Showing posts with label Berita Malaysia Terkini. Show all posts
Showing posts with label Berita Malaysia Terkini. Show all posts

19 June 2010

Wanita Disaran Solat Jumaat - Tok Guru Nik Aziz


BACHOK, 19 Jun: Kompleks Masjid Daruttarbiyah bakal menyaksikan perubahan baru apabila kaum wanita disaran supaya menunaikan solat Jumaat seperti mana dilakukan kaum lelaki selepas siap pembinaannya kelak.

Saranan itu diutarakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sebenarnya sudah lama saya hendak tengok keadaan ini boleh dilakukan oleh wanita," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Derma mengisi tabung kompleks masjid tersebut di Kampung Wakaf Zain, dekat sini, malam tadi.

Beliau berkata, keselesaan ruang masjid yang cukup luas mampu membawa kaum wanita untuk turut bersama menunaikan solat Jumaat.

"Saya cadangkan ruang bawah untuk orang perempuan dan di sebelah atas pula bagi orang lelaki masa sembahyang Jumaat," katanya.

Kompleks masjid tersebut mula dibina sejak Ogos tahun lalu di atas tapak seluas satu ekar yang dibeli dengan harga RM180,000 manakala pembinaannya menelan belanja sebanyak RM2 juta dan dijangka siap pada Ogos 2011.

Kos pembelian tapak serta binaan adalah daripada sumbangan orang ramai.

Masjid dua tingkat yang kini dalam 40 peratus pembinaan itu dibina secara bergotong royong melibatkan seluruh kepimpinan cawangan termasuk penghulu-penghulu mukim dan masyarakat tempatan.

Adun Tawang, Hassan Mahmood ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, pembinaan kompleks masjid berkenaan dilengkapi dengan dewan mesyuarat dan seminar yang mampu menampung 200 peserta dan asrama.

"Kita berharap segala kemudahan yang melengkapi masjid ini seperti dewan dan sebagainya itu akan dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam menjana generasi masa depan yang bakal mewarisi perjuangan ulama," katanya.
Baca seterusnya

18 June 2010

Isu Militan : Dakwa Atau Kamu Cuba Burukkan Islam? - Pengerusi Hak Asasi


Dakwa atau kamu hanya cuba burukkan Islam - SM Idris

Harakahdaily

PULAU PINANG, 18 Jun: Ketua Polis Negara digesa mendedahkan nama pengganas dan mendakwa mereka ke mahkamah atau didakwa "merekacipta dan menyiarkan kenyataan palsu untuk memburuk-burukkan Islam dan umat Islam di negara ini."

Pengerusi kumpulan hak asasi manusia, Citizens International, S. M. Mohamed Idris dalam kenyataannya mengutuk sekeras-kerasnya propaganda hitam yang didedahkan oleh unit Polis Indonesia Detachment 88 dan disiarkan dalam media tempatan dengan tajuk utama yang menonjol bahawa ulama Indonesia yang dihormati Abu Bakar Bashir didakwa membantu membiayai dan menyokong sarang pengganas bersenjata di Acheh.

Kini, polis Malaysia pula mendakwa kononnya “pengganas merancang untuk memusnahkan kuil Batu Caves di Kuala Lumpur dan kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan kenyataan polis itu dan mendesak agar kalau ada, mereka didakwa segera.

"Ketua Polis Negara Malaysia juga mestilah menjelaskan mengenai laporan berita dalam akhbar harian tempatan bahawa “pengganas merancang untuk memusnahkan kuil Batu Caves di Kuala Lumpur dan kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang.”
kata SM Idris.

‘Pengganas’ itu didakwa kononnya mempunyai hubungan dengan Al Qaeda dan Jemaah Islamiah, organisasi yang dilabelkan oleh Amerika Syarikat sebagai pertubuhan pengganas Islam.

Berita itu dipetik daripada ‘sumber perisikan’ yang tidak mendedahkan nama mereka dan ini merupakan taktik yang sering digunakan oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) dan Mossad Israel untuk menyebarkan propaganda hitam dalam media bagi memburuk-burukkan lagi imej Islam dan para penganutnya.

Lebih menarik lagi sasarannya adalah kuil Hindu yang menjadi tempat suci bagi orang India dan kuil Buddha bagi orang Cina, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ia merupakan cara yang paling baik untuk menyalahkan Islam dan umat Islam sebagai pembekal keganasan di mata pengikut kedua agama ini.

“Berita” yang amat membimbangkan ini melainkan disokong oleh bukti yang konkrit akan menimbulkan ketegangan antara orang Islam, Hindu dan Buddha," kata SM Idris.

Menurut SM Idris, Detachment 88 diwujudkan oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Australia yang menyediakan biaya dan latihan untuk pegawainya.

Atas alasan untuk memerangi keganasan, ia hanyalah merupakan alat kerajaan asing untuk mendakwa orang Islam yang berjuang untuk mempertahankan maruah umat Islam dan kedaulatan negara Indonesia.



Abu Bakar Bashir, kata kenyataan itu, menjadi penghalang kepada Indonesia untuk menjadi negara yang tunduk kepada Amerika Syarikat dan juga kepada ejennya yang menyalahtafsirkan ajaran Islam dan mengutuk penentangan oleh umat Islam terhadap dominasi dan hegemoni asing.

Kerajaan Amerika Syarikat dan Australia, melalui ejen mereka di dalam pasukan polis, pentadbiran dan media cuba untuk membabitkan Abu Bakar Bashir dalam aktiviti keganasan, dakwa SM Idris lagi.

"Mereka mereka-rekakan bukti untuk mengaitkannya dengan pengeboman Bali yang tidak dapat dipertahankan terhadap penelitian mahkamah. Beliau didakwa sebagai pengkhianat tetapi dibebaskan kerana kekurangan bukti.

"Bagaimanapun, beliau didapati bersalah kerana melanggar peraturan imigresen dan dipenjara tiga tahun, jelas untuk memuaskan kerajaan Amerika Syarikat dan Australia tetapi mereka masih tidak berpuas hati dan mengkritik keputusan itu dan menekan kerajaan Indonesia supaya bertindak ke atasnya,"
katanya dalam kenyataan itu.

Sekali lagi, tambah SM Idris yang juga Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Detachment 88 dilihat mereka-rekakan bukti terhadap Abu Bakar Bashir untuk memenjarakannya bagi memuaskan hati mereka.

"Kami menggesa Pejabat Peguam Negara Indonesia agar tidak terperangkap dengan Detachment 88 dan agensi perisikan Amerika Syarikat dan Australia dan mendakwa ulama yang amat dihormati itu.

"Tindakan seperti itu adalah bertentangan sama sekali dengan berjuta umat Islam dan bukan Islam yang amat menghargai keadilan,"
katanya.
Baca seterusnya

17 June 2010

Kenyataan Rais Yatim : Benarkah Blogger Benar-benar Bebas?


Rais: Dua juta blogger bukti media Malaysia bebas

Kewujudan dua juta blogger di negara ini membuktikan media massa di Malaysia bebas menyiarkan pendapat dan kritikan masing-masing, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa dengan perkembangan teknologi maklumat, peluang untuk mana-mana pihak bersuara dan memberikan pandangan masing-masing tidak pernah disekat oleh kerajaan.

"Kita boleh lihat sekarang, media massa terutamanya media alternatif, perkembangannya semakin rancak dengan adanya perkhidmatan jalur lebar.

"Dilaporkan terdapat kira-kira dua juta blogger di negara ini yang bebas melaporkan pandangan mereka dan ini mencerminkan kebebasan media di negara ini," katanya menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) yang ingin tahu sama ada kebebasan media massa di negara ini masih terhad seperti yang dilaporkan oleh kajian Freedom House dari Amerika Syarikat yang mendakwa media di Malaysia belum bebas.

Rais berkata Malaysia kini mempunyai 76 akhbar harian termasuk milik pembangkang, 151 saluran televisyen satelit, sembilan saluran televisyen tidak berbayar (milik kerajaan dan swasta) dan 53 saluran radio.

"Ini tidak termasuk IPTV (Internet Protocol Television) yang sedikit masa lagi akan menjadi lumrah di kalangan rakyat dengan adanya perkhidmatan jalur lebar," katanya.

Perkembangan itu jelas menunjukkan media massa di negara ini tidak terhad seperti yang didakwa Freedom House dan ia hanyalah satu "laporan kerusi selesa", kata Rais.

Bagaimanapun, katanya, pengamal media masih lagi perlu memastikan setiap kandungan yang ingin disiarkan mematuhi undang-undang dan etika yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ini keran

a kebebasan media massa berbeza-beza mengikut negara dan bergantung kepada undang-undang serta etika yang telah ditetapkan.

"Media sebagai alat sebaran am sama ada elektronik dan media cetak tidak mempunyai kebebasan mutlak tetapi tertakluk kepada etika, peraturan dan undang-undang negara sedia ada.

"Semua badan penyiar sama ada milik kerajaan atau yang swasta perlu memainkan peranan dalam memastikan kandungan laporan mematuhi undang-undang dalam membantu mewujudkan masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab," kata Rais.


p/s : Benarkah blogger benar-benar bebas sepertimana yang didakwa?
Baca seterusnya

Militan : Sandiwara Kerajaan Untuk Alih Tumpuan Rakyat


KUALA LUMPUR, 17 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tindakan kerajaan menggunakan media untuk menggembar-gemburkan isu kemunculan semula kumpulan Jamaah Islamiah (JI) di tanah air semata-mata bertujuan untuk mengalihkan tumpuan rakyat kepada beberapa isu lain yang mencalar kredibiliti para pemimpin Umno BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, tindakan tersebut bertujuan untuk mengalihkan amarah rakyat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I kerana meluluskan lesen judi sukan sempena Piala Dunia 2010, baru-baru ini.

Katanya lagi, dengan menimbulkan isu JI, tumpuan rakyat boleh dialihkan daripada memprotes isu penyerahan tanah bernilai tinggi milik KTM di Tanjong Pagar kepada kerajaan Singapura.

Tambahnya lagi, dengan berbuat demikian juga membolehkan tumpuan rakyat pada isu penyerahan dua blok minyak iaitu Blok L dan Blok M kepada kerajaan Brunei Darussalam tanpa melalui Parlimen.

“Saya lihat ini semua suatu cubaan Umno BN untuk alih isu judi sukan dan beberapa isu besar melibatkan kedaulatan negara, seperti pemindahan beberapa aset negara yang diserahkan kepada pihak swasta tertentu,” tegas beliau pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mewakili Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menegaskan bahawa mereka tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti bawah tanah.

“Kita berpendirian bahawa sikap melampau tidak perlu dipertahankan,” tegas beliau.

Disebabkan itu, beliau memberi amaran kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya tidak sewenang-wenangnya menahan rakyat tanpa bicara sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menimbulkan rasa ragu dengan pengakuan Hishammuddin dan Musa berhubung tangkapan 10 warga asing yang kononnya anggota JI.

“Kalau kesemua 10 warga asing ini saspek JI, mengapa mereka tidak dibicarakan (tetapi) terus dihantar pulang ke negara masing-masing,” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak terkeliru oleh permainan media oleh kerajaan kebelakangan ini.

“Saya minta jangan ada rakyat terkeliru dengan semua ini, semuanya semata-mata untuk alih tumpuan kita pada isu yang lebih utama,” tambah beliau.

Senada dengan Anwar, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut mempersoalkan motif di sebalik tindakan Musa membuat pengakuan dalam media arus perdana berhubung penangkapan suspek yang dikatakan anggota-anggota JI terbabit.

“Kalau dia (Musa) menganggap ia (JI) sebagai isu keselamatan, mengapa diumumkan kepada rakyat umum, mengapa diumumkan pada media massa,” soal Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Melihat pada tindak-tanduk tersebut, beliau dalam nada berseloroh mendakwa bahawa Musa mungkin mahu kekal mendapat sokongan Najib untuk menjadi KPN.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan Yusmadi Yusoff (Balik Pulau).
Baca seterusnya

Kronologi Fiesta 2010 Yang Dihiasi Dengan Kilat Dan Hujan






Dari Facebook 'Kami Benci Saiful Bukhari!'

a) Najib tiba2 terpaksa membatalkan utk hadir ke majlis pelancaran Fiesta Kelantan 2010 (Najib dan Rosmah dikatakan sempat 'melarikan diri' menaiki kapal terbang sebelum beratus-ratus penunjuk perasaan sampai ke lapangan terbang- Tukar Tiub)

b) Mustafa Mohamad yang ganti Najib merasmikan Fiesta Kelantan (nak kenakan Tok Guru, akhirnya Najib yg terkena!)

c) 300 orang shj yang hadir (jauh meleset dari jangkaan ribuan orang yg akan hadir)

d) Hujan mencurah2 sejak maghrib (Hujan tersangat lebat diikuti angin kencang)

e) Bekalan elektrik terputus, Stadium Blackout

f) Pembesar suara bermasalah, terpaksa menggunakan Loud Hailer!

g) RTM membatalkan siaran langsung

h) Berita jam 8 RTM mengwar2kan acara ini, kononnya akan dirasmikan oleh Pemangku Sultan Kelantan

i) Pemberitahuan ini sbg strategi bagi menarik minat rakyat Kelantan hadir melihat sendiri upacara perasmian yang dilakukan sendiri oleh Pemangku Sultan

j) Banner perasmian Fiesta ini hanya diletakkan Najib dan 1Malaysia, menderhaka kpd sultan, bukan dia yang rasmi pun. Pemangku Sultan pun dah menarik diri dari merasmikan bila merasakan seolah2 Najib yang nak rasmi


Pautan :

http://msomelayu.blogspot.com/2010/06/kilau-kilat-dan-hujan-di-kota-bharu.html

http://cetusan-hati.blogspot.com/2010/06/hujan-iringi-pm-terbang-awal.html
Baca seterusnya

16 June 2010

Padan Muka : Kelantan Fiesta 2010 Dipulau Oleh Kerajaan Negeri.. Ini Akibatnya


KOTA BHARU, 16 Jun: Di sebalik pemulauan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak hadir pada majlis itu.

Walaupun mengikut jadual asal, majlis itu akan dirasmikan oleh Najib, tetapi beliau digantikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Lebih mengecewakan penganjur bersama program itu, Red Carpet Worldwide, apabila hanya kira-kira 300 sahaja yang hadir dalam suasana hujan lebat yang turun mencurah-curah selepas Maghrib.

Bahkan, ada di kalangan pengunjung yang berpatah balik kerana tidak selesa berada pada majlis itu, ditambah pula bekalan elektrik turut terputus.

Ini menyebabkan sistem pembesar suara gagal berfungsi yang memaksa Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berucap menggunakan loud hailer.

Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, kerajaan negeri akan memulau majlis perasmian itu yang sepatutnya disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Najib Tun Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV.

Ini kerana, katanya pihak penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berucap.

Tambahnya, penganjur bersama majlis itu, Red Carpet Worldwide Sdn Bhd telah melanggar syarat-syarat perjanjiannya dengan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau yang juga Adun Bunut Payong berkata, mengikut perjanjian asal, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra akan merasmikan fiesta itu dan Menteri Besar turut berucap, tetapi keputusan terbaru tidak membenarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berucap di samping tidak dirasmikan oleh Pemangku Raja.

Ekoran itu, jelasnya semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti persembahan 1,001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar turut dibatalkan.

Sementara itu, Perdana Menteri yang membatalkan untuk merasmikan Kelantan Fiesta itu bergegas pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan pada 10.30 malam.

Ekoran itu, RTM turut membatalkan untuk mengadakan siaran langsung.

Namun, RTM dalam Berita Jam 8 masih lagi mewar-warkan keberangkatan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan untuk merasmikan program Kelantan Fiesta 2010 di samping menyatakan akan menyiarkan program itu secara langsung melalui TV1.

Tindakan terus menghebahkan keberangkatan Pemangku Raja sebagai strategi untuk menarik rakyat Kelantan ke majlis tersebut dan dilihat sebagai tindakan terdesak serta tidak menghormati institusi istana yang jelas melalui surat memaklumkan ‘atas sebab-sebab tertentu’ di mana Pemangku Raja membatalkan hasrat untuk merasmikan karnival itu.

Tindakan Umno negeri yang menaikkan banner dan bunting gambar Najib dan 1Malaysia sebenarnya suatu tindakan menderhaka walapun merasakan itu perancangan terbaik mereka, sebenarnya lebih memualkan rakyat Kelantan yang sememangnya tidak menyahut seruan 1Malaysia

Harakahdaily
Baca seterusnya

Ustaz Idris Ahmad Menjawab Kenyataan Tun Mahathir


Judi: Mahathir fitnah PAS, Prejudis Pada Cina

KUALA LUMPUR, 15 Jun: PAS kesal dengan komentar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dengan isu judi yang dihalalkan oleh kerajaan Umno BN.

“Tuduhan beliau bahawa PAS hanya mengharamkan judi bola sahaja adalah suatu fitnah yang jelas dan isu judi bukanlah isu politik seperti apa yang beliau fikirkan," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, PAS menolak dan mengharamkan semua aktiviti judi di negara ini dan bukan melibatkan perjudian bola sahaja.

Katanya, PAS jauh berbeza dengan Umno di mana walaupun Umno telah memerintah negara selama 12 penggal, namun belum ada usaha dilakukan bagi menghapuskan judi.

Jelasnya, selepas PAS memerintah, Kelantan berjaya menutup premis-premis judi, sementara di Kedah pula usaha menghapuskan judi berjalan secara berperingkat, begitu juga dengan Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Rakyat.

“Kita serius untuk menghapuskan judi dan mendidik rakyat ke arah kehidupan yang bebas dari maksiat,” ujarnya.

Beliau menambah, rakyat juga tahu bahawa lesen perniagaan judi diluluskan oleh Kerajaan Pesekutuan, bukan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri hanya meluluskan lesen premis dan iklan yang kebanyakannya diperolehi oleh tauke judi semasa zaman pemerintahan BN.

Baginya, Mahathir sebenarnya dibayangi dosa-dosanya yang meluluskan judi di negara ini semasa pemerintahannya dan rakyat akan terus mengingati beliau sebagai tokoh pemimpin yang memimpin negara dengan duit hasil judi.

“Beliau mungkin berfikir, jika beliau tidak menyokong dasar Najib hari ini, pastinya orang-orang dalam kerajaan akan mengutuk beliau kerana selama ini beliaulah orang nombor satu yang membantu membangunkan industri judi dalam negara ini,” kata Idris lagi.

PAS juga, katanya amat kesal kerana Mahathir masih bersikap prejudis kepada masyarakat Cina di negara ini yang dalam pemikirannya dianggap sebagai kaum yang suka berjudi.

“Beliau hadir dan berucap dalam perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu semalam dan mencipta prasangka buruk terhadap orang Cina. Perkara ini tidak wajar kerana masyarakat Cina juga bukanlah masyarakat yang suka berjudi dan ucapan beliau ini adalah satu penghinaan,” ujarnya.

Menurutnya, tabiat judi adalah masalah yang dicipta dalam masyarakat bagi melalaikan mereka dan kerajaan mengambil kesempatan daripada golongan yang tidak berilmu itu dengan mengeluarkan lesen bagi mengaut hasil perjudian.

Justeru, kata beliau sewajarnya kerajaan memberikan pendidikan kepada rakyat, memberikan maklumat dan berusaha memerangi gejala judi dalam masyarakat sama macam memerangi gejala dadah.

“Bila judi diharamkan maka rakyat juga tidak akan berani berjudi. Aktiviti judi haram perlu dilihat sama seperti sindiket pengedaran dadah dan hukuman berat wajib diberikan kepada penganjur aktiviti judi,” katanya lagi.

Idris menambah, rakyat perlu diberitahu akan keburukan judi dan mengajak mereka bersama-sama memerangi judi.

Katanya, kerajaan harus menjadi kerajaan yang membantu membina rakyat dan masyarakat ke arah yang lebih positif dan proaktif, bukannya menjadi kerajaan yang meruntuhkan akhlak rakyat.

Justeru, ujarnya lagi, jika kerajaan BN dikekalkan, maka sampai bila pun masyarakat di negara ini akan terus dipersendakan dengan dasar-dasar yang tidak progreasif dan hilang sifat holistiknya.

Harakahdaily
Baca seterusnya

Yayasan Amal Kini Berada Di Mesir


KUALA LUMPUR, 15 Jun: Rombongan Yayasan Amal ke Gaza untuk menguruskan bantuan kemanusiaan kini sampai ke Mesir 13 Jun lalu jam 5 petang waktu tempatan.

Rombongan ini di sertai oleh 5 anggota Amal iaitu Dr Hj Abd Rani bin Osman (Naib Presiden AMAL), Dr Syed Ahmad bin Syed Mohd Ali (AJK AMAL Selangor), Hj Jamsari bin Marsom (AJK AMAL Pusat), Mohd Fauzi bin Abu Samah (Naib Pengerusi 1 AMAL N.Trengganu) dan Hj Mohd Aszmi bin Annuar (AJK AMAL Selangor).

(Gambar: Rombongan yang diketuai Dr Rani Osman bergambar dengan pegawai kedutaan Malaysia di Mesir)

Mereka berlima dalam misi untuk menyelaras bantuan bernilai RM1.5 juta kepada penduduk Palestin yang diserahkan Yayasan Amal sebelum ini.

Sesampai di sanma, mereka telah berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Penerangan telah di berikan oleh Encik Iskandar Harman (SU 3 Kedutaan Besar Malaysia)

Daripada taklimat yang diberikan, kami difahamkan bahawa sehingga terkini pihak kerajaan Mesir telah mengeluarkan arahan baru sebanyak 7 perkara yang antaranya adalah:-

1. Penghantaran bantuan melalui konvoi daratan tidak di benarkan.

2. Penghantaran bantuan melalui kapal laut hanya di benarkan berlabuh di Pelabuhan El Arish. Hanya bahan bantuan berbentuk makanan, minuman dan perubatan yang di benarkan untuk di salurkan. Para sukarelawan tidak di izinkan untuk mengikuti rombongan tersebut.

3. Penghantaran hanya boleh di jalankan melalui Bulan Sabit Merah Mesir (Egyptian Red Crescent). Penderma terpaksa menanggung kos penyimpanan, penyusunan, pengangkutan dan pengendalian barang-barang bantuan.

4. Penderma mestilah mendapatkan kebenaran bertulis dari pihak UNRWA (UN Relief & Work Agency) keatas barang-barang yang perlu di hantar ke Ghaza. Kebenaran ini hendaklah di kepilkan bersama permohonan yang di kemukakan kepada Pihak Berkuasa Mesir ( Egyptian Authority )

5. Kebenaran bertulis perlu di dapati dari pihak berkuasa Mesir sebelum apa-apa penghantaran di buat ke Gaza.

Harakahdaily
Baca seterusnya

15 June 2010

Judi Halal Mengikut Perspektif Mahathir.. Pening


Sokongan kepada langkah kerajaan mengeluarakan lesen judi sukan semakin kedengaran -- hari ini daripada Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) yang berpendapat kerajaan mampu meraih hasil sehingga berjuta ringgit daripada lesen tersebut.

Presiden persatuan itu Datuk Dr Jacob George berkata, sebelum ini hasil tersebut hanya dinikmati oleh sindiket haram yang mengaut keuntungan sehingga berbilion ringgit daripada aktiviti pertaruhan haram tersebut.

Sokongan itu timbul berikutan seruan sama yang disuarakan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang turut mengkritik golongan yang menimbulkan bantahan sebagai "bermotif politik".

"Pendapat kami, dengan membenarkan dan mengawal industri pertaruhan sukan, kerajaan akan menerima lebih banyak hasil sehingga berjuta ringgit, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa, yang boleh disalurkan untuk membantu program kemasyarakatan dan aktiviti seluruh negara," katanya.

Dalam kenyataannya itu, George juga berkata, langkah itu akan membantu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan juga pulangan kepada kerajaan -- pada jumlah boleh mencecah "jutaan ringgit."

"Apa yang kerajaan sedang lakukan ialah meneliti satu situasi ekonomi yang sekiranya tidak dieksploitasi atau dikawal, boleh menjadi medan pengubahan wang haram, pembiayaan kegiatan maksiat, pengedaran dadah dan lebih banyak jenayah berat yang lain.

"Mengenai bantahan daripada pihak tertentu pula, kami berpendapat bahawa bantahan itu setakat ini hanyalah bermotifkan politik dan untuk keuntungan politik sahaja.

"Amat penting bagi kita untuk melihat isu ini daripada perspektif ekonomi, daripada melihat daripada kaca mata politik," katanya lagi.

Baca seterusnya

Kontraktor Yang Sama Menyebabkan Stadium Runtuh


Keselamatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bakal dalam keadaan berbahaya, kata ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming kerana seorang daripada kontraktor yang dipertanggung-jawabkan membina laluan ke istana baru itu adalah kontraktor yang sama membina Stadium Gong Badak di Kuala Terengganu yang runtuh tahun lalu.

Pada kejadian itu, struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bernilai RM300 juta itu runtuh, kurang setahun selepas siap pada 2008 dan digunakan sempena Sukan Malaysia Ke-12 (Sukma) yang Terengganu menjadi tuan rumah. Ia kini tersadai tanpa sebarang usaha pemulihan.

Syarikat yang dipertanggung-jawab membina laluan dari Jalan Duta ke istana baru itu pada kos RM130 juta adalah kontraktor yang sama membina stadium berkenaan.

Sehubungan itu, Ngar hari ini di lobi parlimen mendesak Kementerian Kerja Raya memberi penjelasan mengapa kontraktor yang mempunyai reputasi buruk dibenar terbabit membina Istana Negara yang bakal menempatkan kediaman Yang Dipertuan Agong.

Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kos pembinaan istana baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun.

Semasa sesi soal-jawab semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng berkata istana tersebut dianggar menelan belanja RM400 juta pada tahun 2006 tetapi kini kosnya meningkat kepada RM811 juta.

Kontrak pembinaan istana itu diberikan kepada tiga syarikat melalui perundingan langsung, dan bukan melalui tender terbuka, kata Yong.

Katanya, kontrak tersebut diberikan melalui cara tersebut kerana Istana Negara adalah "unik" dan memerlukan pertimbangan

Baca seterusnya

Tindakan Meluluskan Lesen Judi Adalah Bodoh Dan Dangkal


KUALA LUMPUR, 15 Jun : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Umno berhubung pemberian lesen pertaruhan bola sepak sebagai bodoh dan dangkal.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, ini berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang meminta mereka yang membuat pelbagai dakwaan berhubung perkara itu agar tampil menyumbang idea untuk mencegah isu perjudian haram.

Hishammuddin memberikan kenyataan itu ketika ditanya oleh wartawan selepas menerima kunjungan delegasi Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Tahanan Arbitrari di Parlimen tempoh hari.

Beliau juga menyeru kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) agar memberikan cadangan supaya kerajaan boleh buat keputusan dalam membanteras ekonomi hitam daripada membuat bising.

Terbaru, kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Rally 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil petang kelmarin.

Bagi Nasrudin, Khairy terus menunjukkan kebodohannya dengan mencabar negeri Pakatan Rakyat (PR) agar menutup premis judi yang sedia ada sambil mengatakan bahawa perhimpunan yang akan diadakan oleh PR sebagai tidak lebih daripada ‘mempolitikkan keadaan’.

“Ucapan-ucapan ini jelas menunjukkan sikap ‘hipokrit’ pemimpin Umno selain jelas menunjukkan sikap mereka yang sememangnya tidak cerdik dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, undang-undang jelas menyatakan yang semua lesen perjudian dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan sedangkan kerajaan negeri hanya bertanggungjawab terhadap premis judi sahaja di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1961.

Katanya lagi, premis judi yang ada sekarang ini di bawah negeri PR adalah warisan Umno kerana diluluskan oleh mereka sebelum PR mengambil alih pemerintahan negeri.

“Kemudiannya berkaitan kenyataan yang dibuat oleh Hishammuddin Hussein seolah-olah sebelum ini belum ada pihak yang memberikan cadangan berkaitan judi sedangkan PR umumnya dan PAS khasnya dalam ceramah-ceramah umum serta di dalam Parlimen sentiasa memberikan cadangan agar judi ini dimansuhkan secara total dan diterapkan nilai-nilai agama di dalam masyarakat serta memberikan pendidikan secara mendalam tentang bahaya judi kepada intitusi kekeluargaan dan masyarakat,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan mengambil jalan dengan memekakkan telinga malah membakulsampahkan setiap pandangan yang diberikan kerana sudah memang dasar Umno yang ‘bertuhankan’ keduniaan semata-mata, tetap ‘menghalalkan’ judi kerana pulangan yang lumayan.

Dalam masa yang sama, tambahnya rakyat dibiarkan dalam keadaan yang lalai dan leka dengan sibuk akan hal berjudi tanpa memikirkan apa yang berlaku di sekitar walaupun ianya melibatkan kedaulatan negara dan keruntuhan sosial.

“DPPP mencabar pihak yang mengeluarkan kenyataan ini agar membuat satu usul ke Parlimen supaya sebarang lesen judi yang telah dikeluarkan ditarik balik memandangkan mereka juga ahli Parlimen demi untuk memastikan rakyat Malaysia terpelihara daripada melakukan dosa,” tegasnya.

DPPP juga, tegasnya lagi mencabar Pemuda Umno agar bersama-sama menyertai Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) seperti mana yang ditunjukkan oleh Pemuda Gerakan serta turut sama berdemo pada 3 Julai nanti untuk menghantar memorandum kepada Yang di- Pertuan Agong di Istana Negara.

Baca seterusnya

Kos Istana Baru RM 811 Juta, Tiada Tender Terbuka


Kos pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur, telah meningkat dua kai ganda dalam tempoh empat tahun, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Semasa sesi soal-jawab pagi ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng berkata istana tersebut dianggar menelan belanja RM400 juta pada tahun 2006 tetapi kini kosnya meningkat kepada RM811 juta.

Kontrak pembinaan Istana Negara yang baru itu diberikan kepada tiga syarikat melalui perundingan langsung, dan bukan melalui tender terbuka, kata Yong.

Katanya, kontrak tersebut diberikan melalui cara tersebut kerana Istana Negara adalah "unik" dan memerlukan pertimbangan keselamatan tambahan.

Kenyataannya itu mengundang reaksi daripada Nga Kor Ming (DAP-Taiping) - yang mengajukan soalan tersebut - dengan menyatakan bahawa perundingan langsung itu bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah Model Ekonomi Baru (MEB).
Baca seterusnya

14 June 2010

Adun BN Perak Ada Yang Tak Puas Hati Dengan Zambry

Antara dua MB.. yang manakah pilihan anda?



Kalangan pemimpin Umno di Perak mengakui memang wujudnya rasa tidak berpuas hati, termasuk di kalangan ADUN BN, terhadap Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung peruntukan bagi menjalankan program khidmat masyarakat di kawasan masing-masing.

Sebaliknya, menurut sumber-sumber, perasaan tidak berpuas hati di kalangan pemimpin Umno itu tidak sampai ke tahap untuk melompat keluar parti dan menyertai PKR.

"Dakwaan (melompat parti itu) tidak benar... Kalau dapat ikan bawal, bagi makan ikan bawal sama-sama. Peruntukan tak cukup, tapi kita kerja hingga setengah mati," kata seorang pemimpin Umno yang enggan namanya disebut.

Malaysiakini difahamkan terdapat wakil rakyat yang terpaksa mencari perbelanjaan sendiri untuk menjalankan sesuatu program.

Pemimpin Umno itu diminta mengulas dakwaan Ketua Penerangan PKR Perak Zulkifly Ibrahim bahawa tiga ADUN dikatakan akan melompat parti kerana didakwa tidak berpuashati dengan Zambry (kiri).

Semalam Zulkifly dilapor mendakwa, 12 ketua Umno bahagian di negeri itu juga tidak puashati dengan senario politik di Perak dan merancang untuk menyertai PKR tidak lama lagi.

Beliau memberitahu bahawa rundingan sedang berjalan antara tiga ADUN Umno dengan pucuk pimpinan PKR tetapi enggan mendedahkan nama mereka.

Zulkifly berkata, pucuk pimpinan akan membuat kenyataan rasmi mengenainya tidak lama lagi serta mengumumkan nama tiga ADUN Umno yang akan melompat menyertai PKR.

Sementara itu, Zambry yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri menafikan dakwaan Zulkifly itu dan menyifatkannya sebagai satu pembohongan.

Menjawab soalan, sumber-sumber berkata tindakan PKR membuat dakwaan tersebut kerana "untuk mencari gimik dan nama sahaja".

Ditanya mengenai identiti ADUN BN yang tidak berpuas hati itu, sumber enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

Pautan :


Baca seterusnya

12 June 2010

Masjid Di Sepang Dibakar Lelaki Bangang Yang Mabuk

SAMSUDIN menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar di Sepang, semalam.


Bakar masjid marah bekas isteri kahwin

Berita Harian 10 Jun 2010

SEPANG: Seorang lelaki dipercayai mabuk kerana kecewa bekas isterinya akan berkahwin lain bertindak melepaskan perasaan dengan membakar Masjid Jamiurrahmah di Kampung Limau Manis dekat sini, kelmarin.

Kejadian itu disedari imam masjid, Samsudin Mat Daud, 51, yang tinggal bersebelahan masjid itu kira-kira jam 11.30 malam selepas terhidu asap dan melihat api sudah marak. Samsudin berkata, beliau cuba memasuki masjid itu tetapi mendapati pintu dikunci dari dalam. “Saya kemudian cuba memasuki dari pintu bersebelahan dan mendapati keseluruhan ruang sembahyang sudah hangus terbakar dan ada seorang lelaki tidur berhampiran pintu yang berkunci.

"Saya kenal lelaki itu tetapi tidak berani menegur kerana khuatir dia bersenjata atau cuba menyerang, sebaliknya saya meminta bantuan penduduk kampung yang secara kebetulan berada di kedai makan berhampiran sebelum menghubungi bomba dan pihak polis.

"Lelaki terbabit kemudian melarikan diri selepas disergah penduduk kampung yang cuba menangkapnya," katanya ketika membawa pemberita meninjau kerosakan di masjid terbabit, di sini, semalam.

Beliau menganggarkan masjid yang dibina sekitar tahun 70an itu mengalami kerugian sekitar RM300,000.

Samsudin berkata, bekas isteri lelaki terbabit adalah orang kampung itu dan mungkin dia tidak dapat menerima hakikat bercerai dengan isterinya selain disyaki mungkin menghadapi masalah mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayob, berkata identiti suspek sudah dikenal pasti dan polis kini sedang mencari lelaki terbabit yang disyaki masih berada di kawasan itu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 435 kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat menggunakan api," katanya.

Baca seterusnya

10 June 2010

2 Mahasiswa Yaman Yang Ditangkap Tidak Terlibat Dengan Rangkaian al Qaeda


Kenyataan Rasmi Daripada Presiden Mahasiswa Yaman

Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) memandang serius terhadap kenyataan yang telah disiarkan di dalam akhbar-akhbar berkenaan dengan isu penangkapan 2 orang pelajar Malaysia di Yaman. Oleh yang demikian pihak kami ingin menegaskan bahawa :-

1. Pihak kami menafikan dengan sekeras-kerasnya penglibatan para pelajar Malaysia di Yaman dengan rangkaian Al-Qaeda atau pun mana-mana pertubuhan pengganas.

2. Secara jelasnya tujuan mereka datang ke bumi Yaman adalah untuk mempelajari bahasa arab, dan ditangkap atas dasar tiada permit untuk keluar dari Sana’a bukannya seperti khabar angin yang di gembar gemburkan oleh mana-mana pihak.

3. Mereka yang terlibat tidak berdaftar dengan pihak Persatuan Pelajar Malaysia Yaman dan pihak kami tidak mempunyai sebarang maklumat lengkap mengenai mereka.

4. Maklumat lengkap berkenaan kes ini belum sempurna, oleh yang demikian pihak kami mengharapkan agar tidak ada spekulasi rambang tanpa merujuk dahulu kepada pihak Kedutaan Malaysia di Yaman dan pihak Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA).

Sekian, terima kasih.

Yang berusaha,

Megat Firdaus bin Megat Basri
Presiden
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
Sesi 2010 / 2011
Baca seterusnya

Kursus Di Darul Ifta Disiarkan Di Web JAKIM


Laporan dari Peserta Darul Ifta' Mesir : Kursus Berlangsung dengan Jayanya

Kursus Pengurusan Dakwah dan Pengendalian Fatwa secara rasminya telah bermula pada 3 Mei 2010 di Darul Ifta’ Mesir dan akan berakhir pada 19 Julai 2010. Kursus ini disertai oleh 17 orang pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Mufti Negeri dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sepanjang tempoh 4 minggu Kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai subjek dan pengajian yang berkaitan dengan pengurusan dakwah dan kemahiran kefatwaan contohnya subjek Usul Fiqh, Fiqh Perbandingan, Ekonomi Islam, Aqidah dan Akhlak, Aplikasi Fiqh Semasa, Adab-adab komukasi dakwah dan sebagainya.

Antara tokoh ilmuan yang telah memberikan mutiara ilmu sepanjang Kursus ini ialah Sheikh Prof. Dr. Muhd. Wasil (Timbalan Sheikhul Azhar), Sheikh Prof. Dr. Abdul Fatah Sheikh (mantan Rektor Universiti Al- Azhar), Sheikh Prof. Dr. Hamid Muhammad Abu Talib (Dekan, Kuliyyah Syariah Universiti Al- Azhar), Sheikh Prof. Dr. Abdul Halim Omar (Profesor Ekonomi Universiti al- Azhar dan anggota Akademi Fiqh Islam Antarabangsa) dan lain- lain.

Dalam kepadatan jadual pengajian harian, para peserta Kursus juga telah membuat beberapa lawatan rasmi kepada institusi dan tokoh seperti berikut;

i) Kedutaan ke Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir pada 10Mei 2010

ii) Lawatan rasmi kepada Sheikh Sayyid Ali Abdul Majid Abd al-Sami’, Hakim Majlis Tilawah Al- Quran Peringkat Antarabangsa anjuran Jakim pada 14 Mei 2010

iii) Perpustakaan Universiti al- Azhar pada 19 Mei 2010

iv) Pejabat rasmi Sheikh Ali Jumaah, Mufti Negara Mesir di Darul Ifta’ Mesir pada 25 Mei 2010

Sempena lawatan kunjung hormat kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah Mesir, Y.Bhg. Tuan Shaiful Anuar Mohamad, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah, Mesir, dalam ucapan belau telah mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada seluruh peserta Kursus kerana telah terpilih mewakili Jabatan masing-masing untuk mengikuti Kursus ini. Beliau juga telah berpesan kepada para peserta untuk menggali sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman sepanjang Kursus berlangsung untuk dipraktik dan diaplikasikan mengikut acuan Malaysia untuk manfaat negara.

Di Perpustakaan Universiti Al-Azhar pula, para peserta telah didedahkan dengan khazanah-khazanah ilmiah, koleksi kitab, manuskrip klasik serta bahan kajian berusia ribuan tahun yang masih disimpan di perpustakaan tersebut. Para peserta juga telah dipersembahkan dengan kerja-kerja penyelenggaran khazanah klasik oleh pegawai perpustakaan.

Sementara itu, semasa sesi lawatan rasmi ke pejabat rasmi Mufti Negara Mesir di Darul Ifta’ Mesir, Sheikh Ali Jumaah telah menyampaikan amanat kepada seluruh peserta kursus untuk menguasai ilmu turath dan ilmu- ilmu berkaitan kefatwaan sebaik mungkin untuk diaplikasikan dalam konteks semasa pada hari ini.



Sheikh Prof. Dr. Muhammad Abdul Aziz Wasil, Timbalan Sheikhul Azhar sedang menyampaikan syarahan.




Tuan Haji Abdul Karim bin Zakaria, Ketua Peserta Kursus menyampaikan cenderamata kepada Tuan Shaiful Anuar bin Mohamad, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Mesir




Tuan Shaiful Anuar Mohamad sedang menyampaikan amanat.

Tarikh : 08 Jun 2010
Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM
Editor : PRO JAKIM
Baca seterusnya

06 June 2010

Penaja Misi Rachel Corrie Tuntut Pembebasan Segera


Pertubuhan Damai Perdana Global (Perdana Global) menuntut pembebasan segera tanpa syarat kesemua aktivis damai, pekerja bantuan kemanusiaan dan anak-anak kapal Rachel Corrie yang dirampas secara haram oleh Pasukan Pertahanan Israel.

Penasihatnya Datuk Mukhriz Mahathir berkata delegasi Malaysia terdiri daripada anggota Parlimen Mohd Nizar Zakaria, anggota Perdana Global Shamsul Akmar, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta dua anggota akhbar, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin dari TV3.

Mereka disertai di atas kapal oleh bekas Penolong Ketua Setiausaha Pertubuhan Bangsa Bersatu Dennis Halliday, Pemenang Hadiah Nobel Mairead Maguire, Derek dan Jenny Graham dari Free Gaza Movement dan pembikin filem dokumentari Fiona Thompson.

"Tindakan tidak bermoral dan tidak dapat diterima itu oleh Pasukan Pertahanan Israel merampas Rachel Corrie dari perairan antarabangsa sebelum sampai di pelabuhan Gaza adalah satu tindakan lanun," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada Sabtu malam.

Beliau berkata: "Israel telah melakukan jenayah serius di lautan lepas. PGPO menuntut semua rakyat Malaysia dan warga negara lain di atas kapal Rachel Corrie dibebaskan segera tanpa diapa-apakan".

Mukhriz mengulas rampasan MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikepong Israel, oleh tentera laut regim itu pada kira-kira 2.45 ptg (Waktu Malaysia) hari ini dan kemudian dikemudi ke pelabuhan Ashdod.

"Tindakan primitif dan unilateral seumpama itu (oleh Israel) mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

"Kami menggesa rakyat Malaysia dari semua agama dan kepercayaan agar mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang diculik, begitu juga anggota-anggota lain kapal bantuan kemanusiaan itu," kata beliau.

Beliau berkata rakyat Malaysia mesti bersatu menentang ketidakadilan dan kekejaman rejim Zionis terhadap anggota-anggota kapal perdamaian untuk menamatkan kepungan yang tidak boleh diterima dan membantu meringankan penderitaan rakyat Gaza yang berani dan tidak berdosa.

Misi bantuan itu ditaja oleh Perdana Global, sebuah NGO Malaysia. Kapal Rachel Corrie diberi nama sempena seorang wanita Amerika yang terbunuh oleh jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, ketika membantah perobohan rumah-rumah oleh rejim itu.

- Bernama
Baca seterusnya

12 Sukarelawan Misi LL4G Selamat Tiba Di Kuala Lumpur


SEPANG, 6 Jun: Seramai 12 sukarelawan negara ini yang ditawan oleh tentera rejim Israel pagi Isnin lepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.45 pagi ini. (waktu Mesir jam 12 malam tadi)

Mereka yang berlepas dari Istanbul, Turki adalah aktivis dan wakil media yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel itu.

Maklumat laman web Lifeline4Gaza sebelum ini menyatakan mereka terdiri daripada ketua misi daripada HaluanPalestin, Noorazman Mohd Samsuddin bersama empat rakannya, Dr Mohd Arbai’e Syawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, Al-Hami Husain Suhaimi dan Mohd Nizam Mohd Awang.

Selain mereka ialah Hasanuddin Mohd Yunus (Aqsa Syarif), Jamuliddin Elias (Yayasan Amal), Dr Selamat Aliman (JIM), Abdul Halim Mohd Redzuan (Muslim Care), Mustafa Mansur (Mapim) serta wartawan dan jurukamera Astro, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latif.

Baca seterusnya

04 June 2010

50 000 Berdemo Membantah Israel.. Mangkuk Punya Israel!


KUALA LUMPUR, 4 Jun: Lebih 50 ribu menyertai perarakan dari Kg. Baru ke Keduataan Amerika siang tadi bagi membantah kekejaman tentera Zionis Israel menyerang konvoi kemanusian antarabangsa ke Gaza awal minggu ini.

Himpunan anjuran Pakatan Rakyat bersama NGO itu diketuai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

___________

3.48 petang: Perhimpunan disudahi dengan bacaan doa oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa dan bersurai secara aman.

3.38 petang: Ustaz Nasarudin Mat Isa dalam sidang medianya berkata, perhimpunan ini melangkaui agama dan kaum bagi menyatakan bantahan kepada Washington berhubung tindakan kejam Israel Zionis.

Perhimpunan ini juga katanya menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah rela di atas pengainayaan zionis Israel.

3.32 petang: Penyerahan memorandum selesai dan delegasi keluar dari bangunan kedutaan.

Anwar dalam sidang media memberitahu, dalam pertemuan bersama Duta Besar Amerika Syarikat itu, Pakatan Rakyat dan NGO memohon untuk disampaikan memorandum tersebut secara terus kepada Presiden US, Barack Obama.

Dalam responnya, Duta Amerika itu kata Anwar berjanji akan menyerahkan sendiri memorandum tersebut kepada Obama minggu hadapan.

Pakatan Rakyat juga menjelaskan kepada duta besar tersebut bahawa tindakan kejam Israel terhadap konvoi kemanusiaan itu adalah disebabkan Amerika terlalu lembut menasihati israel.

3.30 petang: Turut berucap adalah Mohamad Sabu, Dr. Mahfodz Mohamad, Ustaz Azlee Musa dan Mustafa Akmil Ayub di hadapan menara See Hoy Chan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat.

3.25 petang: Sementara menunggu delegasi serah memorandum selesai, pimpinan pakatan rakyat yang lain sedang memberi ucapan di hadapan lebih 50 ribu peserta himpunan. Antara yang berucap adalah Salahuddin Ayub dan Dr. Hatta Ramli.

3.10 petang: Polis membenarkan lima pimpinan utama iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Lim Kit Siang, Azmin Ali dan Syed Husin Ali untuk masuk ke bangunan kedutaan menyampaikan memorandum kepada pihak kedutaan US.

3.00 petang: Perarakan tiba berada di hadapan kedutaan. Kumpulan perarakan ditahan pihak polis kira-kira 20 meter sebelum tiba di hadapan kedutaan. Pimpinan yang mengepalai perarakan kini sedang berbincang dengan pihak polis. Turut serta Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharudin Mat Isa dan Lim Kit Siang.

2.55 petang: Perarakan bersambung semula dan hampir tiba di hadapan bangunan Kedutaan.

2.51 petang: Dr. rani dari Yayasan Amal berucap menyatakan bukan sahaja orang Islam malah orang Kristian juga turut membela Palestin dan tidak boleh menerima tindakan kejam Israel.

2.50 petang: Perarakan sudah berada di hadapan menara Tabung Haji. Peserta barisan hadapan berhenti menunggu peserta barisan belakang tiba untuk sama-sama bergerak ke kedutaan US.

2.47 petang: Perarakan tiba di simpang menara Tabung Haji. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Pengerusi Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid turut serta menaiki kenderaan pacuan empat roda mengepalai perarakan bersama pimpinan PAS.

2.38 petang: Peserta himpunan kini sudah berarak melepasi bangunan KLCC menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat.

2.35 petang: Dianggarkan lebih 50 ribu orang sedang berarak menuju ke Kedutaan US dan akan bergabung dengan sebahagian besar peserta himpunan yang sedang menunggu di sana.

2.30 petang: Terdapat empat buah trak ditempatkan di hadapan bangunan kedutaan. Wakil Aqsa Syarif Selangor sedang menyampaikan ucapan di hadapan kedutaan dan melaungkan 'Zionis Terrorist'. FRU mula memperketat kawalan.

Timbalan Presiden JIM, Syed Ibrahim Syed Noh berkata mereka berkumpul untuk mengutuk tindakan Israel dan menghargai usaha Turki memberikan kapal untuk misi kemanusiaan.

2.28 petang: Perarakan kini berada di hadapan Hotel Renaissance menuju ke Jalan Tun Razak. Kira-kira 3km untuk sampai ke Kedutaan Amerika Syarikat. Perarakan turut diiringi pihak Polis. Sekurang-kurangnya 7 buah trak FRU ditempatkan di Jalan Sultan Ismail.

2.20 petang: Sekumpulan NGO sudah menghampiri Keduataan Amerika dan melaungkan 'hancur Yahudi'.

2.10 petang: Lebih 1,000 orang terdiri daripada NGO berkumpul di Masjid Tabung Haji dan sedia bergerak ke Kedutaan Amerika. Sebuah trak polis berada di hadapan kedutaan. Sebuah helikopter berlegar-legar di ruang udara sekitar Masjid Tabung Haji dan Kedutaan Amerika.

2.05 petang: Perarakan dimulakan, pimpinan yang berada dibarisan hadapan termasuklah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Kamarudin Jaafar, Dr. Lo'lo' Ghazali, Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Saleh.

1.55 petang: Kg. Baru- Peserta mula berkumpul di hadapan masjid selepas selesai solat Jumaat sebentar tadi.

Pasukan Unit Amal mula mengawal keadaan. Poster bantah Israel mula diedar kepada peserta di hadapan pagar masjid.

Perarakan akan bermula bila-bila masa sebentar lagi. Pasukan anggota polis mula berkawal.

Baca seterusnya

03 June 2010

Mahasiswa Malaysia Di Syria Mengecam Tindakan Israel


Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) hari ini melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab dan kejam regim Zionis Israel yang menyerang armada kapal induk Mavi Marmara yang membawa misi kemanusiaan konvoi bantuan antarabangsa Gaza dan secara tidak langsung menahan kesemua aktivis yang berada dalam armada tersebut.

Konvoi kemanusiaan Gaza-Freedom Fotilla ini adalah kali ke-4 yang membawa 7 buah kapal dan membawa sejumlah besar aktivis sukarelawan dari seluruh dunia bagi menghantar bantuan kemanusian kepada seluruh penduduk di Gaza.

PPMS menyeru kepada semua Ahli PPMS terutamanya, dan seluruh rakyat Malaysia supaya solat hajat & doa qunut nazilah bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan seluruh tahanan yang berada di bawah Israel daripada kekejaman Israel dan kita pohon supaya perbuatan terkutuk ini dibalas oleh Allah s.w.t.

Dalam masa yang sama, marilah kita memboikot barangan Israel dan kuncu-kuncunya dalam melahirkan rasa tidak puas hati kita terhadap tindakan tidak perikemanusiaan Israel dan rasa simpati kita terhadap sahabat kita yang berada dalam tahanan Israel.

Baca seterusnya
 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal