23 October 2009

Kenyataan Rasmi MANHAL PMRAM: Isu Pemakaian Niqab/Purdah


1. Permasalahan pemakaian niqab/purdah bagi wanita adalah merupakan perselisihan dalam perkara cabang (furu') di dalam perbahasan hukum. Berikut adalah kesimpulan pandangan para fuqaha terhadap masalah pemakaian niqab/purdah:

Mazhab Hanafi : Wajah dan pergelangan tangan bukanlah aurat tetapi diharamkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatnya apabila disertai dengan syahwat.
Mazhab Maliki : Wajib bagi seorang wanita untuk menutup muka dan pergelangan tangan apabila berada bersama lelaki ajnabi
Mazhab Syafi`e : Tidak wajib menutup muka dan pergelangan tangan. Namun pandangan muktamad di sisi Mazhab Syafi`e adalah wajib menutup muka dan pergelangan tangan.
Mazhab Hambali: Wajib menutup muka dan pergelangan tangan.

2. Kenyataan Imam al-Akbar Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi yang telah disiarkan oleh media tempatan dan luar adalah tidak tepat dengan situasi sebenar bahkan telah diputarbelitkan.

3. Majlis Tertinggi al-Azhar al-Syarif yang bersidang pada 8/10/2009 telah membuat beberapa keputusan berkenaan isu pemakaian purdah seperti berikut:

1) Para pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar al-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar al-Syarif

2) Para pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar

3) Para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuatkuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan

4) Para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah di kalangan wanita.

5) Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha Islam.

4. Setelah meneliti dan mengkaji perkara di atas, Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan ( MANHAL ) PMRAM menegaskan beberapa perkara untuk diambil perhatian:

1) Memahami bahawa masalah khilaf tidak sepatutnya menjadi pertikaian dan perselisihan berdasarkan kaedah yang berbunyi:

" لاَ يُنْكَرُ الْمُخْتَلَفُ فِيْهِ ، وَإِنَّمَا يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عَلَيْهِ "

Yang bermaksud:

"Perkara yang berlaku khilaf tidak perlu untuk dipertikaikan sebaliknya perkara yang perlu untuk dipertikaikan adalah apabila perkara tersebut merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama secara Ijmak."

Oleh itu, umat Islam dibolehkan untuk mengambil mana-mana pandangan para fuqaha.

2) Menghormati al-Azhar al-Syarif sebagai satu institusi keilmuan Islam yang diiktiraf sejak dulu hingga sekarang kerana bermanhaj dengan manhaj ilmu yang sederhana (wasatiah)

3) Bersangka baik dengan para ulama sekiranya timbul usaha untuk melaga-lagakan antara mereka dalam sesuatu isu serta merujuk terus kepada sumber yang boleh dipercayai

4) Tidak melupakan isu utama yang disepakati oleh ulama iaitu wajib menutup aurat disebabkan terlalu membesarkan masalah furu'.

5) Semua pihak perlu menghormati ketetapan yang diluluskan oleh al-Azhar al-Syarif dan membenarkan pemakaian niqab/purdah di premis-premis dan rumah-rumah negeri.


------------------------------------

Kenyataan ini telah disepakati melalui perbincangan pihak fellow MANHAL PMRAM seperti berikut:

1. Mohd Juzaili b. Juhan
2. Mohd Khairi b. Abdullah
3. Hairul Nizam b.Mat Husain
4. Mohd Fakerei b. Mahyudin

1 comments:

Anonymous said...

Thank's Infonya Bray .. !!!

www.bisnistiket.co.id

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal