16 June 2010

Ringkasan Teori Moden, Tahun 4 Akidah Falsafah (Siri 1)


Dua orang pendokong pemikiran Existentialisme


Teori-teori Kontemporari (Existentialisme Dan Marxisme)

Ringkasan ini dibuat berdasarkan buku Tayyarat Mu’asirah, al Wujudiah Wal Markasiah Fi Dhou’il Haqaiqil Islamiah, karangan Dr Hassan Mahram al Juwaini. Kitab ini mengandungi dua bahagian utama, iaitu Teori Existentialisme (wujudiah) dan Teori Marxisme (Markasiah).


BAHAGIAN PERTAMA : TEORI EXISTENTIALISME

Bab 1 : Pengenalan
Bab 2 : Subjektivisme Dan Ciri-ciri
Bab 3 : Wujud dan Teori Kewujudan
Bab 4 : Kesilapan Teori Kewujudan


Bab 1 : Pengenalan

Teori Existentialisme (teori kewujudan/wujudiah) ialah :

1. Teori yang mengkaji tentang diri manusia secara objek, ataupun menghuraikan tentang kewujudan manusia dan meletakkan manusia sebagai titik permulaan, bukanlah menjadikan manusia itu sebagai matlamat. (hal. 12)

Selain itu, ia juga merupakan gabungan eksperimen dan kajian tentang diri manusia dan kehidupannya. Ia bermula dengan Allah, kemudian wujudnya alam, masyarakat, undang-undang fizik dan kehidupan. (hal. 12)

Pandangan ini agak jernih, dan ia adalah takrif yang dibentangkan oleh ahli Falsafah Kuno seperti Socrates, juga merupakan takrifan secara umum oleh Falsafah Greek. (hal. 13)

2. Teori yang mengatakan bahawa setiap kewujudan ini bersifat kosong, tanpa fizik dan tanpa hakikat, bahkan kedua-duanya adalah “tampalan” bagi kewujudan tadi. Maka, kewujudan pada diri merealisasikan kebebasan individu. (hal. 16)

Pandangan ini berdasarkan huraian Golongan Pengkritik (Criticisme) dan ahli sejarawan. Antaranya Jean Paul Sartre (1905-1980) yang mengatakan bahawa kewujudan itu lebih awal wujudnya daripada hakikat kewujudannya. (hal. 16 dan 17)

Pandangan ini ditolak kerana ia tidak masuk akal. Iaitu mustahil kita mengatakan kewujudan sesuatu itu tanpa sebarang hakikat (mahiyah), ini kerana wujudnya sesuatu itu berdasarkan hakikatnya. (hal. 23)

3. Takrif yang ketiga bagi Teori Existentialisme adalah hampir sama dengan takrif yang kedua. Ia adalah hasil cetusan daripada pandangan Jean Paul Sartre (1905-1980) secara umum. Iaitu mengatakan bahawa teori ini menjadikan kehidupan itu sebagai satu perkara yang mustahil. (hal. 25)

Iaitu apabila mereka mengatakan bahawa kewujudan itu wujud terlebih dahulu sebelum hakikatnya, maka ia akan menyebabkan terhasil pemikiran songsang, yang bercanggah dengan akal. Hasil daripada teori ini, menyebabkan kehidupan itu sebagai satu perkara yang mustahil. (hal. 24)

4. Takrif yang keempat bagi teori ini ialah, gabungan daripada beberapa aliran pemikiran yang mengkaji tentang unsur wujud pada manusia secara objek dan sifat, dan menatijahkan bahawa kebebasan manusia adalah bersifat mutlak (hal. 26)

Takrif ini adalah takrif yang paling lengkap, dan sesuai untuk menyatakan tentang teori ini. Secara umumnya, takrif ini menjelaskan tentang dua era aliran dalam pemikiran Existentialisme, iaitu (hal. 24) :

a) Era Existentialisme Moden, yang didokongi oleh Jean Paul Sartre (1905-1980)

b) Era Existentialisme Kristian, yang didokongi oleh Gabriel Marcel (1889-1973) sepertimana yang telah diketahui.


Bab 2 : Subjektivisme Dan Ciri-ciri

Bab kedua akan menjelaskan tentang subjektivisme (zatiah) secara pengenalan sebelum kita meneliti tentang pemikiran Existentialisme yang sangat berkait dengan perbahasan ini.

Pengenalan

Asas pertama yang perlu diketahui ialah Existentialisme berpegang bahawa kewujudan itu wujud sebelum hakikatnya. Maka, ketika itu, ia akan memilih hakikat (mahiah) yang disukainya, kemudian ia akan mewujudkan dirinya sendiri berdasarkan hakikat tersebut. Tak masuk akal. (hal 29)

Maka, daripada pegangan ini, ia akan membahagikan kepada dua :

1. Zat satu-satu individu itu akan memilih zatnya, berdasarkan zatnya. Tak masuk akal bukan?

2. Mereka bersepakat dalam mengatakan bahawa manusia tidak mampu untuk melebihi daripada zat kemanusiaannya.

Kehendak

Mereka mendakwa bahawa sesuatu zat itu mempunyai kehendak, iaitu berkehendak untuk memilih hakikat (mahiyah) yang disukai olehnya. Dan ia bukanlah dengan berfikir sepertimana yang dikatakan oleh Descartes,

“Aku berfikir, jadi aku ini wujud”

Manakala Kierkegaard (1813-1855) mengatakan bahawa, “aku berfikir, maka aku ini tidak wujud”.

Atau dengan kata lain kehendak itu ada pada zat, sebelum kewujudannya. Ini kerana, beliau meletakkan sesuatu zat itu mempunyai kehendak, sebelum ia wujud. Hakikatnya perkara ini sememangnya tak masuk akal, kerana tidak mungkin sesuatu itu berkehendak sedangkan ia tidak wujud! (hal. 31)

Kebebasan

Selain itu, mereka mendakwa kebebasan yang total bagi seseorang individu. Ia berkaitan dengan istilah kehendak, yang digunakan sebelum ini. Seseorang itu bebas berkehendak, maka dia adalah bebas secara total. (hal. 32)

Atau dengan kata lain, kebebasan itu adalah asas bagi kehendak. Maka, zat itu bebas memilih hakikat (mahiah) yang sesuai untuk dirinya. Sifat-sifat pada dirinya juga dipilih oleh zat tersebut sebelum kewujudan dirinya. (hal. 33)

Maka, sensitiviti terhadap perasaan adalah sensitiviti terhadap kebebasan. Maka, kedua-dua unsur ini (kebebasan dan kehendak) adalah dua unsur yang terdapat pada zat sebelum kewujudan hakikatnya, dan ia saling membentuk untuk menghasilkan hakikat tersebut. (hal. 33)

Kesimpulannya, mereka berpegang bahawa diri seseorang itu dicipta oleh dirinya sendiri, dan bukan hasil ciptaan Allah SWT. Bahkan manusia bebas untuk hidup, dan ia tidak berkaitan dengan kewujudan Allah. Atau dengan kata lain, mereka menafikan kewujudan Allah.

Sekarang Dan Masa

“sekarang” mengikut pandangan Existentialisme ialah kemestian (dhoruri) bahawa kewujudan itu pastinya wujud ketika ini, dan tiada sebarang hubungkait dengan kemungkinan. Atau dengan kata lain, mereka meletakkan kewujudan “sekarang” adalah mesti dan tiada sebarang kaitan dengan istilah “mungkin” yang merujuk kepada “akan datang”. (hal. 38)

Manakala “masa” pula, Existentialisme mengatakan bahawa “masa” adalah “jauhar” (objek) bagi “sekarang”. Dan kewujudan yang sebenar secara realiti adalah sumber masa tersebut. Atau dengan kata lain, kewujudan yang sebenar, wujud secara realiti dan tertakluk kepada masa. (hal. 38)

Perubahan masa menyebabkan perubahan kepada kewujudan sebenar itu. Hasilnya kita dapat mengetahui bahawa “masa” mengikut perspektif Existentialisme tidak berbeza dengan falsafah-falsafah yang lain, cuma golongan ini menguatkan bahawa “masa” adalah satu objek, mempunyai ciri-ciri fizik, bahkan merupakan syarat untuk menterjemahkan erti kewujudan. (hal. 39)

bersambung

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal