23 May 2010

Dakwah Bukan Ekstrim - Us Zahid


Us Zahid (link)

Dalam menongkah era milenium, Islam sentiasa dikaitkan dengan keganasan. Setiap perkara dan amalan yang benar-benar menepati syara’ dilabelkan dengan ekstrim dan teroris. Semangat jihad yang seharusnya menyinari jiwa syabab al-Islam mulai kabur dek kerana kefahaman terhadap jihad telah dikelirukan dengan penafsiran palsu oleh musuh-musuh Islam.

Label teroris terhadap para da’ie telah berjaya menjauhkan al-syabab dari berintima’ dengan gerakan dakwah yang merupakan perjuangan suci di dalam Islam.

Tempias dari penafsiran kotor dan keji ini telah membasahi pemikiran kebanyakan mahasiswa Islam seluruh dunia. Kehadiran mereka ke institusi pengajian tinggi adalah semata-mata untuk memberikan penumpuan seratus peratus dalam pembelajaran, tanpa sekelip pun memandang ke arah masalah global.

Kebersamaan dalam aktiviti persatuan lebih-lebih lagi yang berorientasikan tarbiah dan dakwah bukan lagi satu signifikan keberadaan mereka di kampus pengajian. Malah, ada yang beranggapan, aktiviti ini merencatkan proses kematangan ilmu yang sedang digali di sini.

Senario ini merupakan ghazwah al-fikr (serangan pemikiran) yang direncanakan oleh musuh-musuh Islam dalam memastikan kekangan terhadap gerakan dakwah dapat direalisasikan. Di sinilah peranan kita sebagai mahasiswa Islam yang telah ditarbiah dalam suasana biah solehah untuk memastikan masyarakat sekitar kita nanti tidak terkena tempias pemalsuan ini.

Sedarlah, mahasiswa Islam adalah dai’e yang menjunjung amanah Allah bagi menjana ummah gemilang dengan memikul peranan besar sebagai penggerak dan pembangun masyarakat untuk mengembalikan semula kecemerlangan Islam. Yakin serta percayalah, masyarakat sedang menanti penangan kita selaku tholib al-ilmi yang diharap mampu memimpin umat ke arah syurga Allah SWT dengan ilmu pengetahuan yang telah kita pelajari.

Tanamkanlah dalam diri kita bahawa syurga Allah bukan untuk kita seorang. Berusahalah dengan sekerasnya-kerasnya dalam lapangan dakwah agar setiap hamba Allah yang mengucap dua kalimah syahadah dapat bersama-sama kita di dalam syurga Allah kelak.

Di sini, saya ingin menegaskan bahawa da’ie bukanlah teroris. Gerakkan dakwah bukannya ekstremis. Dakwah yang kita dokongi ini, digerakkan melalui muzakarah berkelompok yang dipimpin oleh fasilitator dengan berkonsepkan nasihat dan teguran bagi mencapai hadaf dan tujuan. Menyentuh perspektif humanistik dari segi akhlak agar mampu memanifestasikan tugas dan kewajipan kita dalam usaha mengubah situasi kehidupan masyarakat.

Qudwah yang ditonjolkan oleh para fasilitator merupakan aset penting untuk kejayaan muzakarah berkelompok yang kita gerakkan. Menyatukan jiwa-jiwa kita dengan ikatan ukhuwwah Islamiyyah dan dikemaskan lagi dengan ribath al-Aqidah yang senantiasa harum subur di hati. Dimanakah yang dikatakan ekstrimis dan teroris pada dakwah kita? Inilah antara konspirasi barat dalam menjerat aktivis Islam.

Dr. Yusuf al-Qardhawi menyatakan : “Keganasan harus diperangi dengan perdebatan yang merupakan aktiviti pemikiran. Jika kita memerangi keganasan dengan melakukan keganasan yang serupa, kita memerangi pengganas dengan senjata dan cara yang sama, maka bererti kita juga adalah pengganas” (Antara Pengganas Dan Mujahidin Tulen).

Nabi s.a.w berjihad untuk menegakkan syiar Islam selama dua puluh tiga tahun dengan ketajaman semangat yang tidak pernah tumpul. Jihad yang sedikit pun tidak dinodai dengan perasaan malas walaupun baginda jarang benar berehat demi untuk memastikan umatnya yang dicintai, terlepas dari ancaman neraka.

Kesungguhan dan keutuhan jihad baginda ini adalah bertunjangkan keyakinan baginda bahawa untung nasib umatnya di akhirat terletak atas kepatuhan mereka kepada Allah atau sebaliknya.

Justeru, saya mengharapkan agar sahabat-sahabat ahli PMRAM, setia memberikan khidmat seadanya terhadap organisasi yang kita dukungi ini. Mudah-mudahan, komitmen yang kita berikan dapat menyerlahkan PMRAM sejajar dengan matlamat dan dasar penubuhannya.

Saya memohon kepada Tuhan yang membolak-balikkan hati agar menetapkan hati-hati kita thabat dalam agama ini serta mejadikan kita penyambung gerakkan dakwah Rasulullah agar penghayatan cara hidup Islam kembali menjadi kelaziman bagi umat Islam seluruhnya.

“Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah”

Mohd Zahid Bin Abu Bakar
Timbalan Setiausaha Agung 2010
Persektuan Melayu Republik Arab Mesir

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal