05 January 2010

Ringkasan Hidup Imam Abu Mansur al Maturidi RA

Nama sebenar beliau ialah Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al Maturidi. Al Maturidi dinisbahkan kepada tempat kelahirannya yang bertempat di Sungai Jihun, Samarqandi di Basrah. Beliau lahir pada 238 Hijrah bersamaan 852 Masihi[1].

Beliau mula-mula menuntut ilmu daripada Abu Nasr al Iadhi, dan pernah berguru dengan silsilah ulama’ yang bersambung sehingga Imam Abu Hanifah RA. Selain itu beliau pernah belajar dengan Muhammad bin Maqatil ar Razi. Bapanya juga seorang ulama yang pernah berguru dengan Abu Ahmad al Iadhi, dan Abu Bakar al Iadhi.

Kealiman beliau akhirnya telah melahirkan ulama’-ulama’ terkemuka, antaranya ialah Abu Qasim Ishaq bin Muhammad bin Ismail (340 H), Abu Hassan Ali bin Sa’id ar Rastaghfani, Imam Abu Muhammad Abdul Karim bin Musa al Yazdawi (390 H), dan Imam al Laith al Bukhari yang terkenal.

Syeikh Tasy Kauthari Zadah berkata :

اعْلَمْ أَنَّ رَئِيْسَ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ فِى عِلْمِ الْكَلاَمِ رَجُلاَنِ : أَحَدُهُمَا حَنَفِيٌّ وَالآخَرُ شَافِعِيٌّ ، أَمَّا الْحَنَفِيُّ فَهُوَ أَبُو مَنْصُورِ مُحَمَّدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ مَحْمُودِ الْمَاتُرِيْدِيُّ ، إِمَامُ الْهُدَى ... وَأَمَّا الآَخَرُ الشَّافِعِيُّ فَهُوَ شَيْخُ السُّنَّةِ وَرَئِيْسُ الْجَمَاعَةِ إِمَامُ الْمُتَكَلِّمِيْنَ وَنَاصِرُ سُنَّةِ سَيِّدِ الْمُرْسَلِيْنَ وَالذَّابُ عَنْ الدِّيْنَ وَالسَّاعِي فِي حِفْظِ عَقَائِدِ الْمُسْلِمِيْنَ أَبُو الْحَسَنِ الأَشْعَرِيُّ البَصْرِيُّ

Ketahuilah bahawa ketua Ahlus Sunnah Wal Jamaah dalam bidang Ilmu Kalam ialah dua orang : Seorang daripadanya ialah bermazhab Hanafi, dan seorang lagi bermazhab Syafie. Orang yang bermazhab Hanafi itu ialah Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al Maturidi, penghulu bagi petunjuk. Manakala seorang lagi yang bermazhab Syafie ialah Syeikh as Sunnah, dan ketua al Jamaah, Imam bagi ulama Ilmu Kalam, pendokong sunnah Penghulu bagi rasul-rasul (Nabi Muhammad SAW), pengukuh Agama, dan penyelusur di dunia memelihara Akidah Muslim, dia ialah Abu Hassan al Asy’ari.


Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin, Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar
_______________________________________________________

Beliau wafat pada 333 Hijrah bersamaan 944 Masihi, iaitu hampir mencecah 100 tahun. Inilah pandangan beberapa sejarawan.[2]
[1] Tiada sebarang sumber yang dapat menshahihkan tarikh kelahirannya melainkan apa yang telah dishahihkan oleh Dr Ayyub Ali. Sila lihat Dr Fathullah Khalif Kitab at Tauhid Lil Imam Abi Mansur al Maturidi, ms 2
[2] ibid

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal