07 June 2010

Ringkasan Falsafah Baru, Silibus Tahun 4 (Siri Akhir)

Gambar di Syria.. Dua-dua ni bernama Mujahid. Kawan saya ni, nama dia Muhammad Mujahid bin Mohammad Mohtar (link), Timbalan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Syria.


yes.. dah habis juga satu kitab saya ringkaskan. Alhamdulillah. Doakan kita sama-sama berjaya dalam peperiksaan. Ringkasan siri terakhir ni.. saja letak gambar lain pulak.


BAB 6 – KESAN KEWUJUDAN FALSAFAH BARU

Bab ini akan menceritakan serba ringkas tentang kesan-kesan yang terhasil daripada Falsafah Baru. Di dalam bab ini, akan memfokuskan kepada dua perkara, iaitu :

1. Faktor-faktor yang menyebabkan Falsafah Baru mampu memberikan kesan

2. Bentuk-bentuk kesan, hasil daripada Falsafah Baru


Faktor-faktor Yang Menyebabkan Falsafah Baru Mampu Memberi Kesan

Di dalam topik ini, akan menceritakan tentang faktor-faktor yang membuatkan Falsafah Baru itu mampu memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dan sejarah dunia falsafah. Antara Faktor-faktornya ialah :

1. Kesinambungan dan komunikasi

Ketika zaman ini, kemudahan-kemudahan banyak dicipta, yang memudahkan ahli Falsafah untuk berhubung atau meneruskan kesinambungan falsafah sebelumnya. Komunikasi yang mudah ini memberikan kesan yang besar dalam penghasilan pemikiran dan pembentukan Falsafah Baru.

Contohnya utusan dan perwakilan yang diutuskan untuk mendapatkan pemikiran luar. Jamaluddin al Afghani (1838-1897) pernah menghasilkan risalah menolak pemikiran Atheis pada akhir kurun ke 1800an (kurun ke 19). Kajian tersebut berkisar tentang pemikiran Darwin.

2. Hasilan Kajian yang banyak

Faktor seterusnya ialah, banyaknya hasilan-hasilan kajian yang telah dihasilkan pada zaman tersebut. Antaranya peralatan-peralatan sains yang mula dicipta, terutamanya pada kurun ke 17 dan kurun ke 18.

3. Tindak balas yang kuat

Tindak balas yang kuat ini terjadi disebabkan tekanan dan kongkongan yang berlaku pada Zaman Pertengahan, dan Zaman Sistem Persekolahan Falsafah yang dinaungi di bawah bumbung gereja. Maka, disebabkan tekanan ini, menghasilkan satu lonjakan yang kuat dalam menghasilkan Falsafah Baru.

4. Kaitan dengan kehidupan

Falsafah sebelum zaman ini, lebih kepada berteori dan jauh daripada praktikal. Maka, pada Zaman Falsafah Baru, ia berubah kepada memfokuskan kepada praktikal, dan ia menjadi salah satu ciri utama Falsafah Baru. Maka, Falsafah yang diajar dan dipelajari, adalah bertujuan untuk kehidupan, bukan hanya di dalam takuk pemikiran semata-mata.

5. Penterjemahan dan Bahasa

Pada zaman ini, munculnya gerakan penterjemahan dan pembelajaran bahasa-bahasa yang pelbagai. Kemunculan ini mendadak dengan tinggi pada zaman ini, dan menghasilkan pembinaan beberapa sekolah khas pembelajaran bahasa-bahasa asing.

Susulan daripada itu, gerakan penterjemahan meningkat dengan mendadak. Sumber-sumber daripada bahasa asing diterjemah untuk mendapatkan pemikiran-pemikiran luar, contohnya seperti pengalihan bahasa dari Barat ke Timur.

6. Kemajuan ilmu pengetahuan

Pada zaman ini juga, kemajuan dari sudut pengetahuan mendadak begitu tinggi. Contohnya, Eropah yang beragama Kristian mengamalkan sistem demokrasi untuk menghasilkan kemajuan. Begitu juga dengan sistem Kapitalis.

Di Rusia pula, fahaman Marxisime menguasai pemikiran manusia. Maka, kemajuan dari sudut pengetahuan semakin bercambah, sedangkan kemajuan inilah yang menyebabkan mereka jauh daripada agama dan nilai-nilai murni.

7. Kekuatan Eropah

Antara faktor yang menyebabkan Falsafah Baru mampu memberi kesan ialah kekuatan Eropah itu sendiri. Eropah telah mengalami revolusi perindustrian dan pembinaan yang begitu pesat. Maka, kekuatan ini memberi impak yang besar dalam menonjolkan era Falsafah Baru.

8. Kebangkitan Eropah

Falsafah Baru muncul seiring dengan kebangkitan Eropah sepertimana yang telah disebut sebelum ini. Kebangkitan ini meleraikan leher mereka daripada kongkongan gereja. Maka, ia membuatkan Falsafah Baru menonjol dalam arena sejarah kerana berlakunya pelbagai revolusi yang seiring dengan kebangkitan Eropah tersebut.


Bentuk-bentuk kesan, hasil daripada Falsafah Baru

Topik ini akan menjelaskan tentang 3 bentuk-bentuk kesan yang terhasil daripada kemunculan Falsafah Baru, iaitu :

1. Monopoli method kajian baru

Sepertimana yang telah disebutkan, Descartes dikatakan Bapa Falsafah Baru, yang telah mengemukakan method falsafah yang baru. Kemudian ia disambut pula oleh Francis Beacon, yang mendokong method Empirisisme, yang berbeza dengan method Rasionalisme yang digunakan oleh Descartes.

Pemikiran Empirisisme dikatakan pemikiran yang baru, yang menguasai sebahagian besar dunia Barat, dengan method-method baru. Bermula seawal kemunculan Falsafah Baru, iaitu pada kurun ke 17 hinggalah kurun ke 19 yang menyaksikan perkembangan pesat pemikiran Empirisisme.

Maka, kejayaan Empirisisme merupakan bentuk-bentuk yang terhasil daripada kewujudan Falsafah Baru, terutamanya di Barat, dan ia masih diteruskan sehingga ke hari ini.

2. Stabil dengan pemikiran Positivisme

Secara umumnya, pemikiran ini berpegang bahawa ilmu pengetahuan itu diperolehi melalui pengalaman yang disalurkan oleh pancaindera. Maka, mereka tidak meletakkan kekuasaan untuk berfikir itu hanya kepada manusia semata-mata. Atau dengan kata lain, mereka menolak sistem Tuhan.

Pemikiran ini menyebabkan munculnya Sekularisme yang memisahkan di antara agama dan politik. Ini kerana politik itu berhak digubal oleh tangan manusia sendiri, dan agama hanya berada di dalam kepompong gereja sahaja.

Maka, semua urusan kemasyarakatan tidak lagi diserahkan kepada gereja, dan kuasa gereja tidak lagi diakui sepertimana zaman pemerintahan gereja sebelum kurun ke 14. Sebaliknya, semua urusan ini diserahkan kepada mereka yang bebas dan tidak terikat dengan gereja.

3. Bangkitnya pemikiran materialisme dan atheisme

Ia boleh dilihat dari sudut pemikiran-pemikiran yang wujud pada zaman Falsafah Baru ini, iaitu :

a) Pemikiran Realisme dan Positivisme

Ia adalah hasil daripada pemikiran Empirisisme, dan ia telah dikemukakan oleh August Comte (1798-1857). Ia mula tersebar dan digunapakai pada kurun ke 19. Di sana juga terhadap aliran Positivisme, yang terdapat di Perancis pada zaman yang sama, yang telah bergabung dengan aliran pemikiran Realisme ketika zaman kemunculannya di England.

Aliran Positivisme ini membahagi sejarah kepada 4, iaitu

- Zaman manusia menyembah Tuhan
- Zaman manusia mengkaji alam ghaib
- Zaman realistik
- Zaman ilmu pengetahuan

Maka, mereka menganggap ajaran Kristian adalah ajaran yang ketinggalan zaman. Begitu juga dengan Islam, turut dilabelkan sebagai ketinggalan.

b) Pemikiran Marxisme

Pemikiran ini jelas memperjuangkan materialisme dan atheisme. Pemikiran ini menghasilkan undang-undang Komunisme yang telah dipelopori oleh Karl Marx sendiri. Ia memberi kesan besar dalam menanam pemikiran anti tuhan di dalam pemikiran manusia.

Sistem yang disusun oleh beliau berkait dengan ekonomi, sosial dan politik, yang menjauhkan manusia daripada mempercayai kewujudan alam ghaib dan ketuhanan.

c) Pemikiran Darwinisme

Pemikiran Darwin (1809-1882) yang masyhur dengan Teori Evolusi juga berkembang biak hingga ke hari ini. Teori yang mengatakan bahawa manusia itu berasal daripada beruk, dan pegangan bahawa makhluk ini mengalami evolusi sepanjang zaman.

Pemikiran ini tidak lain, cuba menafikan kewujudan Tuhan yang mencipta makhluk daripada tiada. Secara umumnya, pemikiran ini juga menolak kewujudan alam ghaib dan berpegang dengan materialisme. Bahkan, Teori Darwin ini membantu Karl Marx dalam mengembangkan aliran pemikirannya.

d) Pemikiran Existentialisme

Pemikiran ini didokongi oleh Jean Paul Sartre (1905-1980) yang turut menghidupkan nilai-nilai atheisme dan materialisme. Ada yang mengatakan bahawa pemikiran ini bangkit disebabkan lonjakan sesitiviti keindividualan, atau nilai kemanusiaan yang terlalu tinggi.

Pemikiran ini mengatakan bahawa manusia adalah ukuran semua benda. Tingginya nilai seseorang itu adalah berdasarkan kemahuan dan keinginan dirinya sendiri. Hasilnya mereka hanyalah menyambung perjuangan Sophisme (sufusta’iy) yang telah ditolak satu ketika dahulu.

e) Pemikiran Pragmatisme

Pemikiran ini muncul di Amerika pada akhir 1880an. Antara ciri utama pemikiran ini ialah meletakkan 3 komponen dalam mengukur kebenaran, iaitu hasil, penggunaan dan praktikal. Ia telah didokongi oleh Charles Sanders Peirce (1839-1914).

Beliau pernah berkata :

Praktikal adalah satu-satunya cara untuk menghukumkan kebenaran atau kebatilan sesuatu. Maka, pemikiran yang menghasilkan kesan untuk praktikal, adalah pemikiran yang betul. Pemikiran yang tidak boleh dijadikan praktikal, maka pemikiran itu salah.


BAB 7 – SUMBER FALSAFAH BARU

Bab ini akan membincangkan tentang sumber utama ataupun asas bagi Falsafah Baru. Ia akan membincangkan 4 perkara, iaitu :

1. Maksud “sumber”
2. Hubungan sumber dengan kesan
3. Sumber Falsafah Baru
4. Bentuk kesan Falsafah Baru


Maksud Sumber

Sumber adalah “asas sesuatu”. Secara penggunaannya, ia bermaksud “titik perbezaan sesuatu”. Atau dengan kata lain, perbincangan tentang sumber ini adalah berkisar tentang persoalan “di manakah titik perbezaan Falsafah Baru?” Maka persoalan ini perlu merujuk kepada “asas” atau sumber yang dibincangkan di dalam bab ini.

Ada juga yang mengatakan bahawa “sumber” itu adalah “perkembangan”. Contohnya sumber pemikiran, bermaksud perkembangan pemikiran. Ada juga yang mengatakan bahawa sumber itu hanyalah “kajian untuk mendapatkan punca” dan sebagainya.


Hubungan Sumber Dan Kesan

Hubungan kedua-duanya perlu dilihat kepada realiti penggunaan perkataan “sumber” itu sendiri. Maka, kita boleh mengatakan bahawa hubungan di antara kedua-duanya ialah hubungan keanggotaan, iaitu, sumber itu keluar dan terhasil daripada “anggota” kesan.

Contohnya seperti kelahiran bayi, yang mempunyai hubungan dengan ibunya, hubungan keanggotaan. Maka, si bayi akan lahir dari perut ibunya, sepertimana sumber itu lahir daripada kesannya. Atau dengan kata lain, sumber atau asas sesuatu ini lahir berdasarkan acuan kesan.

Sumber Falsafah Baru

Setelah kita memahami maksud sumber, dan hubungkaitnya dengan kesan, maka kita akan melihat pula sumber Falsafah Baru. Perkara pertama yang perlu kita ketahui ialah, era Falsafah Baru ini adalah zaman perkembangan pemikiran Falsafah, dan ia merupakan salah satu daripada zaman-zaman perkembangan Falsafah.

Maka, pastinya ia sangat berkait rapat dengan kewujudan “kesan” yang menghasilkan dan mencetuskan Falsafah Baru. Seperti lahirnya bayi daripada ibunya, bermula dengan gabungan di antara ovum dan sperma, sehinggalah melahirkan bayi tersebut. Begitulah Falsafah Baru, yang sangat berkaitan dengan kesan ini.

Dr Ibrahim Madkur berkata bahawa Falsafah Baru ini bukanlah baru dari sudut masa, tetapi ia baru dari sudut ciri-cirinya. Maka, ia sama sahaja dengan falsafah-falsafah sebelum ini, yang bukanlah merupakan falsafah baru, tetapi falsafah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, yang berbeza dengan falsafah-falsafah sebelumnya.

Maka, dari satu sudut ia dikatakan baru, dan dari satu sudut yang lain ia sama sahaja seperti sebelumnya. Contohnya pemikiran yang wujud pada era Falsafah Baru, bukanlah berbeza dengan pemikiran-pemikiran sebelumnya, tetapi sama sahaja. Semua pemikiran yang dikemukakan pada zaman ini dicedok daripada pemikiran lama, kemudian mewujudkannya semula.

Contohnya Descartes yang dikatakan Bapa Falsafah Baru. Beliau tidaklah mencipta sesuatu yang berbeza dengan pemikiran sebelumnya. Beliau hanyalah mencetuskan kebangkitan baru untuk menjatuhkan era Falsafah Sistem Persekolahan.

Begitu juga Francis Beacon, beliau juga tidak menghasilkan apa-apa yang baru melainkan beliau banyak mewujudkan semula pemikiran-pemikiran lama. Method Empirisisme yang diasaskan oleh beliau, hakikatnya tidak menghasilkan apa-apa yang baru, melainkan ia hanyalah “kemajuan” dari sudut ilmiah.

Secara mudahnya, memajukan bukanlah mewujudkan. Maka, memajukan pemikiran lama, bukanlah bermakna mewujudkan falsafah baru. Hasilnya Falsafah Baru ini bukanlah bermula dengan titik permulaan yang baru, tetapi ia hanyalah susulan daripada falsafah sebelumnya, yang dimajukan semula setelah mereka terkongkong di bawah zaman Pemerintahan Gereja.


Bentuk Kesan Falsafah Baru

Descartes (1596-1716)

Beliau banyak menimbulkan semula manhaj menolak keraguan, yang telah diamalkan oleh ahli Falsafah Yunani, tetapi wujud pada zamannya. Golongan yang menggunakan “syak” dalam Epistemologi. Lalu beliau mewujudkan semula pemikiran “yakin” dalam Epistemologi, untuk menolak aliran “syak” tersebut.

Leibniz (1646-1716)

Beliau banyak menghasilkan “pertemuan” dalam pemikiran-pemikiran falsafah yang berbeza. Antaranya beliau cuba menghasilkan titik persamaan di antara Plato dan Aristotle, lalu mengemukakan pemikiran yang baru. Begitu juga dengan method Stoicism (Rowaqiyyah) dan Abiqoriyyah (kurun ke 3 SM)

David Hume (1711-1776)

David Hume pula banyak merujuk kepada pemikiran Plato dan Aristotle yang mengemukakan istilah-istilah yang menjadi rujukan kepada Pakar Psikologi pada kurun ke 19, dan awal kurun ke 20. Antaranya teori graviti umum yang menjadi rujukan Newton dalam kajian tentang ilmu Fizik.

Immuel Kant (1724-1804)

Beliau cukup masyhur dengan method kritikan (criticism), sedangkan beliau bukanlah orang yang mula-mula mengemukakan kaedah Criticism itu. Namun, kita mengakui bahawa beliau adalah orang yang mendalami method ini, dan pakar dalam bidang ini.

Spinoza (1632-1677)

Beliau telah dikatakan banyak terkesan dengan Falsafah Yunani, Falsafah Sistem Persekolahan dan Falsafah pada zaman kebangkitan. Juga dikatakan beliau banyak mengambil pemikiran Mahyuddin bin Arabi, ahli pemikir Islam.

tamat..

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal