21 February 2010

Pemerintah Yang Menyangka Sudah Melaksanakan Hudud

Pendahuluan

1. Artikel yang telah saya siarkan kelmarin (19 Februari) menjelaskan tentang hukuman sebat yang telah dibuat di penjara pada 9 Februari lalu. Ia dijatuhkan kepada 3 pesalah.

2. Setelah menyiarkan artikel tersebut, disiarkan pula di dalam Berita Harian menyatakan bahawa ketiga-tiga pesalah tersebut disabit kesalahan berzina.

3. Pada 20 Februari, berita disiarkan lagi di dalam Berita Harian, tentang temubual bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ulasan

1. Sepertimana yang telah disebutkan di dalam artikel kelmarin, saya telah menyatakan bahawa hukuman sebat yang dilakukan ini bukanlah “hukum hudud”. Ini kerana kesalahan bagi penzina yang bujang perlu dikenakan 100 sebatan, dan dibuang negeri. Bagi mereka yang sudah berkahwin, dikenakan rejam sehingga mati. ( Dr Wahbah Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. ke 4, Maktabah Darul Fikr, jilid. 7, Fasal 1, ms 305 )

2. Maka, hukuman tersebut belum “lengkap” untuk dikatakan sebagai hukuman hudud. Ini kerana, bilangan sebatan yang dikenakan cuma 4 dan 6 sahaja. Sekiranya ia dianggap sebagai hukuman ta’zir, juga tidak sesuai. Ini kerana ta’zir adalah hukuman yang tidak digariskan oleh syara’ dan ia diserahkan kepada pemerintah. ( Dr Wahbah Zuhaili, al Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. ke 4, Maktabah Darul Fikr, jilid. 7, Bab 2, ms 514 )

3. Tetapi zina perlu dilangsaikan dengan hudud, sepertimana firman Allah SWT :

Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (Surah an Nur : 2)

Golongan Yang Menyangka Sudah Melaksanakan Islam

Allah SWT berfirman

Maksudnya : Tidaklah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-Kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka melaksanakan undang-undang berdasarkan kepada Taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa ingin menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah melaksanakan undang-undang berdasarkan hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan berdasarkan hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu. (Surah an Nisa : 60 -61)

1. Abu Hafs Sirajuddin an Nu’mani berkata di dalam tafsirnya ( Abu Hafs Sirajuddin an Nu’mani, al Lubab Fi Ulumil Kitab, terbitan at Tafsir.com, bah 5, ms 219, Surah an Nur : 2 ), maksud daripada “melaksanakan undang-undang berdasarkan kepada taghut”, di dalam ayat ini, bermaksud :

a. Bercanggah dengan Allah, dan mengingkarinya. Mereka yang mengingkari undang-undang Allah, dikatakan sebagai “kafir” atau jatuh syahadahnya.

b. Mengkafirkan golongan yang tidak redha dengan pelaksanaan undang-undang Rasul. Iaitu mereka yang menghina hukum Allah, atau memperlecehkannya.

c. Mereka yang menolak undang-undang Allah dan RasulNya, samada dengan niat syirik, atau niat “menolak”nya. Perbuatan ini juga boleh menyebabkan jatuh syahadah.

2. Ia berkaitan dengan firman Allah SWT di dalam Surah al Maidah, ayat 44

Maksudnya : dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir (Surah al Ma’idah : 44)

a. Di dalam ayat 45 menyebut dengan perkataan “zalim”, dan ayat 47 menyebut dengan perkataan “fasiq”. Jelas menunjukkan bahawa undang-undang Allah ini adalah satu kewajipan yang wajib dilaksanakan.

b. Ayat ini diturunkan berdasarkan kisah Golongan Yahudi yang menolak undang-undang Allah. Antara undang-undang yang mereka tolak ialah hukum bunuh balas (qisas) bagi pembunuh yang sengaja, dan hukuman rejam bagi penzina. ( Dr Wahbah az Zuhaili, at Tafsir al Munir, cet ke 2, Darul Fikr Damsyik, Surah al Maidah : 44 )

c. ar Razi memperincikan lagi maksud ayat ini dengan mengatakan bahawa mereka dikatakan kafir disebabkan pegangan mereka yang ingkar (ingkar dengan hati) terhadap undang-undang Allah, dan mereka luahkan dengan lidah. Maka mereka dikatakan “kafir”. ( Dr Wahbah az Zuhaili, at Tafsir al Munir, cet ke 2, Darul Fikr Damsyik, Surah al Maidah : 44 )

d. Bagi mereka yang tidak melaksanakannya disebabkan “malas”, sedangkan pegangan mereka masih lagi yakin bahawa ia adalah undang-undang Allah, maka tidak dikatakan kafir. Tetapi dianggap berdosa. ( Syeikh Ibrahim al Baijuri, Tuhfatul Murid Syarah Jauharah Tauhid, cet. ke 3 1427, Maktabah Darul Salam, tahqiq Syeikh Ali Juma’ah, ms 92 )

Kesimpulan

Bukanlah niat ini untuk mengkafirkan sesiapa. Cuma sekadar menukilkan kalam Allah SWT, dan tafsiran ulama, semoga kita mengambil iktibar. Allah lebih layak untuk menghukum musuh-musuh agamaNya. Diri ini cuma berusaha untuk menegakkan kebenaran, dan menolak kebatilan.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal