Selepas ini, saya akan menduduki peperiksaan subjek Falsafah tahun 3. Alhamdulillah, saya telah membuat ringkasan berkenaan kitab ini. Kitab yang bertajuk "Falsafah Islamiah, Qadhaya Wa Munaqasyat", yang telah dikarang oleh Dr Sami Afifi Hijazi, setebal 322 muka surat.
Sebelum kita membaca ringkasan ini, suka untuk saya sebutkan bahawa di dalam kitab ini mempunyai 2 Bahagian Utama.
a) Bahagian Pertama menceritakan falsafah secara umum.
b) Bahagian Kedua pula mengkhususkan perbahasan di dalam Falsafah Islam.
Bahagian pertama adalah silibus kedua, Subjek Falsafah Ammah tahun 2. Falsafah Am tahun 2 terdapat dua Bahagian Besar. Bahagian kedua tersebut telah dibuang, dan dipindahkan ke Bahagian Pertama tahun 3.
Di dalam ringkasan ini, saya lebih suka untuk meringkaskan "Bahagian Kedua" daripada kitab ini, yang mengkhususkan tentang Falsafah Islam. Insya Allah...
BAHAGIAN KEDUA
FALSAFAH ISLAM (SILIBUS TAHUN 3)
KITAB FALSAFAH ISLAMIAH, QADHAYA WA MUNAQASYAT
Sebelum ini, telah diterangkan tentang falsafah secara umum. Di dalam bab kedua ini, akan diperincikan pula tentang Falsafah Islam.
Bab Pertama :
Faktor-faktor Kemunculan Falsafah Islam
Falsafah Islam muncul disebabkan tiga perkara utama, iaitu :
a. Manhaj al Quran
b. Percampuran Arab dan masyarakat luar
c. Gerakan penterjemahan
Manhaj al Quran
al Quran sendiri penuh dengan bentuk-bentuk yang menggalakkan manusia supaya berfikir, dan mengembangkan pemikiran manusia. Maka, ia membentuk pemikiran falsafah, yang selari dengan prinsip pemikiran yang sebenar.
a) al Quran menyuruh berfikir dan larangan taqlid
Maksudnya : Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur) (Surah ar Rum : 50)
Maksudnya : (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? (Surah al Ghasyiah : 17-20)
b) al Quran menjawab beberapa persoalan
Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. (al Isra : 85)
Percampuran Masyarakat Arab Dan Masyarakat Luar
Faktor kedua ialah percampuran masyarakat Arab dengan masyarakat bukan Arab. Antaranya :
a) Pengaruh Parsi dalam pemikiran Syi’ah terhadap Saidina Ali KAW yang melahirkan golongan pelampau. Maka muncul Muktazilah untuk menolak segala dakwaan tersebut dengan menggunakan falsafah dan pemikiran.
b) Kemunculan Zaradasht, Mani, Mazdak dan sebagainya pada akhir Khilafah Umawiyah dan Abbasiah. Maka, timbullah gerakan yang berusaha untuk menolak segala dakwaan batil golongan-golongan sesat ini.
Gerakan Penterjemahan
a) Mula muncul pada zaman Umawiyah, tetapi agak kurang. Ia semakin berkembang pada zaman Abbasiah, ketika khilafah Abu Ja’far al Mansur.
b) Pada zaman Khalifah Ma’mun, beliau mengembangkan lagi gerakan penterjemahan ini dengan menubuhkan Darul Hikmah, yang telah diletakkan di bawah kelolaan Hunain bin Ishaq, yang terkenal dengan pengetahuan thaqafah luar.
c) Antara penterjemah yang masyhur, Ibnu al Muqaffa’, Hunain bin Ishaq, Abul Bisyr Mata bin Yusof dan lain-lain.
d) Menterjemah kitab-kitab dalam bahasa lain, terutamanya Bahasa Yunan, ke dalam Bahasa Arab. Antaranya kitab perubatan, ilmu falak, sains, matematik, dan karangan-karangan Plato dan Aristotle.
Beberapa faktor berkembangnya gerakan penterjemahan ini, ialah :
a) Berlakunya perdebatan atau perbincangan akidah di antara Islam dan agama-agama lain.
b) Keinginan dan minat khulafa’ pada zaman tersebut, terhadap ilmu pengetahuan luar. Antaranya Khalid bin Yazid pernah disuruh berhenti daripada aktif dalam bidang politik, supaya menumpukan dalam bidang kajian kimia.
c) Tersebarnya gerakan-gerakan pemikiran yang didahului oleh Muktazilah, yang membina akidah di atas asas-asas pemikiran
bersambung..
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
1 comments:
Boleh cerita tentang falsafah ammah tak
Post a Comment