SAYA akan bersikap jujur setiap kali disapa, diusik oleh teman-teman bila ditanya tentang membina bayt-muslim. Sudah tentu saya seperti kalian, punya hati dan perasaan, normal sifat dan anggota, berkeinginan sempurna ibadat selepas ijab dan qabul. Kehidupan sebenar saya pada setiap langkah kaki menuju, berhentinya langkah saya bererti saya sedang menyusun langkah baru agar tidak terus mati hingga bertamu destinasi berikutnya.
Bila orang bujang berkumpul pasti tidak lepas daripada 'ngomol-ngomol' pasal bayt-muslim, ada mengusik teman-teman yang belum berumahtangga. Tapi disempitkan tujuan kahwin hanya untuk kekang nafsu, elak zina akan jadi lain pula. Perkahwinan bukan penyelesaian pada sesuatu perkara, tapi mungkin permulaan kepada satu masalah kalau tak kena gaya.
Masalah sama saya sering hadapi ialah kesukaran berbincang dengan anak muda yang sempurna BALIGH, namun malangnya kurang AQIL, masih terdodoi dalam buaian. Bermodalkan alasan cliche yang amat mudah:
"Biasa la ustaz... mahu enjoy puas-puas, hidup remaja cuma sekali"
maka tiada alasan kalau mahu berkeras untuk kahwin muda kerana kekang nafsu, bimbang hilang rasa tanggungjawab.
Sedaya mungkin, saya masih tidak begitu bertegas dengan ibu bapa tentang isu ini, masih mengharapkan pada terzahirnya hikmah yang membantu saya membuat keputusan tepat. Cuma kadang-kadang bermonolog sendiri:
“Kebahagiaan itu sebenarnya di mana?”
Bayt-Muslim bukan sekadar suatu kenyataan bila terzahir maksud melalui rundingan ahli lalu membentuk kelompok komunikasi mencari satu keputusan bersama, namun ianya lahir daripada segenap perancangan benar akan setiap ketentuan itu adalah hadir daripada susun atur taqdir Tuhan. Bila tiba masa kita mengharapkan Dia pada satu rasa, Dia juga akan menilai keikhlasan kita sebelum membenarkan rasa itu tercipta sebagai satu natijah akhir.
Berkahwin tidak semudah tutur kata, tanpa berfikir masak-masak banyak akan mengundang masalah. Tapi tidak selayaknya kita berputus asa sebelum berjuang, berpecak dahulu di luar gelanggang selepas dihadapkan dengan pelbagai mehnah orang yang sudah berpecak di dalam gelanggang. Kesabaran perlu tinggi dalam menempuh cabaran-cabaran selepas berumahtangga yang tergesa-gesa. Kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan tetapi keluarga pasangan.
Berkahwin ketika masih di alam kuliah, kalian bukan sahaja diajak menghadam silibus-silibus, kitab-kitab pengajian bahkan ilmu-ilmu rumahtangga selepas terpatri ikatan. Kita pasti tidak mahu, kahwin adalah jalan terakhir untuk melunaskan nafsu serakah, isteri bagai pakaian, digunakan bila perlu, dibuang bila puas.
Saya agak tidak bersetuju dengan dengan sesetengah remaja yang kepingin untuk kahwin awal, tetapi hanya beralasankan idea yang sangat rapuh. Kalau hanya memandang kahwin dengan sebelah mata, kebarangkalian penceraian untuk berlaku selepas perkahwinan adalah besar. Oleh itu, sediakan diri secukup-cukupnya sebelum melangkah ke alam perkahwinan, jika benar redha Allah Taala yang kita cari.
Kelebihan kita kerana akal... melalui pemerhatian dan pengalaman boleh dijadikan modul lengkap untuk mereka yang tercari-cari jawapannya... kecuali mereka yang terlalu robotik dan tidak boleh berfikir sendiri dengan baik.
Perempuan solehah tidak pernah sunyi dari kebimbangan, mengenang diri dengan siapa bakal disatukan. Betapa sedihnya ulu hati kerana saat diri sudah sampai jodoh, tiada pula wali yang mengijabkan lantaran ajal bapanya sudah sampai terlebih dahulu sebelum jodohnya. Mujahadahnya adalah cekal, doa dan berserah pada Qadha' dan Qadar agar perjalanan bahtera dibina cekal hingga ke Syurga.
Wahai insan bernama lelaki, suami hargailah pengorbanan si isteri. Taatnya tidak pernah berbelah bahagi, kerana risiko tetap sahaja di pihak lelaki yang terselindung di sebalik ‘kuasa’ talaq dan poligami.
Judul asal: Kahwin Pun Susah
Medan Jaisyun, Abbasia...
1 comments:
Kahwin pun susah, x kahwin senang berlaku zina plak.. mati je la kot senang.. hehhe
Post a Comment