23 June 2010

Fakta : Asia Lubuk Baru Pengeluar Rokok


KEMPEN antimerokok mula digerakkan secara agresif di Bangladesh selepas banyak iklan memberikan mesej yang salah dan melampau kepada masyarakat.


DOKTOR paru-paru di Bangladesh, Kazi Saifuddin Bennoor telah melihat banyak iklan rokok yang teruk di sana. Salah satu daripadanya menyatakan bahawa merokok boleh memudahkan seseorang itu melalui proses bersalin.

Namun, iklan-iklan yang turut menggambarkan bahawa perokok adalah seorang yang bijak, lebih bertenaga dan pencinta yang lebih baik adalah sesuatu yang biasa dilihat di Bangladesh.

Kazi Saifuddin masih mengingati sebuah iklan di sebuah kawasan luar bandar yang menyatakan bahawa jika seorang wanita merokok bayinya akan lebih kecil dan memudahkan mereka bersalin.

"Semua itu adalah iklan yang kejam," kata Kazi Saifuddin yang juga seorang Profesor Madya di Hospital Nasional Bangladesh.

Wanita jadi sasaran

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan bahawa syarikat tembakau kini menyasarkan wanita di negara-negara membangun sebagai sumber peningkatan pasaran. Malah, para doktor di Dhaka turut melaporkan bahawa kini terdapat pertambahan pesakit wanita yang mendapatkan rawatan paru-paru.

Berdasarkan kajian terbaru WHO, hampir 28 peratus wanita Bangladesh menggunakan tembakau, manakala 43 peratus populasi dewasa atau 41 juta orang mengambil tembakau dalam pelbagai cara. Ia menunjukkan peningkatan berbanding 37 peratus pada tahun 2004.

"Penggunaan tembakau menjadi wabak di kalangan wanita luar bandar. Ia adalah satu isu kesihatan yang serius," kata Penasihat Kesihatan Kerajaan, Syed Mudasser Ali sambil menambah bahawa undang-undang antimerokok digerakkan dengan lemah.

Iklan-iklan yang disebarkan dalam bentuk risalah tidak menyatakan nama syarikat kerana pengeluaran iklan mengenai tembakau sudah diharamkan di Bangladesh semenjak tahun 2005.

"Hanya sebilangan penduduk sahaja yang didenda kerana melanggar undang-undang tembakau sejak beberapa tahun kebelakangan," kata Syed Mudasser.

Secara rasminya 57,000 orang mati di Bangladesh setiap tahun akibat tembakau, tetapi angka tersebut adalah bilangan anggaran yang sangat besar.

Menurut Pengarah Projek Kawalan Tembakau Antarabangsa, Dr. Mary Assunta, peningkatan yang besar itu adalah kerana ramai wanita Asia kini memasuki dunia pekerjaan, mempunyai pendapatan tetap dan pemikiran mereka yang moden serta bebas.

"Saya melihat banyak risalah kempen perniagaan oleh syarikat-syarikat tembakau di universiti dan di kawasan penginapan," kata seorang perokok wanita berusia 25 tahun yang mengakui bahawa beliau merokok sekotak setiap hari.

PENGELUAR rokok terpaksa beralih ke Asia sebagai pasaran baru selepas pengenalan pelbagai halangan di negara maju menyebabkan kejatuhan jualan produk tembakau itu.

"Mereka mendekati pelajar dengan cara memberikan soalan kaji selidik. Sesiapa yang mengisi soalan-soalan tersebut akan diberikan kemeja-T dan pemetik api," sambung remaja tersebut sambil menambah bahawa beliau mula merokok setelah melihat rakan-rakan sekelas di Universiti Dhaka merokok.

WHO yang memilih tema berkaitan pasaran tembakau kepada wanita sempena Hari Tanpa Tembakau 2010 pada 31 Mei lalu, menjelaskan syarikat tembakau sedang menggalakkan trend dengan melihat wanita di negara membangun sebagai pasaran eksploitasi terbesar mereka.

"Kami mendapati mereka menggunakan strategi pemasaran yang jelas terhadap golongan sasar iaitu wanita dengan memperkenalkan pek berbentuk gincu atau iklan yang memaparkan wanita sebagai subjek," kata Assunta.

Syarikat tembakau di Bangladesh bagaimanapun menolak dakwaan penggunaan poster haram dalam kempen pemasarannya.

Tumpu pasaran Asia

Di Bangladesh pasaran rokoknya didominasi oleh Dhaka Tobacco yang mempunyai pegangan sebanyak 40 peratus dan memonopoli jualan.

British American Tobacco (BAT) yang mengeluarkan jenama rokok popular iaitu Pall Mall dan John Player Gold Leaf pula dianggarkan mengaut keuntungan sebanyak AS$140 juta (RM451.9 juta).

"BAT Bangladesh memasarkan rokok-rokok di Bangladesh dengan mematuhi semua undang-undang dan syarat-syarat," kata jurucakap syarikat itu, Shamim Zahedy sambil menambah bahawa sasaran pasaran mereka hanya tertumpu kepada perokok sedia ada.

Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan berkata, negara-negara membangun dilihat menjadi sempadan baru kepada pasaran tembakau.

Terdapat banyak larangan pasaran terhadap syarikat tembakau di negara-negara maju, selain kempen-kempen kesihatan menyaksikan jualan rokok merudum.

Akibatnya, pasaran negara membangun menjadi semakin penting kepada syarikat transnasional seperti BAT dan Philip Morris International.

"Syarikat tembakau pastinya meletakkan usaha untuk memperkukuhkan kedudukannya di negara berpendapatan rendah," kata Chan sambil melihat perkembangan pasaran yang agresif di Filipina dan Indonesia.

Malah di Bangladesh, dengan hampir 40 peratus daripada 144 juta populasi yang hidup dengan perbelanjaan kurang daripada AS$1 (RM3.20) sehari, ia adalah sebuah pasaran tembakau yang menguntungkan dengan jualan tahunan dianggarkan sehingga AS$1 billion (RM3.2 billion).

"Ia adalah satu kitaran yang buruk. Orang miskin mudah menjadi mangsa kepada ketagihan tembakau, dan mereka akan terus merokok, lalu membuatkan mereka menjadi lebih miskin," katanya

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal