Isu Semasa
1. Sepertimana yang telah diketahui, Zambry telah pun memenangi perbicaraan mahkamah, dan mahkamah telah mengesahkan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Perak. Setelah selesai ulasan di dalam artikel semalam, hari ini sedikit lontaran daripada saya berdasarkan satu perspektif yang kecil.
2. Sebuah artikel kiriman Kadir Jasin, yang disiarkan di dalam Harakahdaily yang bertajuk “Kesan Kemenangan Zambry Kepada Politik Perak”, menceritakan beberapa perkara yang akan terjadi susulan daripada kemenangan beliau :
a. Menghalalkan Kerajaan BN Perak daripada aspek undang-undang;
b. Memberi penjelasan dan pengesahan kepada undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Perak berkaitan undi tidak percaya;
c. Tidak menyelesaikan masalah perebutan kuasa daripada aspek moral;
d. Isu moral akan selesai hanya apabila hal ini dirujuk kepada pengundi;
e. Rujukan kepada pengundi ini mungkin berlaku apabila pilihan raya umum diadakan atau lebih awal dalam bentuk pilihan raya negeri;
f. Masalah Wakil Rakyat (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) keluar parti atau lompat parti memerlukan pemikiran dan tindakan lanjut;
g. Penyelamat keadaan adalah tiga Adun yang keluar parti itu tidak menyertai BN. Mereka kini Adun Bebas dan memberi sokongan kepada BN;
h. Dengan kemenangan undang-undang ini, beban Kerajaan BN Perak amnya dan Zambry khasnya menjadi lebih berat dan mencabar; dan
i. Menguji perpaduan Pakatan Rakyat Perak terutamanya berkaitan taat sedia Adun masing-masing terhadap parti.
Dari Satu Perspektif
Demikianlah ulasan beliau. Cuma di dalam artikel ini, saya ingin melontarkan satu perkara mengikut satu perspektif, untuk difikirkan bersama.
1. Bagaimanakah dengan “keadilan” yang sepatutnya menjadi teras bagi Negara Malaysia umumnya?
a. Keadilan yang sebenar ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan kezaliman ialah meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya. Maka keadilan itu ialah meletakkan Islam ditempatnya yang tinggi. ( Ibnu Abi al Izzi al Hanafi, Syarah at Thohawiyah Fil Aqidah as Salafiah, tahqiq Ahmad Muhammad Syakir, cet. Wikalah at Thoba’ah Wat Tarjamah bah. 1, ms 168)
b. Imam Ibnu Manzur mengatakan bahawa “adil” itu ialah berlawanan dengan kejahatan. Maka tidak sesuai untuk kita mentakrifkan bahawa adil itu adalah samarata di antara kebenaran dan kebatilan. ( Imam Ibnu Manzur, Lisanul Arab, cet. pertama, Maktabah Dar as Sodir, bah. 11, ms 430 )
c. Keadilan di Malaysia terletak pada pemerintah. Sekiranya ia tidak dipraktikkan, maka akan berlakukan kezaliman. Maka, pemerintah terbahagi kepada dua jenis, samada adil, atau zalim. Berhati-hatilah dalam melantik pemerintah, kerana kita akan dipertanggungjawabkan disebabkan sokongan kita terhadap sesuatu. Allah melarang kita daripada menyokong kezaliman sepertimana firmanNya
Maksudnya : Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan (Surah Hud : 113)
2. Menegakkan undang-undang Allah dan agama Islam, diwajibkan bagi pemerintah
a. Pemerintah wajib melaksanakan hukum Islam. Undang-undang Islam perlu didasari dengan kefahaman tentang Islam. Maka, pemerintah hendaklah seorang yang memahami Islam. Sekiranya ia tidak dilaksanakan, kezaliman akan berterusan, dan keadilan terus dihapuskan. ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 3 ms 532 )
b. Islam merangkumi semua aspek kehidupan. Samada dari sudut perundangan, ekonomi, politik, cara hidup, pertahanan dan sebagainya. Sekular pula akan berusaha mengecilkan skop Islam ini sehingga manusia menyangka Islam itu hanya ibadat semata-mata. Islam bukanlah hanya dilihat pada Jabatan Agama Islam semata-mata, bahkan politik cara Islam, dan sebagainya.
Maksudnya : Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah al An’am : 162)
c. Islam menghormati agama lain, dan tidak menyeru kepada kebangsaan. Setiap bangsa layak untuk bergelar Islam. Setiap agama punyai hak untuk beribadat dengan cara mereka. Tetapi, Sekular telah membuatkan Islam itu dipandang sinis oleh golongan lain, sehinggakan agama lain tidak dapat menerima hudud, sedangkan hudud itu hanya dijatuhkan kepada pesalah yang beragama Islam.
Maksudnya : Tidak ada paksa dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al Baqarah : 256)
d. Kebebasan beragama diberikan kepada bukan Islam, manakala umat Islam diharamkan daripada murtad, kerana ia jelas menghina kesucian Islam. ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 3 ms 466 )
Maksudnya : Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya). (Surah al Baqarah : 217)
3. Pemerintah bukanlah keseronokan, tetapi ia adalah bahaya yang mengundang
a. Telah disebutkan sebelum ini, tentang bahayanya amanah sebagai seorang hakim. Sekiranya keputusan yang dibuat itu bercanggah dengan syara’ maka hakim tersebut sudah mengundang dosa. Begitu juga pemerintah yang jahil dengan agama.
Riwayat Abu Daud (3573) di dalam Bab al Qadhi Yukhti’
Terdapat 3 jenis hakim : Satu akan dimasukkan ke dalam syurga, dan dua lagi akan disumbat ke dalam neraka. Satu yang dimasukkan ke dalam syurga itu ialah seorang lelaki yang mengetahui kebenaran, dan membuat keputusan berdasarkan kebenaran tersebut. Kemudian, lelaki yang mengetahui kebenaran, tetapi melakukan kejahatan dalam meletakkan keputusan, akan dimasukkan ke dalam neraka. Seorang lagi, lelaki yang meletakkan keputusan dalam keadaan jahil, juga dimasukkan ke dalam neraka
b. Merebut kuasa untuk menegakkan kebenaran adalah wajib. Manakala merebut kuasa untuk mendapatkan kepentingan peribadi, atau menegakkan kezaliman, hukumnya haram. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW.
Islam itu tinggi, dan tiada lagi yang lebih tinggi darinya ( Sunan al Baihaqi al Kubra : 11935 )
c. Pemerintah terdedah dengan perkara yang diragui. Contohnya dari sudut sumber kewangan sebagai pemerintah. Adakah halal sumber tersebut? Atau mungkin terdapat unsur-unsur penipuan dalam mendapatkannya?
Perkara yang halal telah jelas, dan perkara yang haram juga jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara yang diragui, kebanyakan manusia tidak mengetahui tentangnya… (Sunan at Tirmizi : 1126)
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment