14 June 2010

Ringkasan Nusus Falsafiah Tahun 4, Akidah Falsafah (Siri 1)


Ringkasan bagi subjek Nusus Falsafiah, Tahun 4, Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah. Ringkasan ini menggunakan kitab karangan Dr Muhammad Yusri Jaafar Muhammad, dengan tajuk Madkhal Ila Dirasah an Nusus al Falsafiah. Selamat membaca. Jangan lupa, doakan untuk kejayaan kita.

Pendahuluan

Satu pembelajaran tentang bagaimana memahami nas-nas falsafah, dan mengenali manhaj pemikiran bagi satu-satu aliran. Ia sangat berkaitan dengan faktor-faktor yang menyebabkan pemahaman terhadap nas-nas ini berbeza.

Maka, di dalam tajuk ini, kita akan memahami faktor-faktor yang menyebabkan perbezaan pemahaman di dalam memahami satu-satu nas falsafah, kemudian kita akan mengenali 3 nas yang terpilih, iaitu al Kindi, al Farabi dan Ibnu Bajah.

BAHAGIAN PERTAMA :

FAKTOR YANG MENYEBABKAN PERBEZAAN DALAM MEMAHAMI NAS FALSAFAH

Bab Pertama
Perbezaan Di Antara Ahli Falsafah Penghurai Atau Pencetus

Di sana terdapat 2 jenis ahli falsafah, iaitu :

1. Ahli Falsafah yang menjadi penghurai bagi pemikiran orang lain.

2. Ahli Falsafah yang menjadi pencetus pemikiran baru

Pencetus pemikiran baru tidak perlu dihuraikan lebih panjang, cuma ahli Falsafah yang menghuraikan pemikiran orang lain seperti al Farabi (870-950 M). Beliau banyak menterjemah, menghurai dan mengulas falsafah yang telah dicetuskan oleh Aristotle (384-322 SM) dan Plato (427-347 SM).

Ini kerana falsafah mereka berdua memerlukan kepada ulasan dan penjelasan, tambahan pula apabila ia diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab, dan banyak memudahkan kefahaman mereka yang mendalami ilmu ini.

Di zaman beliau (Farabi) terdapat beberapa individu yang turut mengulas dan menghurai falsafah-falsafah kuno, namun huraian mereka bercanggah dan memerlukan kepada penelitian semula. Maka, di sinilah peranan al Farabi dilihat sebagai menjernihkan semula huraian-huraian tersebut.

Beliau juga seorang pemikir Islam yang menggariskan disiplin pemahamannya di dalam ilmu warisan falsafah (turath), berbeza dengan penghurai-penghurai turath yang lain, yang terkesan dengan beberapa unsur-unsur luar.

Maka, di sini kita perlu jelas bahawa al Farabi bukan hanya seorang penghurai atau penterjemah bagi Falsafah kuno, bahkan beliau adalah pemikir Islam, tidak seperti penghurai yang lain, yang hidup sezaman dengannya.

Maka, berdasarkan perbezaan ini, wujudnya faktor-faktor yang membezakan di antara pemahaman-pemahaman terhadap nas-nas falsafah yang akan kita kaji selepas ini, insya Allah.

Bab Kedua
Munculnya Istilah-istilah Dalam Falsafah Islam

Faktor kedua yang menyebabkan perbezaan dalam memahami nas falsafah ialah munculnya istilah-istilah baru dalam falsafah Islam. Contohnya istilah “jauhar”, “aradh”, “mungkin” dan “wajib”. Maka, kita tidak perlu terkejut apabila melihat istilah-istilah ini digunakan oleh al Farabi dan Kindi.

Contoh yang lain, istilah “wajib wujud”, “sani’ alam” dan “illah ula” merupakan istilah untuk Allah SWT, yang diterjemahkan ke dalam Falsafah Islam. Istilah-istilah ini bertujuan memudahkan kefahaman bagi mereka yang mendalami falsafah Islam, ketika mana mereka mengkaji turath falsafah.

Kita boleh lihat, al Kindi telah berjaya menterjemahkan pemahaman falsafah dengan menyelarikannya dengan akidah Islam, dan menghasilkan Falsafah Islam. Contohnya di dalam penulisannya telah membezakan di antara “al fa’il at tam al kamil” (pembuat yang sempurna) yang disandarkan kepada Allah, manakalah “al fai’il an naqis” (pembuat yang tidak sempurna) disandarkan kepada sesuatu yang bersandar kepada Allah. Hakikatnya semuanya bersandar kepada Allah.

Beliau juga berhati-hati supaya penterjemahannya ini tidak terkeluar daripada pemahaman Aristotle tentang perkataan dan pembahagian yang dibuat olehnya. Contohnya al Kindi menggunakan istilah “huyuli” (material), “surah” (rupa bentuk), “nau’” (cabang) dan “jins” (jenis).

Contoh yang lain, al Farabi membezakan di antara “al ijad” (mewujudkan) dan “al khalq” (mencipta). Dalam masa yang sama al Farabi juga menggunakan istilah “al ibda’” (mencetus) dengan menterjemahkannya sebagai “mengekalkan kehidupan kewujudan sesuatu”. Maka, manusia tidak boleh dikatakan sebagai “mubdi’” (pencetus) kerana manusia tidak mampu mengekalkan kehidupan kereta yang dicipta, contohnya.

Beliau juga membezakan di antara “ibda’” (mencetus) dan “ijad” (mewujudkan). Ini kerana “ibda’” itu adalah “ma’lul” (hasil kesan) bagi kewujudan pertama (wujud awwal). Dari segi falsafah secara umum, “ibda’” bermaksud :

1. Mengasaskan sesuatu, iaitu menggabungkan unsur-unsur untuk menghasilkan sesuatu yang baru.

2. Mencetuskan kewujudan sesuatu, daripada tiada apa-apa.

3. Mewujudkan sesuatu, dengan kewujudan unsur lain sebelumnya.

4. Mencetus kewujudan yang hidup.

Manakala di dalam Islam, mengatakan bahawa “ibda’” tersebut bermaksud, mencipta sesuatu yang tiada perumpamaan sebelumnya, iaitu memulakannya (mencetus). Maka, terdapat beberapa unsur yang hampir sama dengan maksud-maksud yang telah disebut oleh ahli-ahli Falsafah.

Selain itu, di dalam kajian kita tentang istilah dalam Falsafah Islam, kita akan menemui 8 peringkat kemunculan alam yang perlu diketahui, iaitu :

1. Bermula daripada Allah, yang mencipta alam sejak azali.

2. Kemudian Allah menciptakan satu cetusan yang dinamakan “akal pertama” ataupun “kewujudan yang kedua” berfungsi untuk menggerakkan alam ini. Ia juga dinamakan sebagai falak, dan daripada falak ini akan menghasilkan jirim-jirim alam.

3. Kemudian, barulah wujud “akal yang terkesan” iaitu pada manusia, atau dinamakan sebagai roh, yang menghubungkan di antara alam atas (langit) dengan alam bawah (bumi).

4. Kemudian nafsu. Akal dan nafsu akan bertambah bilangannya, mengikut pertambahan manusia.

5. Susulan daripada item 4, muncullah gambaran, atau rupa bentuk.

6. Kemudian material, dan material ini hujungnya diakhiri dengan zat yang tidak berjisim. Atau dengan kata lain, terdapat material, dan bukan material.

Kesimpulan di sini, 3 item pertama adalah kewujudan yang tidak berjisim, dan 3 kewujudan yang terakhir adalah kewujudan yang berjisim.

bersambung...

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal