CHICAGO: Pegawai di Arkansas sudah mula menyiasat penemuan 40 hingga 60 kepala manusia oleh kakitangan Syarikat Penerbangan Southwest di sebuah pusat kargo di Little Rock, minggu lalu.
Kepala berkenaan yang berada dalam tiga kontena berasingan ditemui Rabu lalu selepas kakitangan mendapati bungkusan itu tidak dilabel secara sempurna, kata jurucakap Southwest, Ashley Rogers.
Kakitangan syarikat berkenaan membuka kotak itu Rabu lalu dan menemui kepala berkenaan sebelum menghubungi polis yang kemudian menyerahkan kepala itu kepada koroner tempatan.
“Ia berada dalam kontena plastik. Maklumat yang dicatatkan di luar untuk memaklumkan kandungan di dalamnya itu tidak jelas,” kata koroner, Garland Camper.
Menurutnya, kepala itu dialamatkan ke Medtronic Inc di Fort Worth, Texas. Jurucakap Medtronic, Brian Henry berkata, kepala itu ialah untuk latihan bagi pakar bedah neuro yang mengkaji masalah telinga, hidung dan kerongkong.
Camper berkata, terdapat antara 40 hingga 60 kepala berbungkus dalam tiga kontena. Tetapi Henry pula berkata, pihaknya hanya memesan empat kepala dan 40 bahagian tengkorak atau sebahagian kepala dengan telinga.
‘Ia akan digunakan untuk latihan pendidikan dan ini memang biasa dilakukan,” kata Henry.
Dia juga menjelas, memang sudah menjadi perkara biasa untuk menghantar secara komersil kepala yang akan digunakan untuk penyelidikan dan pelajaran.
Medtronic, syarikat peralatan perubatan bebas terbesar dunia menggunakan khidmat JLS Consulting yang berpusat di Arkansas bagi membekal dan menghantar kepala atau bahagian kepala kepadanya.
Sementara itu, Camper berkata, siasatan awal menunjukkan dokumen yang diperoleh daripada pihak berkenaan tidak sama dengan keterangan spesimen.
“Ada percanggahan,” kata Camper yang ingin memastikan kepala itu bukan sebahagian daripada bekalan untuk pasaran gelap bahagian tubuh manusia.
Menurut Camper, ini kali pertama dia berdepan dengan kes seumpama itu sepanjang menjadi koroner. - Agensi
0 comments:
Post a Comment