23 January 2010

Isra Mikraj - Menjawab Keraguan Orientalis

Takrif Isra dan Mikraj

Isra’ : Perjalanan Nabi Muhammad SAW pada 27 Rejab, daripada Masjidil Haram, ke Masjidil Aqsa. Dalil jelas disebutkan di dalam al Quran, Surah al Isra’ ayat 1. Sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.

Mikraj : Perjalanan Baginda SAW pada tarikh tersebut, daripada Masjidil Aqsa ke langit yang ketujuh. Dalil disebutkan di dalam Hadis Masyhur. Ada yang mengatakan mikraj Baginda SAW melintasi syurga, sampai ke Arasy, dan sebagainya berdasarkan perbezaan riwayat. Kesemuanya diriwayatkan secara perseorangan. Sesiapa yang mengingkarinya adalah fasiq, tidak dikafirkan.

Tarikh Peristiwa Isra dan Mikraj

Ulama khilaf di dalam menentukan tarikh yang tepat peristiwa ini.

1. Imam Thabari mengatakan bahawa ia berlaku pada tahun Nabi SAW di lantik sebagai nabi.

2. Al ‘Allamah Mansur Furi mengatakan ia berlaku pada 27 Rejab, tahun ke 10 kenabian Nabi Muhammad SAW.

3. Imam Nawawi dan al Qurtubi mengatakan bahawa ia berlaku pada tahun ke 5 kenabian.

4. Pandangan-pandangan lain ada yang mengatakan bahawa ia berlaku pada 16 bulan sebelum hijrah bersamaan Ramadhan tahun ke 12 kenabian. Ada juga yang mengatakan pada setahun dua bulan sebelum hijrah, iaitu pada Muharram tahun ke 13 selepas kenabian. Juga ada yang mengatakan ia berlaku pada setahun sebelum hijrah, iaitu pada Rabi’ul Awwal tahun ke 13 selepas kenabian. Namun, pandangan-pandangan ini tidak dapat dipastikan sumber-sumbernya.

Di dalam kitab Zadul Ma’ad, menyebut bahawa solat fardhu diwahyukan selepas kewafatan Saidatina Khadijah, iaitu pada Bulan Ramadhan, tahun ke 10 selepas kenabian. Dan solat fardhu disyariatkan pada malam Isra dan mikraj. WaLlahua’lam.

Plot-plot Isra dan Mikraj

1. Nabi Muhammad SAW berjalan di waktu malam (isra’) dengan menaiki buraq, daripada Mekah ke Baitul Maqdis dengan tubuhnya. Baginda SAW didampingi oleh Malaikat Jibril AS.

2. Baginda SAW sampai di Baitul Maqdis, dan menjadi imam solat bagi nabi-nabi. Baginda SAW mengikat buraq di pintu masjid, dan terus mikraj.

3. Mikraj bermula dengan melalui langit dunia, dan Jibril AS meminta supaya ia dibuka, dan pintu langit dunia dibuka untuk laluan Baginda SAW. Di sana, Baginda SAW bertemu dengan Nabi Adam AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Adam AS mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

4. Dalam masa yang sama, Allah SWT memperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW roh-roh orang syahid di medan perang di sebelah kanan Baginda SAW, dan roh-roh orang yang jahat di sebelah kirinya.

5. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan (dimikrajkan) ke langit kedua. Di sana, Nabi Muhammad SAW bertemu Nabi Yahya bin Zakaria AS, dan Nabi Isa bin Maryam AS. Baginda SAW memberi salam kepada mereka, dan mereka mengakui kenabian Baginda SAW.

6. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit ketiga. Di sana, Baginda SAW bertemu dengan Nabi Yusuf AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Yusuf mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

7. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang keempat. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Idris AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Idris mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

8. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang kelima. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Harun bin Imran AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Harun mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

9. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang keenam. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Musa bin Imran AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Musa mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

10. Ketika Nabi Muhammad SAW melepasinya, Nabi Musa menangis. Lalu, ditanya kepada Nabi Musa, “kenapakah kamu menangis?”. Nabi Musa AS menjawab : “aku menangis kerana seorang manusia yang diutuskan selepasku, umatnya masuk ke syurga lebih ramai daripada umatku”.

11. Kemudian, Baginda SAW dinaikkan lagi ke langit yang ketujuh. Di sana Baginda SAW bertemu dengan Nabi Ibrahim AS, dan memberi salam kepadanya. Salam tersebut dijawab, dan Nabi Ibrahim mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW.

12. Kemudian, Nabi Muhammad SAW dinaikkan ke Sidratul Muntaha, dan dinaikkan lagi ke Baitul Ma’mur. Seterusnya dinaikkan bertemu Allah SWT. Di sinilah, Baginda SAW disyariatkan solat fardhu 50 waktu. Setelah itu, Baginda SAW turun daripada tempat tersebut sehinggalah melalui langit keenam, tempat pertemuan dengan Nabi Musa AS.

13. Di sana, Nabi Musa AS bertanya kepada Baginda SAW, “apakah yang diperintahkan kepada kamu?” Nabi Muhammad SAW menjawab “50 waktu solat”. Nabi Musa AS berkata “Umat kamu tidak mampu melakukannya, pergilah bertemu Allah SWT minta dikurangkan”. Lalu Baginda SAW bertanya kepada Jibril, dan Baginda SAW dinaikkan semula.

14. Apabila bertemu Allah SWT buat kali kedua, bilangan waktu solat dikurangkan menjadi 45 waktu. Baginda SAW turun semula dan sekali lagi bertemu dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa AS berkata kepadanya supaya meminta lagi supaya dikurangkan. Lalu Baginda SAW naik semula sehinggalah waktu solat dikurangkan menjadi 5 waktu sahaja.

Persoalan Dan Keraguan Yang Dilontarkan Di Dalam Peristiwa Ini

Di sana terdapat beberapa keraguan, yang dapat dijelaskan di sini. Antara keraguan tersebut ialah :

Pertama

Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW boleh bertemu dengan Allah SWT di Baitul Makmur? Bukankah Allah SWT tidak bertempat?

Jawapan : Hakikatnya Allah itu bukanlah berada di Baitul Makmur. Tetapi, Nabi SAW dinaikkan daripada tempat tersebut sehingga bertemu Allah SWT. Dan tidak pula menyatakan bahawa Allah itu berada di Baitul Makmur. Ini kerana Allah itu tidak bertempat.

Kedua

Bagaimanakah Nabi Muhammad SAW boleh bertemu Allah? Adakah Allah itu boleh dilihat? Bukankah ia menunjukkan Allah itu berada di satu tempat?

Jawapan : Ya, Nabi Muhammad SAW bertemu Allah, tetapi Allah SWT tidak serupa langsung dengan makhluk. Allah SWT wujud, dan setiap yang wujud dapat dilihat. Maka, Allah dapat dilihat, tetapi, kita melihat Allah tidak sama dengan melihat makhluk. Makhluk memerlukan ruang untuk bertempat, sedangkan Allah tidak. Contohnya, kita melihat pemberita di dalam televisyen. Tetapi, hakikatnya pemberita tersebut tidak berada (bertempat) di dalam peti televisyen tersebut.

Isra dan Mikraj Dengan Roh Sahaja? Atau Beserta Jasad?

Syeikh Ibrahim al Baijuri mengatakan bahawa, di dalam persoalan ini, terdapat tiga pandangan yang berbeza :

1. Sebahagian umat Islam pada kurun pertama berpandangan bahawa Nabi SAW isra’ dan mikraj dengan rohnya sahaja.

2. Sebahagian yang lain, berpandangan bahawa Baginda SAW hanya bermimpi.

3. Umat Islam kurun kedua, dan selepasnya, berpandangan bahawa Nabi SAW isra dan mikraj dengan roh dan jasadnya. Pandangan inilah yang terpilih.

Perbezaan di antara pandangan pertama dan kedua ialah, sekiranya isra dan mikraj dengan roh sahaja, iaitu dalam keadaan berjaga (tidak tidur). Dan jasadnya berada dalam keadaan separa sedar. Manakala mimpi, jasadnya sedang tidur.

Pandangan Terpilih

1. Imam Nawawi berkata bahawa kebanyakan salafussoleh, umat Islam selepasnya, para fuqaha’, ulama’ hadis dan ulama’ Ilmu Kalam, kesemuanya berpandangan bahawa Baginda SAW isra dan mikraj dengan roh dan jasad.

2. Imam Ibnu Hajar al Asqolani berkata bahawa ia berlaku dalam keadaan sedar, jasad dan roh Baginda SAW, sepertimana yang dipegang oleh ulama’ Hadis, para fuqaha’, dan ulama Ilmu Kalam.

Bagaimanakah kita dapat menggambarkannya dengan akal?

Menggambarkan bahawa Nabi Muhammad SAW isra dan mikraj dengan jasad dan rohnya, adalah satu perkara yang mudah. Cuma, beberapa persoalan yang meragukan, kerap timbul. Maka, saya datangkan sebuah perumpamaan yang sesuai untuk menjawab persoalan ini.

Seekor semut sedang berada di pakaian seorang peniaga, ketika peniaga tersebut pergi melancong. Maka, semut tadi akan bersama-sama peniaga tadi, melancong ke seluruh dunia. Apabila peniaga tersebut kembali ke rumah, semut tadi menceritakan kepada kawan-kawannya, bahawa dia telah pergi melancong ke seluruh dunia. Maka, semut-semut yang lain, sukar untuk mempercayainya. Mana mungkin seekor semut boleh sampai ke London, Mesir dan New Zealand, kata mereka. Kawan-kawan semut menambah lagi, mungkin kamu hanya melihat pada gambar kemudian berkhayal, atau kamu hanya bermimpi! Tetapi hakikatnya ia adalah satu perkara yang logik.

Adakah Nabi SAW pergi dengan roh dan jasadnya? Jawapannya adalah “ya”. Sekiranya Baginda SAW hanya bermimpi, atau pergi dengan rohnya sahaja, maka tidaklah nampak satu kehebatan dan kelainan pada Peristiwa Isra dan Mikraj ini.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti Al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal