24 June 2010

Risalah Buat Mahasiswa Islam (Siri 3)



10 Kriteria Sohwah Islamiah ( Kesedaran Islam )

Dalam artikel yang lalu, kita membicarakan berkenaan perbezaan antara kesedaran dan gerakan. Pada kali ini, kita akan sama-sama melihat beberapa kriteria kesedaran Mahasiswa Islam. Dalam mendepani dakwah, kita perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dan cakna terhadap persekitaran dan mad`u. Berikut dinyatakan beberapa kriteria Kesedaran Islam sebagai panduan kita memahami dakwah. Bersama kita hayati dan fahami.

Kriteria yang pertama : Ikhlas dan Benar terhadap Allah

Niat sebagai penentu dalam setiap amalan dan perbuatan. Apabila niat rosak, maka ia turut akan merosakkan amalan. Inilah yang membezakan kita dengan orang kafir.

Sabda nabi saw : Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.

Apabila jiwa sedang bangkit, kita juga akan berhadapan dengan beberapa masalah sekiranya kesedaran itu tidak didasari dengan kefahaman yang jelas. Terdapat beberapa perkara yang ditakuti terhadap pemuda yang jiwanya sedang bangkit :

i. Cintakan jawatan dan kedudukan.

ii. Suka memberontak, menunjuk-nunjuk dan menzahirkan perbuatan pada orang ramai.

iii. Amal tanpa niat dan tujuan, suka dipuji dan dipuja.

Justeru, ikhlas dalam setiap amalan sangat perlu. Sentiasalah memperbaharui niat dalam apa jua keadaan. Bukan bermakna jika kita rasa tidak ikhlas maka terus ditinggalkan pekerjaan tersebut. Bak kata Ulama`, permulaan ikhlas adalah riak. Sekiranya kita tinggalkan pekerjaan kerana khuatir dilihat oleh manusia, Itu juga merupakan riak.

Kriteria yang kedua : Mengutamakan ilmu syarak dan menghidupkan roh ilmu dalam jiwa mahasiswa.

Ilmu sebelum amal adalah perlu kerana ilmu yang akan memandu kita. Segelintir pendakwah yang mudah menghukum terhadap mad`u berpunca daripada tidak ada ilmu dan seni dalam berdakwah. Begitu juga dengan kesedaran, apabila kita memahami ilmu dan tuntutannya, sudah tentu mahasiswa Islam akan berada di posisi masing-masing untuk menyedarkan umat.

Selain memahami Al Quran dan Hadith dengan baik, menjadi kewajipan kita kini, untuk menguasai feqh dakwah disamping feqh lima yang menjadi asas. ( Feqh Nusus, Aulawiyat, Muwazanat, Taghyir, Waqi` ). Roh ilmu bererti menjiwai dan menterjemah dalam kehidupan. Sebagaimana kata-kata Imam Al Ghazali ketika mana menyifatkan ilmu Tasawuf : “Menuntut ilmu sangat mudah bagiku tetapi tidak beramal, ilmu tasawuf bukanlah semata-mata ilmu dan amal, akan tetapi ilmu tasawuf adalah bertitik tolak dari jiwanya yang sentiasa merasai dan pengalaman diri”. Begitu juga dengan dakwah, menjiwai roh gerakan dakwah bererti kita terjun ke lapangannya.

Kriteria yang ketiga : Mengelakkan khilaf dan perpecahan serta jauh dari kebencian dan permusuhan.

Realiti hari ini menyaksikan umat Islam semakin berpecah. Benarlah sepertimana kata seorang penyair dalam menyifatkan realiti ini :

“ Aku meronda keseluruh pelusuk bumi
Telah aku kelilingi bumi Allah ini Timur dan Barat
Tidak aku lihat agama seperti Islam yang membawa kesatuan
Akan tetapi tidak seperti ahlinya yang teruk berpecah ”

Mengutamakan perkara usul akan menyebabkan perkara cabang dianggap remeh. Walaubagaimanapun, rapuhnya timbangan umat pada hari ini menjadikan perkara yang sepatutnya kecil bertukar posisi. Justeru, perbalahan dalam perkara sampingan, perlu dielakkan dan sikap sentiasa berlapang dada sentiasa dipraktikkan.

Kriteria yang keempat : Bekerja dengan perkara yang menjadi kesepakatan semua

Apabila bergerak dalam satu komuniti, pastinya latar belakang setiap orang berbeza-beza. Pendapat, idea, kecenderungan dan cara bekerja adalah pelbagai. Inilah yang dinamakan bekerja secara kolektif. Meraikan pendapat orang lain disamping berhujah dengan pendapat sendiri adalah satu disiplin yang sangat cantik. Diakhirnya, apabila keputusan dibuat diakhirnya, masing-masing beriltizam untuk melaksanakannya sekalipun pada awalnya terdapat perbezaan. Akan tetapi, sebagai bukti tarbiah berkesan kesatuan diutamakan.

Kriteria yang kelima : 4 perkara untuk mencapai kesedaran ini

i. Menegakkan hukum Allah di bumi

ii. Menyatukan umat Islam

iii. Berjihad di jalan Allah

iv. Mendidik manusia mempelajari Al Quran dan Sunnah

Kriteria yang keenam : Menggunakan wasilah yang pelbagai

Untuk membangkitkan kesedaran dalam menyampaikan dakwah kepada manusia melalui :

i. Khutbah

ii. Peringatan

iii. Perbualan

iv. Dakwah individu

v. Pengajian ilmu

vi. kepakaran dalam satu bidang

vii. Penulisan

viii. Lain-lain yang difikirkan perlu

Kriteria yang ketujuh : Bersederhana tanpa berlebihan atau berkurangan dalam kata-kata, perbuatan dan situasi.

Kriteria yang kelapan : Menyediakan pakar dan membina pelapis pendakwah.

Hidup ini sentiasa berputar, terkadang di atas dan terkadang di bawah. Islam juga sedemikian sunnahya. Mahasiswa Islam perlu bersedia menjadi pakar seterusnya sebagai pelapis pada generasi akan datang. Satu ungkapan yang saya selalu sebutkan dari kata-kata hukama` “. Kita selalu menyebutkan orang sekian-sekian mencipta sejarah, akan tetapi kita lupa untuk mencipta sejarah”. Mahasiswa Islam perlu menguasai sekurang-kurangnya satu bidang yang menjadi kepakarannya.

Kriteria yang kesembilan : Kepentingan kolaborasi antara ilmu quran dan sunnah dengan ilmu waqi`.

Perumpamaan mereka yang ada ilmu tanpa mahir dalam ilmu waqi` ibarat mereka yang mempunyai ubat tapi tidak tahu punca sakit dan sebaliknya. Mahir ilmu waqi` adalah keutamaan dan senjata para pendakwah kini supaya dakwah adalah realiti dan berkesan. Selain itu, perlu cakna dengan sejarah terdahulu dan dikaitkan dengan zaman kini. Sejarah adalah peristiwa yang berulang. Mempelajari sejarah akan meletakkan kita dalam situasi sentiasa sedar dan tidak akan melakukan kesilapan yang sama untuk kali yang kedua.

Kriteria yang kesepuluh : Mengakui kelemahan dan memperbaharui taubat serta memperbanyakkan istighfar.

Kehidupan pendakwah pastinya berhadapan dengan mad`u yang pelbagai ragam dan watak. Sekaligus meletakkan kita pada posisi yang terdedah pada kesilapan dan kesalahan. Sikap pendakwah perlu sentiasa positif dalam sebarang situasi, hatta jika ianya bukanlah salah kita sekalipun. Bukanlah terlalu sukar untuk beristighfar dan memohon ampun. Perlu diingat juga, sentiasa menjauhi maksiat adalah sebagai benteng pendakwah. Tatkala tersasar, segeralah bertaubat dan memohon ampun. Apabila jiwa sentiasa `bersih`, hati kita akan tenang untuk meneruskan kerja-kerja dakwah. Firman Allah ta`ala yang bermaksud : ketahuilah Dengan "zikrullah" itu hati akan menjadi tenang. – Al Ra`du : 28

Kata Doktor Tal`at Afifi : “Sesungguhnya maksiat adalah sebagai punca utama kepada menangnya musuh Islam dan larinya pejuang ketika berhadapan dengan musuh”

Penutup

Saya teringat kata-kata Dr Yusuf Qardhawi dalam kitab beliau, apabila beliau menceritakan teori-teori dalam berdakwah dan gerakan, beliau mengingatkan dengan katanya : Teori yang saya tampilkan ini hanyalah pengalaman saya sepanjang komitmen saya dalam medan dakwah dahulu. Tidak semua teori yang saya kemukakan ini sesuai untuk setiap tempat. Apa yang menjadi keutamaan adalah kita menceburkan diri dalam kerja-kerja dakwah dalam lapangan masing-masing.

Semua orang mampu untuk berteori, akan tetapi tidak semua mampu merealisasi teori. Mahasiswa yang sedar pasti akan libatkan diri. Sudah tentu kalam mereka yang berbahasa dengan bahasa pengalaman lebih enak didengar berbanding `kosong bahasanya`. Mana mungkin kita layak bergelar Doktor Ummah sepertimana gelaran yang diberikan kepada Dr Qardhawi jika kita adalah golongan anti sosial.

Salam Sohwah, Salam Dakwah.

Mohd Adlan Mokhtaruddin
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2010.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal