28 June 2010

Isu Militan : Kerajaan Cuba Sembunyikan Udang Di Sebalik Mee


KUALA LUMPUR, 28 Jun: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik isu Jemaah Islamiah (JI) yang ditimbulkan baru-baru ini apabila meminta pihak polis merahsiakan segala maklumat mengenai isu itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Speaker Dewan Rakyat menolak di dalam kamar usulnya mengenai JI yang dihantar minggu lalu atas alasan ianya telah dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) minggu lalu.

Katanya, kedua-dua kementerian itu tidak menjawab isu sebenar mengenai dakwaan wujudnya anggota JI di negara ini.

"Saya merasakan jawapan itu tidak langsung menjawab isu pokok yang sebenarnya yang mana kenyataan terkini menteri dalam negeri iaitu meminta polis merahsiakan maklumat mengenai JI ini. Apa yang nak dirahsiakan? Kalau dia merahsiakan ini apa muslihatnya?" katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini juga berkata, tindakan kerajaan menyembunyikan isu itu dan mendakwa beberapa tokoh ulama di negara ini terlibat dengan JI semakin menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat.

Dakwaan itu juga, katanya akan menjejaskan iklim pelaburan negara dan mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

"Kerajaan perlu mendedahkan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa apakah benar negara ini menghadapi ancaman JI. Dalam taklimat sebelum ini Ketua Polis Negara mengaitkan fahaman Wahabi, Salafi, dengan JI dengan keganasan yang tidak ada asas langsung.

“Kemudian mengaitkan pula beberapa tokoh ulama seperti Dr Asri dan Ahli Parlimen Marang. Ini akan terus menjadikan isu ini sebagai polemik yang sangat berbahaya kepada keselamatan negara dan juga kepada iklim pelaburan dalam negara kita," katanya.

Justeru, beliau sangat kecewa dengan penolakan usul itu kerana berpandangan Parlimen merupakan tempat terbaik untuk membincangkan isu itu.

"Sebab itu saya minta usul ini dibahaskan supaya ia dapat dijelaskan dalam tempat yang paling berautoriti dan sekaligus dapat menjawab persoalan yang menjadi keraguan dan kebimbangan rakyat sama ada Malaysia atau peringkat antarabangsa dan iklim pelaburan antarabangsa sangat bergantung kepada kestabilan politik negara kita. Oleh itu, mesti diperjelaskan,” ujarnya.

Beliau juga mencabar kerajaan membawa isu itu ke mahkamah jika benar dakwaan mereka itu.

"Kalau ada bukti mengenai JI ini bawalah ke mahkamah untuk diambil tindakan. PAS tidak akan sesekali berkompromi dengan keganasan termasuk saya sendiri," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal