Dari Manakah Kemunculannya?
Di dalam bab ini akan membincangkan tentang tempat kemunculan Dajjal. Dari manakah arah kemunculannya? Maka, mari kita meneliti berdasarkan hadis-hadis yang disebutkan tentang tempat kemunculannya.
عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا : أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: أَلاَ إِنَّهُ فِي بَحْرِ الشَّأْمِ أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ ، لاَ بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ
Daripada Fatimah binti Qais, Rasulullah SAW bersabda : “Ketahuilah bahawa ia (Dajjal) sedang berada di Laut Syam, atau Laut di Yaman. Ya, ia akan muncul dari arah timur, itulah arahnya. Dari arah timur, itulah tempat kemunculannya. Dari arah timur, itulah tempat kemunculannya. (sambil menundingkan jarinya ke arah timur) (Shahih Muslim : 5235)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَخْرُجُ الدَّجَّالُ مِنْ هَاهُنَا ( وَأَشَارَ نَحْوَ الْمَشْرِقَ )
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : Dajjal akan muncul dari arah ini (sambil menundingkan jari ke arah timur) (Shahih Ibnu Hibban : 6792)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ أَبَا القَاسِمِ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: يَخْرُجُ أَعْوَرُ الدَّجَّالِ مَسِيْحُ الضَّلاَلَةِ قِبَلَ الْمَشْرِقِ فِيْ زَمَنِ اخْتِلاَفِ مِنَ النَّاسِ وَفِرْقَةٍ،
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata : Aku mendengar Abu Qasim yang berkata benar, dan dipercayai (Nabi Muhammad )SAW bersabda : Dajjal yang bermata cacat dan menyesatkan akan keluar dari arah timur, ketika berlakunya perpecahan di kalangan manusia... (Majma’ Zawa’id : 12543)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَيَنْزِلَنَّ الدَّجَّالُ خُوزَ وَكَرْمَانَ فِي سَبْعِينَ أَلْفًا وُجُوهُهُمْ كَالْمَجَانِّ الْمُطْرَقَةِ
Daripada Abu Hurairah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Dajjal akan tiba di Khuz dan Kirman bersama 70 000 orang tentera. Wajah mereka seperti berlapis-lapis (Musnad Imam Ahmad : 8099)
عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ ، قَالَ : قَالَ أَبُو بَكْرٍ : هَلْ بِالْعِرَاقِ أَرْضٌ يُقَالُ لَهَا خُرَاسَانُ ، قَالُوا : نَعَمْ ، قَالَ : فَإِنَّ الدَّجَّالَ يَخْرُجُ مِنْهَا
Daripada Sa’id bin Musayyib : Saidina Abu Bakar RA berkata : Adakah terdapat di Iraq satu tempat yang bernama Khurasan? Mereka berkata : Ya.. Beliau berkata : Sesungguhnya Dajjal akan keluar dari arah sana (Musnad Ibnu Abi Syaibah : 38654)
عَنْ أَبَي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، أَنَّهُ قَالَ : يَخْرُجُ الدَّجَّالُ مِنْ مَرْوَ مِنْ يَهُودِيَتِهَا
Daripada Abu Bakar RA, beliau berkata : Dajjal akan keluar dari Marwa, dari kalangan Yahudi yang terdapat di sana (Kanzul Ummal : 27948)
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ الدَّجَّالُ مِنْ يَهُودِيَّةِ أَصْبَهَانَ مَعَهُ سَبْعُونَ أَلْفًا مِنْ الْيَهُودِ عَلَيْهِمْ السيجان
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda : Dajjal akan muncul dari kalangan Yahudi Asfahan, turut bersama dengannya sebanyak 70 000 orang Yahudi yang memakai selendang hitam (atau berpakaian serba hitam) (Musnad Imam Ahmad : 13344)
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ : يَخْرُجُ الدَّجَّالُ مِنْ كُوثِى ، أَرْضٌ بِالْعِرَاقِ
Daripada Abdullah bin Amr RA, beliau berkata : Dajjal akan keluar dari Kuthi, di bumi Iraq. (Musannif Ibnu Abi Syaibah : 38693)
Kesimpulan
Apabila kita merujuk kepada hadis Nabi SAW, tempat-tempat kemunculan Dajjal antaranya ialah, timur, Kuthi, Iraq, Asbahan, Marwa, Khuz, Kirman dan sebagainya. Secara terperincinya tempat-tempat tersebut ialah :
1. Asbahan, juga dipanggil Asfahan. Tempat ini terletak di Parsi, iaitu Negara Iran.
2. Kuthi adalah sebuah tempat di Iraq.
3. Khuz adalah sebuah bangsa yang hidup di Kirman. Iaitu tempat yang terletak di Iran.
4. Marwa pula bukanlah Moro di Filipina. Tetapi ia adalah antara negeri yang terbesar di Iran.
Maka, apa yang dapat disimpulkan ialah perbezaan tempat-tempat tersebut menunjukkan arah perjalanannya. Di dalam hadis lain menyebut :
عَنْ النُّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ الكِلاَبِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ؛ قَالَ : ذَكَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم الدَّجَّالَ ذَاتَ غَدَاةٍ ... فَذَكَرَ الْحَدِيثَ بِطَوْلِهِ ، وَفِيْهِ : إِنَّهُ خَارِجٌ خَلَّةً بَيْنَ الشَّامِ وَالْعِرَاقِ ، فَعَاثَ يَمِيْنًا وَعَاثَ شِمَالاً ، يَا عِبَادَ اللهِ فَاثْبُتُوا
Daripada Nuwwas bin Sam’an al Kilabi RA, beliau berkata : Satu hari, Rasulullah SAW bercerita tentang Dajjal, lalu menyebutnya dengan panjang lebar.. di antara yang disebut ialah : “Sesungguhnya ia (Dajjal) muncul di antara Syam dan Iraq, lalu dia merosakkan apa yang di sekitarnya.. Wahai hamba-hamba Allah, teguhkanlah peganganmu... (Kanzul Ummal : 38740)
Apabila dibandingkan dengan hadis-hadis yang lain, kita akan mendapati bahawa serangan Dajjal dilakukan disekitar kawasan Negara Arab. Iaitu di antara Syam dan Iraq, dan beberapa kawasan lain yang menjadi laluannya.
Kedudukan Syam ialah longitudnya dari Sungai Euphrates (Furat) sehingga Sungai Arisy. Manakala latitudnya ialah dari Banjaran Teh, hingga Laut Mediterranean. Manakala Iraq pula sepertimana yang diketahui, iaitu di tengah-tengah di antara Negara Jordan, Syria dan Iran.
Maka, kemunculan yang pertama ialah di Negara Iran, kemudian Dajjal akan berjalan ke Iraq dan masuk ke kawasan Syam. Seterusnya menuju ke Madinah, tetapi dihalang oleh para Malaikat, dan terus ke Mekah. Di sana juga Dajjal tidak dibenarkan masuk oleh para Malaikat yang berkawal. Ia akan diterangkan selepas ini, tentang beberapa tempat yang tidak diserang oleh Dajjal bersama 70 000 orang tentera Yahudi.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment