05 June 2010

Ringkasan Falsafah Baru, Silibus Tahun 4 (Siri 1)

Gambar hiasan.. Plato adalah ahli Falsafah Zaman Yunan.. takda kena mengena dengan nota ringkasan yang saya buat..


Tidak lama lagi, saya akan menduduki peperiksaan subjek "Falsafah Baru".. di sini, saya telah membuat ringkasan daripada silibus yang disusun oleh Universiti al Azhar.. Untuk peringatan, anda tidak akan faham nota ini sepenuhnya tanpa merujuk kepada kitab asal..

Nota ini sekadar bacaan untuk pengetahuan umum sahaja, dan membantu mereka yang berada di Fakulti Usuluddin, Akidah dan Falsafah, Tahun 4.. Terima kasih..

PENDAHULUAN

Nota ini adalah ringkasan daripada Buku Falsafah Baru, karangan Dr Ahmad Abduh Hamudah al Jamal, Pensyarah Fakulti Usuluddin, Akidah dan Falsafah, Universiti al Azhar.

Ia mengandungi 7 bab utama, iaitu

Bab 1 : Pengenalan tentang Falsafah Baru

Bab 2 : Suasana Falsafah Baru

Bab 3 : Perkembangan Falsafah Baru

Bab 4 : Ciri-ciri Falsafah Baru

Bab 5 : Haluan Yang Utama Dalam Falsafah Baru

Bab 6 : Kesan Kewujudan Falsafah Baru

Bab 7 : Sumber Falsafah Baru


BAB 1 – PENGENALAN FALSAFAH BARU

Di dalam bab ini, kita akan membincangkan tentang pengenalan asas Falsafah Baru, daripada perspektif sejarah, hubungkait, ciri-ciri dan sebagainya. Ia adalah permulaan bagi kajian kita yang lebih mendalam selepas ini.

Pertumbuhan Falsafah Baru

Falsafah Baru mula tumbuh berdasarkan carta di bawah :

1. Pada kurun ke 14, bermulanya revolusi merubah banyak gambaran, keadaan, pemikiran dan sebagainya. Ketika ini banyak berlaku kebangkitan.

2. Pada kurun ke 15 dan 16, berlakunya kebangkitan Eropah, yang merupakan permulaan zaman baru. Tetapi masih banyak lagi perkara-perkara kuno yang wujud ketika ini.

Maka, zaman kebangkitan inilah banyaknya berlaku perubahan, peradaban, pemikiran, sosial, keadaan masyarakat dan sebagainya.

Hubungan Di Antara Falsafah Baru, Dan Falsafah Moden

Sebelum kita berbicara lebih panjang, antara perkara yang perlu kita ketahui ialah perbezaan dan hubungkait di antara Falsafah Baru, dan Falsafah Moden.

Maka, persoalan pertama untuk mengetahui tentang perkara ini ialah, apakah dia Falsafah Baru? Terdapat dua pandangan dalam persoalan ini, iaitu :

1. Falsafah Baru adalah falsafah yang bermula pada kurun ke 17, sehingga ke hari ini. Semuanya jenis falsafah terangkum di bawah istilah “Falsafah Baru”.

Pandangan ini didokongi oleh Yusof Karam yang tidak menggunakan istilah “Falsafah Moden”. Maka, beliau menganggap semua jenis falsafah yang bermula daripada kurun ke 17 sehingga sekarang, sebagai Falsafah Baru.

2. Falsafah Baru adalah falsafah yang bermula daripada kurun ke 17 sehinggalah berlaku perubahan pola pemikiran manusia yang terjadi pada :

a) Pandangan pertama : Awal 1830an, iaitu selepas kematian Hagel, Ahli Falsafah Jerman pada 1831.

b) Pandangan kedua : Pada 1918, iaitu selepas berlakunya Perang Dunia Pertama

Kesimpulan daripada kedua-dua pandangan ini, maka Falsafah Moden bermula pada akhir kurun ke 19, berdasarkan kepada beberapa ciri-ciri yang membezakan di antara Falsafah Baru, dan Falsafah Moden, iaitu :

1. Mempunyai ciri-ciri penyelesaian tersendiri, iaitu dengan penggunaan simbol, perkataan, rumus, istilah dan sebagainya.

2. Cenderung kepada sesuatu yang merumitkan, yang bukan merupakan perkara yang mudah.

3. Berpijak kepada realiti dan perkara-perkara yang jelas, yang dilihat daripada deria. Tidak berfikir di awangan, atau berfikiran kosong.

4. Menghadkan kemampuan kepada kekuatan manusia semata-mata, dan kajian lebih tertumpu kepada keperluan dan kehendak manusia.

5. Tidak berpegang dengan mana-mana aliran.

6. Berpegang bahawa perlunya mengembalikan kekuatan dan pembentukan akal.

7. Memfokuskan sesuatu masalah, dengan menggunakan bahasa dan istilah yang khusus, yang tidak sama dengan istilah yang digunakan oleh Ahli Falsafah sebelum ini.

8. Wujudnya persefahaman dan saling bertukar idea di antara ahli falsafah.

9. Berlumba-lumba menghasilkan kajian dan hasilan.

10. Bersifat material dan menolak kewujudan Tuhan, contohnya Marx, Fahaman Kewujudan (Existentialisme), Pragmatisme dan sebagainya.

11. Menekankan aspek pengetahuan dan pemahaman. Iaitu masing-masing cuba mengemukakan teori pengetahuan yang sebenar.

Hubungan Di Antara Barat Dan Falsafah Baru

Falsafah Baru ini secara keseluruhannya hidup di bawah bumbung Barat, atau dengan kata lain, perkembangannya bersifat Barat dan dipengaruhi sepenuhnya dengan pemikiran dan keadaan masyarakat Barat.

Suasana Timur pula, lebih cenderung untuk menerima pemikiran secara naqli, iaitu mendalami al Quran dan Sunnah Nabi SAW. Mereka mendahulukan pemahaman wahyu sebelum berfikir. Sedangkan, Falsafah Baru mula hidup di dalam suasana Barat, dan terhenti juga di dalam kehidupan Barat.

Kesimpulan

Kesimpulan daripada Bab 1 ini ialah, Falsafah Baru adalah sistem falsafah yang dihasilkan oleh pemikiran Barat, bermula kurun ke 17 sehinggalah akhir kurun ke 19, sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini.

bersambung...

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

Pembetulan : Hegel mati pada 1831, bukan 1931.. mohon maaf..

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal