Showing posts with label Motivasi dan Santai Minda. Show all posts
Showing posts with label Motivasi dan Santai Minda. Show all posts

19 June 2010

Kucing Najib : Siri-siri Lawak Dalam Dunia Politik


Kadang-kadang, apabila melihat dunia politik Malaysia, nak tergelak pun ada. Di dalam blog 1Malaysia.co.my milik Perdana Menteri, bertarikh 18 Jun (semalam), beliau "meminta rakyat Malaysia mencadangkan nama untuk kucing Parsi yang baru dibelinya!"

Bertambah lawak apabila saya memerhatikan ruang komen, sudah sebanyak 255 komen yang diberikan dalam tempoh sehari. Ada yang memberi cadangan, dan ada yang sekadar mengulas. Nak tergelak apabila membaca nama-nama yang dicadangkan. Huhu.

Bertambah kelakar apabila Dato Mahfuz Omar juga mencadangkan supaya nama kucing tersebut dinamakan dengan peristiwa-peristiwa hitam Najib. Kelakar lagi. Berita disiarkan di dalam Harakahdaily..

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan kucing parsi yang dibeli Datuk Seri Najib Razak dinamakan dengan mana-mana peristiwa hitam yang berlaku zaman pemerintahan Perdana Menteri itu.

Sebagai cadangan, beliau mahu Najib mempertimbangkan beberapa nama seperti Kucing Persia: PKFZ, Scorpene, F5E, Sime Darby, L dan M, KTM Tanjung Pagar, Ban Judi Bola, Kem Sungai Besi, GST, Ban Subsidi, APCO, PRK Sibu atau Monggolia Altantuya.

"Dengan menjenamakan jenama-jenama di atas maka Najib dan seluruh rakyat Malaysia akan terus mengingati peristiwa-peristiwa hitam sebagai sejarah 1Malaysia," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau turut menyambut baik cadangan Najib yang mahu rakyat memberi cadangan nama kepada kucing yang baru dibelinya tersebut.

Nama-nama yang dicadangkan itu, katanya juga mampu mengingatkan negara tentang peristiwa hitam yang telah berlaku sepanjang Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

Amacam? Korang ada yang nak tergelak tak? Macam-macam la dunia ni.. Eh, Khairi JPMK taknak cadangkan satu nama ke untuk kucing PM kita? Senyum sikit :)

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
Baca seterusnya

Kenyataan Mengarut : Bukti Tidak Kuasai Maqasid Syariah - Abezuh

oleh : Abezuh (link)




Banyak isu-isu yang berlaku yang melibatkan perbincangan para ulama di dalam bertegas meletakkan pendirian bagi menjaga maslahat umum sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Selain itu, terdapat juga beberapa pihak yang mungkin mahu popular apabila sibuk menyatakan pandangan mereka yang boleh merosakkan kefahaman masyarakat umum.

Apa yang mahu saya perkatakan ialah kenyataan-kenyataan mengarut tersebut ekoran kelemahan mereka tidak menguasai maqasid syariah dengan tepat. Hanya sekali pandang, maka terus melontarkan pandangan berkenaan hukum. Pelik sedangkan syariat yang diturunkan oleh Allah SWT mempunyai maqasid tertentu.

Maka, Dr Yusof Al-Qardhawi mengatakan bahawa maqasid di dalam syariat Islam itu dapat dilihat melalui 2 perkara :

- merujuk dan mengkaji ke atas nas yang diturunkan mengapa hukum tersebut diturunkan.

- mengkaji cabang-cabang hukum dan menganalisa perbandingan cabang-cabang hukum tersebut di dalam mengeluarkan ketentuan sebab hukum diletakkan.

Justeru, di dalam apa jua isu yang berkaitan agama, hukum dan maslahat dunia ia perlu dilihat berdasarkan kefahaman maqasid syariah. Sebab itu, saya telah nyatakan di dalam posting sebelum ini, ramai yang mengaku faham apa itu maqasid syariah sedangkan mereka semata-mata hafal dharuriyat kahmsah tanpa penguasaan yang tepat.

Kita lihat, isu kalimah Allah para ulama berselisih pendapat di dalam penggunaannya. Namun apa perlu diketahui hukum adalah disepakati cuma apa yg diperselisihkan oleh para ulama ialah persetujuan menggunakan kalimah tersebut berdasarkan kefahaman konsep sad zarai' masing-masing. Lebih jelas lagi begini, mereka sepakat hukum penggunaan bagi kalimah Allah ke atas muslim ialah harus, namun berlaku perselishan ulama terhadap penggunaan tersebut ke atas non muslim kerana memikirkan penyelewengan yang bakal berlaku. Jelas bukan ...

Mengenai isu lesen judi sempena bola sepak dunia. Para ulama semua sepakat hukum tidak boleh, haram. Apabila hukum dah haram, maka tidak timbul permasalahan setuju atau tidak. Hal ini demikian kerana bila dah haram, maka tidak perlu diizinkan. Berbeza dengan hukum harus, maka setuju atau tidak bergantung kepada perbincangan berdasarkan penjagaan ke atas maqasid syariah.

Namun, pelik ada juga pihak yang cuba untuk mengharuskan lesen judi berdasarkan kaedah-kaedah yang tidak tepat seperti katanya konsep tadarruj sebagaimana pengharaman arak dan kaedah menggunakan dharurat yang kecil apabila bertembung 2 dharurat.

Saya rasa ramai pihak dah jelaskan begitu juga MANHAL PMRAM. Apa yang saya ingin katakan ialah bagaimana boleh keluarnya kenyataan mengarut daripada pihak terbabit? Ini disebabkan mereka tidak mahir di dalam urusan agama lebih-lebih lagi melibatkan kefahaman maqasid syariah.

Saya jawab sedikit berkenaan konsep tadarruj ke atas judi yang disamakan dengan arak. Saya jawab berdasarkan Fiqh Iqtisadi, bahawa qiyas atau persamaan yang dikatakan adalah tidak sama, kerana arak adalah tradisi gaya kehidupan yang menjadi adat, bukan pernigaan, akan tetapi judi berkonsepkan melibatkan untung atau rugi seakan-akan perniagaan.

Justeru lihat di dalam perniagaan mana-mana yang melibatkan untung rugi atau unsur perniagaan, maka sekiranya ia haram maka terus diharamkan tanpa berperingkat. Lihat riba, maka tanpa berperingkat-peringkat haram terus adalah haram walaupun ketika itu masyarakat jahiliyah mengatakan riba adalah sebagaimana jual beli yang menjadi adat mereka.

Bagi kaedah menggunakan dharurat yang kecil apabila bertembung 2 dharurat ialah, pihak tersebut perlu memahami kaedah ini ialah apabila tiada jalan yang membawa ke arah maslahat. Maka sekiranya masih ada ruang ke arah maslahat, maka secara total mesti menolak dharurat samada besar atau kecil.

Kerana kaedah mengatakan bahawa apabila bertembung maslahat dengan dharurat maka mesti tolak dharurat. Justeru, yang utama ialah menolak dharurat secara total. Bukannya memilih mana yang kecil atau besar. Isu judi juga bukan boleh dikategorikan sebagai maslahat di dalam dharuriyat khamsah yang mesti dijaga, yang mana tidak lakukan lesen judi tidak mendatangkan sebarang dharurat ke atas dharuriyat khamsah.

Ini adalah contoh isu semasa yang berlaku. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana ramai pihak yang telah menjelaskan kembali dan membidas kenyataan yang mengarut tersebut. Cuma apa yang ingin diketengahkan ialah inilah gambaran contoh apabila tidak menguasai maqasid syariah, hasilnya akan mengeluarkan kenyataan yang mengarut.

Dan akhirnya betapa penting kefahaman ke atas maqasid syariah kerana kesemua hukum dan syariat yang ditetapkan oleh Allah kesemuanya ada maqasid samada kita tahu tidak, kerana tidak ada suatu hukum yang diturunkan itu adalah sia-sia. Inilah yang disepakati oleh semua para ulama.

P/S : Kepada pihak yang tidak menguasai kefahaman maqasid syariah dengan jelas, diharapkan lebih baik diam daripada mengeluarkan kenyataan yang mengarut dan mungkin menyesatkan masyarakat umum... Serahkan sesuatu urusan itu kepada ahlinya...

tambahan : yang terbaru saya tahu, ada pihak berkenaan yang mengeluarkan kenyataan yang mengarut berkaitan isu pengebom berani mati. Jelas pihak tersebut tidak memahami perbincangan ulama secara jelas dan maqasid syariah secara secara tepat.
Baca seterusnya

Betulkan Persepsi Melihat Pelbagai Isu Kritikal - Rezza

oleh : Rezza Khanafiah


BANYAK hal yang telah merubah cara berfikir dan berpersepsi saya selepas mengalami tarbiyah islami dan konvensional secara bertapis, berlapik di sebuah sekolah menengah agama di kelantan. Maahad Muhammadi lil-Banin (MML). Kalau dulu saya seorang pendiam, suka menghabiskan masa seorang diri, serasa dunia ini sempit tiada lagi jalan untuk saya berpotensi. Kejayaan yang dikecapi di lapangan peperiksaan, tidak pula suatu kebanggaan kerana semua telah disempitkan.

Oleh itu, saya rasa tiada apa yang bisa dikongsi kerana dari low thinking tadi menyebabkan saya pesimis terhadap keadaan sekeliling. Belajar, makan, berjalan lebih suka melakukan sendiri, tiada berteman hinggalah bersosial pun saya lebih suka memilih untuk berkurung di dalam bilik. Apatah lagi untuk menegur seorang perempuan tidak dikenali, hatta kawan sekelas ataupun menjawab sapaan, lebih malu daripada seorang wanita perawan.

Maka saya dapati diri masih terkurung dengan paradigma lama, tidak boleh berpersepsi dengan baik. Apabila diri sedikit berubah hasil daripada tarbiyah tadi, barulah saya dapat menerima beberapa perkara yang dipinggirkan sebelumnya seperti kemahiran berkomunikasi, berfikir secara kreatif dan kritis, pemikiran tersusun dan terpandu.

Apabila tersedar, rupa-rupanya bila kita tersilap dalam menentuka hala tuju persepsi kita baik melibatkan masalah hukum semasa (Qodhaya Fiqhiyah Muasoroh), sosial, politik, dan isu-isu semasa. Kita tidak mahu timbul istilah baru seperti mana telah dicetuskan oleh Sisters In Islam (SIS), dan beberapa badan NGO yang tidak berpuas hati dengan tafsiran al-Quran yang telah dibuat bertahun-tahun lama oleh para ulama’ yang mu’tabar. Kita juga tidak mahu seorang pemimpin yang memperlekehkan hukum Allah, hingga mengatakan hudud tidak sesuai di era ini. Begitu juga masalah kritikal seperti isu Palestin yang sudah berlarutan sekian lama. Kesan terbesar daripada masalah ini ialah kepada orang awam yang lebih suka menyuap apa-apa yang dirasakan betul terus ke dalam mulut.

Manusia melihat apa yang dia mahu lihat dan siapa dirinya menentukan bagaimana dia melihat. Benar, ianya sudah pasti berkaitan paradigma dan persepsi kita dalam menilai sesuatu. Mungkin orang berpengaruh akan menggunakan persepsi dangkal untuk kepentingan kantung politik, dan parti masing-masing demi sebuah kuasa... tiada lagi pertimbangan akal sihat dan syariat.

ISU PALESTIN

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan serangan tentera Israel terhadapat kumpulan bantuan kemanusia yang menuju ke GAZA dengan enam buah kapal laut yang sarat muatan makanan, alatan perubatan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin. Malah muatan tersebut dirampas, manakala beberapa sukarelawan asing, terumata dari Turki mati syahid angkara tembakan membuta-tuli. Kita semua merasa sedih.

Tidak kira di mana jua umat Islam berada di seluruh dunia menyatakan bantahan masing-masing. Bendera Israel dibakar, demonstrasi dilakukan di kedutaan Amerika dengan laungan ‘maut’. Barangan buatan Amerika dan Israel dibaikot (walaupun ada sesetengah tidak tahu, bahkan lebih ramai) habis-habisan. Ianya berlaku selepas melihat inilah usaha terbesar selepas jihad al-Qital hampir mustahil berlaku, persepsi kita menentukan tindakan tersebut.

Saya tidak menolak sinis apa yang telah diusahakan, kalian berhak melakukan, tapi hasilnya bagaimana pula? Boikot, bakar bendera tidak merugikan apa-apa bagi melahirkan ketakutan kepada Amerika dan Israel. Ekonomi mereka tetap utuh, kekuatan mereka majin bertambah. Justeru, apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah kita cuba mengubah paradigma dan persepsi dengan melihat isu ini dari kaca mata Islam.

Bagaimana?

Melihat isu Palestin sebagai isu kemanusiaan banyak manfaatnya, namun seperti yang kita dapat lihat ramai pula yang seakan-akan meminggirkannya sebagai isu agama. Hingga kita pula seolah-olah lupa keperluan terpenting dalam mendepani zionis dan kuncu-kuncunya.

Semasa sedang marak kesedaran untuk menunjukkan penentangan kepada musuh-musuh Islam ini, seruan perbaiki taqwa dan melengkapkan diri dengan ciri mukmin jarang disebut, terus terpinggir. Sedang, bagaimana mahu menang jika kita hanya menyiapkan strategi luaran walhal dalaman haru-biru. Benar inilah, Syarat kemenangan pembinaan tamadun Islam yang kita maklum dari berabad kurun menurut sirah salaf. Ringkas, semua aspek perlu berjalan serentak. Keutamaan tidak menafikan peranan.

Tanpa menolak perlunya DEMONSTRASI (beradab), BAKAR BENDERA dan BOIKOT dalam menzahirkan kepedulian kita kepada nasib saudara-saudara kita di Palestin... kembali kepada Islam sebenar tetap merupakan faktor terbesar untuk mengembalikan kemenangan umat Islam sejagat. Bak mencantas lalang, tidak mencukupi dengan menebas bahagian yang tumbuh di atas tanah sahaja tetapi akarnya juga wajib dan patut dibuang.

Kita hanya menang sorak.

Di saat tentera zionis membantai umat Islam, apakah kita masih berjihad menentang hawa nafsu? Ketahuilah selagi kita masih bernyawa, selagi itulah JIHAD NAFSU tidak akan berakhir, sedangkan JIHAD SENJATA (al-Qital) hanya pada waktu tertentu dan tempat tertentu.

Kelemahan umat Islam ialah strategi yang terlalu konvensional sambil menunggu ketibaan burung Ababil untuk menjatuhkan batu-batu berapi bagi menghancurkan Israel. Kita percayakan kuasa Allah Taala, namun usaha kita biarlah adil pada keadaan. Berdoa tanpa usaha pada perubahan diri, saya lihat ianya hanya sia-sia belaka.

Semua yang skeptik untuk berdemonstrasi dan boikot itu bukan kerana tidak sayangkan agama dan saudara seagama tetapi kerana umat Islam seharusnya boleh melakukan lebih hebat dari itu cuma akal dan minda tertutup oleh emosi dan sentimen.

Bangkitlah wahai jiwa kental, kembalikan iman pada tahap tertinggi.

ISU SOSIAL

Masalah terbesar umat Islam di Malaysia gagal meruntuhkan berhala besar di dalam hati setiap manusia yang bernama Melayu. Gejala sosial tidak sihat tidak lagi dikira satu agenda besar dalam perancangan pembangunan modal insan. Cintakan dunia disuburkan saban masa. Tidak hairanlah setiap hari ada sahaja berita menyesakkan dada dipaparkan.

Lihat sahaja jenayah zina, rogol, buang anak, isu-isu dadah seolah-olah tidak berkesudahan. Saya tergamam seketika mendengar perbualan beberapa remaja belasan tahun ketika di tanah air dahulu, membuatkan saya hilang rasa hairan tentang peningkatan jenayah zina di kalangan pelajar sekolah. Bayi ditanam hidup-hidup telah mengembalikan era jahiliyyah Umar al-Khattab sebelum keislamannya. Isu al-marhumah adik Safiyah Humairah masih hangat di dada-dada akhbar tempatan.

Pornografi, dadah, hiburan tanpa sempadan merupakan alat mengerakkan boneka-boneka umat ini. Aurat wanita yang terdedah seolah-olah menjadi kelaziman, semakin lama, semakin terdedah, seakan-akan perlumbaan menuju ke neraka, beratur dengan penuh sesak. Bila pandang mereka yang istiqamah berada di sof menuju ke syurga boleh dibilang sahaja.

Bagaimana pula 5-10 tahun akan datang? Tiada lagi rasa malu, hilang status dan gender yang disandang kerana mahupun engkau lelaki atau perempuan, tiada apa yang membedakan kita.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa-apa yang dialami oleh sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka” ar-Ra’d (13:11)

Tidak yang ramai isu dan masalah ini mengikut persepsi betul. Ubah manusia itu juga bukan ubah muka, warna rambut atau ubah warna mata. Ubah manusia itu adalah mengubah unsur utama yang membentuk tindakan manusia iaitu nafsu, akal dan hati manusia. Jelas firman Allah Taala di atas, perubahan hanya akan berlaku apabila kita bertindak mengubah faktor manusia.

KESIMPULAN

Penyakit umat Islam khususnya muda mudi masa kini makin tenat, telah berada di peringkat lima.. paras kritikal.

Hakikat ‘sakitnya’ majoriti umat ini adalah kesan dari apa yang telah Yahudi hidangkan, sediakan sepanjang tempoh yang menyedihkan ini. Sasaran mereka, tentu sekali golongan anak muda. hasil kerja mereka? lihatlah di sekeliling kita. kajilah sejarah jatuh-bangun islam,nescaya kita akan menyedarinya. Tarbiyah adalah ubat yang mujarab untuk merawat sakit umat ini.

Memandang dunia sebagai ladang, maka dunia adalah masa bekerja. Akhiratlah kampung kerehatan untuk jiwa-jiwa yang percaya kepada-Nya. Inilah yang mampu menggerakkan seorang manusia, menolak dirinya untuk mengisi kehidupannya dengan sesuatu yang bermakna buat dirinya, dan juga orang lain.

Masa yang lapang kalau tidak diisi dengan sesuatu yang menuju cinta Allah lantas akan diisi dengan bisikan syaitan dan syahwat untuk melakukan sesuatu dosa dan lalai serta menjauhkan diri dari Sang Pencipta. Hilanglah sebuah tarbiyah yang dilalui tadi, hilang ditelan kehendak nafsu sendiri. Apa salah ketika ini kita berdemonstrasi meruntuhkan berhala-berhala di dalam diri yang lebih halus dan merbahaya. Mampu membunuh dalam senyap.
Baca seterusnya

18 June 2010

Mahasiswa Islam Perlu Peka Isu Semasa, Kuasai Maqasid Syariah

oleh : Abezuh (link)


Semalam ketika membaca salah satu surat khabar Malaysia, terasa agak kagum dengan perwatakan dan sikap yang ditunjukkan oleh 4 mahasiswa UKM yang dikenakan tindakan oleh pihak universiti atas tatatertib AUKU. Atas keberanian dan keyakinan mereka dengan status mahasiswa mereka, mereka berani bangkit membawa isu ini bersama-sama ke mahkamah bagi menyatakan ketidak setujuan mereka ke atas tindakan tatatertib yang dikenakan kepada mereka, bahkan membawa agar AUKU dibincangkan kerana sudah tidak relevan.

4 mahasiswa Islam tersebut - syabas diucapkan..

Saya kira, patutlah sebelum ini ramai yang mengkritik mahasiswa Islam di Mesir kerana tidak sama dengan mahasiswa Islam di Malaysia dari pelbagai sudut. Mungkin saya agak setuju berdasarkan situasai sekarang.

Sebelum ini saya sudah membicarakan panjang lebar berkenaan mahasiswa Islam, namun tidak pasti apakah hasilnya kelak. Nantikan selepas exam ini. Tunggu dan lihat bagaimana reaksi mahasiswa Islam selepas ini, adakah masih tidur dan selesa dengan keadaan mereka sekarang...

Sering berbincang dengan saudara Presiden, Shahrizan Hazime berkenaan mahasiswa Islam di Mesir dan maslahat. Pelik, di Mesir ilmu terlalu luas diperbincangkan namun peratusan yang dipraktikkan hanya beberapa peratus sahaja. Lebih-lebih lagi, mahasiswa Islam kini sudah meninggalkan ilmu senjata asas semasa seperti yang saya telah katakan sebelum ini antaranya fiqhul khamsah, maqasid syariah, siayasah politik dan sebagainya. Bahkan ilmu-ilmu ini sudah kurang mahasiswa Islam berbincang mengenainya. Sedangkan ilmu senjata asas semasa inilah yang sangat diperlukan apabila pulang berhadapan dengan situasi di Malaysia sekarang.

Ya, situasi di Mesir sangat selesa.. kita tidak berhadapan dengan gejala sosial yang terlalu teruk, tiada non-muslim dan tiada golongan selain golongan mahasiswa bahkan peratusan besar di sini adalah mengaji agama berbeza dengan di Malaysia. Kita di sini masih lagi 'berbalah' isu yang sudah selesai dan furu' seperti isu wahabi, isu thiqah yang diukur berdasarkan ke atas pemakaian, isu sah atau tidak solat apabila ada darah nyamuk dan sebagainya.

Saya tanya berapa ramai yang berbincang mengenai isu keterbukaan Islam kepada non-muslim di dalam sebaran dakwah, bagaimana islamisasi ke atas sektor-sektor yang besar di Malaysia, konsep tahaluf dan perpaduan di kalangan masyarakat yang pelbagai.

Saya teringat suatu kata-kata seorang akademik dari Malaysia katanya di dalam membawa suasana politik kita mesti bijak, bahkan rasulullah SAW sangat bijak di dalam politik. Politik adalah untuk mendapat kuasa di dalam menjayakan penyebaran Islam. Lihat bagaimana Erdogan ketika orang tanya kenapa di pejabat kerajaan Turki masih terdapat gambar Kamal At-Tartuk sedang Kamal At-Tartuk merupakan pengkhianat Islam yang menghancurkan khilfah suatu ketika dahulu. Kata beliau, pengaruh Kamal masih ada dan kita perlukan sistem berperingkat di dalam menjaga maslahat. Ya, pemikiran yang menjaga maqasid syariah.. Keadaan semasa perlu diambil nilai demi maslahat sekarang dalam masa yang sama merancang bagi maslahat yang besar di masa hadapan. Begitu juga Islam melarang mengutuk atau cela sembahan orang kafir dan meruntuhkan rumah ibadah mereka. Kesemua ini maslahat yang terdapat di dalam maqasid syariah.

Ramai yang berlagak memahami maqasid syariah sedangkan mereka hanya tahu menyebut dharuriyat khamsah sahaja. Adakah maqasid syariah sekadar itu? Banyak lagi kaedah dan ilmu di dalam maqasid syariah yang tidak ramai memahami dan tahu.. Bagaimana pelaksanaan mengkiut maqasid syariah dengan isu semasa sekarang perlu dibincangkan...

Mungkin ada masa saya akan menulis secara asas sebagaimana penulisan fiqhul khamsah... Namun, apa yang penting bagi mahasiswa Islam kuasai fiqhul khamsah terlebih dahulu sebagai permulaan asas.

P/S : Kelemahan penguasaan maqasid syariah menjadikan mahasiswa Islam tidak peka isu semasa dan tidak mahir mengkaji mengenai isu semasa yang berlaku. Mahasiswa Islam boleh mempelajari penguasaan ke atas isu semasa daripada BP Farkhan. Beliau seorang yang mahir dan sentiasa menganalisa isu semasa yang berlaku..

tambahan : ada yang minta dikaji fiqh tawaqqu', mungkin selepas selesai maqasid syariah saya akan tulis kerana hendak memahami fiqh tawaqqu' di antaranya mesti memahami maqasid syariah.. doa-doakan...
Baca seterusnya

14 June 2010

Gerakan Mahasiswa Perlu Berani Atas Dasar Kefahaman


Oleh : Presiden PMRAM

Assalamualaikum,

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan bagi sekalian makhluk. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Keberanian merupakan akhlak yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai salah satu sifat orang mukmin. Berani yang dimaksudkan oleh Islam ialah berani menyatakan kebenaran serta berani untuk mencegah kebatilan.

Tetapi malangnya, sesetengah mahasiswa Islam tidak memahami konsep sebenar keberanian yang diajar oleh Islam. Mereka berani menyatakan kebenaran, tetapi tidak berani mencegah kebatilan yang berlaku di sekeliling. Kemudian mendabik dada bahawa mereka adalah golongan tarbiyah.

Mereka berani serta lantang untuk berhujah dan berdebat, tetapi tidak berani untuk melakukan dengan perbuatan. Kemudian mendabik dada bahawa mereka adalah golongan ilmuan. Inilah antara penyakit yang menimpa kelompok yang mengaku bahawa mereka adalah aktivis Islam.

Melihat kepada realiti syakhsiah mahasiswa Islam yang berlaku, PMRAM berusaha untuk mengembalikan identiti akhlak islamiyah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Berdasarkan Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010, sifat berani yang ada pada mahasiswa Islam bukanlah berani yang kosong tetapi BERANI ATAS DASAR KEFAHAMAN.

Sebagai mahasiswa Islam, kita sepatutnya berani menyatakan kebenaran pada perkara yang hak serta berani mencegah kebatilan pada perkara yang salah. Allah SWT sengaja menjadikan sejarah terdahulu sebagai kamus panduan untuk membentuk corak kehidupan di masa hadapan.

ZAMAN RASULULLAH SAW

Jika kita mengimbau kembali sejarah di zaman penurunan wahyu, Nabi Muhammad SAW mengumpul kekuatan para sahabat seramai 313 orang untuk menuju ke Medan Badar demi untuk mengambil kembali harta umat Islam yang dirampas oleh kaum musyrikin Mekah ketika berlakunya penghijrahan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh Baginda SAW serta para sahabat demi semata-mata menjaga hak umat Islam yang dirampas. Walaupun kekuatan tentera musyrikin seramai 1000 orang, namun perkara tersebut sedikit pun tidak melunturkan keberanian mereka untuk mendapatkan kembali hak umat Islam kerana mereka adalah golongan yang FAHAM.

PEMERINTAHAN KHULAFA' YANG PERTAMA

Dengan sifat berani dan tegas yang ada pada Saidiana Abu Bakar As-Siddiq RA, beliau memerangi golongan yang enggan membayar zakat dengan melaksanakan hukuman bunuh. Walaupun hukuman tersebut ditegur oleh Saidina Umar Al-Khattab RA, tetapi Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA tetap bertegas kerana beliau FAHAM tentang kehendak dan maksud sabda nabi SAW

"Aku disuruh untuk memerangi manusia sehinggalah mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Apabila mereka melaksanakan semua itu, maka terselamatlah darah dan harta mereka daripada aku melainkan dengan hak Islam dan hisab mereka terserah kepada Allah SWT." (Al-Bukhari dan Muslim)

Beliau melontarkan satu persoalan kepada Saidina Umar Al-Khattab RA sebagai jawapan bagi soalan yang ditanya. "Adakah kamu membezakan antara golongan yang murtad dengan mereka yang menafikan hukum pembayaran zakat?."

SELEPAS KEJATUHAN KHILAFAH ISLAMIYAH

Keberanian dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyebabkan kefahaman masyarakat tentang gerakan Islam semakin subur. Walaupun diuji dan ditimpa dengan pelbagai mehnah dan rintangan, tetapi beliau tetap istiqamah dalam meneruskan risalah Rasulullah SAW kerana FAHAM yang ada dalam diri beliau.

Kalaulah bukan dengan kefahaman yang jelas, keberanian yang membara di peringkat awal akan terpadam sedikit demi sedikit. Dan saya yakin, kefahaman yang tidak diterapkan dalam keberanian akan membuahkan hasil natijah yang tidak sempurna.

PENGALAMAN DIRI

Sehingga kini banyak kisah dan pengalaman yang saya lalui mengajar untuk sentiasa berwaspada dalam melakukan sebarang tindakan. Berapa ramai di kalangan rakan-rakan seperjuangan yang bersemangat dan berani suatu ketika dahulu, kini menyendiri tidak mahu terlibat dengan gerakan Islam atau gerakan mahasiswa.

Berapa ramai di kalangan abang-abang yang memberi tarbiyah kepada adik-adik, kini bersalahan dengan apa yang mereka ucapkan suatu ketika dahulu. Sifat berani seperti inilah yang PMRAM istilahkan sebagai 'berani kosong'.

Selaku mahasiswa Islam, sifat berani yang kita tonjolkan adalah berdasarkan kefahaman. Bukanlah hanya semangat semata-mata. Semangat kerja yang membara tanpa kefahaman tidak akan membuahkan istiqamah dalam tindakan. Akhirnya berputus asa dengan sifat berani yang ditunjukkan.

Kefahaman yang mendalam tanpa semangat bekerja tidak akan merubah keadaan mahasiswa sekitarnya. Bahkan golongan inilah yang seringkali mempertikai gerak kerja yang dilakukan oleh aktivis Islam. Sifat seperti ini akan menyebabkan timbulnya penyakit dalam gerakan mahasiswa.

Justeru sifat berani yang seringkali PMRAM laungkan adalah BERANI ATAS DASAR KEFAHAMAN kerana inilah sebenarnya identiti akhlak islamiyah yang diajar oleh Rasululllah SAW kepada umatnya. Inilah unsur yang akan melahirkan sifat istiqamah dalam jiwa aktivis Islam.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

Baca seterusnya

13 June 2010

Fiqh Nusus : Langkah Pertama Menguasai Fiqhul Khamsah - Abezuh


Oleh : Abezuh (link)

Dalam posting sebelum ini, saya dah bentangkan 4 elemen di dalam fiqhul khamsah iaitu :

1- fiqh muwazanat - pertimbangan di dalam menilai antara 2 maslahat, 2 mudharat atau di antara keduanya.

2- fiqh awlawiyat - penyusunan tertib bagi yang mana perlu didahulukan dan yang patut diakhirkan.

3- fiqh waqi' - perkiraan isu semasa di dalam menentukan suatu penyusuanan tertib.

4- fiqh taghyir - kajian suatu perubahan yang berlaku bagi menjaga kualiti perancangan.

Maka, tinggal satu elemen sahaja iaitu fiqh nusus yang merupakan elemen awal bagi memastikan seseorang menguasai fiqhul khamsah yang baik.

Fiqh nusus merupakan langkah pertama, sekiranya elemen ini tidak dikuasai dengan baik, maka elemen-elemen lain di dalam fiqhul khamsah akan berterabur dan tidak dapat dikuasai dengan sempurna.

Apa itu fiqh nusus?

Fiqh nusus merupakan pemahaman di dalam penguasaan ke atas nas-nas yang ada di dalam kita untuk mengetahui mana satu yang thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah) bagi menentukan perancangan seuatu maslahat dijalankan.

Justeru, thawabit (tetap) tidak dipertikaikan bahkan susunan telah diaturkan dengan tetap. Apa yang penting melaksanakan menurut peraturan yang tersedia ada.

Manakala yang menjadi perbincangan di dalam fiqhul khamsah dalam merancang sesuatu maslahat ialah ke atas mutaghaiyirat (berubah). Makna fiqh muwazanat, fiqh awlawiyat, fiqh waqi' dan fiqh taghyir adalah suatu kaedah yang diperuntukan bagi mengkaji dan mengukur bagaimana menjamin dan merancang sesuatu maslahat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak dan menolak mudharat sebagaimana yang disuruh oleh syarak.

Sebab itu di dalam kalangan manusia ada 3 jenis sahaja berdasarkan tahap pemahaman ke atas fiqh nusus ini :

1- golongan yang hanya melihat pada zahir nas sahaja. tiada ruang perbincangan di dalam peruntukan merancang sesuatu maslahat.

2- golongan yang tidak berpegang kepada etika nas, bahkan semua nas samada thawabit (tetap) atau mutaghaiyirat (berubah) adalah ditentukan melalui fighul khamsah dalam menyusun sesuatu maslahat.

3- golongan yang tepat di dalam melaksanakan sesuatu nas, iaitu menuruti perancangan percaturan yang telah disusun bagi thawabit (tetap), dan merancang menyusun maslahat ke atas mutaghaiyirat (berubah).

Golongan pertama dan kedua adalah golongan yang salah di dalam perkiraan melaksanakan sesuatu nas ekoran penguasaan fiqh nusus yang salah. Maka apa yang ditekankan di dalam fiqh nusus ialah :

- pengenalan thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah)

- penekanan perlaksaan syariat dahulu diikuti maslahat.

- setiap syariat yang diperuntukkan adalah maslahat kepada manusia samada segera atau kemudian.

- apa yang diperuntukkan di dalam syariat adalah untuk kemudahan dan mengangkat kesusahan.

Kesemua ini merupakan garis panduan ke atas 4 elemen di dalam fiqhul khamsah. Sekiranya lemah di dalam menguasai perkara-perkara di dalam fiqh nusus akan menyebabkan seseorang tersebut tidak mahir di dalam mempraktikkan fiqhul khamsah dengan baik. Apa yang penting mahasiswa Islam mesti mampu membezakan di antara pengenalan thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah). Hal ini demikian kekalutan yang berlaku adalah disebabkan kekeliruan di dalam mengenal pasti mana satu pengenalan thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah). Dan akhirnya penyusunan sesuatu maslahat dilakukan sesuka hati walaupun ke atas perkara thawabit (tetap).

Cuma di dalam posting ini, penjelasan secara panjang lebar mengenai pengenalan thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (berubah) tidak akan dihuraikan di sini.

Apa yang penting lagi mengenai fiqhul khamsah ini ialah langkah pertama menguasai secara penuh akan fiqh nusus barulah layak memahami 4 elemen yang lain. Dan setiap elemen di dalam fiqhul khamsah mempunyai peranan yang tertentu yang khas namun terikat dengan elemen-elemen yang lain bagi menjamin kaedah yang terbaik dirancang.

Maka selain fiqhul khamsah ini, mahasiswa Islam perlu menguasai beberapa ilmu senjata semasa yang asas di dalam menjadikan diri jelas di dalam membawa amanah Allah yang syumul, iaitu :

- maqasid syar'iyah

- qawaid fiqhiyah

- kajian ke atas nas samada qat'ie atau zanni dari sudut thubut atau dilalah.

- peka mengenai isu semasa dan uruf

- penguasaan sistem azimah dan rukhsoh

- fiqh khilaf dan iktilaf

- ilmu Siasah Syar'iyah

Kesemua ilmu senjata asas ini termasuk fiqhul khamsah merupakan permata yang semakin ditinggalkan pleh mahasiswa Islam. Sedangkan tanpa penguasaan ilmu ini mahasiswa Islam tidak mampu berhadapan dengan mempraktikkan ilmu agama secara global dan semasa dengan baik. Hasilnya bertembung sesama sendiri dan meyebabkan perpecahan.

Apa yang penting, mahasiswa Islam perlu menguasai kesemua ilmu ini walaupun secara asas sebelum pulang bagi menjamin kualiti yang hebat. Tanpa penguasaan ilmu tersebut, tidak layak untuk berbicara mengenai hak, maruah, maslahat, mudharat dan perancangan yang hebat.
Baca seterusnya

12 June 2010

Generasi Kemenangan Yang Dinantikan - BP Faizzudin

Bersama Syeikh Rahimuddin Nawawi

oleh : Us Faiz BP (link)

Alhamdulillah, dunia pelik ini telah sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada aku. Aku menginsafi setiap apa yang berlaku disekeliling. Terasa kerdilnya diri ini. Meskipun terasa payah melalui jalan getir ini, akan ku teruskan jua meneruskan perjalanan yang penuh sukar ini.

“Jadilah orang yang berjiwa besar…”

Ungkapan ini seolah-olah mencabar betapa pentingnya untuk menjadi seorang yang berjiwa besar serta istiqamah dalam meneruskan agenda dakwah yang tidak pernah henti. Bukan mudah untuk menjadi seorang kaderisasi yang akan menjulang panji Islam. Sebagaimana natijah dan kesannya yang disebut al-Qardhawi “generasi kemenangan yang dinanti-nantikan”.

Layakkah kita digelar “generasi kemenangan yang dinanti-nantikan” sedangkan gerak kerja dakwah kita masih lagi malas dan culas? Sedangkan generasi hari ini sangatlah jauh dari manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Sangatlah jauh dari generasi yang pernah dilahirkan suatu ketika dahulu, generasi Sultan Muhammad al-Fateh! generasi Salahuddin al-Ayyubi!

Mereka semua berjiwa besar dan berani. Mereka semua mempunyai jiwa pejuang yang berani mengorbankan diri untuk Islam. Mereka tidak culas dalam menunaikan hak-hak mereka kepada Allah.

Tiba-tiba kita hari ini, generasi banyak melakukan maksiat dan sering banyak tidur, mendabik dada dan mengaku “akulah pejuang Islam itu”. Tidak malukah!

Generasi hari ini ramai yang pengecut dan penakut. Bakhil untuk menafkahkan tenaga untuk Islam. Malas untuk menggabungkan tenaga dan diri untuk perjuangan Islam. Layakkah digelar “generasi kemenangan yang dinanti-nantikan”.

Berdentum dentam kita sebut pasal perjuangan Islam. Masing-masing hendak menjadi hero dan merasakan diri hebat. Namun, kadang-kadang bila solat subuh jemaah di Masjid, kita masih lagi dibuai mimpi indah syaitan. Ya Allah! Maafkan hambamu ini! Aku sering lupa dan alpa dengan nikmat yang Kau curahkan selama ini.

Ya Allah! Kami ingin menjadi pendakwah, tetapi kami sering melakukan maksiat dan dosa kepadaMu. Kami ingin menjadi ulama amilin, namun kami sering culas dalam menunaikan amanah yang Kau berikan kepada kami. Kami ingin menjadi pejuang, tetapi kami sering memberikan alasan yang pelbagai. Kami ingin menjadi mujahid, tetapi jiwa kami masih lagi dibelenggu nafsu.

Aku sedang mengitung bilahan hari-hariku untuk Islam, masa dan tenagaku untuk Islam, wang ringgit dan hartaku untuk Islam, keringat dan letihku untukku Islam. Mampukah aku?

Andainya aku tersilap langkah, tegur dan nasihatilah aku…. Aku yang kerdil dan hina…
Baca seterusnya

11 June 2010

Fiqh Taghyir : Bukti Kehebatan Seorang Pemikir - Abezuh


Oleh : Abezuh (link)

Antara fiqhul khamsah yang penting juga ialah elemen fiqh taghyir iaitu pemahaman bagi penguasaan terhadap situasi yang berubah. Senang diertikan sebagai pemahaman dalam menguasai situasi bagi up to date. Fiqh taghyir menjamin seorang pemikir di dalam rancangan sentiasa segar dan menepati situasi semasa di dalam mendatangkan maslahat dan menjauhi mudharat.

Sebelum ini fiqh waqi memastikan seseorang pemikir atau perancangan mengambil kira situasi sekarang yang berlaku. Namun tanpa Fiqh taghyir akan menyebabkan seorang pemikir terkontang-kanting di dalam menilai perubahan semasa yang berlaku. Pertimbangan, penyusunan dan pemahaman situasi semasa adalah bergantung ke atas penguasaan seseorang pemikir di dalam mengkaji aspek-aspek perubahan yang berlaku iaitu penguasaan ke atas Fiqh taghyir.

Mengapa situasi sekarang begini dan apakah aspek penting perubahan yang berlaku daripada sebelum ini mesti diambil kira bagi menentukan maslahat dan mudharat. Justeru, perubahan zaman, tempat, individu, dan masyarakat memainkan peranan yang penting bagi menentukan sesuatu perancangan dilakukan. Maka, pemikir mesti mengkaji adakah sesuatu maslahat ketika dahulu yang dikatakan umum juga adalah masih berbentuk umum dengan situasi sekarang berdasarkan penilaian perubahan yang berlaku.

Fiqh taghyir menekankan beberapa unsur yang penting iaitu :

- menjaga dharuriyat khamsah.

iaitu berdasarkan maratib maslahat, yang tidak berubah adalah dharuriyat khamsah iaitu penjagaan ke atas agama, nyawa, harta, jiwa dan maruah. Walau apa pun perubahan yang berlaku, penjagaan ke atas lima perkara ini adalah paling penting dan tidak boleh dinafikan dengan alasan perubahan semasa.

- berdasarkan kaedah : Akhaf dhararain - melaksanakan mudharat yang paling kecil.

perubahan yang berlaku menyebabkan susunan maslahat dan mudharat akan turut berubah. Namun kaedah awal yang mesti digariskan ialah menolak secara total mudharat yang berlaku. Sekiranya tidak mungkin, pastikan hanya mudharat yang kecil sahaja dan sentiasa berusaha menolak mudharat secara total.

- menjaga ketetapan tadarruj : berperingkat

Situasi yang berubah memberikan ruangan yang berperingkat dan beransur-ansur. Ini perlu difahami dengan jelas bahawa berperingkat adalah faktor utama di dalam perubahan yang berlaku dan peringkatan tersebut adalah bagi membawa maslahat secara total dan mengetepikan mudharat. Justeru, tidak dinamakan berperingkat sekiranya perubahan yang berlaku langsung tidak ada pembinaan kekuatan bagi mendatangkan kemaslahatan di masa hadapan dan menjaga maslahat di masa sekarang.

Seorang pemikir atau pemimpin yang hebat akan menetapkan sesuatu keputusan yang up to date berdasarkan perubahan sekitar yang berlaku. Kehebatan ini tidak mungkin dapat diserlahkan tanpa penguasaan ke atas Fiqh taghyir ini. Justeru, apa yang perlu difahami ialah up to date bukanlah diukur dengan gempak atau dahsyatnya secara zahir namun up to date ialah keputusan atau perancangan yang dilakukan tepat dan sesuai dengan situasi pada masa tersebut. Bahkan tidak salah keputusan yang dilakukan kadang kala menggunakan keputusan yang lama kerana ia bergantung kepada situasi yang berlaku.

Justeru, situasi yang beralasankan menjaga maslahat perlu mengambil kira 3 unsur tadi di samping penguasaan ke atas kesemua fiqhul khamsah.

Ramai yang terkeliru di dalam mengatakan menjaga maslahat sedangkan perkara tersebut bukanlah sebagaimana yang didakwa. Antara contoh situasi yang seringkali saya ucapkan ialah kebimbangan dan kebaculan seseorang dengan alasan akan disekat kewangan dan dihalau tempat kediaman sehinggakan tiada suara atau tindakan di dalam mempertahankan maruah. Situasi begini tidak boleh dijadikan hujah kerana telah saya katakan tidak ada lagi satu rekod bahawa mereka yang berjuang di jalan Allah yang mati kebuluran disekat kewangan dan dihalau daripada tempat kediaman. Bahkan maruah dan hak adalah kewajipan yang mesti dipertahankan.

Lihat bagaimana peristiwa Baitul Riduan yang menyaksikan ketika itu rasulullah SAW bersama rombongan mahu ke Mekah dan diutuskan Saidina Uthman sebagai wakil bagi membincangkan perkara tersebut bersama pembesar Mekah. Lalu disebarkan berita palu bahawa Saidina Uthman dibunuh. Lantas rasulullah SAW menyuruh kaum muslimin bangkit untuk berperang. Hal ini demikian kerana berita palsu tersebut menandakan wakil utusan yang dibunuh bagi sesuatu kaum adalah hak kaum tersebut telah dicabuli. Sedangkan wakil bagi setiap utusan adalah dijaga hak keselamatannya.


Penekanan terhadap fikrah yang jelas yang dibawa oleh PMRAM adalah sangat tepat dan up to date berdasarkan situasi semasa. Peristiwa demi peristiwa yang berlaku mencerminkan fikrah mahasiswa Islam semakin celaru dan kabur. Sebelum ini telah saya nyatakan beberapa situasi yang mempersoalkan keberanian mahasiswa, dan ternyata menunjukkan suara mahasiswa Islam masih tidak ada.

Apa yang penting dalam situasi perubahan secara berperingkat mestilah menjaga dua perkara utama iaitu :

- menjaga maslahat umum semasa
- membina kekuatan bagi mendatangkan maslahat di masa hadapan

Sekiranya salah satu daripada 2 perkara tersebut tiada maka tidak ada alasan bahawa itu adalah tadarruj dan maslahat semasa yang perlu dijaga. Sebab itu alasan lapuk membuang logo yang menjadi imej jati diri semata-mata untuk meraih material adalah tidak betul kerana apa rancangan membina kekuatan di dalam mendatangkan maslahat di masa hadapan?

Justeru, penguasaan Fiqh taghyir adalah sangat penting di dalam kita memahami sirah baginda SAW di dalam setiap strategi baginda SAW. Mengapa baginda membuang kalimah rasulullah di dalam surat yang dihantar? mengapa baginda tidak mengenakan hudud qazaf ke atas Abdullah bin Ubai bin Salul? mengapa baginda membakar masjid dhirar? dan banyak lagi perancangan yang jika tidak menguasai Fiqh taghyir dengan baik akan menyebabkan kita melakukan rancangan yang salah dengan 1001 alasan.

Hasilnya, fiqh taghyir mempunyai kaitan rapat dengan fiqh waqi' kerana menilai situasi semasa adalah berdasarkan perubahan yang berlaku. Maka benarlah kalam hikmah mengatakan : sesiapa yang tidak menguasai sejarah maka tidak akan mencipta sejarah. Justeru penggabungan idea pejuang senior dan pejuang junior adalah sangat penting di dalam mencetuskan keputusan yang terbaik.

P/S : saranan saya ialah Mahasiswa Islam mesti membaca/ berdiskusi / berbincang akan buku karangan Dr Yusof Al-Qardhawi yang bertajuk Siasah Syar'iyah. Kalau nak mintak Penasihat PMRAM, Ust Khairul Anuar atau Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan atau Naib Pres 1, BP Adlan diskusikan pun lagi bagus. Kerana mereka memang pakar. :)
Baca seterusnya

10 June 2010

Ciri-ciri Maslahat, Hapuskan Konflik Pemikiran - Presiden PMRAM


Oleh : Presiden PMRAM (link)

Assalamualaikum,

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Mahasiswa dikenali sebagai seseorang yang akan memimpin negara di masa hadapan. Corak pembentukan negara di masa hadapan bergantung kepada cara berfikir mahasiswa kini.

Sekiranya cara berfikir (turuq tafkir) mahasiswa kini berlandaskan kehendak Islam dan syarak, maka pembawakan negara juga tidak akan tersasar daripada kehendak Islam. Tetapi sekiranya cara berfikir mahasiswa kini mengikut pemikiran musuh-musuh Islam atau cara berfikir mereka bercampur aduk maklumat, maka perkara inilah yang akan menimbulkan masalah pimpinan di masa hadapan.

Menyedari keadaan hakikat yang berlaku, PMRAM berusaha untuk membentuk pemikiran dan cara berfikir mahasiswa yang mengikut landasan syarak. Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010 membuktikan kesedaran dan kesungguhan PMRAM untuk melaksanakan perkara ini. Antara yang ditekankan ialah 'Penghayatan Ilmu Pencernaan Minda'.

PMRAM tidak mahu konflik pemikiran ini berlaku pada mahasiswa Islam terutamanya mereka yang menuntut ilmu di Bumi Mesir ini. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, maka akan berlaku kepincangan pembawakan negara di masa hadapan dengan ilmu dan fatwa yang menyesatkan.

Islam mengajar umatnya untuk meraikan maslahat (kepentingan) dan menolak mudharat (keburukan). Inilah tujuan perlaksanaan syariat Islam yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan seluruh alam. Mereka yang mengikut petunjuk Islam bermaksud mengikut fitrah kejadian alam ini.

Tetapi mereka yang melanggari atau melampaui syariat Allah SWT sebenarnya telah melawan fitrah kejadian diri sendiri.

Di awal tulisan ini, saya ingin menyebut kaedah yang telah disusun oleh Islam untuk mengambilkira sesuatu maslahat itu diiktibar syarak. Terkadang pimpinan mahasiswa atau masyarakat memberi alasan untuk meraikan maslahat padahal perkara tersebut tidak diiktibar syarak.

Perkara ini adalah hasil daripada cara berfikir yang salah dan terpesong daripada kehendak Islam dan syarak. Di sini, saya akan nyatakan secara ringkas bagi perkara yang dibincangkan.

Antara syarat-syarat untuk mengambilkira sesuatu maslahat itu diiktibar syarak ialah:-

1) Maslahat tersebut mestilah tidak bertembung dengan dalil nas daripada Al-Quran dan hadis serta ijmak para ulamak.

(Sekiranya maslahat tersebut bertembung dengan dalil nas atau ijmak para ulamak, maka maslahat tersebut hanyalah bersifat keraguan (wahamiyah). Hal ini kerana maslahat yang bersifat hakiki tidak akan bertembung sama sekali dengan nas qat'ie dan ijmak para ulamak.)

2) Maslahat tersebut mestilah bersifat hakiki bukannya bersifat keraguan (wahamiyah).

(Maksud hakiki di sini ialah realistik iaitu maslahat tersebut memang betul-betul berlaku. Berlainan pula dengan maslahat yang bersifat keraguan (wahamiyah). Maksud keraguan di sini ialah retorik iaitu belum pasti lagi sama ada ianya akan berlaku atau tidak.)

3) Maslahat tersebut mestilah berbentuk umum atau kebanyakan manusia. Bukannya berbentuk individu atau hanya sekelompok kecil manusia sahaja.

(Hal ini kerana maslahat yang diraikan tersebut akan menolak mudharat yang akan berlaku pada kebanyakan manusia. Maslahat yang berbentuk individu atau sekelompok kecil manusia adalah tidak diiktibar syarak kerana perkara tersebut akan memberikan kesan mudharat kepada kebanyakan manusia.)

******

ANTARA CONTOH KONFLIK PEMIKIRAN

Fatwa membenarkan pelacuran

Hukum bersekedudukan atau berzina antara pasangan yang masih belum berkahwin adalah haram di dalam Islam. Allah SWT secara jelas menyatakan hukum tersebut di dalam Al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW. Para ulamak juga bersepakat mengatakan hukumnya adalah haram.

Justeru maslahat untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan hidup adalah tidak diiktibar syarak. Bahkan masih terdapat banyak lagi altenatif lain untuk mencari sumber kewangan.

Fatwa meluluskan lesen judi

Hukum berjudi adalah haram di sisi Islam. Bahkan haram tersebut adalah bersifat qat'ie. Semua ulamak bersepakat dengan hukum yang satu berdasarkan ayat Al-Quran serta hadis nabi Muhammad SAW. Bukan hanya Islam sahaja yang melarang, bahkan agama-agama lain pun turut melarang penganutnya berjudi.

Meluluskan lesen judi bermaksud menghalalkan pertaruhan. Justeru maslahat untuk mengetahui bilangan mereka yang bertaruh sempena Perlawanan Bola Sepak Dunia adalah tidak diiktibar syarak.

Jawatan adalah suatu amanah

Islam mengajar umatnya untuk menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hal ini jelas dengan firman Allah SWT serta sabda Nabi Muhammad SAW. Bahkan hukumnya adalah wajib apatah lagi bagi seseorang yang memimpin sesebuah organisasi.

Justeru maslahat untuk meraikan keluarga (bersifat khusus) sehingga merosakkan amanah tanggungjawab terhadap ahli persatuan (bersifat umum) adalah tidak diiktibar syarat. Sepatutnya tugasan amanah diselesaikan sebelum memindahkan tugasan kepada orang yang akan memangku.

Wallahu'alam

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Pejabat PMRAM, Masakin Othman,
Kaherah, Mesir.

Rujukan

1) Al-Qawaid Al-Fiqhiyah karangan Ustaz Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam.

2) Al-Asybah wa An-Nazair karangan Imam As-Sayuti

3) Al-Wajiz fi Usul Al-Fiqh karangan Ustaz Dr. Wahbah Zuhaili
Baca seterusnya

Kat Mesir Takda AUKU Pun Masih Pengecut Juga? - Abezuh


Oleh : Abezuh (link)

Isu mahasiswa mandom, bacul dan sebagainya mungkin tidak akan timbul sekiranya mahasiswa Islam tersebut berani. Berani di dalam memikul amanah agama. Namun keberanian itulah yang masih kita mencari. Keberanian Erdogan di dalam mengecam dan mencabar rejim zionis Israel. Keberanian Mahmoud Ahmadinejad di dalam mencabar perundangan diktator dunia di dalam menjana tenaga nuklear demi kepentingan Islam sejagat.

Kini keberanian sebegitu belum timbul di kalangan mahasiswa Islam kita. Rata-rata kita lihat masih menjaga rice cooker sendiri berbanding sanggup mempertaruhkan perjuangan kesatuan yang ada di bawah PMRAM.

Isu sahabat kita dituduh menyalahguna kuasa safarah, berapa ramai yang bangkit menegur dan membidas kembali kenyataan yang kurang sopan yang dikeluarkan oleh pihak pendakwa. Hanya satu atau 2 pihak sahaja. Yang lain, selepas didesak baru, kecok sekampung. Kesedaran masih kurang di kalangan mahasiswa Islam walaupun hebat di dalam memberikan fatwa dan hukum permasalahan.

Di sini biar saya nyatakan peristiwa yang berlaku bagi mempertikaikan keberanian mahasiswa Islam :

1- Johor difitnah seramai 90 % ahli mereka adalah pembangkang. Berapa ramai yang bersuara bersama Johor?

2- Pengerusi Tanta difitnah salah guna kuasa. Tidak ramai yang membidas kenyataan si pihak pendakwa.

3- Kelantan dan PMRAM diharamkan di dalam ARMA. Tidak seorang pun yang bangun mempersoalkan.

4- Hak PMRAM di ARMA. Berapa ramai yang bangkit menaikkan sensiviti tersebut?

5- Isu layanan kurang sopan dan diherdik. Berapa ramai yang berani menjadi saksi keterangan?

6- Borang aduan hak mahasiswa. Sehingga masih belum ada yang hantar.

7- Isu mahasiswa dihina kemiskinan. Tiada suara yang lantang membela.

8- Masalaha gejala sosial. Siapa yang berani menegur ?

dan banyak lagi.........

Tertarik dengan risalah mahasiswa Islam yang dikarangan oleh sahabat saya, BP Adlan mengenai dengan mahasiswa Islam dan semasa, di antara point penting yang perlu dipandang ialah mahasiswa Islam perlu bekerja dan bukan hanya cakap berapi sahaja. Inilah masalah kritikal yang berlaku apabila ramai di kalangan yang reti dan hebat berbicara bagaikan si penyair yang menawan hati si pendengar, namun apabila diminta membuat sedikit kerja, seakan-akan tiada atau mungkin tiada langsung. Dan di antara tiada yang melakukan kerja ialah sebab tidak berani. Mudah dan selamat bercakap, namun malas dan lari dari bekerja adalah kerana tidak berani.

Kisah Thalut memimpin tentera Islam sangat memberikan faedah dan pengajaran yang besar. Keberanian umat Islam ketika itu menjadi antara faktor utama kemenangan Islam. Walaupun terdapat segelintir yang hampir mengaku kalah kerana bilangan dan kelengkapan yang tidak seberapa berbandig degan pihak lawan, namun keberanian di dalam menegakkan kalimah Islam menyebabkan mereka tidak gentar dan lari bahkan terus ke hadapan bangkit menentang kezaliman.

Sebelum ini, saya meminta agar selepas exam ini, mahasiswa Islam mesti buktikan bahawa tiada lagi ungkapan bacul diperkatakan ke atas mahasiswa Islam. Dan untuk tidak menjadi mahasiswa yang bacul, ia mesti dibuktikan dengan keberanian di dalam jiwa masing-masing.

Mengapa perlu takut? sedangkan di Mesir bukan ada AUKU pun?

Mindset pemikiran mahasiswa Islam sudah dipenjarakan dengan ketakutan AUKU yang ada di Malaysia. Hal ini menyebabkan mereka takut di samping akidah yang goyah. Di Malaysia pun, mahasiswa Islam di sana sedang bangkit dan terus bangkit di dalam memperjuangkan kebebasana hak mahasiswa. Dan kini AUKU akan dibicarakan di dalam parlimen samada relevan atau tidak untuk diteruskan. Ini kehebatan mahasiswa Islam di Malaysia, mereka berhadapan dengan situasi sebenar namun tidak mengalah dengan ugutan sekatan kewangan, penjara dan sebagaimana. Selagimana hak dan maruah tersebut dicabar, mereka akan bangkit dan bangun.

Bagaimana pula dengan mahasiswa Islam di sini? Ilmu sudah banyak. Bahasa arab pun pandai. Sanad pun banyak. Cuma keberanian je tiada lagi. Satu warisan yang sangat penting bagi mereka yang berjuang di jalan Allah. Sekiranya ilmu banyak sekalipun, kalau tiada keberanian, nescaya ilmu tersebut akan dipesongkan bagi menjaga maslahat sendiri walaupun maslahat umum tergadai.

Dan akhirnya, Said Hawa ada menyebut 3 penyakit pejuang Islam iaitu takut, malas dan kedekut.

P/S : ohye, untuk Unit Panitia ARMA di bawah Lajnah Perancang Dan Panitia mengalu-alukan siapa yang mahu bekerja bagi menaikkan kembali sensitiviti ARMA HAK PMRAM yang dirampas. Cuma satu syarat iaitu berani. Kalau ada terus hubungi saya. :)
Baca seterusnya

09 June 2010

Ungkapan Mahasiswa Bacul Mesti Dihapuskan - Abezuh



oleh : Abezuh (link)

Teringat kisah peperangan di zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab RA di antara umat Islam dan kumpulan Hercules. Kisah ini diceritakan oleh sahabat kepimpinan saya, BP Azlan ketika menyampaikan tazkirah di BKAN Pahang. Apa yang menarik untuk dikongsikan bersama ialah di antara sumber-sumber utama kemenangan umat Islam ialah keberanian, walaupun ketika itu tentera umat Islam hanya 24 ribu berbanding tentera Hercules yang sebanyak 200 ribu.

10 kali ganda!Keberanian di dalam Islam merupakan satu warisan yang kini jarang mahasiswa Islam kita miliki. Mereka hanya beranggapan warisan Islam hanya ilmu semata-mata sedangkan lupa warisan sifat keberanian yang turut diwariskan oleh Nabi SAW.

Baru-baru ini kita melihat keberanian yang ditonjolkan oleh seorang pemimpin Islam, Erdogan di dalam menghantar bantuan misi kemanusiaan dan kecamana ke atas rejim zionis Israel. syabas!

Keberanian yang dibawakan oleh Islam bukanlah keberanian dari sudut semangat, bahkan ia lebih daripada itu kerana keberanian umat Islam berkait rapat dengan akidah yang dipegang. Sekikranya akidah tersebuh goyah, maka hasilnya akan melahirkan mahasiswa yang penakut.

Dr Yusof Al-Qardhawi ada menyebut bahawa, serangan doktrin pemikiran barat menyebabkan umat Islam menjadi bacul di dalam mempertahankan syiar Islam itu sendiri. Bahkan menjadikan umat Islam sering bergaduh mengenai perkara-perkara yang furuk.

Seorang ulama haraki di Pakistan ada mengingatkan bahawa umat Islam kini hanya bertelingkah sesama Islam di dalam isu iman siapa yang betul. Dalam masa yang sama tiada yang berani bangkit menentang kekufuran yang jelas nyata!

Mahasiswa di dalam membawa amanah Allah iaitu Islam tidak hanya tertumpu kepada ilmu untuk mengeluarkan hukum sahaja. Bahkan ilmu yang dituntut adalah untuk mengetahui dan dipraktikkan. Bukan sekadar untuk memberi fatwa.

Justeru, keberanian yang kini permata yang hilang di dalam diri mahasiswa kita adalah satu kerugian yang amat. Lihat sahaja, sebelum ini saya nyatakan bahawa ketika sahabat kita ditindas, dituduh dan diugut, di mana suara mahasiswa? di mana gelombang kekuatan mahasiswa yang ditakuti ? Sehingga ada dek sifat bacul, sanggup menyalahkan orang lain yang berjuang kerana ditakuti periuk nasi sendiri terganggu.

Sehingga kini, saya mendapati masih tiada siapa yang mengisi borang aduan hak mahasiswa yang telah diedarkan disetiap tempat oleh Lajnah dan Unit Kebajikan. Takut atau tiada masalah?? sedangkan banyak berita dan sumber yang menunjukkan banyak masalah yang berlaku.....

Benarlah kata ulama haraki Pakistan sebentar tadi bahawa apabila sesama umat Islam yang salim, kita berani lantang bersuara, muhasabah, kritik dan komen. Namun apabila berhadapan dengan keZALIMan, keberanian tersebut bertukar menjadi bacul.

Amat kesal sekiranya perkara ini berterusan..kerana apabila tiada keberanian ia menunjukkan akidah adalah goyah.. apabila akidah goyah bagaimana mahu memperjuangkan Islam, kerana akidah adalah sumber utama dan kunci. Sebab itu, mereka yang takut akan kehilangan wang dan tempat sehingga menyebabkan prinsip teradai adalah mereka yang mengalami masalah akidah sebagaimana yang telah saya ungkapkan kata-kata Dr Yusof Al-Qardhawi sebelum ini.

Ayuh, buktikan selepas exam ini bahawa Mahasiswa Islam adalah berani apabila berhadapan dengan keZALIMan. Dan pastikan ungkapan "Mahasiswa Bacul" dihapuskan...
Baca seterusnya

Mahasiswa Islam Semakin Longlai Diserang Hiburan


Oleh : Abezuh (link)

"berapa ramai kita lihat masyarakat Islam yang hanyut dan terus lalai dengan hiburan yang rosak."

"Anak muda di sana (Palestin) dibunuh dengan peluru, di sini (Malaysia) dengan hiburan," - Ustaz Nasharuddin

Sedang sibuk umat Islam diserang secara bersenjata oleh rejim zionis Israel, jangan lupa bahawa serangan Yahudi dan konco-konconya ke atas semua umat Islam di pelusuk dunia tidak pernah berhenti. Salah satu serangan tersebut adalah hiburan yang melampaui syarak. Sehingga ke hari ini, berapa ramai kita lihat masyarakat Islam yang hanyut dan terus lalai dengan hiburan yang rosak.

Mesir

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah, perbezaan semangat juang di antara mahasiswa Islam kita di era 80-an sehingga 90-an dan beza dengan mahasiswa kita sekarang. Beza dan jurang yang dalam dapat dilihat. Kalau pada zaman 1992-1994, mahasiswa kita sampai turun berdemo apabila hak anjung ARMA milik PMRAM dinafikan.

Peristiwa Air Mata Mansurah menjadi bukti bahawa semangat juang mahasiswa Islam kita apabila terdapat pihak yang melakukan rancangan jahat yang menggagalkan program yang dianjurkan. Bahkan antara yang kemuncak apabila pihak kepimpinan bersama-sama kesatuan ahli di semua peringkat melakukan demo di asrama BKASM bagi membela nasib anak-anak Selangor yang telah ditindas dan dizalimi sejak bertahun-tahun.

Demikian adalah sejarah teragung perjuangan mahasiswa Islam di Mesir ini bersama kesatuan PMRAM sejak 1930. Namun kini, semangat juang kesatuan tersebut kian pudar bahkan seakan-akan tiada. Walaupun saban tahun, para pimpinan seringkali mengingatkan mengenai isu kesatuan ini, namun masih tidak ramai yang benar-benar tersentak, dan bangkit bersama.

Sehingga kini, isu 3 hutang pihak JPMK yang masih belum terlaksana, bagaikan sudah lenyap dan tiada yang cara. penafian hak anjung ARMA adalah hak PMRAM hanya segelintir sahaja yang berbicara, sedangkan ahli PMRAM yang berjumlah 4000 ke atas seakan-akan tidak mempeduli jasa 65 sukarelawan yang berani mati bersama perjuangan mahasiswa Islam yang dahulu.

Bukan mudah mendapatkan senarai sukarelawan 65 orang yang berani turun ke medan perang yang kemungkinan syahid atau kemungkinan hidup. Namun, hak tersebut, kini masih tidak terbela. Di malam penggubalan undang-undang baru yang diperkenankan, tiada seorang yang bangkit menyoal dan mempertahankan bahkan maruah mahasiswa dirobek dengan dimainkan isu kebajikan.

Ini bukti yang jelas mahasiswa Islam kini bagaikan tiada lagi roh perjuangan. Antara punca-punca utama ialah hiburan yang melampau. Bagaimana kita melihat hampir kesemua mahasiswa Islam kita memiliki laptop, komputer dan alatan yang berkonsepkan hiburan namun di salah guna. Hiburan yang ada, menjadikan mahasiswa Islam kita longlai dan lesu di dalam isu kesatuan dan umat Islam semasa.

Asyik mendengar lagu, bermain chatting, dan sebagainya sehinggakan ada yang tidak mahu meninggalkan bilik gara-gara bimbang rakan chattingg mereka sign out. Ada yang sanggup tidak turun ke program menjayakan misi kesatuan kerana seronok dan asyik melihat filem yang didownload. Namun berbeza dengan mahasiswa Islam yang dahulu yang tidak memiliki alatan hiburan tersebut akan tetapi jiwa mereka sangat hebat.

Media hubungan semasa seperti YM, blogspot dan sebagaimana disalahguna, dan hanya beralasan menggunakan untuk merapatkan ukhwah dan menjalinkan hubungan silaturrahim yang kian lama terputus. Alasan atau kenyataan, serahkan kepada mahasiswa Islam menilainya....

Malaysia

Baru-baru ini di Malaysia, kita dikejutkan sekali dengan satu isu yang amat memalukan apabila dilaporkan seramai 16 gadis sekolah menengah melahirkan anak luar nikah. Isu yang amat memalukan nama Islam apabila orang yang terlibat beragama Islam dan melayu. Rakyat Malaysia kian parah dengan gejala-gejala sosial yang semakin menular. Isu zina dan buang bayi bagaikan isu membuang sampah sarap dan dianggap biasa.

Bahkan era hiburan melampau yang melanda di Malaysia kian rancak dengan hidangan beberapa perancangan tersembunyi yahudi dan konco-konconya apabila beberapa cubaan yang dilakukan untuk mengadakan konsert dengan menjemput artis barat ketika sambutan beberapa tarik kebesaran di dalam Islam seperti tarikh kelahiran Nabi SAW dan tahun baru Islam.

Selain itu, penyanyi gelek yang seksi dari Indonesia yang bernama Inul baru-baru ini cuba mengadakan konsert di Tawau, Sabah. Namun hasil kesedaran beberapa pihak, isu ini banyak dimainkan sensitiviti bagi menunjukkan ketidak setujuan akan konsert tersebut. Dan kini, hiburan sukan yang paling diminati dunia, Piala Dunia juga dijadikan medan merosakkan pemikiran masyarakat Islam dengan mengeluarkan lesen pertaruhan judi ke atas sukan tersebut.

Justeru, fenomena-fenomena yang saya bawakan adalah untuk kita sama-sama sedar bahawa mahasiswa Islam kita kini semakin longlai diserang hiburan yang melampau dan akhirnya menyebabkan hati mereka mati, memadamkan semangat juang dan menggelapkan kesedaran di dalam jiwa. Gunakan media hiburan yang ada sebagai medan penyebaran dakwah kepada jaringan luas yang global. Usah lagi salah guna teknologi.
Baca seterusnya

08 June 2010

Fiqh Waqi` Merealitikan Perancangan - Abezuh

Rasanya.. yang berbaju biru tu, Presiden Indonesia.. betul tak?

oleh : Abezuh (link)

Fiqh waqi' menjadi senjata utama bagi memastikan sesuatu perancangan yang dibuat menjadi realiti. Dengan erti kata, penjagaan maslahat dan menjauhi mudharat terjamin berdasarkan selepas kefahaman Fiqh Muwazanat dan Fiqh Aulawiyat. Bahkan fiqhul khamsah merupakan suatu eleman yang tidak boleh difahami secara berasingan atau memahami sebahagian sahaja. Hal ini demikian kesemua fiqh ini mempunyai peranan tersendiri dan berkait rapat dengan yang lain.

Kefahaman ke atas fiqh waqi' adalah untuk memastikan perubahan faktor dan sebab di dalam penilaian maslahat dan mudharat dapat dijaga berdasarkan penelitian kepada keadaan sekeliling semasa. Ia mengambil kira dari sudut uruf, suasana adat , bahasa dan syara'. Maka penguasaan di dalam memahami fiqh waqi' memberikan suatu ketepatan ketika meletakkan penilaian sesuatu tersebut adalah masalahat atau tidak.

Bahkan maslahat yang diperbincangan oleh syara' juga berkisar kepada maratib maslahat yang 3 iaitu dharuriyat, hajiyat dan tahsiniyat. Justeru, seuatu perkara yang berubah pasti akan menjagakan susunan mana yang perlu didahulukan atau dilewatkan berdasarkan status semasa.

Maka pengabaian kefahaman ke atas fiqh waqi' akan menyebabkan sesuatu tindakan perancangan tersasar daripada kehendak yang sebenar bahkan menjadikan perancangan yang gagal.

Dr Yusof Al-Qardhawi menyebut di dalam laman web beliau, bahawa menuntut ilmu merupakan fardhu ain kepada setiap umat Islam. Namun ia adalah fardhu ain ke atas setiap perkara apa yang dilakukan. Justeru, di dalam memahami secara mendalam sesuatu ilmu bukanlah fardhu ain namun hanya fardhu kifayah. Apa yang penting ialah setiap amalan harian yang dilakukan berdasarkan dalil yang nyata.

Justeru, orang yang merancang yang memahami kefahaman fiqh waqi' akan menilai apa yang patut dirancang dalam konteks tersebut. Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan menyebut, saban tahun orang yang mengaji secara bertalaqqi semakin tinggi dan gejala sosial yang berlaku juga semakin meningkat. Dan orang yang bekerja di dalam membanteras maksiat amat sedikit. Maka waqi' yang berlaku sekarang adalah untuk memastikan gejala sosial yang berlaku dibendung dan dikurangkan. Namun waqi' sebegini kurang difahami oleh mereka yang hanya mendengar ilmu sahaja tanpa dicernakan.

Seorang ulama haraki di pakistan juga berkata, waqi' umat Islam ini sekarang bergaduh dan berpecah ekoran sibuk menilai iman siapa yang benar, iman siapa yang salah. Dalam masa yang sama, tiada yang sibuk membicarakan siapa yang mahu bangkit menetang kezaliman dan penindasan ke atas umat Islam.

Dahulu juga turut berlaku, ketika Saidina Hussin dibunuh, seorang ulama menegur bahawa ketika Saidina Hussin mati syahid dibunuh, umat Islam sibuk membicarakan adakah sah solat yang ada pada pakaian darah nyamuk, namun tiada seorang yang membiacarakan pembelaan ke atas pembunuhan cucu rasulullah SAW tersebut.

Mahasiswa Islam kini turut tergelincir di dalam kancah kekeliruan waqi' semasa yang dituntut. Kita lihat ramai yang sibuk membicarakan keputusan exam dan terlebih mengimpikan natijah imtiyaz di dalam masa yang sama rakan sebidang sibuk melakukan gejala sosial. Maka waqi' mereka yang memahami ialah bekerja mencegah mungkar lebih dituntut berbanding yang lain. Ini waqi' .

Bukan bermakna menafikan perkara yang lain, namun ia disusun mengikut aulawiyat berdasarkan waqi'. Sebab itu waqi' yang terbesar ke atas umat Islam sekarang bersatu menetang penindasan berbading mempersoalkan keimanan siapa yang lebih sahih.

Dan mahasiswa Islam kini, apakah waqi' sesuai bagi mereka? adakah mereka tidak memahami fiqh waqi' yang akhirnya akan menyebabkan sanggup meruntuhkan kesatuan bersama semata-mata sumbangan yang tidak seberapa? sanggup maruah dicabul semata-mata nak mendapatkan bayaran sewa tempat tinggal yang murah? Sanggup menghabiskan 10 kitab sebulan dalam masa yang sama gejala sosial meningkat 10 kali ganda? sanggup mendapatkan mumtaz berbanding menyibukkan diri menyelamatkan rakan daripada hanyut bersosial?

Justeru, fiqh waqi' adalah senjata utama di dalam memastikan realitikan perancangan yang dilakukan di dalam memastikan penilaian dan penyusanan maslahat dan mudharat adalah dijamin dan betul.
Baca seterusnya

06 June 2010

Isu Judi : Mahasiswa Jangan Tidur! - BP Solehuddin


Banyak isu-isu yang telah melanda umat Islam dewasa kini. Tidak kira isu di peringkat dunia seperti isu Palestin, ataupun isu umat Islam di Patani mahupun dengan isu yang berlaku di peringkat negara Malaysia.

Di Malaysia kini, isu judi bola yang menjadi isu hangat diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat, isu ini perlu dipandang serius oleh kita selaku mahasiswa Islam sebagai menyahut sabda nabi :

“Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang permasalahan ummat, mereka bukan dari kalangan kami”. (Hadis Nabawi)

Allah Taala telah jelas meyebut didalam al-Quran tentang hukum yang qat’ie berkenaan pengharaman judi,sebagaimana firmanNya:

Maksudnya : ”Wahai orang-orang yang beriman,sesungguhnya minuman keras, berjudi, (bekorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilan perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung”. (Surah al-Maidah : 90)

Ayat di atas merupakan dalil yang jelas menunjukkan bahawa perbuatan judi merupakan perkara yang dilarang secara qot’ie disisi syarak. Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah s.w.t telah mengharamkan perbuatan judi berdasarkan firman-Nya : “Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu”.

Selain itu juga ulama’ secara ijma’ telah mengeluarkan hukum pengharaman judi bagi ummat Islam. Hal ini kerana, judi memberi banyak kesan buruknya kepada pembentukan institusi ummah dan menyebakan tidak mendapat keberkatan daripada Allah.

Oleh yang demikian, BKKS PMRAM ingin mengajak mahasiswa Islam mesir khususnya memahami bahawa isu judi dan isu bola adalah merupakan dua isu yang perlu kita fahami dengan baik. Bukan bermakna Islam melarang judi menunjukkan bahawa islam juga melarang umatnya untuk bersukan.

Islam menggalakkan umatnya untuk bersukan, hal ini kerana dengan bersukan dapat melahirkan umat yang cergas dan sihat. Dengan bersukan juga menunjukkan Islam mengajar umatnya agar mengimbangkan antara aspek jasmani dan rohani dalam membina seorang insan acuan Islam.

Cuma apa yang perlu kita fahami adalah apabila perkara halal bercampur dengan haram maka secara automatiknya perkara tersebut akan menjadi haram dan perlu kita jauhi. Hal ini perlu kita fahami dengan sebaiknya agar ia tidak menimbulkan salah faham yang akan menyebabkan persepsi terhadap Islam disalah ertikan oleh masyarakat awam khusunya.

BKKS PMRAM juga ingin menimbulkan persoalan tentang tahap kecaknaan kita sebagai mahasiswa Islam di Mesir khususnya tentang hal-hal sebegini. Mahasiswa perlu menjuarai isu, samada isu yang berkaitan dengan ummah dunia mahupun isu yang berlaku di tanah air.

Ramai yang beranggapan mahasiswa yang berada di Timur Tengah kadangkala ketinggalan dengan isu-isu dalam negara dengan meletakkan alasan jauh dari negara. Namun sebenarnya ini adalah alasan yang tidak munasabah terutamanya dalam zaman IT seperti sekarang. Hakikatnya kita sebenarnya meletakkan diri kita di dalam zon selesa.

Sebagai golongan mahasiswa Islam yang intelek sewajarnya kita lebih matang dalam menangani isu yang berlaku pada ummah secara ilmiah.

Mahasiswa Islam sebenarnya memikul tanggungjawab memimpin orang ramai malah sehingga tahap membangunkan bangsa dan negara. Cuba kita renungi, kenapa dalam mengejar pembangunan di mana-mana negara, di samping mereka meningkatkan kemodenan, mereka juga terpaksa memantapkan dan menyediakan lebih banyak pusat pengajian tinggi. Jika tiada golongan mahasiswa yang mengisi kemodenan dan menjayakannya, akhirnya kemodenan tersebut akan dinikmati oleh pihak luar.

Oleh yang demikian, perlu kita sedari bahawa tugas kita sebagai mahasiswa Islam bukan sekadar menuntut ilmu semata-mata malahan mengamalkan ilmu tersebut dengan kata lainnya dengan menggunakan ilmu tersebut untuk pembangunan ummah.

Kata seorang ahli sejarah Islam Ibn Khaldun

“Kayu ukur kepada kemajuan ataupun kehebatan sesuatu tamadun tersebut adalah apabila berlaku masalah ataupun ujian terhadap tamadun tersebut,akan ada respon ataupun tindakan yang dilakukan oleh masyarakat tamadun tersebut.”

BKKS PMRAM berharap dengan kecaknaan kita terhadap isu-isu yang berlaku terhadap ummah menunjukkan satu respon dan tindakan daripada mahasiswa Islam untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam terdahulu.

MOHD SOLEHUDDIN BIN MOHD SAFIEN
Badan Kebudayaan, Kesenian Dan Sukan PMRAM 2010

Baca seterusnya
 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal