21 January 2010

Imam Mazhab (Siri 3) - Imam Syafie RA

Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin al ‘Abbas bin Uthman bin Syafie’ bin as Sa’ib bin Ubaidillah bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Muttolab bin Abdul Manaf.

Beliau adalah anak saudara Nabi Muhammad SAW, dinisbahkan dengan Syafie’ (شافع) kerana beliau juga adalah datuknya yang paling mulia. Beliau adalah salah seorang sahabat Nabi SAW, dan juga anak kepada seorang sahabat RA.

Imam Ibnu Hajar al Asqolani menukilkan daripada al Hakim berkata bahawa Imam Syafie RA lahir di Gaza, Palestin pada hari kewafatan Imam Hanafi RA iaitu pada 150 Hijrah, seolah-olah menjadi petanda bahawa beliau adalah tokoh yang menggantikannya.

Bapanya meninggal dunia ketika beliau berumur 2 tahun, dan beliau dibawa oleh ibunya ke Mekah dan tinggal bersamanya di sana. Beliau diajar dengan ilmu agama di sana dan sudah menghafal al Quran kesemuanya pada umur 7 tahun.

Pada umurnya 15 tahun, beliau telah diberi keizinan untuk mengeluarkan fatwa oleh tok gurunya, yang juga mufti Mekah, Imam Muslim bin Khalid al Makhzumi yang merupakan salah seorang tabi’in.

Kemudian beliau menyambung pengajiannya di Madinah, bertemu dengan Imam Malik RA. Beliau menghafal Kitab Muwatto’, yang dikarang oleh Imam Malik selama 30 tahun, dengan mengambil masa hanya 9 hari. Beliau juga meriwayatkan hadis daripada Sufyan bin Uyaiynah, Fudhail bin Iadh, dan Muhammad bin Syafie’, bapa saudaranya.

Kemudian, beliau berhijrah pula ke Yaman selama beberapa tahun. Pada tahun 183 Hijrah, beliau berhijrah pula ke Baghdad yang merupakan pusat himpunan ilmu. Beliau menuntut ilmu daripada Muhammad bin al Hassan tentang fiqh di Iraq, dan beliau kerap mengadakan perbincangan dengannya.

Pada 187 Hijrah, beliau kembali semula ke tanahair dan bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal menuntut ilmu darinya, dan Imam Ahmad juga menuntut ilmu darinya. Kemudian pada 195 Hijrah, beliau kembali semula ke Baghdad dan sempat mengarang kitab al Hujjah yang mengandungi pandangan-pandangannya yang lama (mazhab qadim)

Pada tahun 200 Hijrah, beliau berhijrah pula ke Mesir, dan menghasilkan mazhab baru. Beliau wafat di Mesir pada 204 Hijrah dalam keadaan berkhidmat untuk ilmu, pada akhir Rejab bersamaan dengan Hari Jumaat.

Imam Ahmad berkata :

كَانَ أَفْقَهُ النَّاسِ فِي كِتَابِ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُولِهِ

Beliau (Imam Syafie) adalah orang yang paling faqih tentang al Quran dan Sunnah Rasulnya

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal