20 January 2010

Imam Mazhab (Siri 2) - Imam Malik RA

Nama sebenar beliau ialah Malik bin Anas bin Abi ‘Amir al Ashbahibin Amru bin al Harith bin Ghaiman al Ashbahi.

Beliau dikandung oleh ibunya selama tiga tahun, dan ada pandangan yang mengatakan lebih daripada tempoh tersebut. Beliau dilahirkan pada 93 Hijrah di Zil Marwah, iaitu salah sebuah tempat masjid di Tabuk. Kedudukannya sejauh 36 batu dari Madinah.

Ayahnya Anas bin Malik, seorang faqih, dan datuknya Malik bin Abi ‘Amir adalah di antara tabi’in yang terkenal, yang merupakan salah seorang yang terlibat dalam pemandian jenazah Saidina Uthman, dan pengebumiannya. Abu ‘Amir bin Amru adalah seorang Sahabat Baginda SAW, yang bersamanya dalam setiap peperangan, kecuali Perang Badar.

Imam Malik RA adalah seorang tabi’ tabi’in, kerana pernah bertemu Aisyah bin Sa’ad bin Abi Waqqas, salah seorang pengikut dari kalangan perempuan (tabi’iyyah). Beliau pernah menuntut ilmu daripada 900 orang syeikh, dan 300 daripadanya dari kalangan tabi’in.

Beliau mula mengajar ketika berumur 17 tahun, selama 70 tahun di Madinah. Beliau pernah berkata :

لاَ يَنْبَغِي لِلْعَالِمِ أَنْ يَتَكَلَّمَ بِالْعِلْمِ عِنْدَ مَنْ لاَ يُطِيْقُهُ ، فَإِنَّهُ ذَلٌّ وَإِهَانَةٌ لِلْعِلْمِ

Tidak sepatutnya bagi seorang ulama itu, bercakap secara ilmiah kepada mereka yang tidak mampu memahaminya, sesungguhnya ia adalah cela dan menghina ilmu

Syeikh Ahmad bin Muhammad al Maliki berkata :

Apabila beliau ingin mengajar, beliau akan wudhu terlebih dahulu, mendirikan solat sunat dua rakaat, mengemaskan janggutnya, memakai wangian, duduk dengan penuh stabil dan menampakkan kehebatan, menegah sesiapa daripada meninggikan suara, dan memasang asap daripada bakaran kayu gaharu

Abdullah bin Mubarak berkata :

Ketika aku bersama Imam Malik bin Anas, ketika itu dia sedang meriwayatkan sebuah hadis Nabi SAW, lalu terdapat seekor kala jengking mematuknya sebanyak 16 kali. Mukanya menjadi pucat dan mengerut, tetapi beliau tidak berhenti daripada meneruskan pembacaan hadis tersebut. Setelah selesai membaca, orang lain bertanya tentang hal tersebut, lalu dia menjawab :

إِنَّمَا صَبَرْتُ إِجْلاَلاً لِحَدِيْثِهِ

“Aku bertahan kerana memuliakan Hadis Nabi SAW”

Syeikh Ahmad bin Muhammad al Maliki berkata la:

Beliau dikatakan bertemu Nabi SAW setiap malam dalam mimpi. Beliau juga merendahkan serban yang menutup kepala sehingga dia tidak dapat melihat, dan dilihat wajahnya. Beliau juga tidak memasuki tandas, melainkan 3 hari sekali. Beliau berkata :

وَاللهِ ، لَقَدْ اسْتَحْيَيْتُ مِنَ اللهِ فِي كَثْرَةِ تَرَدُّدِي لِلْخَلاَءِ

Demi Allah, sesungguhnya aku malu dengan Allah disebabkan kerapnya aku memasuki tandas

Beliau hidup sezaman dengan Imam Abu Hanifah, yang merupakan zaman perkembangan Islam begitu pesat. Beliau wafat pada 179 Hijrah, dan dikebumikan di Baqi’, pada zaman pemerintahan Khalifah ar Rasyid.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal