07 June 2010

Ringkasan Falsafah Baru, Silibus Tahun 4 (Siri 5)

Haa.. belajar rajin-rajin yek..


Erm.. sambungan daripada siri 4.. Rujukan Istilah yang saya tulis sebelum ini (link), pastikan anda baca.. Jangan tak baca pulak. Ia penting sebagai rujukan.


BAB 4 – CIRI-CIRI FALSAFAH BARU

Sebelum ini, di dalam Bab 1, telah diceritakan tentang ciri-ciri Falsafah Moden. Di dalam bab ini pula, akan menjelaskan tentang ciri-ciri Falsafah Baru. Iaitu :

1. Kemerdekaan atau kebebasan

2. Menghormati kebebasan individu

3. Prihatin terhadap kajian tentang pengetahuan (Epistemologi)

4. Semua ilmu terpisah daripadanya

5. Meraikan kecenderungan terhadap material dan anti-tuhan

6. Cenderung ke arah praktikal bukan teori semata-mata


Kemerdekaan Atau Kebebasan

Kemerdekaan atau kebebasan ini adalah pembebasan diri daripada sebarang ikatan dan kongkongan yang telah membelenggu mereka pada zaman gereja. Dua asas pembebasan ini ialah,

1. Bebas dan merdeka daripada unsur ketuhanan

Ketika zaman ini, Falsafah telah diputuskan serta merta daripada sebarang bentuk keugamaan, dan meletakkan diri individu itu sebagai bebas, tiada sebarang ikatan yang boleh menyekat individu daripada berfikir.

Unsur ketuhanan yang diajar oleh Falsafah Gereja mengalami percanggahan yang teruk dengan akal manusia. Tetapi mereka dipaksa dan diajar dengan konsep ketuhanan tersebut. Maka, Falsafah Baru telah mengubah segalanya, sehingga menimbulkan pemisah di antara Falsafah dan Agama.

2. Bebas dan merdeka daripada pemikiran Aristotle

Sepertimana yang telah disebutkan, manhaj Aristotle telah “disumbat” ke dalam pemikiran manusia ketika zaman kekuasaan gereja. Sehinggakan mereka tidak dibenarkan berfikir luar daripada pemikiran Aristotle.

Antaranya ialah Mantik Bergambar dan pandangan Aristotle terhadap Fizik. Pendekatan yang digunakan oleh Aristotle banyak bercanggah dengan Konsep Kritikan, yang wujud di dalam Falsafah Baru.

Maka, Falsafah Baru telah meletak satu kebebasan berfikir luar daripada pemikiran dan susunan Aristotle, dan luar daripada aturan dan ketetapan agama. Maka, ia menyebabkan ahli Falsafah lebih menjauhi agama.

Descartes (1596-1716) telah menghasilkan satu rumus yang menyelesaikan pertembungan di antara agama dan ilmu. Iaitu dengan mengatakan bahawa ilmu menggunakan akal, manakala agama itu menggunakan hati. Maka, ilmu adalah satu bahagian, dan hati adalah bahagian yang lain. Rumus ini menyebabkan jurang yang lebih jauh di antara Falsafah dan Agama.


Menghormati Kebebasan Individu

Falsafah Baru ini diperjuangkan oleh individu-individu, dan tidak tumbuh atas nama perkumpulan sepertimana yang berlaku pada Zaman Pertengahan (kurun ke 4 hingga 14). Ia juga berbeza dengan Golongan Sophis (sufusta’iy), yang mengatakan bahawa manusia adalah neraca ukuran semua perkara.

Kebebasan individu yang dibawa oleh Golongan Sophis tidak sama dengan kebebasan individu yang dibawa oleh Falsafah Baru. Ini kerana Falsafah Baru, membuka ruang kepada individu untuk berfikir, berpandangan dan bebas daripada sebarang ikatan atau kuasa yang mengongkong.

Antaranya Descartes (1596-1716) telah mendorong manusia supaya memiliki peribadi yang bersifat “berkuasa” ke atas dirinya. Beliau telah mencipta asas yang dinamakan “kekuatan dorongan untuk bebas” dan tidak terkongkong.


Prihatin terhadap kajian tentang pengetahuan (Epistemologi)

Epistemologi adalah kajian tentang kemampuan seseorang untuk mengetahui tentang kewujudan. Maka, ia akan mempersoalkan, sejauh manakah kemampuan seseorang itu untuk mengetahui perkara yang zahir, perkara yang ghaib, dan kemampuan manusia mengetahui hakikat sebenar sesuatu benda tersebut.

Maka, di dalam kajian Epistemologi ini, terbahagi kepada dua pemikiran :

1. Aliran pertama menolak kemampuan manusia untuk mengetahui hakikat sesuatu, bahkan mereka mengatakan bahawa pengetahuan manusia hanyalah sekadar meragui sesuatu. Iaitu manusia tidak mampu untuk meyakini sesuatu hakikat.

Aliran ini menggunakan kaedah keraguan, dan mereka juga bermatlamat untuk meragui sesuatu, bukan untuk mengetahui hakikatnya. Atau dengan kata lain, mereka mengkaji, adalah semata-mata untuk meraguinya.

2. Aliran kedua pula meletakkan bahawa manusia mampu mengetahui hakikat sesuatu, dan meyakininya, bukan meragui sepertimana yang dipegang oleh aliran sebelum ini. Aliran ini menggunakan kaedah kritikan, untuk mendapatkan kepastian dan keyakinan.

Aliran ini dipelopori oleh Immuel Kant (1724-1804) sendiri. Iaitu, beliau meletakkan akal manusia ini di bawah undang-undang kritikan, dan kajian. Dengan kata lain, seseorang itu tidak mampu mengenali hakikat sesuatu dengan hanya menggunakan akalnya semata-mata. Ia perlu kepada kritikan terlebih dahulu.


Terasing Daripada Ilmu-ilmu Lain

Antara ciri-ciri Falsafah Baru ialah ia terasing dengan ilmu-ilmu lain, iaitu ilmu-ilmu yang lain terpisah daripadanya. Maka, di dalam membincangkan perkara ini, terbahagi kepada dua persoalan utama, iaitu :

1. Setelah terasing daripada ilmu-ilmu lain, apakah yang berbaki dalam kajian Falsafah?

2. Apakah hubungan di antara Falsafah dan ilmu?

Falsafah pada zaman permulaan kemunculannya membincangkan tentang alam secara umum. Kemudian zaman seterusnya memfokuskan kepada kajian tentang diri manusia. Kemudian perbahasan tentang Falsafah berubah lagi, sehinggalah zaman Falsafah Baru. Antara perbahasan Falsafah di zaman ini ialah :

1. Epistemologi

Telah disebutkan sebelum ini, iaitu ilmu yang mengkaji tentang kemampuan seseorang untuk mengenali hakikat sesuatu. Ia adalah susulan daripada Antologi, yang mengkaji tentang kewujudan.

2. Metafizik

Metafizik adalah lawan kepada Fizik, iaitu kajian di sebalik kewujudan. Antaranya ialah kajian tentang punca kewujudan, keTuhanan, kuasa ghaib dan sebagainya.

3. Akhlak

Ilmu akhlak adalah ilmu yang berkaitan dengan nilai yang terdapat pada diri manusia. Ia adalah cabang kepada Eksiologi, ataupun yang dinamakan sebagai ilmu penilaian.

Kesimpulannya, kajian di dalam Falsafah berkurangan kepada 3 perbahasan (mengikut pembahagian lain), iaitu :

1. Antologi : Kajian tentang kewujudan

a) Fizik
b) Metafizik

2. Epistomologi : Kajian tentang kemampuan untuk mengetahui hakikat kewujudan

a) Aliran meragui
b) Aliran meyakini

3. Eksiologi : Kajian tentang penilaian terhadap sesuatu

a) Ilmu Mantik
b) Ilmu Kecantikan
c) Ilmu Akhlak

Di sana, kita perlu untuk mengetahui apakah hubungan di antara Falsafah dan ilmu-ilmu lain. Antaranya, Falsafah banyak memberi aspirasi kepada peningkatan dan pengembangan ilmu. Begitu juga Falsafah yang berfungsi sebagai induk yang membuka pintu-pintu perbahasan ke dalam ilmu-ilmu yang pelbagai.

Dalam masa yang sama, Falsafah juga memerlukan ilmu dalam menghurai isi kandung dan mengaplikasikan pemahaman falsafah dalam hidup. Atau dengan kata lain, kedua-duanya saling memerlukan di antara satu sama lain.

Kesimpulannya, Falsafah tidak akan terhapus dengan kembangnya ilmu, begitu juga ilmu tidak akan berkembang dengan tanpa Falsafah. Bahkan perkembangan Falsafah banyak menghidupkan ilmu, dan perkembangan ilmu itu juga yang mengembangkan Falsafah.


Meraikan kecenderungan terhadap material dan atheis

Sepertimana yang telah disebutkan, Falsafah Baru muncul disebabkan kongkongan daripada gereja yang menyekat kebebasan manusia ketika itu. Falsafah yang diajar, diselarikan dengan manhaj Bible yang bertentangan dengan akal. Maka, hasil daripada perbuatan ini, menatijahkan pemikiran yang bersifat material, dan anti tuhan.

1. Material yang dimaksudkan di sini ialah Pemikiran Materialisme yang membarah pada kurun ke 18 di England dan Perancis, sehinggalah muncul pemikiran Atheis. Ia bertambah teruk apabila menjelang kurun ke 19. Pemikiran ini bercanggah dengan kewujudan alam ghaib.

Pada permulaan kemunculan ini (1800-1850), banyak terpengaruh dengan Aliran Realisme, yang dibawa oleh August Comte (1798-1857). Beliau meletakkan kewujudan alam ini hanyalah apa yang boleh dicapai oleh pancaindera.

Pada bahagian kedua tempoh ini, banyak dipengaruhi dengan pemikiran Darwin (1809-1882) dan Karl Marx (1818-1883). Teori mereka yang masyhur, iaitu Teori Evolusi yang jelas bersifat materialisme.

2. Manakala istilah anti tuhan (Atheis) pula banyak menguasai dunia pada era Falsafah Baru, sehinggalah berterusan ke era Falsafan Moden. Ia terhasil daripada dua saluran, iaitu :

a) Pemikiran Materialism

Pemikiran ini berpegang dengan ketiadaan alam ghaib. Maka, semua yang boleh dicapai oleh pancaindera adalah wujud, dan selain daripada itu disifatkan sebagai tidak wujud. Maka, mereka menolak kewujudan Allah, malaikat, syurga, neraka, roh dan sebagainya.

Hasil daripada pemikiran ini, maka wujudlah pemikiran Marxisme, Darwinisme dan Positivisme (berpegang bahawa ilmu itu boleh didapati melalui pengalaman, dan menolak sebarang unsur metafizik)

b) Pemikiran Rasional

Iaitu menganggap bahawa rasional adalah segalanya. Dengan mereka berpegang dengan ketuanan akal, dan menolak sebarang unsur “luar daripada rasional”. Maka, menurut rasional mereka, Allah itu tidak wujud disebabkan ia tidak boleh dicapai oleh sebarang pancaindera, maka mereka menyifatkan bahawa tiada tuhan!


Cenderung ke arah praktikal bukan teori semata-mata

Secara umumnya, Falsafah Baru cuba menghidupkan pemikiran, sebagai pemikiran yang sebenar. Bukan hanya sekadar berfikir atau berteori, tetapi diaplikasikan pula dalam praktikal. Pada awal kurun ke 17, telah terpapar gambaran jelas tentang haluan berpemikiran praktikal.

Ia adalah hasil daripada revolusi yang menolak sistem kongkongan dan Kristian, yang dibawa oleh gereja. Sistem gereja mengajar mereka berteori semata-mata, dan mengikat teori mereka tanpa sebarang praktikal. Maka, ini menyebabkan teori tersebut tidak bermakna untuk diaplikasikan dalam hidup.

Antara yang terhasil daripada revolusi ini ialah Pemikiran Empirisisme (eksperimen) yang didokongi oleh Francis Beacon. Ia adalah pemikiran yang mengatakan bahawa ilmu yang sebenar hanya boleh diketahui selepas ia dieksperimenkan. Bukan hanya dengan menggunakan akal semata-mata.

bersambung..

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal