23 May 2010

Ringkasan Kitab Syarah Mawaqif (Siri 5)

Seterusnya, sambungan daripada ringkasan-ringkasan sebelum ini, tibalah di Maslak Ketiga, dalam membuktikan kewujudan Allah SWT..

Keenam : Sebahagian Golongan Terkemudian

Syeikh Idhoduddin al Ijie tidak menyatakan siapakah yang dimaksudkan dengan golongan ini. Syarif al Jurjani mensyarahkan, bahawa golongan ini antaranya seperti Imam Sahrwardi. Golongan ini mengemukakan bukti kewujudan Allah, tanpa membahagikan kewujudan kepada alam dan wajib sepertimana sebelum ini.

Tetapi mereka hanya berdalilkan kepada kewujudan “mungkin” secara “mungkin. Iaitu kewujudan makhluk (mungkin) secara hakiki. Contohnya dengan menyatakan bahawa alam ini terbentuk daripada “jauhar” yang bergabung. Maka, jelas menampakkan kewujudan alam yang mungkin.

Dalil Golongan Kontemporari Tentang Kewujudan Allah

1. Alam ini terbentuk daripada gabungan jauhar (atom) yang tidak terbilang. Maka, sudah pasti memerlukan kepada kuasa untuk menggabungkannya.

Tidak mungkin ia tergabung dengan sendiri, kerana alam yang tercipta ini adalah hasil gabungan yang begitu sistematik. Sekiranya ia tergabung dengan sendiri, sudah pasti gabungan tersebut mempunyai kecacatan, sedangkan ciptaan Allah tiada sebarang kecacatan.

2. Alam ini terlalu banyak makhluk yang “mungkin wujud”. Maka setiap makhluk ini memerlukan kepada kuasa untuk mewujudkannya. Sekiranya kita mengatakan kuasa itu adalah Allah, itulah yang kita ingini. Sekiranya kita mengatakan bahawa kuasa tersebut adalah makhluk yang bersifat mungkin, maka akan berlakukan kuasa yang berbilang-bilang, disebabkan banyaknya makhluk.

Maka, akan terhasil empat perkara ini :

a. Sebahagian makhluk menjadi penyebab kewujudan sebahagian makhluk yang lain.

b. Penyebab yang mewujudkan itu, dalam masa yang sama dia diwujudkan oleh penyebab yang sama.

c. Makhluk itu menjadi penyebab kewujudan dirinya sendiri

d. Makhluk itu menjadi penyebab kewujudan makhluk itu sendiri secara umum

Kesimpulannya, semuanya adalah mustahil. Ini kerana, setiap makhluk yang bersifat mungkin mestilah bersandar dengan satu Kuasa yang bukan makhluk sepertinya. Sekiranya makhluk bersifat mungkin wujud, maka Kuasa itu adalah Wajib Wujud, itulah Allah SWT.

Daripada dalil ini, tertolaklah 3 perkara :

a. Penyebab kewujudan makhluk adalah dirinya sendiri

b. Penyebab kewujudan makhluk adalah sebahagian makhluk yang lain

c. Penyebab kewujudan makhluk adalah dari kalangan makhluk juga

Maka, hasil daripada dalil ini :

a. Makhluk yang “mungkin wujud” bersifat “memerlukan”

b. Keperluannya itu, bukanlah kepada makhluk sepertinya

c. Makhluk yang “mungkin wujud” pastinya bersandar kepada Kuasa yang luar daripada konteks makhluk, atau dengan kata lain “bukan makhluk”, iaitu Allah

Kesimpulannya, Allah itu Wajib Wujud, dan makhluk pasti memerlukan kepadaNya

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal