27 September 2009

Asalnya Harus, Tetapi...


Asas utama dan pertama yang telah diletakkan oleh Islam ialah sesuatu yang dicipta oleh Allah SWT adalah halal dan diharuskan. Tiada yang dikatakan haram melainkan apa yang telah disebut dengan jelas di dalam dalil-dalil daripada Allah SWT dan hadis Nabi SAW. Sekiranya sesuatu dalil tersebut tidak shahih (hadis dha’if), ataupun tidak jelas tentang pengharaman sesuatu perkara, maka ia kekal hukumnya sebagai harus.

Ulama’ Islam telah menggunakan dalil bahawa asal hukum sesuatu itu adalah harus, berdasarkan dalil daripada al Quran :

Dialah yang mencipta untuk kamu, apa yang ada di dunia ini keseluruhannya (Surah al Baqarah : 29)

Dan Dialah yang menundukkan bagi kamu apa yang ada di langit dan bumi kesemuanya (Surah al Jathiyah : 13)

Tidakkah kamu lihat bahawa Allah SWT telah menundukkan bagi kamu, apa yang terdapat di langit dan bumi, dan Dia mencurahkan nikmatnya dari segi luaran dan dalaman (Surah Luqman : 20)

Allah SWT tidak mungkin akan mencipta semua makhluknya, dan menjadikan kesemuanya berkhidmat untuk manusia, kemudian Allah mengharamkan manusia menggunakannya. Bagaimanakah Allah SWT dikatakan mencipta kesemuanya untuk manusia, menundukkannya, dan memberi manusia dengan nikmat tersebut?

Hakikatnya, Allah SWT hanya mengharamkan sebahagian kecil sahaja daripada kesemua makhluk yang diciptanya kerana sebab-sebab tertentu dan hikmah yang akan dijelaskan selepas ini.

Di sini, dapatlah kita fahami bahawa perkara yang diharamkan itu adalah aspek yang kecil di dalam undang-undang Islam, bahkan aspek halal begitu luas seluas-luasnya. Ini kerana, dalil yang menyebut tentang haramnya sesuatu perkara tersebut adalah begitu sedikit, manakala sesuatu yang tiada dalil yang mengatakannya sebagai halal atau haram, maka ia kekal hukumnya sebagai harus (dibenarkan), dan ia dimaafkan.

Di dalam hadis ada menyebut

Apa yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam al Quran adalah dianggap halal, dan apa yang diharamkannya maka ia dianggap haram. Dan apa yang tidak disebut, maka ia dimaafkan, maka mintalah kemaafan kepada Allah SWT. Allah SWT tidak akan melupai sesuatu pun. Lalu Baginda SAW membacakan ayat al Quran Tuhanmu tidak sekali kali akan terlupa (Surah Maryam : 64) (al Hakim di dalam Mustadrak)

Salman al Farisi pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang adakah halal mentega, keju dan burung pangolin? Lalu Baginda SAW menjawab : “Perkara yang halal ialah apa yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam al Quran, dan perkara yang haram pula, juga sesuatu yang terdapat di dalam al Quran. Apa yang tidak disebut di dalam al Quran, maka ia dimaafkan”.

Di dalam hadis ini, Nabi SAW tidak mahu menjawab soalan tersebut, bahkan Nabi SAW mengemukakan kaedah supaya memberi kefahaman kepadanya dalam mengenali halal dan haram. Cukuplah sekadar mereka mengetahui perkara yang haram, dan selain daripadanya adalah halal.

Nabi SAW pernah bersabda :

Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajipan, janganlah engkau mengabaikannya. Allah SWT juga telah meletakkan batasanNya, janganlah engkau melampaui batasan tersebut. Allah SWT juga telah mengharamkan beberapa perkara, janganlah engkau mengambilnya. Manakala sesuatu yang tidak disebut sebagai haram, maka ia adalah rahmat bagimu, bukanlah disebabkan Allah terlupa. Maka, janganlah engkau mencari-carinya. (ad Darqutni)

Saya juga suka untuk mengingatkan di sini bahawa hukum asal yang dikatakan sebagai harus itu, tidaklah terhad kepada benda dan objek, bahkan ia merangkumi perbuatan dan tindakan yang bukan dikatakan sebagai ibadah. Ia dinamakan sebagai “adat istiadat” atau “komunikasi”. Hukum asal bagi kedua-duanya tidaklah haram, dan tidak terikat dengan mana-mana, melainkan beberapa perkara yang diharamkan oleh Allah SWT sahaja. Laksanakanlah ia.

Allah SWT berfirman

Allah SWT telah menerangkan kepada kamu apa yang diharamkanNya ke atas kamu (Surah al An’am : 119)

Hukum ini tidak termasuk ibadah kerana ia adalah melibatkan agama. Sesuatu ibadah tidak boleh dilaksanakan sembarangan melainkan berdasarkan dalil. Disebut di dalam hadis shahih :

Sesiapa yang membuat sesuatu yang baru, yang bukan daripada ajaran agama, maka ia tidak diterima (Muttafaq Alaih)

Inilah yang dikatakan sebagai hakikat agama yang merangkumi dua perkara, iaitu tidak mensyirikkan Allah, dan tidak beribadah sebarangan melainkan apa yang telah disyariatkan. Sesiapa yang melakukan ibadah yang “baru”, maka ia dianggap sesat, dan tidak diterima. Ini kerana Allah SWT sahajalah empunya kebenaran untuk menggariskan bentuk ibadah untuk makhluk menghampirinya dengan ibadah tersebut.

Manakala adat istiadat dan komunikasi sesama makhluk, tidaklah digariskan bentuknya oleh Allah SWT. Bahkan manusia sendiri yang melakukannya dengan sifat kemanusiaan. Dan Allah SWT mendatangkan panduang-panduan untuk melaksanakannya secara elok, baik dan sesuai melainkan beberapa perkara yang boleh mengundang kerosakan dan keburukan.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata :

Tindakan dan kata-kata manusia terdapat dua bahagian : ibadat yang mencantikkan agama mereka, dan adat istiadat yang diperlukan untuk dunia mereka. Maka, dengan mengkaji sumber undang-undang Islam, kita akan menemui bahawa ibadat yang diwajibkan oleh Allah, atau yang disukainya, dikatakan sebagai tiada, melainkan apa yang disebut oleh syariat.

Manakala adat pula ialah apa yang dilakukan oleh manusia untuk dunia mereka dan menjadi keperluan mereka. Hukum asal pada perkara tersebut ialah tidak haram. Maka, tiadalah perbuatan adat yang diharamkan melainkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Ini kerana suruhan dan larangan adalah syariat Allah SWT, dan ibadat hendaklah berdasarkan suruhan melaksanakannya. Maka, apa yang tidak disuruh untuk melaksanakannya, bagaimanakah kita boleh mengatakannya haram?

Sebelum ini kita telah melihat pandangan Ibnu Taimiyyah dalam masalah ini. Maka, di sana Imam Ahmad dan beberapa ulama’ dari kalangan ulama’ hadis dan fiqh, berpandangan :

Hukum asal bagi ibadah yang telah diaturkan waktunya, ialah tidak boleh dilaksanakan sembarangan melainkan apa yang telah disyariatkan oleh Allah SWT. Sekiranya tidak, kita akan tergolong dalam firman Allah SWT :

Adakah patut bagi mereka, mempunyai sembahan-sembahan selain daripada Allah yang menyusun syariat di dalam agama, sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah? (Surah asy Syura : 21)

Manakala perkara yang dikatakan sebagai adat adalah dimaafkan. Maka ia tidak diharamkan melainkan apa yang telah diharamkan oleh Allah SWT. Sekiranya tidak, maka kita akan tergolong dalam firman Allah SWT :

Katakanlah (Wahai Muhammad) : “Adakah kamu semua melihat baik dan buruk, terhadap rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kamu, sehingga kamu dapat membandingkan di antaranya haram dan halal? (Surah Yunus : 59)

Ayat ini merupakan satu kaedah yang sangat hebat dan memberi manfaat. Oleh itu, dapat kita katakan bahawa jual beli, pemberian, ganjaran dan selain daripadanya yang termasuk dalam adat yang diperlukan oleh manusia di dalam kehidupan mereka, seperti keperluan terhadap makanan, minuman dan pakaian.

Maka, syariat menggariskan adat-adat ini dengan melaksanakannya secara beradab, dan mengharamkan beberapa perkara daripadanya yang boleh mengundang kerosakan. Bahkan mewajibkan apa yang sepatutnya dilakukan, dan membenci apa yang tidak sepatutnya. Juga mengharuskan mana-mana yang dikatakan sebagai keperluan, yang mengesahkan bahawa ia adalah bahagian daripada adat-adat, ukurannya dan ciri-cirinya.

Oleh itu, manusia dibenarkan berjual beli dan berniaga sepertimana yang mereka kehendaki, selagi mana ia tidak diharamkan oleh syariat. Ia juga seperti dibenarkan makan dan minum sepertimana yang mereka kehendaki, walaupun sebahagian daripada perbuatan tersebut diharuskan, atau pun makruh. Dan apa yang tidak diletakkan batasannya oleh syariat, maka ia kekal dengan hukum asalnya.

Disebut di dalam hadis shahih tentang hukum asal tersebut, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah :

Kami mengasingkan diri, dan al Quran turun. Maka, sekiranya ia diharamkan, sudah pasti al Quran mengharamkannya

Maka dalil ini menyebut tentang apa yang tidak disebut oleh al Quran, adalah tidak diharamkan dan tidak dilarang. Bahkan mereka dibenarkan melakukannya sehinggalah turunnya dalil yang menegah dan mengharamkannya. Inilah bukti kehebatan ilmu para sahabat RA. Hasilnya, terbentuklah keadah ini, iaitu “asal hukum sesuatu perkara adalah harus”. Ia bertujuan melarang ibadah yang tidak disyariatkan, dan membenarkan adat melainkan apa yang diharamkan.

* Artikel ini diterjemah daripada Kitab al Halal Wal Haram, Prof Dr Yusof al Qardhawi

1 comments:

Unknown on August 14, 2016 at 6:45 AM said...

Artikel yg sgt bermanfaat.
saya mohon share tuan

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal