17 June 2010

Militan : Sandiwara Kerajaan Untuk Alih Tumpuan Rakyat


KUALA LUMPUR, 17 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tindakan kerajaan menggunakan media untuk menggembar-gemburkan isu kemunculan semula kumpulan Jamaah Islamiah (JI) di tanah air semata-mata bertujuan untuk mengalihkan tumpuan rakyat kepada beberapa isu lain yang mencalar kredibiliti para pemimpin Umno BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, tindakan tersebut bertujuan untuk mengalihkan amarah rakyat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I kerana meluluskan lesen judi sukan sempena Piala Dunia 2010, baru-baru ini.

Katanya lagi, dengan menimbulkan isu JI, tumpuan rakyat boleh dialihkan daripada memprotes isu penyerahan tanah bernilai tinggi milik KTM di Tanjong Pagar kepada kerajaan Singapura.

Tambahnya lagi, dengan berbuat demikian juga membolehkan tumpuan rakyat pada isu penyerahan dua blok minyak iaitu Blok L dan Blok M kepada kerajaan Brunei Darussalam tanpa melalui Parlimen.

“Saya lihat ini semua suatu cubaan Umno BN untuk alih isu judi sukan dan beberapa isu besar melibatkan kedaulatan negara, seperti pemindahan beberapa aset negara yang diserahkan kepada pihak swasta tertentu,” tegas beliau pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mewakili Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menegaskan bahawa mereka tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti bawah tanah.

“Kita berpendirian bahawa sikap melampau tidak perlu dipertahankan,” tegas beliau.

Disebabkan itu, beliau memberi amaran kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya tidak sewenang-wenangnya menahan rakyat tanpa bicara sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menimbulkan rasa ragu dengan pengakuan Hishammuddin dan Musa berhubung tangkapan 10 warga asing yang kononnya anggota JI.

“Kalau kesemua 10 warga asing ini saspek JI, mengapa mereka tidak dibicarakan (tetapi) terus dihantar pulang ke negara masing-masing,” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak terkeliru oleh permainan media oleh kerajaan kebelakangan ini.

“Saya minta jangan ada rakyat terkeliru dengan semua ini, semuanya semata-mata untuk alih tumpuan kita pada isu yang lebih utama,” tambah beliau.

Senada dengan Anwar, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut mempersoalkan motif di sebalik tindakan Musa membuat pengakuan dalam media arus perdana berhubung penangkapan suspek yang dikatakan anggota-anggota JI terbabit.

“Kalau dia (Musa) menganggap ia (JI) sebagai isu keselamatan, mengapa diumumkan kepada rakyat umum, mengapa diumumkan pada media massa,” soal Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Melihat pada tindak-tanduk tersebut, beliau dalam nada berseloroh mendakwa bahawa Musa mungkin mahu kekal mendapat sokongan Najib untuk menjadi KPN.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan Yusmadi Yusoff (Balik Pulau).

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal