Masih lagi timbul persoalan tentang Allah SWT. Adakah Allah SWT bertutur dengan menggunakan huruf? Atau mempunyai susunan perkataan sehingga membentuk ayat? Sekiranya “ya”, bagaimanakah pula boleh terjadi sedemikian sedangkan huruf itu makhluk, sedangkan Allah itu adalah Tuhan (bukan makhluk).
Bagaimanakah Tuhan yang bersifat qadim, boleh bertutur dengan susunan huruf yang bersifat hadis (dicipta)? Bukankah kalam Allah (al Quran) itu qadim? Ada pula yang bertanya, adakah Allah bertutur dalam bahasa Arab?
Sekiranya jawapannya “tidak”, maka apakah pula yang tertulis di dalam mushaf? Bukankah kita jelas melihat bahawa ayat-ayat al Quran ditulis dengan menggunakan huruf?
Maka, penjelasannya begini.
Apa yang perlu kita ketahui ialah :
- Kalam Allah adalah qadim, tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak terdapat yang dihadapan atau yang tersusun di belakang
- Mushaf ditulis dengan menggunakan huruf (bahasa Arab), dan mempunyai susunan depan dan belakang, sedangkan kalam Allah bukanlah demikian. Mushaf adalah makhluk dan kalam Allah bukan makhluk
Tanpa selesai menjawab, timbul pula persoalan, adakah apa yang tertulis di dalam mushaf itu bukan kalam Allah? Tidak, apa yang tertulis di dalam mushaf itu adalah kalam Allah. Maka, penjelasan tentang perkara ini akan diterangkan selepas ini.
Perkara yang perlu kita ketahui juga ialah :
- Wahyu daripada Allah SWT kepada Malaikat Jibril AS tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak mempunyai susunan depan mahupun belakang.
- Apabila disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, Malaikat Jibril membacakannya dalam bentuk berhuruf, berbahasa Arab, dan mempunyai susunannya.
Persoalan timbul pula, bagaimanakah Malaikat Jibril boleh mengolah wahyu tersebut sehingga boleh tersusun dalam bentuk bahasa dan ayat? Bagaimanakah Malaikat Jibril boleh menerima wahyu tersebut sedangkan ia tidak tersusun dan tidak berhuruf?
Mari kita selesaikan satu persatu permasalahan yang timbul.
Pertama
Apa yang tertulis di dalam al Quran adalah petunjuk kepada kalam Allah SWT yang sebenar. Contohnya kita menulis perkataan ALLAH di papan putih. Adakah Allah berada di papan putih? Kemudian kita menulis ALLAH yang kedua di papan putih yang sama. Adakah Allah itu dua? Maka, kedua-dua jawapan ini adalah “tidak”.
Ini kerana apa yang tertulis di papan putih itu hanya petunjuk kepada Allah yang sebenar. Apa yang tertulis di dalam mushaf itu bukanlah al Quran yang sebenarnya, tetapi membawa maksud kepada al Quran yang sebenar.
Contoh yang lain, di lebuh raya terdapat papan tanda yang tertulis “Ipoh 5 KM”. Seseorang bertanya “Di manakah Ipoh?”. Maka sudah pasti kita menjawab, Ipoh itu 5 KM di hadapan. Sangat peliklah sekiranya seseorang itu mengatakan bahawa Ipoh itu terdapat di papan tanda dan kedudukan Ipoh tersebut di sebelah lebuhraya. Lawak bukan?
Maka “ipoh” yang tertulis di papan tanda tersebut, bukanlah Ipoh yang sebenar. Sebaliknya ia adalah petunjuk (membawa maksud) kepada Ipoh yang sebenar. Sama seperti yang tertulis di dalam mushaf. Ia bukanlah kalam Allah yang sebenar, sebaliknya ia adalah petunjuk (membawa maksud) kepada kalamNya yang sebenar, iaitu tidak berhuruf dan tidak berbahasa.
Kedua
Kalam Allah adalah tidak berhuruf, tidak berbahasa, dan tidak tersusun samada di depan atau dibelakang. Kita boleh melihat contohnya yang paling jelas. Iaitu bahasa cinta. Adakah cinta itu berhuruf? Bagaimanakah kita boleh menyatakan cinta kepada seseorang? Bagaimanakah hendak mengungkapkan perasaan sayang kepada seseorang? Atau mengungkapkan cinta kepada kekasih? Sudah pasti ia tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak tersusun depan mahupun belakang.
Kadangkala seseorang mengatakan, “saya cintakan kamu...” tetapi entah-entah dia itu adalah buaya. Kita bukannya tahu hakikat sebenar cinta itu. Mungkin penipu, dan mungkin juga benar. Kalau sekadar terungkap dengan lidah, bukanlah dinamakan cinta. Inilah salah satu contoh kalam yang tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak tersusun. Tidak pelik bukan?
Kesimpulan
Kesimpulannya ialah, kalam Allah SWT adalah qadim, tidak berhuruf, tidak berbahasa dan tidak tersusun depan atau belakangnya. Manakala yang tertulis di dalam mushaf itu adalah petunjuk kepada al Quran yang sebenar, yang bersifat qadim. Mushaf pula dicipta dan bukannya qadim.
Di dalam solat, kita membaca al Quran, dan bukannya membaca mushaf. Bacaan kita adalah makhluk, tetapi ia menunjukkan (membawa maksud) kepada Kalam Allah SWT yang sebenar, yang qadim. Sekiranya kita membaca perkataan “Ipoh”, adakah Ipoh terletak di dalam mulut kita? Sudah pasti tidak. Tetapi ia bermaksud Ipoh yang sebenar.
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Akidah dan Faslafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment