Insya Allah, kali ini saya tertarik untuk mengulas artikel yang bertajuk “Perjuangan Memartabatkan Bangsa Fasa Awal Amal Islami” yang telah ditulis oleh Dr Zaki Ibrahim, Pengerusi ISMA Australia. (link)
PERTAMA
Penulis menyatakan sebagai muqaddimah :
Apabila ramai orang mula mempertikaikan usaha memartabatkan bangsa, tidak bernilai dan tidak perlu dijuangkan. Boleh dilelong… malah dikatakan memperjuangkan bangsa adalah HARAM! Inilah kalimah-kalimah yang popular yang kita dengar.
Kemudian penulis menyatakan lagi :
Kedudukan umat Melayu yang merupakan kelompok terbesar di negara ini mula diragui peranan dan keistimewaan mereka. Kenapa isu ini muncul? Siapa yang memalu gendang? Kedudukan Melayu dalam perlembagaan bukankah telah disepakati bersama?
- sila baca artikel sehingga habis -
Perhatikan petikan “Kedudukan Melayu dalam perlembagaan bukankah telah disepakati bersama?”
Di dalam memahami situasi ini, kita perlu tahu untuk membezakan di antara “memperjuangkan hak” dan “memperjuangkan Islam”.
1. Memperjuangkan hak
Memperjuangkan hak ini terbahagi kepada 2 jenis, iaitu :
a) Memperjuangkan hak beragama
Maka, di dalam firman Allah berbunyi :
لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ
Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). (Surah al Baqarah : 256)
Ulama menafsirkan bahawa maksud daripada ayat ini ialah, orang bukan Islam, berhak untuk menganut agama asalnya. Tetapi orang Islam, tiada hak untuk murtad. Saya menganggap perkara ini sudah jelas, dan tidak perlu dihuraikan secara panjang lebar.
b) Memperjuangkan hak hidup
Perjuangan hak hidup contohnya seperti hak bersuara, hak mengundi, hak berfikir, hak untuk bercucuk tanam dan sebagainya. Hak-hak ini diperjuangkan oleh mana-mana agama dan bangsa pun, atas nilai kesedaran dan sensitiviti.
Adakah kita tidak perlu menghiraukan golongan Non-Muslim memperjuangkan hak mereka untuk bersuara? Adakah mereka tidak berhak untuk “bersama dengan Islam” walaupun mereka bukan Islam? Adakah mereka tidak berhak untuk mendiami Malaysia? Adakah Malaysia ini untuk “Melayu” sahaja?
Hakikatnya, dalam Islam juga meraikan hak orang lain, samada dalam aspek beragama, ataupun urusan hidup. Islam membenarkan orang beragama Kristian, untuk terus dengan agamanya, begitu juga dengan agama-agama yang lain. Islam juga memperjuangkan hak sesebuah bangsa, supaya tidak dikelaskan sebagai kelas bawahan.
Di dalam sejarah, antara golongan yang memperlekehkan bangsa lain ialah Bangsa Qibti, yang sudah mendiami di Mesir begitu lama. Kemudian, pada Zaman Nabi Yusof AS, baginda AS telah membawa masuk Bani Israel ke bumi Mesir.
Bangsa Qibti menganggap bahawa Bani Israel adalah golongan bawahan, disebabkan mereka mengatakan Qibti lebih berhak berada di Mesir. Manakala Bani Israel pula ketika itu, hilang sensitiviti mereka untuk menuntut hak mereka, sehinggalah hak mereka diperjuangkan oleh Nabi Musa AS.
Apa yang saya maksudkan di sini ialah “sensitiviti menuntut hak”. Ketika kelahiran Nabi Musa AS, semua anak Bani Israel dibunuh, dalam keadaan mereka terpaksa merelakan anak mereka dibunuh oleh golongan Qibti. Ke manakah sensitiviti mereka? Adakah sehingga anak sendiri dibunuh pun, mereka masih berdiam diri.
Penulis menyatakan :
Kedudukan umat Melayu yang merupakan kelompok terbesar di negara ini mula diragui peranan dan keistimewaan mereka.
Penulis berhujah bahawa Melayu perlu “diistimewakan” daripada bangsa lain, disebabkan Melayu adalah “kelompok terbesar”. Saya berharap agar penulis boleh meletakkan sandaran terhadap kenyataan ini.
Nabi SAW bersabda :
ليس لأحد فضل على أحد إلا بدين أو تقوى، الناس كلهم بنو آدم وآدم من تراب، لا فضل لعربي على عجمي، ولا لعجمي على عربي، ولا لأبيض على أسود، ولا لأسود على أبيض إلا بالتقوى
Tiada seorang pun yang lebih mulia daripada orang lain, melainkan berdasarkan agamanya, dan taqwanya. Manusia semuanya adalah keturunan Nabi Adam AS, dan Nabi Adam AS daripada tanah. Tiada kelebihan pun bagi Bangsa Arab berbanding Bangsa Non-Arab. Begitu juga tiada kelebihan pun bagi Bangsa Non-Arab berbanding Bangsa Arab. Tiada kelebihan pun bagi orang yang berkulit putih, berbanding kulit hitam. Begitu juga tiada kelebihan pun bagi kulit hitam berbanding kulit putih,.. melainkan dengan taqwa. (Majma’ Zawa’id / 266)
Saya agak tertarik dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menggabungkan hak-hak yang perlu diraikan oleh seorang muslim, iaitu :
إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ
Sesungguhnya bagi Tuhanmu, wajib ke atas kamu menunaikan hakNya. Bagi tubuh kamu, wajib ke atas kamu menunaikan haknya. Dan bagi ahli keluarga kamu, wajib ke atas kamu menunaikan haknya. Maka, tunaikanlah hak kepada mereka yang berhak. (Shahih Bukhari : 5674)
KEDUA
Penulis menyatakan :
7. Umat Melayu pada ketika itu memperjuangkan asas seruan Rasul iaitu dakwah. Mereka mengagendakan bangsa mereka mereka dengan agenda dakwah. Mereka bukan perjuangkan Melayu tetapi ISLAM dan mereka bertindak sebagai kelompok pembawa risalah dakwah.8. Inilah ketuanan Melayu yang menjadikan musuh Islam datang dan menyusun agenda untuk mencipta identiti baru kepada umat Melayu. Akhirnya muncullah umat Melayu yang tidak beragenda dan mudah di“politik”kan. Generasi “Melayu Baru” inila yang kita warisi
Penulis mengaitkan dengan sejarah Tanah Melayu, di mana Bangsa Melayu ketika itu naik, kerana memperjuangkan Islam. Setelah beberapa lama Bangsa Melayu hidup di Tanah Melayu, akhirnya Melayu diserang atas dasar agama Islam yang mereka pegang.
Cuma, kenapakah disebabkan dalil ini, penulis perlu memperjuangkan Bangsa Melayu? Sedangkan Bangsa Melayu ketika itu berpegang dengan Agama Islam, yang menolak “nasionalisme”. Manakala Melayu sekarang sangat terpengaruh dengan “nasionalisme”. Maka, Bangsa Melayu jatuh disebabkan nasionalisme yang mereka pegang.
Penulis sendiri menyatakan :
Mereka bukan perjuangkan Melayu tetapi ISLAM dan mereka bertindak sebagai kelompok pembawa risalah dakwah
Sedangkan apa yang penulis perjuangkan ialah Bangsa Melayu itu sendiri, dan ketuanan Melayu. Sejarah Melayu menceritakan bahawa mereka berkembang pesat disebabkan mereka bukan memperjuangkan Ketuanan Melayu, sebaliknya mereka memperjuangkan Islam.
Lihat apa yang dikatakan oleh Saidina Umar al Khattab :
إنَّا كنَّا أذل قوم، فأعزَّنا الله بالإسلام، فمهما نطلب العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
Kita adalah bangsa yang hina, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam. Walau mana sekalipun kita mencari kemuliaan dengan apa yang Allah muliakan, maka kita akan dihina oleh Allah (Mustadrak : 207)
Penulis menyatakan dengan jelas bahawa Bangsa Melayu perlu dimartabatkan. Dengan cara apakah Bangsa Melayu boleh dimartabatkan? Iaitu dengan cara berpegang dengan Islam. Antara pemikiran yang ditolak oleh Islam ialah “nasionalisme”.
Dr Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa Nasionalisme itu ialah :
رابطة تنظيمية تؤلف بين جماعة تعيش في رقعة ذات حدود جغرافية متعاونة في تدبير شؤونها ومصالحها المشتركة، دون انعزال عن الأقوام الأخرى التي تقيم في رقعات أرضية أخرى، فهي دعوة للتعارف والتآلف بين القوميات المتعددة المنتشرة في بقاع العالم، وليست دعوة للانعزال أو التعصب (1) ، وبعبارة أخرى: هي أن القومية في كل صورها الحديثة تتنافى مع مبادئ الإسلام، لأن الإسلام يقرر مبدأ المساواة التامة بين الناس، ويقيم وحدة المسلمين على أساس الأخوة أو الاشتراك في عقيدة واحدة ونظرة أخلاقية واحدة تسمو فوق اعتبارات الجنس والنشأة واللغة
Satu ikatan yang bersistem, yang menggabungkan di antara kelompok-kelompok yang hidup di sesebuah kawasan berdasarkan sempadan geografi, bersama-sama dalam mentadbir urusan mereka, dan keperluan berkongsi sesama mereka. Tanpa mengasingkan diri daripada bangsa-bangsa yang lain, yang mendiami kawasan geografi yang lain. Maka, ia (nasionalisme) ialah seruan untuk saling mengenalkan dan mengeratkan di antara bangsa-bangsa yang berbilang-bilang di tempat-tempat di dunia, bukanlah seruan kepada pengasingan diri atau ta’assub. Dalam erti kata lain : iaitu Nasionalisme dari perspektif moden bercanggah dengan asas-asas Islam, kerana Islam berpaksikan di atas hak kesamarataan yang menyeluruh di antara manusia, dan menegakkan kesatuan Islam di atas persaudaraan, atau persamaan Akidah yang satu, dan perspektif akhlak yang satu, ditinggikan melebihi jenis, sejarah dan bahasa. (Fiqh Islami Wa Adillatuhu : 8/425)
Dr Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa Islam menilai dari sudut Agama dan Taqwa berbanding perbezaan jenis, asal usul bangsa, bahasa, warna kulit dan sebagainya.
KETIGA
Setelah saya mengamati artikel tersebut, penulis agak kehilangan isi, dan menulis artikelnya tanpa susunan yang baik. Dengan muqaddimah yang agak panjang, di akhir artikel (point ke 12 ke atas), barulah beliau mengaitkan dengan tajuk yang ingin ditulis. Iaitu tentang “Memartabatkan Bangsa”.
Beliau ada menyatakan :
Islam lemah di tanah Arab kerana Arab lemah.Islam lemah di Turki kerana bangsa Turki lemah.Islam lemah di tanah Melayu kerana Melayu lemah.Dan begitulah seterusnya.
Kenyataan di sini bercanggah dengan apa yang telah saya jelaskan sebelum ini. Iaitu, sesebuah kaum itu akan mulia setelah mereka berpegang dengan Islam (kalam Saidina Umar). Tetapi, penulis menggunakan perkataan “lemah”.
Saya kurang jelas apakah yang dimaksudkan dengan “lemah”. Adakah lemah dari sudut Akidahnya? Adakah lemah dari sudut kekuatan tubuh badan? Adakah lemah dari sudut pemikiran? Atau?
Satu
Sekiranya penulis bermaksud “lemah” dari sudut Akidah, maka sudah pasti tersilap. Ini kerana Bangsa Arab adalah antara golongan yang kuat pegangan akidahnya. Iaitu berpegang teguh dengan akidah sesat mereka yang didasari dengan asas taqlid buta (lihat ar Rahiq al Makhtum, Fasal Diyanat al Arab, ms 20)
Kedua
Sekiranya penulis bermaksud “lemah” dari sudut kekuatan tubuh badan, sudah pasti tersilap. Ini kerana Bangsa Arab adalah di antara Bangsa yang kuat berperang. (sila lihat lihat ar Rahiq al Makhtum, Fasal al Hukmu Wal Imarat Fil Arab, ms 12)
Ketiga
Sekiranya penulis bermaksud lemah dari sudut pemikiran, atau ilmu pengetahuan, juga ternyata silap. Ini kerana, antara kepakaran Bangsa Arab ialah dari sudut ukiran batu, membina rumah-rumah, menghasilkan senjata daripada besi, membina empangan Ma’arib dan lain-lain (Ibid)
Atau?
Atau penulis cuba menyatakan bahawa Islam lemah di Tanah Arab disebabkan Bangsa Arab lemah keimanannya kepada Allah? Sekiranya demikian, apa bezanya dengan Tanah Melayu? Bangsa Melayu jatuh sekiranya mereka menegakkan bangsa mereka bukan di atas dasar Islam. Jadi, penulis menyatakan :
Usaha menjayakan agenda Islam yang besar hendaklah bermula dengan membangunkan sebuah bangsa yang berpegang kuat dengan Islam. Inilah agenda yang patut kita bersatu di atasnya. Perjuangan memartabatkan bangsa adalah proses awal kepada fasa seterusnya dalam amal Islami yang besar ini. Ini jauh dari kefahaman Asobiyyah yang berasaskan jahiliyyah.
Maka, artikel ini telah menimbulkan kekeliruan. Ini kerana pada permulaannya ingin menobatkan Bangsa Melayu, keistimewaan Melayu dan lain-lain. Tetapi akhirnya menyatakan bahawa “perlu membangun atas dasar Islam”. Sedangkan Islam tidak mengistimewakan Bangsa Melayu pun, melainkan atas dasar Agama dan Taqwa.
Cuba lihat petikan bernombor 7 dan 8, yang telah saya ulas sebelum ini :
7. Umat Melayu pada ketika itu memperjuangkan asas seruan Rasul iaitu dakwah. Mereka mengagendakan bangsa mereka mereka dengan agenda dakwah. Mereka bukan perjuangkan Melayu tetapi ISLAM dan mereka bertindak sebagai kelompok pembawa risalah dakwah.
Penulis menyatakan pula...
8. Inilah ketuanan Melayu yang menjadikan….
Persoalan saya, ke manakah arah perjuangan penulis? Adakah ingin menobatkan Islam atau menobatkan bangsa Melayu? Atau ingin menobatkan kedua-duanya sekali? Sekiranya ingin menobatkan kedua-duanya sekali, mengapa perlu diistilahkan sebagai “ketuanan Bangsa Melayu?” Sepatutnya “ketuanan Islam”.
Adakah Nabi SAW mengobar-kobarkan seruan “ketuanan Arab”? Atau Nabi SAW menaikkan semangat “ketuanan Islam”? Sebaliknya Saidina Umar al Khattab sendiri menyatakan penghinaan terhadap kaum Arab sekiranya menolak Islam.
KEEMPAT
Penulis menyatakan :
Usaha menjayakan agenda Islam yang besar hendaklah bermula dengan membangunkan sebuah bangsa yang berpegang kuat dengan Islam. Inilah agenda yang patut kita bersatu di atasnya. Perjuangan memartabatkan bangsa adalah proses awal kepada fasa seterusnya dalam amal Islami yang besar ini. Ini jauh dari kefahaman Asobiyyah yang berasaskan jahiliyyah.
Ulasan keempat saya adalah berkenaan dengan petikan di atas. Iaitu dengan mengatakan “sebagai permulaan, Islam perlu dibentuk dengan membangun sebuah bangsa yang berpegang kuat dengan Islam”. Setelah jauh menulis, akhirnya barulah penulis “masuk tajuk”.
Persoalan saya sebagai permulaan, kenapakah mesti membangunkan “sebuah bangsa” terlebih dahulu? Penulis cuba mengkhususkan permulaan Islam dengan membangunkan sebuah bangsa, bukannya “sebuah kesatuan” yang berpegang kuat dengan Islam. Kenapa mengkhususkan “bangsa”?
Apabila kita meneliti di dalam Sirah Nabi SAW, adakah Nabi SAW memilih Bangsa Arab untuk disampaikan dakwah? Tidak. Pilihan Nabi SAW bukanlah berdasarkan bangsa, sebaliknya berdasarkan hubungan persaudaraan dan kepercayaan. (Lihat Ar Rahiq al Makhtum ms 55)
Ini bermaksud, sekiranya di Mekah terdapat bangsa selain daripada Arab, yang dipercayai oleh Nabi SAW, sudah pasti dia di kalangan as Sabiqun al Awwalun. Pengukuhan akidah yang dilakukan oleh Nabi SAW di dalam Marhalah Pertama bukanlah pengukuhan di atas dasar bangsa. (lihat Sirah Nabawiyah Tarbiatul Ummah Wa Bina Daulah : 4/1)
Penulis menyatakan lagi :
Perjuangan memartabatkan bangsa adalah proses awal kepada fasa seterusnya dalam amal Islami yang besar ini
Di dalam Risalah Ta’lim menyatakan bahawa peringkat amal Islami terbahagi kepada 7 :
Fardul Muslim
Baitul Muslim
Mujtama’ Muslim
Tahrirul Watan
Daulah Islamiah
Khilafah Islamiah
Ustaziatul Alam
Di manakah letaknya “fasa memartabatkan bangsa”? Adakah di dalam “mujtama’ muslim”? Yang dimaksudkan dengan mujtama’ muslim ialah sebuah kelompok masyarakat (tidak kira apa jua bangsa) yang beragama Islam, mematuhi perintah Allah, memerangi kemungkaran dan lain-lain.
Adakah mujtama’ muslim boleh disamakan dengan kesatuan Melayu? Realiti yang terjadi ialah, kesatuan Melayu berpaksikan di atas dasar nasionalisme semata-mata. Ini kerana mereka meletakkan ketuanan bangsa, lebih tinggi berbanding ketuanan Islam. Maka, hukum Islam diletak tepi, dan hiburan dipopularkan. Inikah mujtama muslim?
KESIMPULAN
Pertama
Sepanjang ulasan ini, saya dapati bahawa tiada satu pun kenyataan penulis yang bersandar dengan dalil dan hujah. Fakta di dalam perlembagaan tersebut juga tidak bertepatan dengan isi yang hendak disampaikan. Persoalan “Kedudukan Melayu dalam perlembagaan bukankah telah disepakati bersama? Dijawab dengan jawapan mentakrifkan istilah Melayu menurut perlembagaan.
Saya juga mendapati bahawa penulis cuba mengelirukan di antara “ketuanan Melayu” dan “ketuanan Islam”. Penulis perlu sedar bahawa Melayu bukanlah satu-satunya bangsa yang memperjuangkan Islam satu ketika dahulu.
Lihat bagaimana pedagang-pedagang Arab datang untuk menyebarkan Islam di Tanah Melayu. Antara salah satu caranya ialah melalui perkahwinan. Iaitu percampuran nasab keturunan Arab dan Melayu. Secara tiba-tiba Melayu pula yang dikatakan hero, dalam keadaan bangsa lain tidak disebutkan.
Juga ingin saya sebutkan bahawa serangan barat ketika terhadap Melaka, bukanlah disebabkan ke”Melayu”annya. Sebaliknya disebabkan Islam yang wujud di situ. Maka, para pejuang kita dahulu bukanlah berjuang atas dasar “Melayu”, sebaliknya atas dasar menyelamatkan Islam. Tetapi penulis tetapi menyifatkannya sebagai perjuangan Melayu.
Kedua
Kesimpulan seterusnya, kesilapan penulis dalam menyatakan perjuangan memartabatkan bangsa adalah marhalah pertama dalam amal Islami. Tidak perlu untuk saya ulas panjang, sebaliknya saya mengharapkan supaya penulis mendatangkan hujah dan dalil, bukan hanya artikel kosong.
Mana mungkin perjuangan bangsa menjadi asas permulaan amal Islami sedangkan tiada sesiapa pun di dunia ini yang dapat mengatakan “saya Melayu tulen”. Ini kerana setiap bangsa, terhasil daripada campuran bangsa-bangsa, dan kesemuanya berasal daripada Nabi Adam AS. (hujah Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, al Qaumiyah)
Ada di kalangan kita yang berasal dari Arab, Jawa, Bugis, India, China dan banyak lagi. Tiba-tiba kita mengakui kita adalah Melayu tulen. Wajarkah kita meletakkan perjuangan memartabatkan Melayu adalah marhala pertama?
Tiga
Sepertimana yang saya sebutkan, penulis menulis artikel tanpa menyertakan dengan hujah dan dalil, contohnya :
a) 2. Hari ini irama Ketuanan Melayu dimainkan. Orang UMNO dianggap mempertahankan Melayu, orang PAS mempertahankan Islam, manakala orang PKR mempertahankan hak bersama dan keadilan sejagat. Inilah sifat dan mentaliti 0rang politik
Bagaimanakah “mempertahankan Islam” boleh disifatkan sebagai mentaliti orang politik? Bagaimanakah pula “mempertahankan hak bersama dan keadilan sejagat” disifatkan sebagai mentaliti orang politik? Bukankah itu semua telah dijelaskan oleh Islam? (rujuk Surah an Nahl : 90)
b) Mereka akan berkaa-kata dan berceramah sakan apa yang menguntungkan mereka. Keuntungan diukur dari sudut POPULARITI dan UNDI.
Di dalam Tazkirah Duat karangan Dr Bahi Khuli menyebutkan bahawa “bilangan” juga menjadi salah satu aspek utama dalam pembentukan sebuah negara Islam. Bukan hanya kualiti semata-mata. (Tazkirah Duat, Dr Bahi Khuli)
c) Kegagalan kita memahami Islam yang syumul yang merupakan syarat seorang untuk menjadi Melayu, telah menyebabkan kita menyalahkan pihak yang kononnya mendabik dada menjuarai hak Melayu.
“Syarat untuk menjadi Melayu ialah memahami Islam yang syumul”. Kenyataan ini tiada dalam petikan perlembagaan yang penulis kemukakan, iaitu :
“…seorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura atau pada Hari Merdeka ia adalah domisil di Persekutuan atau di Singapura atau ia adalah keturunan seseorang yang tersebut” (Fasal 160 Perlembagaan)
d) Usaha menjayakan agenda Islam yang besar hendaklah bermula dengan membangunkan sebuah bangsa yang berpegang kuat dengan Islam.
Perkara ini telah dijelaskan sebelum ini.
Penulis juga perlu ingat, perjuangan memartabatkan bangsa ini adalah salah satu penyebab kejatuhan Khilafah Uthmaniah. Tidak perlu dihurai panjang, sila rujuk Inhiyar Daulah Uthmaniah, ms 82)
Saya mengesyorkan untuk para pembaca untuk membeli buku “Kacamata Melayu” karangan saya, hanya dicetak di Mesir, untuk melihat asal usul masyarakat Melayu, dan bagaimana Islam memulihkan pemikiran dan pegangan Melayu daripada fahaman Animisme.
Artikel berkaitan (link)
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
13 comments:
salam saudara yim.ni ulasan saya atas pembacaan kedua-dua artikel…pertama menyeru melayu kembali kepada islam tak sama dengan memperjuangn islam hanya untuk melayu…kedua, apabila islam menjadi tujuan sesuatu bangsa, akhir sekali semua arahan adalah mengikut islam..islam menyuruh berdakwah kepada seluruh alam juga akhirnya..saya xnmpk kontra nye dari artikel dr zaki..saya rasa ini kaedah yg terbaik berbanding mahu menegakkan islam menggunakan kuasa semata-mata sampai jatuh menjatuhkan antara satu sama lain…sedangkan org am islam sendiri masih terperangkap dengan masalah sosial dan akidah yg masih bercelaru….launglah islam untuk semua dan sebagainya.tp praktikalnya masih belum nampak diterjemahkan untuk berdakwah kepada bukan islam,nmpknya hanya retorik semata..harap saudara jangan menggunakan hujah semata-mata mencari kesalahan orang lain.berilah ruang untuk dr zaki menerangkan mengapa dakwahnya mahu membangunkan jiwa2 melayu,kita ptt bersyukur kerana beban tugas berdakwah dimalaysia byk digalas oleh bermacam-macam jemaah.kalau saudara mahu mencari hujah salah jugak,saya syorkan sila buat buku dan blog untuk mematahkan hujah-hujah syiah malaysia yang semakin membimbangkan di malaysia..itu lagi prioriti dari mempersoalkn masalah cabang yang saudara ketengahkan itu.harap, saudara sendiri berusaha membersihkan anasir syiah yg sudah berada dalam jemaah pas sendiri….wallahualam
Terima kasih saudari. Apa yang saudari komen, telah pun dijelaskan di dalam Kitab Ad Dakwah al Islamiah, Faridhatun Syar'iyyah Wa Dhoruratun Basyariah, karangan Dr Sadiq Amin (pengarang asal asy Syahid Abdullah Azzam). Insya Allah, saya akan huraikan selepas ini. Doakan. :)
Salamualaikum. Saya merupakan orang yg pragmatik dalam berfikir. Saya melihat ada kontradiksi dalam penaksiran saudara, yang kadang2 sudah difahami dengan baik tetapi dputarbelitkan pula. Mungkin dari aspek tafsiran perlu diperhatikan. Dalam bidang akademik, tidak ada perlu "biasness" andai kata ingin berdiskusi secara akademik, tapi andai kita ingin mematahkan hujah, itu terpulang kepada saudara.
Tapi apa yang saya lebih sifatkan melalui pembacaan ini, saya dapati, saudara lebih byk mematahkan hujah, daripada memberi cadangan hujah saudara. bererti saudara sendiri tiada pendirian untuk berhujah. Ini persoalan saya, adakah saudara berhujah sekadar mematahkan hujah, ataupun berhujah membawa hujah yang lagi bagus (cadanga idea). Berhujah tanpa cadangan adalah satu versi hujahan yang tidak akademik.
Waalaikumsalam, Artikel yang tiada hujah dan dalil.. akademik tak? :)
http://www.ismaweb.net/v4/muat-turun/kertas-kerja-kobanna/
"Melayu Sepakat, Islam Berdaulat" adalah salah satu solusi yg dicadangkan oleh ISMA terhadap kemelut politik yang melanda khusunya selepas PRU 12 ini. Slogan itu bukan matlamat tapi salah satu cara dan kaedah untuk masalah yg melanda. Tujuannya agar ada perkara yg disepakati bersama antara blok pembangkan dan kerajaan serta semua masyarakat demi memelihara kepentingan islam. Jangan hanya kerana 'name tag' berbeza, kita tidak dapat duduk semeja langsung walaupun untuk kepentingan agama dan bangsa sendiri. Ini apa yg ana faham terhadap solusi yg ISMA cuba utarakan.
Mungkin ustaz ada cadangan yg lebih baik. Utarakanlah, jangan hanya mempertikai cadangan orang tanpa mengeluarkan solusi sendiri.
Insya Allah, saya akan jelaskan tentang kenyataan Us Abdullah Zaik di dalam kobanna. Kemudian, untuk saudara Hazim Azhar, cadangan saya telah saya sebutkan di dalam artikel di bawah. Sila baca dan hayati. Kalau belum faham, boleh tulis di ruangan komen. Terima kasih :)
http://ibnuirfadzil.blogspot.com/2011/01/mengubati-fikrah-yang-luka-dalam.html
subhanallah.. adakah seruan Islam agar bersatu atas dasar akidah hanyalah retorik dan tidak praktikal? menakutkan...
hehe.bila PAS dah buat konvensyen pengupayaan bangsa..baru tercengang2..ABIM,ISMA buat lama dah..pas baru nk ikut..bagus.pimpinan pas faham.cume org yg mcm ust je taksub buta.usahlah pertikaikan org nyer cara,tanpa ada solusi
Alhamdulillah syukur pada Allah s.w.t Yang Maha mengetahui niat seorang hamba Nya. Allah akan hitung belaka secara terperinci untuk melayakkan seseorang mendapat ganjaran syurga atau neraka. Ya Allah jadikan semua sahabat sahabat Ana dalam ISMA ini walau dimana mereka berada dari pucuk pimpinan hingga ke bawah Samada ahli atau penyokong supaya sentiasa muhasabah diri dengan niat Yang suci, bersih dari sebarang sifat mazmumah , riak , ujub, sentiasa lihat juga pesanan atau wasiat sepuluh Asyahid Hassan Al Banna . Beramal lah secara berjamaah. Berdebatlah secara baik untuk menghasilkan natijah , bukan menambah parah dan pecah belahkan sof Islam. Tambahkan Ilmu untuk 'amal Dan mendekatkan diri ke Syurga, Allah Sangat sayang pada kita , kerana masih Ada insan samaada kawan atau law an Yang sanggup menegur kita. Terima lah teguran dengan tenang walaupun pahit . Jawab lah dengan penuh beradab dan berakhlak mulia.jzk.
Macam mana saudara? relevan ke komen saudara hari ini?
Itulah sudah pesan lama, sebelum tahaluf dengan pihak kafir, buat kajian dulu.
Post a Comment