22 April 2010

Perang Bani Mustalik Dan Fitnah Golongan Munafik



Rentetan peristiwa perang Bani Mustaliq di zaman Rasulullah saw terlalu panjang dan agak kompleks untuk dirungkai dan dihurai dalam penulisan ringkas sebegini .

Saya cuma mengambil beberapa insiden yang berurutan dari peristiwa ini untuk dijadikan panduan kita berjuang dan berdepan pula dengan fitnah yang melanda perjuangan kita hari ini .

Asasnya perang Bani Mustaliq ini bukanlah satu peperangan besar dalam sejarah Islam tetapi apa yang paling menyerlah ialah bagaimana ia menunjukkan kepada umum peranan yang di mainkan oleh seorang tokoh munafiq yang bernama Abdullah bin Ubai dan kuncu - kuncunya yang sebelum itu telah menyimpan dendam politik sekian lama terhadap kepimpinan Rasulullah saw. malah turut mendedahkan beberapa perlakuan jahat yang dilakukan oleh mereka .

Peranan jahat Abdullah bin Ubai kian menjadi - jadi setelah gagalnya harapan beliau untuk menjadi ketua atau pemimpin di Madinah setelah kemenangan Islam dan hijrahnya Rasulullah saw ke Madinah . Ia menganggap Rasulullah saw telah merampas cita - citanya .

Sejak itu , tertanam di dalam dirinya dendam dan hasad yang senantiasa membara dan mencari setiap kesempatan untuk melakukan sesuatu yang membahayakan Rasulullah saw dan Islam yang dipimpin oleh baginda saw.

Peristiwa Bani Mustaliq ini menyaksikan bagaimana Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya keluar bersama dengan bala tentera ummat Islam tetapi Allah swt mengetahui dan mendedahkan kedudukan dan peranan jahat mereka . Allah swt berfirman :

لو خرجوا فيكم مازادوكم إلا خبالا و لأوضعوا خلالكم يبغونكم الفتنة
و فيكم سماعون لهم و الله عليم بالظالمين

Kalaulah mereka keluar bersama - sama kamu , tidaklah mereka menambah kekuatan kamu melainkan menambah kerosakan dan tentulah mereka melakukan hasutan di antara kamu dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah [ kekacauan ] dikalangan kamu , sedang ada diantara kamu orang - orang yang suka mendengar hasutan mereka dan ingatlah Allah swt Maha Mengetahui akan orang - orang yang Zalim . Surah At Taubah : 47

Kerja Jahat Abdullah bin Ubai

Pernah seketika berlaku perselisihan antara 2 orang sahabat nabi saw [ muhajirin dan ansar ] lalu Rasulullah saw menegur mereka berdua : "Apakah kamu mahu kembali kepada jahiliyah sedang aku masih ada bersama kamu ?" akhirnya mereka berdua hentikan pergaduhan dan berdamai .

Malangnya apabila berita perdamaian itu sampai kepada Abdullah bin Ubai lalu dia berkata : " Apakah munasabah dia [ rasul saw ] melakukan demikian . Apabila mereka sudah ramai dalam negeri kita , mereka hendak menunjukkan kekuatan . Samalah seperti kata pepatah , gemukkan anjing kamu kemudian dia akan memakan kamu . Jaga - jaga , kalau pulang ke Madinah ,nanti tahulah dia nanti . Orang yang mulia akan mengeluarkan orang yang hina ! "

Ucapan itu didengari oleh Yazid bin Ikram lalu Yazid beritahu kepada bapa saudaranya dan bapa saudaranya memberitahu Rasulullah saw . akan ucapan Abdullah bin Ubai tersebut . Kebetulan Saidina Umar ada bersama Rasul saw. Lalu Umar rha berkata : "Suruh sahaja Abbad bin Bisyr membunuh dia !" tetapi ia dihalang oleh nabi saw. bimbang fitnah lebih besar , nanti orang akan kata Muhammad membunuh sahabatnya sendiri .

Malah anak Abdullah bin Ubai sendiri yang juga bernama Abdullah [ seorang yang beriman dan soleh ] minta izin dari nabi saw untuk membunuh bapanya tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah saw . bagi mengelakkan fitnah yang besar

Abdullah bin Ubai mengetahui ucapannya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah saw lalu ia pergi bertemu dengan Rasulullah saw lalu bersumpah dan menafikan ucapannya .

Tiba - tiba seorang Ansar mengatakan Ya Rasulullah saw . "mungkin budak yang melaporkan berita mengenai ucapan Abdullah bin Ubai ini tersalah lapor ! lalu Rasulullah saw terus mengingatkannya . Maka berduka citalah Zaid bin Arqam [ yang melaporkan ] kerana ia merasakan dirinya telah diperbohongkan .

Tetapi Allah swt Maha Mengetahui lalu menurunkan surah al Munafiqun dan mendedahkan perkara sebenar yang dilakukan oleh golongan munafiq khasnya Abdullah bin Ubai . Akhirnya Rasulullah saw memanggil Zaid bin Arqam dan membacakan surah al Munafiqun kepadanya kemudian nabi saw bersabda : "Sesungguhnya Allah swt telah meletakkan kamu sebagai orang yang benar .

Bermula dari mukjizat nabi saw yang bertanyakan al Harith bin Dirar di manakah berbaki 2 ekor unta yang sepatutnya turut dibawa oleh Al Harith untuk menebus anaknya Juwairiyyah binti al Harith yang menjadi tahanan perang dalam peristiwa al Mustaliq ini .

al Harith benar - benarnya menyembunyikan 2 ekor unta tersebut kerana sayang kepada unta itu dan hanya membawa beberapa ekor unta yang lain .

Al Harith berasa hairan bagaimana nabi saw boleh mengetahuinya jika tidak kerana ini wahyu dari Allah swt , lalu al Harith memeluk Islam dan mengucap 2 kalimah syahadah . Malah seluruh anak - anaknya dan beberapa orang dari kaumnya turut memeluk Islam .

Nabi saw sendiri akhirnya berkahwin dengan anak perempuan al Harith dan menjadi salah seorang Ummahatul Mukminin yang berjasa besar serta berjuang disamping Rasulullah saw.

Akhirnya Bani Mustaliq memeluk ajaran Islam dan berada di bawah kerajaan Islam . Pada suatu hari Rasulullah saw menghantar al Walid bin U'qbah bin Abi Mu'it supaya mengupulkan harta zakat .

Apabila Bani Mustaliq mengetahui kedatangan utusan Rasulullah saw lalu mereka keluar beramai - ramai untuk menyambut kedatangannya tetapi malangnya utusan itu [ al walid bin Uqbah ] tersalah faham dengan menyangka bahawa mereka keluar beramai - ramai untuk memeranginya .

Utusan itu lantas pulang dan melaporkannya kepada Rasulullah saw. berita yang tidak betul itu , lalu Rasulullah saw mengerahkan bala tentera untuk pergi menyerang balas bani Mustaliq . Alhamdulillah , bala tentera Islam tidak gopoh menyerang sebaliknya menghantar pengintip untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku .

Apabila pengintip menghampiri kumpulan Bani Mustaliq , tiba - tiba didengari suara azan berkumandang untuk menunaikan solat fardhu dan keadaan itu menandakan mereka masih setia kepada Islam .

Setengah riwayat menyebut , Bani Mustaliq menghantar utusan bertemu Rasulullah saw lalu menceritakan perihal utusan Rasulullah saw yang melarikan diri itu .

Sempena salah faham inilah Allah swt menurunkan wahyunya :

يأ يها الذين آمنوا إن جاءكم فاسق بنبإ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين

Hai orang - orang yang beriman ! Jika datang kepada kamu orang fasiq yang membawa berita maka telitilah terlebih dahulu nanti kamu mengenakan sesuatu kaum secara jahil maka menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal . Surah al Hujurat : Ayat 49

Peristiwa ini mengajar kita ummat Islam menghadapi kelemahan dari dalam berkait dengan kaedah menerima makumat yang perlu ditapis terlebih dahulu dan bagaimana mahu menghadapi musuh dalaman iaitu golongan munafiq serta menghadapi musuh luar yang licik dan bijak mengambil kesempatan sehinggalah kita [ Islam ] berjaya mengalahkan mereka dan memancarkan cahaya Islam sehingga mereka menjadi anggota Islam yang setia dan teguh .

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal