DENVER – Acara menghisap ganja secara terbuka di Universiti Colorado, Amerika Syarikat (AS) kelmarin menarik kehadiran ribuan pengunjung walaupun ia dibantah pihak pengurusan universiti.
Acara itu sengaja diadakan pada 20 April kerana tarikh tersebut merupakan sambutan tidak rasmi hari ganja antarabangsa manakala nombor 420 merupakan singkatan untuk ganja di AS.
Sambutan itu diadakan semasa wakil-wakil rakyat di Colorado menyokong undang-undang baru bagi membenarkan farmasi menjual ganja bagi tujuan perubatan.
Sementara itu di CalIfornia, sebuah kedai menjual peralatan menanam ganja diserbu beratus-ratus orang.
Undang-undang California dan 13 negeri lain di AS membenarkan pengambilan ganja bagi tujuan perubatan.
Menurut tinjauan bersama agensi berita AP dan stesen penyiaran CNBC yang disiarkan kelmarin, masih ramai rakyat AS tidak mahu ganja dijadikan barang komoditi.
Namun, majoriti penduduk negara itu percaya dadah tersebut memiliki faedah perubatan dan sepatutnya dibenarkan oleh pemerintah. – AP
0 comments:
Post a Comment