21 November 2009

Islam Itu Hanya 5 Perkara Ini Sahaja? Kefahaman Yang Perlu Diperbetulkan

Di dalam hadis yang kedua daripada Hadis 40 Imam Nawawi dan Hadis no 8 dalam Kitab al Iman, menyatakan bahawa :

Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, kamu dirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di Bulan Ramadhan dan mengerjakan haji

Selain itu, di dalam hadis yang ketiga daripada Hadis 40 Imam Nawawi, dan juga Hadis Hadis no 16 dalam Kitab al Iman juga..

Islam dibina di atas lima perkara, penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji di Baitullah dan berpuasa di Bulan Ramadhan

Persoalan yang dikelirukan di sini ialah, “adakah Islam itu hanya 5 perkara ini sahaja?”, maka, apakah hudud itu bukan Islam? Adakah menutup aurat itu bukan ciri pemakaian Islam?.. Adakah Islam hanya sekecil ini? Mari kita fikirkan sejenak.

Perkara pertama yang perlu difahami ialah, jangan kita mengambil seketul dua hadis sahaja, kemudian menjadikannya hujah, dalam keadaan kita mengenepikan hadis-hadis shahih yang lain.

Perkara kedua yang perlu difahami ialah, perkara yang tidak disebut, bukan bermakna tidak ada...

Hakikatnya 5 perkara ini adalah hasil “rangkuman” kesemua perkara yang dikatakan sebagai Islam. Contohnya apabila kita bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan melainkan Allah, maka, sudah pasti undang-undang pun kita berpegang dengan undang-undang Allah. Sistem kehidupan juga kita bersumberkan kepada cara hidup Baginda SAW melalui pengakuan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Maka, apa yang disuruh oleh Nabi Muhammad SAW bukannya satu dua sahaja. Jangan lupa, menegakkan negara Islam juga adalah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang disuruh kepada kita untuk menegakkannya. Ia juga termasuk dalam Islam.

Maka, tidak perlu kita memanjangkan lebar perbahasan ini kerana ia sudah pun dijelaskan dengan mudah. Kelima-lima rukun Islam ini adalah hasil rangkuman daripada kesemua perkara yang dikatakan sebagai Islam.

Hakikatnya Islam itu ialah

Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah.

Atau

Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.

Selain itu, terdapat juga cara-cara yang lebih mudah untuk menjawab persoalan seperti ini. Mari kita lihat, beberapa persoalan di bawah..

- Kenapa kita basuh berak sedangkan ia tidak disebut sebagai rukun Islam?

Soalan ini agak kasar, namun, inilah cara mudah untuk memahaminya. Setiap manusia yang membuang air besar, secara automatiknya, mereka akan membasuh kawasan tersebut. Adakah terdapat mana-mana peruntukan dalam undang-undang yang menyebut tentang kemestiannya? Sudah pasti tidak disebut. Ini kerana perkara tersebut sudah diketahui dan tidak perlu disebutkan lagi.

Contohnya apabila seseorang diminta menceritakan jadual hariannya, dia menceritakan sekali bahawa dia akan memberus gigi pada jam sekian, dengan kekuatan gosokan sekian, ubat gigi sekian, sambil mengadap cermin, kemudian membasuhnya dengan menggunakan air bersih daripada paip yang disalurkan dan bla-bla... perlukah semua ini diceritakan atau cukup sekadar “faham sendiri?”

- Kenapa kamu tidak menyenaraikan bilangan mancis yang kamu perlukan untuk memasak kenduri kawin?

Soalan ini juga lebih kurang sama. Seseorang tukang masak, meminta pekerjanya membeli peralatan memasak yang biasa digunakan untuk memasak kenduri perkahwinan. Lalu setelah disenaraikan (termasuk mancis di dalam senarai tersebut), pekerja itu membeli sebatang mancis sahaja. Apabila ditanya, kenapa kamu beli sebatang sahaja, lalu dia menjawab, kerana yang disebutkan di sini hanyalah “mancis” sahaja, tidak sebut bilangannya. Atau dia akan bertanya soalan yang sama yang saya utarakan sebelum ini.

Ataupun apabila seorang pekerja ingin belajar membuat teh tarik. Lalu dia meminta supaya kita menyediakan senarai bahan untuk membuat teh tarik. Tetapi setelah disemak, dia bertanya kepada kita, kenapa di dalam senarai bahan ini tidak tertulis air, teko, letrik untuk menyalakan lampu (untuk menerangi proses penyediaan), pakaian baginya, selipar yang perlu dipakai dan sebagainya?

Kesimpulan

Mungkin agak lucu sikit. Tetapi hakikatnya, kita perlu memahami. Kita dikurniakan akal adalah untuk berfikir. Apabila kita membaca 2 hadis Nabi SAW yang ditulis sebelum ini, jangan terus menghujum Islam. Jangan pandai-pandai berhujah bahawa Islam tidak pun menyuruh kita menegakkan Negara Islam dan sebagainya. Hakikatnya orang seperti ini hanya membaca hadis dengan membuta tuli.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Faslafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal