Risalah Untuk Mahasiswa (Siri 2)
oleh : Us Adlan Mokhtaruddin
ibnumokhtaruddin.blogspot.com
Antara Kesedaran dan Gerakan
Dalam gerakan dakwah, terdapat dua istilah yang perlu difahami. Iaitu kesedaran (assohwah) dan gerakan (harakah) itu sendiri. Dalam kitab “Aulawiyat Al Harakah Al Islamiyah fi Marhalah Qadimah” oleh Doktor Yusuf Al Qardhawi, beliau menyebutkan dalam muqaddimah kitabnya, gerakan disebut sebagai sebuah kumpulan yang tersusun, mempunyai tujuan dan matlamat tertentu, dan manhaj yang tersusun rapi. Manakala assohwah bermaksud kecenderungan umum yang terpancar, merangkumi individu dan kumpulan samada yang tersusun ataupun tidak.
Perkaitan antara keduanya sebagaimana disebutkan oleh ulamak Mantiq adalah 'umum wa khusus mutlak'. (Semua harakah adalah sohwah, akan tetapi bukan semua sohwah adalah harakah). Sohwah adalah lebih umum daripada gerakan.
Secara logiknya, munculnya sesuatu pergerakan adalah timbul daripada kesedaran. Tertubuhnya PMRAM, pastinya dengan kesedaran mahasiswa pada waktu tersebut akan kepentingan untuk bersatu dan menabur bakti. Begitu juga dengan gerakan-gerakan yang lain. Bertitik tolak dari situlah ianya akan mempengaruhi pihak lain seterusnya mampu membentuk perkumpulan dan mengatur gerakan.
Tuntutan buat penggerak - penggerak Islam.
Realiti pada hari ini memperlihatkan kerja-kerja dakwah perlu dipertingkatkan dan sentiasa dikemaskini. Ini disebabkan umat Islam yang semakin lemah dan musuh-musuh Islam semakin mengganas. Ditambah pula dengan neraca timbangan umat pada masa kini yang semakin rapuh. Umat Islam sudah tidak pandai menilai dan menimbang keutamaan gerak kerja mereka. Isu picisan adalah pilihan kebanyakan kita.
Disebutkan oleh Doktor Yusuf Al Qardhawi di dalam muqaddimah kitab Feqh Prioriti, “didapati timbangan prioriti umat pada zaman ini telah rapuh di dalam bidang yang pelbagai samada pemikiran, kemasyarakatan, ekonomi mahupun politik.
Kenyataan ini jelas menggambarkan kepada kita, apabila mereka yang berada di posisi penting setiap bidang gagal memahami keutamaan gerak kerja mereka, maka jelaslah rapuhnya timbangan mereka ke atas lima feqh yang utama.
Apabila disebutkan dengan pergerakan Islam, Doktor Yusuf Al Qardhawi mentakrifkannya sebagaimana berikut : Iaitu `Amal ( bekerja ) gabungan perkumpulan rakyat yang tersusun untuk mengembalikan Islam dimata masyarakat sebagai satu cara hidup.
Kata kunci bagi pergerakan Islam ialah `AMAL iaitu BEKERJA, kerja yang sedikit dan berterusan. Bukan hanya tertumpu pada ceramah, tazkirah, khutbah, penulisan dan risalah. Tanpa menafikan ianya adalah sebahagian daripada gerakan dakwah, akan tetapi ianya bukanlah harakah. Firman Allah ta`ala yang bermaksud:
Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan".(at taubah :105)
Dakwah Islam perlu digerakkan seluruhnya. Tidak hanya tertumpu pada satu bidang dan mengabaikan bidang yang lain. Setiap bidang perlu diberikan hak yang secukupnya dan berperanan membantu dakwah dari sudut masing - masing. Jika semua ingin menjadi ketua siapa pula yang akan menjadi ahli. Ulamak ada peranannya yang tersendiri, pemimpin dengan gaya tersendiri, bgitu juga golongan pemikir dan juga aktivis Islam. Jika cacat salah satu, maka akan cacat gerakan dakwah.
Dalam konteks kita sebagai mahasiswa Islam, keempat-empat golongan tadi perlu diterapkan dalam konteks sebuah persatuan. Persatuan adalah sebagai medan dan alam mahasiswa adalah lapangannya. Ada pihak yang mengatakan alam mahasiswa hanya sebagai medan latihan, tak kurang juga yang mengatakan ia sebagai medan realiti dalam mengharungi alam mahasiswa kerana Mahasiswa adalah pemimpin pada masa akan datang. Boleh dikatakan, alam mahasiswa penentu halatuju kita di masa hadapan.
Tuntutan kita kini adalah BEKERJA untuk membantu Islam. Bukan banyak bercakap kosong. Realiti bekerja tidak sama dengan fantasi berfikir. Apabila anda terjun ke medan, pasti akan tahu langit tinggi atau rendah.
Kesabaran umat Islam hari demi hari makin dicabar. Jika kita masih lagi tidak sedar dan bangkit, mungkinkah tidak ada iman dihati kita? Isu Palestin tidak pernah reda, begitu juga isu ditempat-tempat yang lain. Malahan lebih malang lagi, jika isu yang berlaku ditempat sendiri tidak diendahkan.
Mudah-mudahan, peperiksaan di Al Azhar tidak menghalang kerja-kerja dakwah diteruskan. Selamat Bekerja untuk Islam.
0 comments:
Post a Comment