25 January 2010

Manusia Sudah Jadi Robot

Sedar atau tidak, manusia sudah pun dirobotkan oleh satu golongan yang kita sendiri pun mengenali mereka. Bermula daripada kita bangun daripada tidur, sehingga kita tidur semula, kita sudah boleh diumpamakan sebagai kehidupan seperti sebuah “robot”.

Kita sudah dibiasakan dengan bekerja dengan seseorang “bos”. Tetapi tahukah kita bahawa kita telah diumpamakan sebagai seorang hamba yang hanya dibayar dengan duit kertas. Sejauh manakah tingginya nilai duit kertas tersebut?

Duit hari ini sudah dibiasakan dengan kad kredit. Bermakna duit kita hari ini hanya nombor yang tertera pada skrin. Kalau sebelum ini, duit itu diukur dengan sehelai kertas. Apabila nilai wang kertas tersebut sudah jatuh, maka dengan automatiknya kita pun turut menjadi miskin walaupun memiliki jutaan helai wang kertas!!

Contoh yang paling menarik. Seorang yang ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti, memerlukan belanja yang tinggi. Maka, sebuah institusi akan membuka ruang untuk pinjaman wang. Tetapi dikenakan riba (faedah), dan faedah tersebut akan mengalir sehingga mati.

Bagaimana hendak membayar faedah tersebut? Sudah pasti dengan bekerja hasil daripada lulusan university tadi. Maka, kita akan mengeluarkan jumlah yang besar daripada wang gaji kita tersebut untuk dibayar balik sebagai bayaran hutang dan bayaran faedah.

Sudah pasti kita dipaksa untuk bekerja dengan sesuatu. Maka, kita akan sibuk dengan dunia kerja kita itu sehinggalah mati. Apa hasilnya?

Bermula daripada bangun tidur, kemudian bersarapan, pergi kerja, balik kerja, berehat, makan minum, dan tidur semula. Kemudian pada esoknya akan mengulangi perkara yang sama, sehinggalah umur kita habis dengan perkara tersebut.

Di manakah Agama Islam dalam jiwa kita dengan hanya disibukkan dengan kehidupan seperti ini? Bagaimanakah kita hendak mengenali kehidupan sebenar berdasarkan Islam? Islam menekankan aspek beribadah, mengingati Allah, bekerja untuk kehidupan dunia dan sebagainya. Tetapi bukanlah hanya semata-mata kehidupan dunia sehinggakan kita lupa tujuan penciptaan sebenar.

Manusia sudah jadi robot. Semua manusia mempunyai akal. Tetapi mereka meletakkan akal mereka seperti robot yang diprogramkan untuk melakukan sesuatu. Apabila kita lapar, kita akan mendapatkan wang kertas yang tiada nilainya. Berapakah tinggi nilai tersebut? Bila-bila masa boleh jatuh…

Teringat kisah atukku yang hidup di zaman Jepun. Beliau menceritakan bahawa ketika zaman tersebut beliau gigih mengumpulkan duit, dan mengamalkan jimat cermat. Tetapi, apabila Jepun jatuh, duit tersebut hanya umpama besi biasa yang tidak boleh digunakan

Di dalam artikel ringkas sekadar untuk menyentak imaginasi anda yang telah diselaputi dengan dunia robot ini. Andai anda rasa tidak bersetuju dengan artikel ini, jangan terus mengatakan tidak setuju, tetapi fikir terlebih dahulu. Mungkin ia ada kebenaran walaupun sedikit.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal