bahawa di dalam Islam itu sendiri terdapat Maqasid Syariah yang menekankan konsep hak dan maruah yang dituntut untuk dipertahankan, iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Disebabkan hilang penguasaan dan keberanian di dalam diri mahasiswa Islam, integriti semakin hilang. Justeru, menjadi satu tanggungjawab bersama dalam memastikan maruah yang kian tercalar itu dipulihkan kembali.

Di akhir khutbahnya, beliau menyeru semua hadirin agar memastikan sama-sama berperanan dalam memastikan pembawakan PMRAM dari konteks kebajikan, pendidikan dan agenda Islam amnya berjaya dilaksanakan bermula dari akar umbi sehingga ke peringkat atasan.
Baca seterusnya

19 November 2010

Khutbah Raya : Pengorbanan Mengajar Erti Taat Setia Dan Akidah Yang Mantap


PMRAM.org

KAHERAH, 19 Nov - Khutbah raya yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Zuhaili Saiman pada 16 November yang lalu menekankan beberapa aspek penting dan intipati dalam pengorbanan yang telah ditonjolkan oleh Nabi Ibrahim AS. Beliau menegaskan dalam khutbahnya bahawa intipati yang utama dalam pengorbanan adalah nilai taat setia yang tidak berbelah bahagi lagi.

Hal ini dapat dilihat terhadap Nabi Ibrahim AS sebaik sahaja menerima perintah daripada Allah SWT. Nabi Ibrahim AS tidak pernah merungut atau meminta agar suruhan tersebut diberikan pilihan yang lain walaupun perintah yang diberikan adalah sangat berat jika dinilai. Bahkan perintah yang diberikan bukan hanya sekali sewaktu bermimpi menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS, namun sejak Nabi Ismail AS masih kecil, Allah SWT telah pun memerintahkan Nabi Ibrahim AS agar meletakkan Nabi Ismail AS beserta isteri baginda, Siti Hajar ke Mekkah, yang mana pada waktu itu tidak ada seorang manusia pun yang hidup di sana, hanya tanah yang kering kontang sahaja.

Namun atas taat setia kepada perintah Allah, semua perintah yang diturunkan dijalankan dengan sebaiknya. Ini adalah contoh yang terbaik menjadi panduan kepada umat Islam pada hari ini. Nilai taat setia adalah eleman utama dalam menjalankan sesebuah perintah walaupun ia sangat berat.

"Nilai taat setia inilah yang menjadi pemangkin keberjayaan bagi satu-satunya perintah yang dikeluarkan. Tanpa nilai taat dan setia mana mungkin perintah itu mampu dilaksanakan dengan baik bagi menghasilkan sesebuah pengorbanan," tegas Saudara Zuhaili Saiman di dalam khutbahnya.

Selain itu, di dalam khutbah yang kedua, beliau lebih menekankan aspek tauhid yang mantap ekoran pengajaran yang terdapat di dalam sirah Nabi Muhammad SAW berkenaan Haji Akbar yang dilaksanakan oleh baginda SAW pada tahun 9 Hijrah. Aspek akidah adalah asas bagi seseorang menlaksanakan sesebuah pengorbanan yang suci tanpa disebabkan unsur-unsur luar yang lain.

Sehubungan itu beliau merakamkan kembali apa yang telah disebut oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi mengenai dengan asas akidah bagi umat Islam. Dr Yusuf Al-Qardhawi menegaskan bahawa punca utama kemurtadan dan masalah umat Islam adalah akidah yang rapuh dan goyang.

"Ramai umat Islam yang solat, zakat dan haji, namun dalam masa yang sama mereka mencuri, melakukan maksiat dan memakan harta secara batil. Hal ini demikian mereka hanya menyembah Allah, akan tetapi mereka tidak nampak bahawa Allah merupakan pemutus hukuman dan sistem kehiudpan. Disebabkan itu, mereka berani melakukan maksiat kerana tidak takut akan hukuman daripada Allah," jelas Saudara Zuhaili Saiman dengan tegas.

"Mengapa mereka yang diugut zakat, dihalau daripada tempat kediaman takut untuk memperjuangkan perkara yang hak?Adakah mereka tidak menganggap Allah sebagai tempat berlindung?Adakah mereka meminta rezeki kepada manusia?," tambah beliau yang mempersoalkan integriti mahasiswa Islam sekarang.

Dan di akhir khutbah beliau menyeru dan mengajak semua muslimin dan muslimat agar memutik kembali nilai taat setia dalam melaksanakan sebuah perintah bagi mmperkasakan gerak kerja untuk Islam. Beliau juga mengingatkan kepada semua agar mempertahankan integriti sebagai mahasiswa Islam, jangan mudah dicabuli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Baca seterusnya

18 November 2010

Khutbah Raya PMRAM Dihadiri 1300 Orang


KAHERAH, 16 Nov - PMRAM pada hari ini menganjurkan solat sunat Hari Raya Aidil Adha di Masjid Musa An-Nusair, Hayyu Sabiek.

Solat hari raya itu dihadiri oleh segenap ahli-ahli PMRAM yang berada di Kaherah dan juga Muhafazah. Kehadiran yang mencecah hampir 1300 orang memenuhi Masjid Musa An-Nusair seawal jam 7 pagi itu terdiri daripada mahasiswa Pengajian Islam dan Perubatan.

Khutbah Aidil Adha pada tahun ini disampaikan oleh Timbalan Presiden PMRAM, saudara Muhammad Zuhaili bin Saiman dan imam solat sunat hari Raya Aidil Adha, saudara Ahmad Huzaifah Fauzi. Khutbah kali ini menyentuh kisah pengorbanan Nabi Ibrahm dan Nabi Ismail, isu-isu semasa ummat Islam dan juga sejagat.

Di peringkat PMRAM pada tahun ini juga menyediakan bekalan sarapan untuk dibawa pulang.

Pada malam sebelum hari raya, seluruh kepimpinan PMRAM Pusat telah turun ke Badan-Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) bersama memeriahkan malam takbir raya dan Perutusan Aidil Adha Presiden PMRAM 2010.

Kemeriahan Aidil Adha di perantauan pada tahun ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan mereka kepada keluarga dan sanak saudara di Malaysia

PMRAM.org
Baca seterusnya

Tadhiyah (Pengorbanan) Akan Lahir Daripada Agenda Tarbiah


KAHERAH 17 November - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa sifat 'tadhiyah' (pengorbanan) akan lahir daripada agenda tarbiyah (pendidikan).

Katanya, sifat 'tadhiyah' tidak akan wujud dalam jiwa mahasiswa-mahasiswi khususnya dan jiwa umat Islam umumnya sekiranya kita culas dalam melaksanakan agenda tarbiyah.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa tunjang utama agenda tarbiyah adalah muzakarah berkelompok. Maka demi mencapai matlamat sifat berkorban yang hidup dalam jiwa mahasiswa-mahasiswi Islam, muzakarah berkelompok wajib dilaksanakan.

"Kita wajib melazimi muzakarah berkelompok kerana ia adalah agenda tarbiyah yang dilaksanakan di peringkat PMRAM Pusat mahupun Cawangan. Mereka yang culas pasti akan terkeluar daripada senarai umt terbaik pilihan Allah SWT". ujar beliau ketika ditemui selepas merasmikan Adha '10 di Rubah Kelantan baru.

Manurutnya, tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Perayaan Awal Muharram bagi memperingati penghijrahan nabi dan para sahabat baginda.

Beliau menjelaskan, intipati kepada sambutan awal Muharram adalah kesatuan umat Islam. Dan kesatuan ini tidak akan wujud selagimana sifat berkorban tidak wujud dalam jiwa mahasiswa-mahasiswi Islam.

Menurutnya, antara bukti permulaan kebangkitan Islam di zaman Rasulullah SAW ialah sifat berkorban yang nabi terapkan pada jiwa kaum Ansar. Manakan tidak, kaum Ansar sanggup harta kekayaan dan anak bini demi menolong kaum Muhajirin yang hadir daripada kota Mekah.

Maka sebelum menyambut perayaan awal Muharram, sifat berkorban perlu dihayati oleh seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam.

Justeru katanya, setiap peringkat perlu memainkan peranan masing-masing demi menjayakan muzakarah berkelompok.

PMRAM.org

Dipetik dari : shahrizanhazime.blogspot.com
Baca seterusnya

Pengorbanan Dalam Meneruskan Kesinambungan PMRAM

PMRAM.org

Sejarah sama sekali tidak akan luput dan pudar ditelan zaman,meskipun dunia semakin hari terus meniti arus kemodenan dengan melalui perubahan. Kerana itulah sejarah dapat meneladani generasi hari ini dalam memacu pembangunan dalam membentuk sebuah tamadun yang lebih cemerlang.

Oleh kerana hal sedemikian, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir juga akan terpahat sejarahnya tersendiri.Tiada siapa menyangka pengorbanan mereka terdahulu bisa membuka paradigma generasi mahasiswa kini untuk memikirkan akan nilai sebuah pengorbanan dalam mempertahankan kesatuan.

Pada bulan Oktober 1956 adalah saat yang begitu kritikal bagi kawasan Timur Tengah terutamanya Mesir apabila mendapat ancaman daripada musuh tiga serangkai iaitu Inggeris,Perancis dan Israel. Keadaan tersebut menyebabkan rakyat Mesir sendiri bangkit untuk mempertahankan bumi mereka daripada terus diceroboh.

PMRAM pada ketika itu yang dikenali dengan PMM juga tidak ketinggalan menzahirkan simpati diatas apa yang telah melanda Mesir. Sebagai bukti keprihatinan PMM ,seramai 65 mahasiswa Melayu telah mendaftarkan diri secara sukarela untuk bersama-sama tentera Mesir menentang pencerobohan yang berlaku.

Bukan itu sahaja,mereka yang tidak berkesempatan untuk memasuki tentera pula telah mendermakan darah begitu juga mahasiswi berperanan dengan kerjasama Kementerian Kebajikan Masyarakat memberikan sumbangan tenaga dalam membantu menjahit pakaian untuk mangsa-mangsa perang.

Ini telah membuktikan bahawa kredibiliti mahasiswa bukan satu perkara yang baru bahkan ianya telah dimulakan semenjak dahulu lagi. Keprihatinan PMRAM dalam memahami ahlinya agar tidak lokek memberi sudah menjadi prinsip pegangan sekian lama. Tidak hairanlah sehingga kini PMRAM terus bertahan dan utuh dimata mahasiswa kerana pengorbanan mereka terdahulu terus diteladani hingga generasi kini.

Setelah berakhir peperangan tersebut ,pihak PMM telah menerima dua telegram khas dari Jamal Abdul Nasser mengucapkan terima kasih atas penglibatan mahasiswa Melayu untuk mempertahankan Mesir ketika dilanda saat yang begitu menggetirkan. Ketika Jamal Abdul Nasser menjadi Presiden Mesir, PMM telah menghantar dua wakilnya untuk mengucapkan tahniah dan menghadiahkan sebuah persalinan pakaian kebangsaan dan sebilah keris sebagai simbolik perjuangan bangsa Melayu.

Sejarah ini akan terus diabadikan oleh setiap ahli PMRAM kerana tanpa pengorbanan orang terdahulu daripada kita tidak mungkin hari ini kita dapat mengenali PMRAM. Umur PMRAM yang kini menjangkau 80 tahun adalah bukti kematangan dan kewajaran penubuhannya bukanlah satu perkara khayalan dan hanya omongan kosong yang meniti dibibir namun sebaliknya terus teguh berdiri dan sentiasa meneruskan langkah bagi merealisasikan perjuangan generasi terdahulu.

Pada tanggal 5 Disember 1956 undang-undang tubuh PMM yang terus dipakai hingga sekarang telah digubal dan disahkan.Di antara matlamat yang termaktub dalam undang-undang tersebut selain menumpukan perhatian skop perkhidmatan masysrakat dan pengetahuan adalah bertujuan :

1. Menyatukan suara anak-anak Melayu yang tinggal di Republik Arab Mesir.

2. Memantau dan menguruskan urusan anak-anak Melayu di Republik Arab Mesir khususnya yang berkaitan dengan pelajaran.

3. Mempertingkatkan peratus pembelajaran ,sukan dan sosial dengan mengadakan kerjasama dua hala dengan mana-mana pertubuhan yang berdaftar dibawah Kerajaan Mesir bagi dalam merealisasikan sasaran matlamat yang ingin dicapai dalam tiga bidang tersebut.

4. Menguruskan bantuan bagi anak-anak Melayu bagi yang layak untuk menerima bantuan dikalangan ahli persekutuan.

Kebajikan yang manjadi agenda terpenting dalam perjalanan PMRAM bukanlah satu perkara yang hanya dimomokkan dengan omongan kosong tetapi ianya merupakan satu matlamat utama PMRAM dalam menjaga kebajikan ahlinya tanpa mengira latar belakang dan sokongannya terhadap PMRAM.

Namun begitu, sehingga hari ini PMRAM terus dikecam dan ditohmah dengan pelbagai andaian dalam versi yang berlainan. Siapakah yang mampu bangkit untuk mempertahankan PMRAM? Jika generasi terdahulu sanggup berkongsi susah dan senang dalam memastikan kelangsungan survival PMRAM tidak terhenti bahkan diwarisi oleh generasi ke generasi.

Apakah hari ini kita hanya mampu untuk berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati setia tanpa bertindak apa-apa. Fikirkanlah untuk apa PMRAM lakukan segalanya sedangkan tiada balasan apa-apa yang diharapkan.

Urusetia Penerangan Umum (UPU)
Badan Penerangan & Penerbitan dan
Unit Penerangan & Penerbitan HEWI
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

Dipetik dari : fuaizgeneration.blogspot.com
Baca seterusnya

16 November 2010

Perutusan Hari Raya Aidil Adha Presiden PMRAM 2010

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين وعلى آله و صحبه أجمعين .

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah SWT dengan anugerah serta nikmat iman dan Islam yang diberikan, kita mampu mengharungi fasa-fasa kehidupan mengikut garis panduan syarak. Sehinggalah pada malam ini, kita mengecapi anugerah perayaan yang terbesar dalam kehidupan seorang muslim.

Bersyukur tidak terhingga juga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah terdahulu. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia agar mereka menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

Jika kita sorot kembali sejarah perjuangan Nabi Allah Ibrahim AS, maka kita akan menyaksikan bahawa naluri seorang ayah yang sanggup mengorbankan anak yang tercinta demi semata-mata melaksanakan perintah daripada Sang Pencipta. Ujian seberat itu pasti tidak akan mampu dilaksanakan melainkan dengan ketaatan yang sempurna sehingga mampu mengenepikan perasaan diri dan tuntutan peribadi.

Allah SWT sengaja menjadikan sejarah ini berlaku untuk dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Sebab itulah Islam mengajar umatnya untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan kalimah Allah SWT serta melaksanakan kerja-kerja Islam.

Justeru, intipati daripada Sambutan Hari Raya Eidil Adha, adalah sifat pengorbanan yang perlu wujud dalam jiwa umat Islam demi mengembalikan jati diri dan integriti melawan musuh-musuh Allah SWT. Sesungguhnya sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan pemerintahan Islam suatu ketika dahulu berpunca daripada lenyapnya sifat pengorbanan dan jati diri umat Islam.

Memahami sejarah jatuh bangun Islam, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk menjadikan intipati sambutan hari raya pada kali ini sebagai pemangkin untuk melaksanakan kerja-kerja Islam. Percayalah bahawa kerja-kerja Islam tidak akan terlaksana dengan sempurna apabila sifat berkorban hilang dari jiwa aktivis Islam.

Sahabat-sahabat seakidahku sekalian.

Apabila berbicara tentang pengorbanan, maka topik ini memerlukan perhatian yang serius daripada seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam. Sifat berkorban yang dimaksudkan oleh Islam ialah mengorbankan jiwa dan harta bahkan mengorbankan agenda peribadi demi menjayakan agenda ummah.

Terkadang istilah ‘berkorban’ disalahertikan sehingga menyebabkan umat Islam tidak memahami kehendak sebenar Islam. Sebab itulah terdapat segelintir golongan yang tidak sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan agenda ummah. Virus inilah yang perlu dibuang dan diperangi agar ia tidak menular ke seluruh jiwa umat Islam.

Justeru, PMRAM melaksanakan muzakarah berkelompok bagi membentuk pemikiran mahasiswa yang dikehendaki oleh Islam. PMRAM begitu yakin bahawa sifat ‘tadhiyah’ (pengorbanan) akan lahir dari agenda tarbiyah (pendidikan). Muzakarah berkelompok yang berkesan mampu melahirkan jiwa umat Islam yang sanggup berkorban demi melaksanakan kerja-kerja Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT sekalian.

Melihat kepada suasana mahasiswa Islam kini, PMRAM begitu bimbang dengan halatuju pembawakan negara Malaysia pada masa hadapan. Manakan tidak, mahasiswa yang hidup pada hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Golongan tua pasti akan mewariskan tampuk pemerintahan kepada golongan muda.

Masalah sosial dan kerosakan akhlak semakin membarah sejak kebelakangan ini. Statistik yang dilaksanakan oleh Unit Hisbah PMRAM menunjukkan, kadar peningkatan yang begitu ketara. Kemelaratan yang tidak dibendung bersama, melayakkan kita untuk terkeluar dari senarai umat yang terbaik pilihan Allah SWT. Syarat umat yang terbaik ialah menjalankan tanggungjawab menyeru kepada ma’ruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan penuh keyakinan.

Islam tidak akan tertegak hanya dengan kata-kata. Oleh itu, setiap peringkat perlu memainkan peranan di posisi masing-masing demi membasmi keruntuhan akhlak yang berlaku. Lihatlah bagaimana fahaman sesat dan gejala sosial yang berlaku di Malaysia. Perkara tersebut bertambah buruk dengan sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

Di samping itu, panggung-panggung di Malaysia bakal menayangkan sebuah filem yang bertemakan hubungan sejenis. Filem yang bakal ditayangkan tersebut seolah-olah ingin menonjolkan dan menerapkan budaya songsang dalam masyarakat. Padahal budaya tersebut merupakan cara hidup yang dilarang dan dikeji oleh syarak. Oleh itu, PMRAM mengajak seluruh mahasiswa Islam mengecam tindakan penayangan filem yang bakal merosakkan identiti umat Islam.

Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah SWT.

PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang meletakkan antara matlamat utama pembawakan adalah agenda pendidikan. PMRAM begitu memahami bahawa golongan yang berilmu pasti mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

Justeru, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk menjadikan intipati Hari Raya Eidil Adha sebagai batu loncatan untuk terus maju, dengan menjadikan kecemerlangan akademik sebagai hadiah buat ummah. Kegagalan yang menimpa sebahagian mahasiswa-mahasiswi baru pada imtihan qabul baru-baru ini, bukanlah bermakna kita menyerah kalah. Tetapi jadikanlah kegagalan tersebut sebagai peluang untuk memahami kelemahan diri yang perlu diperbaiki.

Akhirnya, jadikanlah anugerah Allah SWT pada kali ini sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Pastikan sifat berkorban yang dikehendaki oleh Allah SWT mengalir dalam jiwa umat Islam. MURNIKAN PENGORBANAN MAKNAKAN PERAYAAN. Selamat Hari Raya Eidil Adha 1431 H. Maaf zahir dan batin.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.
Baca seterusnya

15 November 2010

Usrah : Agenda PMRAM Dalam Pembinaan Tarbiah


Sumber : PMRAM.org

KAHERAH, 12 Nov – Himpunan Fasilitator PMRAM yang diadakan semalam merupakan salah satu agenda dan perancangan di peringkat Jabatan Fasilitator PMRAM dalam memperkasakan Jentera Fasilitator dan Muzakarah Berkelompok, kata Saudara Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, Pengerusi Jabatan Fasilitator PMRAM.

Beliau ditemui sejurus selesai Himpunan Fasilitator yang diadakan selama satu hari satu malam, yang diadakan di Rumah Pahang.

Beliau memberitahu bahawa perjumpaan bersama Ketua Fasilitator Cawangan sedang dipertingkatkan, dan perjumpaan Fasilitator di setiap peringkat dalam proses pemerkasaan. Antara strategi dalam pemerkasaan tersebut ialah penyediaan manhaj khusus sebulan hingga dua bulan sekali bagi pengisian setiap Fasi di semua peringkat.

Beliau menambah lagi, siri-siri perjumpaan Fasilitator PMRAM akan dipergiatkan dari semasa ke semasa, samada di peringkat PMRAM dan Cawangan.

“Setiap Fasilitator akan dibekalkan manhaj yang tersusun dan didedahkan matlamat yang jelas dalam pembawaan mereka, dalam usaha meningkatkan salah satu daripada Sunnah Nabi SAW yang terpenting itu, iaitu Muzakarah Berkelompok” Katanya lagi.

“Kita lihat sejarah perkembangan umat Islam bermula dari Zaman Nabi SAW, Zaman Khulafa’ sehinggalah sekarang, sangat berkait rapat dengan Sistem Muzakarah Berkelompok. Apatah lagi setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada 1924, Muzakarah Berkelompok, perlu lebih keutamaan dalam pembentukan fikrah, ibadah, ilmiah dan syakhsiah seorang manusia” Katanya lagi.

Beliau berkata lagi bahawa gopoh dalam dakwah dan tarbiah hanya mengundang kepayahan. Ia tidak boleh dilakukan dalam keadaan gopoh dan tergesa-gesa. Sebaliknya, ia perlulah kepada manhaj yang tersusun dan pendedahan matlamat yang jelas.

“Tidak mungkin seseorang itu mampu memetik hasil pada hari ini sedangkan pokoknya baru ditanam semalam” Katanya lagi.
Baca seterusnya

Himpunan Fasilitator Himpunkan Kekuatan PMRAM



Sumber : PMRAM.org

KAHERAH, 11 Nov – Perancangan dalam memperkasakan jentera fasilitator PMRAM berjalan lancar. Antara perancangan yang telah diatur di peringkat Jabatan Fasilitator PMRAM ialah Himpunan Fasilitator PMRAM yang diadakan pada hari ini.

Program bermula dengan Himpunan Fasilitator Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) yang diadakan pada sesi siang, dan Himpunan Fasilitator PMRAM diadakan pada sesi malam.

Pada sesi siang, program bermula pada jam 1 petang, yang diadakan di Rumah Pahang. Himpunan Fasilitator USMB tersebut telah menghimpunkan sebanyak 44 orang lelaki dan 47 orang perempuan, dan kesemua mereka adalah fasilitator yang mengendalikan Muzakarah Berkelompok di peringkat USMB.

Program dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Pengerusi Jabatan Fasilitator PMRAM, Saudara Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, dan disusuli dengan Tazkirah Pejuang yang disampaikan oleh Saudara Nuruddin Zanki bin Hamzah, Penasihat PMRAM Cawangan Johor.

Pada jam 2 petang, program diteruskan dengan Diskusi Kitab Dakwah Fardiah yang dibentangkan oleh Saudara Mohd Mokhri bin Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Jabatan Fasilitator PMRAM.

Slot diteruskan lagi dengan Slot Muhasabah bersama Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime yang dikendalikan oleh Saudara Amri dan Saudari Izzati Farhana. Himpunan Fasilitator USMB berakhir pada jam 4.30 petang dan disambung pula dengan Himpunan Fasilitator PMRAM pada sesi malam.

Slot Himpunan Fasilitator PMRAM bermula pada jam 6 petang dengan Tazkirah Pejuang yang disampaikan oleh Saudara Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, sebagai Pengerusi Jabatan Fasilitator PMRAM dengan disertai seramai 90 peserta lelaki dan 110 peserta perempuan.

Setelah selesai isya berjemaah, slot diteruskan dengan Slot Khas Bermanhaj yang dibentangkan oleh Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime. Slot khas ini adalah salah satu siri daripada siri-siri manhaj bagi Fasilitator PMRAM.

Slot seterusnya ialah Diskusi Kitab al Muntalaq yang telah dibentangkan oleh Saudara Fairuz bin Syuaib, mahasiswa tahun 4, Kuliah Syariah, Tanta yang bermula pada jam 9 malam.

Seterusnya slot diteruskan lagi dengan Soft Skill yang dikendalikan oleh Saudara Amri dan Saudari Huzaifa binti Hassan. Sesi malam berakhir pada jam 11.30 malam.

Program diteruskan lagi pada keesokan harinya, 12 November dengan slot qiamullail. Para peserta mula bangun pada jam 3 pagi dengan amalan-amalan secara peribadi dan qiamullail berjemaah pula bermula pada jam 4.15 pagi, dengan diimamkan oleh Saudara Jamal Najmuddin Sulaiman.

Setelah selesai Solat Subuh berjemaah, para Fasilitator dihidangkan dengan santapan rohani yang bertajuk “Kuliah Gerakan” yang disampaikan oleh Saudara Zahari bin Mohd Ali, Penasihat PMRAM Cawangan Terengganu. Slot terakhir ini berakhir pada jam 6.25 pagi.
Baca seterusnya

14 November 2010

Ulasan MANHAL Tentang Filem Anu Dalam Botol



Terbaru, sungguh memalukan filem yang bertemakan kehidupan seorang “GAY” bakal ditayangkan di pawagam tanah air kita tidak lama lagi, sudahlah filem “COMOLOT” pada tahun 2008 telah menimbulkan pelbagai kontroversi dikalangan masyarakat kita di Malaysia, namum susulan daripada filem tersebut, timbul lagi filem yang berunsurkan seorang “GAY” yang berjudul “ANU DALAM BOTOL”. Melihat kepada tajuk filem ini, sudah menimbulkan 1001 persoalan kepada kita, apakah sebenarnya motif utama pembikinan dan penyiaran filem berkenaan? Timbul persoalan disini, adakah masyarakat kita sekarang sudah tidak merasa jijik lagi dengan perbuatan yang kotor ini? sudah banyak budaya liar ini telah menular dalam Negara kita. Disamping itu juga, tindakan kerajaan yang membenarkan artis luar yang membawa imej “GAY” seperti Adam Lambert seolah-olah tidak ada pengawasan yang ketat lagi dari pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan keadaan akhlak dan moral anak-anak muda terjaga dengan nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri.

Berkenaan pembikinan filem ini merupakan salah satu wasilah untuk mempengaruhi anak-anak muda kita dengan budaya yang tidak sihat dan bercanggah dengan fitrah manusia. Menurut sumber yang dipercayai, filem ini dibintangi oleh Arja Lee, Daina Danielle,Wan Raja, Norma Damanhuri, Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid, Rosnah Rahman dan Pekin Ibrahim. Manakala penerbit dan penulis skrip filem ini adalah Raja Azmi Raja Sulaiman yang sebelum ini pernah di labelkan sebagai seorang produser yang menimbulkan pelbagai kontroversi dalam dunia seni di tanah air kita. Walaupun penerbit filem ini bertujuan untuk berkongsi satu cerita yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kepada masyarakat terutama kesan buruk apabila manusia sanggup menukar jantina demi mengejar sebuah cinta yang mustahil, tidak semestinya perlu ditayang dan dilakonkan semula kisah sebenar tersebut sebagai tontonan umum. Banyak lagi wasilah untuk memberi pengajaran kepada masyarakat, bukannya dengan kita mempamerkan semula perbuatan yang terkutuk itu kepada sidang penonton. Sebaliknya mengambil langkah yang lebih berkesan dengan mencegah perkara tersebut melalui tindakan pihak berkuasa bagi menghalang perbuatan yang tidak syari'e ini. Kes ini juga perlu dikategorikan sebagai jenayah dan memerlukan kepada tindakan yang sewajarnya untuk membendong budaya homoseksual ini dari terus menular dalam masyarakat kita. Jika kita melihat pembikinan filem ini seolah-olah meperkenalkan dan menghangatkan lagi budaya tersebut dalam masyarakat kita.

Menurut pandangan dari segi hukum pula, jelas kepada kita bahawa perbuatan hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki ( liwat ) adalah perbuatan yang terkutuk dan diharamkan sekeras-kerasnya oleh agama kita. Pengharaman ini jelas bedasarkan dalil Al-Quran dan Hadis seperti berikut :

Dalil Al-Quran



Maksudnya : “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?, Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".

Dalil Hadis

i) Hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-`Asyaari; kata Nabi saw, "Apabila telah mendatangi seorang lelaki meliwat seorang lelaki yang lain dalam keadaan kedua-duanya rela merelakan, maka kedua-dua lelaki itu adalah berzina." ( Syarah al-Muhazzab : 18/263 )

(Ini menunjukkan bahawa kesalahan bagi seseorang yang melakukan liwat dengan orang yang berzina adalah sama hukumnya).

ii) Hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas ra; Nabi saw bersabda, "Sesiapa telah mendapatinya melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (meliwat), maka rejamlah yang di atas dan yang di bawah." (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah )

(Yang dimaksudkan oleh Nabi saw "orang yang diatas"ialah orang yang meliwat. Dan orang yang dibawah" ialah orang yang diliwat).

Daripada dalil ini, jelas kepada kita bahawa pengharaman perbuatan tersebut. Justeru adakah wajar bagi filem yang menayangkan kisah berkisar liwat ini diluluskan oleh kerajaan untuk tayangan umum? Penayangan filem ini juga boleh menyebabkan dikalangan remaja kita akan terpengaruh dengan adegan-adegan ditayangkan dalam filem tersebut. Kita tidak menginginkan budaya ini terus menular dikalangan masyarakat kita sehingga menjadi suatu perkara yang biasa dan tidak ada langsung sensitiviti oleh semua pihak yang bertanggungjawab terhadap isu ini. Ingatlah sidang pembaca sekalian, suatu perkara yang perlu dibimbangi bersama adalah melalui kisah kaum Nabi Luth yang dibinasakan oleh Allah S.W.T dengan tingkah laku yang sama, bala’ yang pernah ditimpakan oleh ummat yang terdahulu tidak mustahil akan berlaku di Negara kita jika tidak ada pihak yang bertanggungjawab untuk membendong budaya ini dari terus berlaku, na’uzubillah min zalik.

Pihak MANHAL PMRAM juga rasa terpanggil untuk menjawab dan mengetengahkan isu ini kepada masyarakat umum, setelah mengetahui dari salah satu sebuah akhbar di Malaysia yang melaporkan bahawa Raja Azmi telah menghantar skrip filem berkenaan kepada pihak berkuasa agama di tanah air selain daripada Lembaga Penapisan Filem untuk mendapatkan nasihat dan kebenaran. Jadi menjadi kewajiban kepada kita seluruh ummat Islam untuk bangkit dan membantah sekeras-kerasnya agar filem ini tidak diberikan kelulusan oleh pihak berkuasa untuk ditayangkan. Bantahan ini patut mendapat sambutan oleh semua pihak, kerana kita yakin bahawa dengan tayangan filem ini boleh membawa unsur-unsur songsang yang mampu mempengaruhi masyarakat umum di Malaysia khususnya kepada golongan remaja kita. Bersama artikel ini kami lampirkan beberapa cadangan kepada pihak Lembaga Penapisan Filem Negara seperti berikut :

1) Memastikan filem-filem yang ditayangkan di Negara kita tidak mempunyai unsur-unsur yang bercanggah dengan hukum hakam Islam.

2) Filem tersebut tidak mempunyai adegan-adegan lucah yang boleh membangkitkan nafsu syahwat.

3) Pihak lembaga Penapisan Filem Negara sendiri perlu mewujudkan khidmat nasihat agama, untuk memastikan segala filem yang ditayangkan mempunyai nilai-nilai agama yang sebenar.

Isu yang berlaku ini perlu diambil tindakan segera . Ini adalah kerana nilai murni akhlak-akhlak remaja kita mesti dipelihara . Semua pihak bertanggungjawab dengan pantas menghentikan segala tindakan untuk merosakkan pemikiran masyarakat kita di Malaysia. Tanpa kawalan segera, keadaan ini mungkin berjaya dimanipulasi oleh beberapa pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk menimbulkan huru-hara dalam negara kita dengan memperkenalkan budaya-budaya barat yang bercanggah dengan kehendak dan nilai-nilai murni yang terdapat dalam agama Islam .

Kerajaan sebagai pihak yang paling bertanggungjawab untuk memelihara dan membentuk nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan kaum, janganlah menganggap remeh tentang apa yang sedang berlaku dalam Negara kita, dan isu ini memerlukan kepada tindakan yang bersifat segera bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah dengan budaya homoseksual yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Disediakan oleh :

Mohamad Hanif B Haron
Pengerusi MANHAL PMRAM
Baca seterusnya

13 November 2010

Video : Promosi Muzakarah Berkelompok PMRAM, Canggih!



Video Promo Muzakarah Berkelompok PMRAM. Nak kenal Muzakarah Berkelompok? Sila saksikan video di atas..
Baca seterusnya

12 November 2010

Jadual Madrasah Imam Syafie


Madrasah Imam Syafie di bawah kelolaan Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM membuat sedikit pindaan pada jadual yang sedia ada.

Pindaan tersebut adalah pertukaran tempat yang melibatkan 3 hari iaitu Ahad, Isnin, dan Selasa dari Rumah Terengganu, Hayyu 'Asyir ke Rumah Penang, Hayyu Sabie'.

Manakala masa dan pengajian tidak berubah serta berjalan seperti biasa mengikut jadual yang telah diedarkan.

Jadual terkini Madrasah Imam Syafie :

1. Rumah Terengganu, Hayyu 'Asyir 6.00 pagi

- Sabtu : Fathul Qarib (Ustaz Shahrizan Mohd Hazime)
- Rabu : Nur Az-Zholam, Nur Al-Uyun (Ustaz Mohd Mujahid Mohd Fadzil)
- Khamis : Fiqh As-Sirah (Ustaz Abdul Aziz Ali)

2. Rumah Penang, Hayyu Sabie' 6.00 pagi

- Ahad : Syarhu Waraqat (Ustaz Mohd Nazirul Mohd Sabri)
- Isnin : Pengajian khusus akhawat (iklan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa)
- Selasa : Al-Manzhumah Al-Baiquniyah (Ustaz Mohd Hanif Haron)
Baca seterusnya

11 November 2010

Satu Dalam Seribu : PMRAM Dan Tribulasi


Dunia berorganisasi pada hari ini sentiasa wujud dan berada dimana-mana. Adalah menjadi keperluan bagi mahasiswa dalam berorganisasi apabila di sesuatu tempat itu terdapat perkumpulan manusia yang memerlukan satu pengurusan stategik bagi membantu perjalanan hidup mereka terurus dan tersusun.

Penubuhan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai persatuan mahasiswa di Ardul Kinanah ini boleh dijadikan satu contoh organisasi yang terbaik.

Misi dan visi PMRAM tidak lain tidak bukan terutamanya adalah untuk meyatukan suara anak-anak Melayu yang tinggal di Republik Arab Mesir. PMRAM bukanlah satu organisasi yang bersikap memilih tetapi menerima siapa sahaja yang ingin berada dibawah naungannya.

PMRAM adalah persatuan induk yang cukup terkenal sama ada di Mesir ataupun di Malaysia amnya. Hak keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Mesir ke atas PMRAM tidak boleh disangkal dan dinafikan.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Menjadi asam garam dalam perjuangan PMRAM dengan mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran. Di sepanjang kehidupan PMRAM telah menjadi kelaziman menghadapi segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan. Beberapa isu yang berlaku baru-baru ini dan tahun lepas masih lagi terasa bahang kepanasannya dan berlegar-legar di kotak pemikiran ahli - ahli PMRAM. Antaranya :

1) Isu Qiraat - berlaku sekitar bulan April tahun ini, berkenaan nama-nama pelajar yang tidak naik menyebabkan ramai tidak dapat menjalani peperiksaan seperti yang dijadualkan.

2) Fitnah Pegawai JPMK terhadap Pengerusi DPMT yang kononnya mendakwa sebagai wakil kedutaan kepada pihak Keselamatan Mesir.

3) Isu Kutub Sittah - menghalang program dengan memfitnah PMRAM sebagai pembangkang

4) Isu pemusatan mahasiswa - tiada pentauzikan pelajar baru ke muhafazah menyebabkan permasalahan sara hidup, penempatan dan sebagainya.

5) Masalah integriti dan salah laku beberapa orang pegawai negeri – ugut zakat dan menghalau dari asrama pelajar.

6) Tindakan Pengarah JPMK yang menandatangai surat sokongan bagi penubuhan 'Academy Center' di Tanta merupakan tindakan yang tidak profesional.

7) Tindakan Pegawai Atase Pendidikan JPMK mengedar borang Kelab UMNO ketika taklimat biasiswa.

8) Isu hak mahasiswa yang dinafikan - penggunaan ARMA dengan keberadaan pelajar menetap di sana.

9) Sikap pegawai JPMK yang tidak profesional lebih-lebih lagi terhadap mahasiswa yang melibatkan diri dengan PMRAM

10) Isu Imtihan Qabul - Bermula tahun 2009 yang menjadi kejutan bagi pelajar STAM dan tahun ini ramai tidak lulus secara mendadak.

11) Isu kebajikan mahasiswa diabaikan oleh beberapa pihak.

Walaubagaimanapun perkara ini tidak sekali-kali melemahkan hati dan meruntuhkan jiwa pendukung-pendukung PMRAM, malah PMRAM terus bangkit kehadapan dan menjadi semakin matang dalam menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku.

Sebagai sebuah gerakan mahasiswa PMRAM telah menyediakan pelbagai agenda untuk ahli - ahlinya iaitu yang berbentuk tarbiah dan dakwah, pengajian dan tafaqquh, program bermasyarakat, rehlah dan ziarah, mengajak ahli mendepani isu semasa dan berkebajikan.

Kebanyakan mahasiswa yang menggabungkan diri dengan PMRAM tidak akan jemu dan menyesal kerana dasar Islam yang dibawakan oleh PMRAM. Bahkan dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah mengukuhkan lagi kepercayaan mereka ini untuk terus bersama PMRAM.

Apatah lagi aktivis-aktivis yang lahir daripada didikan PMRAM telah banyak bergiat dan memberikan sumbangan kepada agama. Mereka ini sepatutnya mesti dicontohi oleh generasi mahasiswa sebagai pelapis yang mana Ulama’ itulah pewaris kepada Nabi-Nabi.

Selagimana Islam yang dijulangkan oleh PMRAM dalam setiap agendanya, selagi itulah Allah akan menjaga dan memelihara PMRAM . Oleh kerana keyakinan pengerak-pengerak PMRAM itulah yang menyebabkan PMRAM sehingga ke hari ini masih bertahan dengan usia yang mencecah 80 tahun.

Berderau hati mereka apabila mendengar laungan ini, “Hidup-hidup..hidup Islam, bangkit-bangkit.. bangkit mahasiswa”, slogan yang dilaungkan oleh ahli PMRAM pada malam penerangan isu-isu semasa baru-baru ini jelas membuktikan kekuatan PMRAM masih kukuh dengan sokongan yang diberikan oleh ahli. Tiada siapa akan menduga ahli - ahli PMRAM sehingga kini masih lagi setia bersama PMRAM, kerana disebabkan kefahaman dan kesedaran mereka akan perjuangan yang dijulangkan oleh PMRAM.

Keberhasilan tema yang digarapkan pada tahun ini “Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah” jelas berjaya disemaikan ke dalam hati ahli - ahli yang menyintai PMRAM. Tema yang diterapkan ini adalah kesinambungan daripada tahun - tahun sebelum ini dan natijahnya terserlah kini. PMRAM satu dalam seribu, tidak terdapat di tempat - tempat yang lain.

PMRAM akan terus bertahan dan mengorak langkah demi mengukuhkan kedudukannya di mata masyarakat rakyat Malaysia di sini. PMRAM diteguh, ISLAM tertegak.

Disediakan Oleh :

Urus Setia Penerangan Umum (UPU),
Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM 2010 dan
Unit Penerangan & Penerbitan HEWI PMRAM 2010
Baca seterusnya

10 November 2010

Video : Tarik Semula Dermasiswa Daripada Ahli PMRAM!



Aku heran melihat video klip ucapan wakil Kelab UMNO UK dan Indonesia dalam Perhimpunan Agung UMNO. Kenapa mahu pinjaman ditarik balik? kenapa dan mengapa PMRAM perlu diharamkan? Seperti orang pondan yang pengecut dan tidak tahu dan mahu bersaing secara sihat. Inilah orang-orang yang kurang cerdik dan kurang ajar walaupun belajar diluar negara.

Sedar atau tidak duit yang pelajar-pelajar ini pinjam bukanlah duit UMNO atau Barisan Nasional. Tetapi duit rakyat, duit kita semua. Mengapa mahu ditarik sesuka hati? Adakah mereka tidak dapat membezakan duit UMNO dan duit rakyat? UMNO dan Barisan Nasional hanyalah diamanahkan oleh rakyat untuk mengurus tadbir dan memberikan kebajikan kepada rakyat. Kalau benar UMNO anak jantan, kononnya pertubuhan yang mementingkan kebajikan rakyat, yang mementingkan pendidikan serta akhlak yang tinggi dikalangan pemuda pemudi, ayuh bangun!! Tunjukkan kesungguhan kalian dalam melaksanakan kerja, jangan hanya tahu bercakap dan menuding jari itu dan ini. Keluarkan duit UMNO sendiri untuk menaja pelajar-pelajar Malaysia menuntut di Universiti Al-Azhar, berikan biasiswa, kemudahan infrastruktur dan lain-lain lagi kalau rasa hebat sangat. Jangan guna duit rakyat tapi kata UMNO yang bagi. Ini tidak betul..

PMRAM yang merupakan satu-satunya pertubuhan kebajikan anak-anak Malaysia di Mesir telah 80 Tahun wujud sebelum kewujudan UMNO lagi. Sehingga ke hari ini, PMRAM tidak pernah dibayar gaji untuk melaksanakan tugas menjaga kebajikan anak-anak Malaysia di Mesir. Dan selama itulah kebajikan anak-anak Malaysia/Melayu terus dibela dan dijaga. Mereka menuduh PMRAM alat politik pembangkan. Mana bukti PMRAM agen pihak pembangkang? Adakah kerana kopiah yang dipakai atau kalimah Islam yang sering disebut-sebut? Adakah kerana mereka mengatakan yang hak dan mencegah yang batil itu dikatakan pembangkang?

Sia-sialah mereka belajar jauh-jauh di Mesir, mengambil jurusan agama tetapi tidak boleh mengatakan yang hak dan menghapuskan yang batil. Tidak boleh berpakaian menurut Islam, tidak boleh berhukum dengan hukum Islam, tidak boleh melaksanakan ''al-amru bil makruf wan nahyu anil mungkar'' semata-mata kerana ianya tidak selari dan selesa didengar oleh kerajaan UMNO dan BN yang memerintah sekarang.

Inilah sebenarnya yang UMNO BN takutkan, kerana mereka tidak mengamalkan Islam secara keseluruhannya. Kalau tidak masakan mereka takut dengan manusia yang digelar mahasiswa/wi Al-Azhar dan khususnya sebuah persatuan pelajar yang digelar Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir? Bermakna selama ini UMNO & BN tidak menjaga kebjikan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Tidak cuba mendekati dan memberi kefahaman Islam kepada anak-anak Malaysia di Mesir. Hairan, kalau Kelab UMNO betul-betul telah melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan pelajar, kenapa takut? Kenapa perlu PMRAM diharamkan?

Saudara sedar atau tidak, PMRAM adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar secara sah sebagai sebuah NGO dibawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir dan bukannya berdaftar di Malaysia. Isu pengharaman dan kuasa terletak dibawah kerajaan Mesir. Satu persoalan yang ingin ditimbulkan, kenapa dan mengapa agaknya Kelab UMNO tidak mendapat tempat di hati pelajar-pelajar Mesir khususnya di rumah-rumah negeri? Tidak munasabah kalau Kelab UMNO sebuah kelab yang pro-aktif menjaga kebajikan dan membantu anak-anak Melayu Malaysia ditolak mentah-mentah oleh mahasiswa/wi ini. Pasti ada yang tidak kena. Cuba fikir balik, renung betul-betul, inikah Kelab yang pelajar-pelajar perlu harapkan kalau isu perebutan kuasa sesama sendiri tak boleh nak selesaikan. Macamana nak jaga kebajikan kami anak-anak Malaysia disini?

Haha.. lawak2.. malaslah nak cakap banyak-banyak. Tak guna, membazir masa je. Ni pun saje-saje mengisi masa lapang.. Kalau tak, malas jugak nak layan isu-isu remeh macam ni. Banyak lagi kerja lain nak buat. Baik tolong PMRAM yang dah tentu dijamin kerjabuat yang mereka laksanakan selama ini serta mendapat kebenaran daripada kerajaan Mesir. Kita sekarang duduk dekat negeri orang bukan negara sendiri. Sedar-sedar la diri tu sikit. Kuasa yang ada bukan hak milik mak bapak korang, tapi amanah je.. Aku bukan anti UMNO tapi memang tak suka pun dengan UMNO sebab dasar UMNO je dah tak berdasarkan ISLAM. Aku anti UMNO je bukan orang ataupun ahli UMNO. Ramai je kawan-kawan orang UMNO. Kita bukan musuh peribadi atau individu tetapi dasar dan prinsip yang dibawa oleh UMNO. Kalau UMNO laksana Islam, dasar dan prinsip Islam. Esok jugak aku daftar jadi ahli UMNO. Takde hal lah.. Siap ajak kawan-kawan dengan ahli keluarga lagi join..

p/s : Hello brader, banyak lagi isu lain yang perlu dibahaskan, isu buang bayi, isu pimpinan, puteri UMNO tak menutup aurat, isu judi, isu kelab malam, isu arak, isu kenaikan harga barang, isu masalah sosial dan keruntuhan akhlak muda mudi Malaysia.

Ni aku petik komen seorang sahabat dekat Facebook lepas share video nih.

Abd Muin Abd Manan : Masa sy baru sampai ke Mesir(lama dah), tak pernah plak PMRAM datang nak tarik2 sy. Waktu itu, program seumpama KEJORA'10 pun saya tak pernah ikut, apatah lagi program DPM masa awal dulu pun sy tak ikut tapi hati sy sendiri yang tergerak be...rsama PMRAM sebab sy tengok PMRAM sebuah kesatuan yang menjunjung Islam. Habis, takkanlah sy nak ikut yang tak bawa Islam? nak buat persatuan sendiri? Sy mengaji pengajian Islam, amat malang dan sia-sia sy mai sini ikut yang sebaliknya. Lagipun Kerajaan Mesir beri keistimewaan kepada pelajar Melayu untuk menjalankan aktiviti persatuan melalui PMRAM, apa yang silap?. Kesian pula, ada suara-suara yang bertempik desak PMRAM diharamkan pastu tuduh sebar ideologi palsu..dahsyat2, lagi sadis mudah-mudah saja minta tarik balik tajaan dan biasiswa pelajar. Letihla pi mengaji di luar tapi cakap macam tu. Alang-alang hadir dalam perhimpunan tu, fikirlah untuk atasi masalah gejala sosial di Malaysia. Sekurang-kurangnya 'kehadiran' ke situ tak merugikan Malaysia.

Fikir2 la sendiri ye..

Sumber : allgreenislamic.blogspot.com
Baca seterusnya
 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal