16 February 2010

Perkahwinan Bukan Permainan

Tertarik dengan berita yang disiarkan di dalam Berita Harian semalam (15 Februari), tentang satu kes yang terjadi di Dubai. Berita tersebut berbunyi :

Batal kahwin isteri ada misai, juling

DUBAI: Seorang duta Arab membatalkan perkahwinannya serta merta selepas mendapati isterinya berkumis dan mata juling.

Pengantin lelaki tidak dinamakan itu tidak pernah melihat wajah pengantin perempuan kerana dia memakai niqab sepanjang perkenalan mereka, menurut laporan.

Beliau turut membatalkan jamuan perkahwinan dan terus merujuk kes ke Mahkamah Syariah.

Beliau menuntut perkahwinannya dibatalkan serta wang AS$137,000 (RM468,677.20) untuk hadiah perkahwinan dan perbelanjaan lain dikembalikan selain meminta pengantin wanita diperiksa atas ‘kecacatan hormon.’

“Beliau amat terkejut, Pengantin wanita mempunyai personaliti yang baik, namun ada alasan bagus menyembunyikan wajahnya.

“Pengantin lelaki terus ke mahkamah meninggalkan pengantin perempuan yang menangis teresak-esak,” lapor akhbar Daily Mail.

Duta itu mendakwa, bakal ibu mentuanya menunjukkan gambar adik perempuan isterinya untuk menipunya berkahwin dengan wanita yang lebih gemar duduk di rumah berkenaan. - Agensi

Ulasan Ringkas

Method Islam Dalam Proses “Sebelum Perkahwinan”


Islam menggalakkan beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum berlangsungnya perkahwinan ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 2 ms 37 ) :

1. Mengenali sifat, ciri-ciri dan sebagainya yang berkaitan dengan pasangan. Untuk mengenalinya ialah dengan menggunakan orang tengah seperti adik beradiknya, atau rakan-rakannya, untuk mengetahui sifat-sifatnya secara sebenar. Orang tengah diharamkan untuk “menipu” di dalam memaklumkan hal yang sebenar kepada pasangan.

Sekiranya tidak menggunakan khidmat orang tengah yang boleh dipercayai, dibimbangi akan melukakan perasaan pasangan sekiranya sifat-sifat yang tidak disukai, terdapat pada pasangan. ( Sila lihat Riwayat Imam Bukhari di dalam Bah. Nikah, Bab al Ikfa’ Fid Din, no. 4802, dan Imam Tirmizi Bah. Nikah, no. 1083 )

Antara ciri-ciri yang perlu diperhatikan ialah, agama, akhlak, nasab keturunan, bukan orang yang diharamkan berkahwin (contohnya, saudara sesusu), kufu’ atau setaraf, anak dara dan sebagainya. ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 2 ms 37-41 )

2. Melihat kepada bakal pasangan, bukan hanya dengan melihat pada gambar. Tempat yang dibenarkan untuk melihatnya ialah muka dan tapak tangan sahaja, berdasarkan Mazhab Syafie. ( Sila lihat tafsir Surah an Nur, ayat 31, dan Riwayat al Hakim 2/166 ). Ulama’ Mazhab berbeza pandangan dalam perkara ini.

Juga dibenarkan melihat pasangan dalam keadaan bersyahwat, berulang kali melihatnya dan dibenarkan walaupun tanpa keizinan empunya badan. ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 2 ms 42 )

Namun, bukanlah bermakna seseorang itu boleh melihat sesuka hati kepada mana-mana perempuan (atau lelaki) untuk dijadikan pasangan. Ia hendaklah dengan niat yang betul untuk mengahwini dengan seseorang yang telah dipilih sahaja. ( Sila lihat Riwayat Imam Muslim, Bah. Nikah, no. 1424, Imam Bukhari Bah. Nikah, no. 4833 dan sebagainya )

3. Bertunang. Tujuan bertunang ialah untuk menserasikan di antara kedua-duanya. Sekiranya tidak terdapat keserasian di sepanjang pertunangan, maka putus tunang lebih baik daripada bercerai setelah berkahwin.

Islam bukanlah membuka ruang sepenuhnya di dalam tempoh pertunangan, sebaliknya menjelaskan beberapa disiplin yang mesti dipatuhi. Antaranya ialah, tunang masih lagi belum dikatakan sebagai hubungan halal untuk berdua-duaan, atau boleh bersentuhan. ( Dr Wahbah Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. keempat, Darul Fikr Damsyik, bah. 9, ms 4 )

Islam masih lagi melarang kepada tunang daripada melakukan maksiat, sama seperti mereka yang tidak bertunang. ( Sila lihat Riwayat Imam Bukhari, Bah. Nikah, no. 4935, dan Riwayat Muslim Bah. Haji, no. 1341 )

Panduan Sebelum dan Ketika Bertunang

1. Islam menggariskan panduan, iaitu setelah sempurnanya penelitian tentang sifat-sifat dan ciri-ciri pasangan, maka ketika itulah baru dibenarkan untuk melihat kepada “orang yang dimaksudkan” tersebut. Sebab itulah diharamkan melihat perempuan tanpa sebarang sebab yang dibolehkan. Juga diharamkan melihat perempuan sesuka hati kononnya untuk berkahwin. Hakikatnya cara tersebut salah walaupun niatnya betul.

Tujuan (matlamat) tidak menghalalkan cara

( Muktamar Islam di Jeddah, Majalah Majma’ al Fiqh al Islami, susunan Dr Usamah bin az Zahra’ bah. 9 ms 1643 )

2. Setelah melihat kepada orang yang dikaji sifat-sifatnya tersebut, maka akan timbullah keinginan untuk berkahwin, atau tidak. Sekiranya timbul keinginan, teruskan proses tersebut dengan menghantar pinangan. ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 2 ms 48 )

Sekiranya tidak, hendaklah dirahsiakan sahaja perkara tersebut, dan diharamkan untuk menceritakan keburukan orang tersebut kepada sesiapa. ( Sila lihat Firman Allah SWT di dalam Surah al Hujurat, ayat 11 )

3. Setelah bertunang, disiplin perlulah dijaga supaya tidak terjerumus ke kancah maksiat. Islam membenarkan pertemuan di antara pasangan yang bertunang, tetapi mengharamkan berdua-duaan. Maka perlulah terdapat mahram bagi perempuan di sepanjang pertemuan tersebut. ( Sila lihat Riwayat Imam Bukhari, Bah. Nikah, no. 4935, dan Riwayat Muslim Bah. Haji, no. 1341 )

Juga tidak dibenarkan menyentuh, atau melihat aurat bagi pasangan yang bertunang. Juga tidak dibenarkan menimbulkan fitnah di sepanjang proses pertunangan, dan sebagainya. ( Muhammad bin Muhammad al Mukhtar asy Syanqiti, Rakaman Syarah Zadul Mustaqna’, terbitan Islamweb.net, bah. 109, ms 9 )

Contoh menimbulkan fitnah ialah menghebohkan pertunangan sedangkan ia perlu dirahsiakan. Setelah terputus tunang, maka berlakulah fitnah disebabkan hebahan ini. Apabila telah serasi dan sampai waktunya, maka langsungkanlah perkahwinan. Tidak digalakkan untuk melewat-lewatkan perkahwinan tanpa sebarang sebab kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah. ( Imam Nawawi, Riadhus Salihin, Hadis ke 70, 87 dan lain-lain ).

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal