10 February 2010

Isu Nizar Zambry : Bahayanya Amanah Sebagai Seorang Hakim



1. Isu Semasa

Isu yang sedang meledak hari ini, 9 Februari, telah pun diketahui keputusannya. Saya kurang berminat untuk menceritakan plot-plot peristiwa ini. Tetapi, apa yang ingin disebutkan ialah, “bahayanya amanah sebagai seorang hakim”.

2. Maksud Hakim

a. Hakim adalah perkataan daripada Bahasa Arab, yang bermaksud penjatuh hukuman. Di dalam istilah fiqh, ia dipanggil sebagai al Qadhi. ( Dr Wahbah Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. Ke 10, Darul Fikr, jilid 8, ms 5923 )

2. Dalil tentang bahayanya tugas sebagai seorang hakim

a. Riwayat Abu Daud (3573) di dalam Bab al Qadhi Yukhti’

Terdapat 3 jenis hakim : Satu akan dimasukkan ke dalam syurga, dan dua lagi akan disumbat ke dalam neraka. Satu yang dimasukkan ke dalam syurga itu ialah seorang lelaki yang mengetahui kebenaran, dan membuat keputusan berdasarkan kebenaran tersebut. Kemudian, lelaki yang mengetahui kebenaran, tetapi melakukan kejahatan dalam meletakkan keputusan, akan dimasukkan ke dalam neraka. Seorang lagi, lelaki yang meletakkan keputusan dalam keadaan jahil, juga dimasukkan ke dalam neraka

b. Riwayat Abu Daud (3571) di dalam Bab Tholabil Qadha’ dan at Tirmizi (1325) di dalam bab Ma Ja ‘An Rasulillah SAW Fil Qadhi

Sesiapa yang meminta-minta untuk menjadi hakim, sesungguhnya dia telah disembelih tanpa menggunakan pisau

Di dalam kitab Fiqhul Manhaji ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 3 ms 529 ) menyatakan bahawa maksud daripada hadis ini ialah “bahayanya mereka yang meminta-minta untuk menjadi hakim”

c. Firman Allah SWT di dalam Surah al Jin : 15

Maksudnya : Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam.

Yang dimaksudkan dengan “orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar” ialah mereka yang melakukan kejahatan dalam menjatuhkan hukuman. ( Ibid, Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, jil. 3 ms 529 )

3. Asas Dalam Penghakiman

Di dalam penghakiman, terdapat beberapa asas yang perlu dipatuhi. Sekiranya ia tidak diambil berat, maka akan berlakulah pengkhianatan, kezaliman, penafian hak dan sebagainya. Asas-asas tersebut ialah ( Dr Wahbah Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. Ke 10, Darul Fikr, jilid 8, ms 5921 ) :

a. Melihat sesuatu dakwaan dengan kebenaran dakwaan tersebut, tanpa cenderung untuk menyebelahi mana-mana pihak. Sesuatu kebenaran itu diukur melalui dakwaan dan pembuktian, bukanlah diukur dengan melihat kepada orang yang dibicarakan.

Allah SWT berfirman

Maksudnya : dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil (Surah an Nisa : 58)

Memutuskan hukuman dengan adil adalah satu kewajipan. Di Malaysia bagaimana?

b. Berpegang dengan Syariat Islam, iaitu syariat Allah yang terbina di atas paksi kebenaran, dan melaksanakan kewajipan sebagai seorang hakim. Hakim dilarang daripada melaksanakan hukuman atau memutuskan sesuatu yang bercanggah dengan syara’.

Allah SWT berfirman

Maksudnya : dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir (Surah al Ma’idah : 44)

Di dalam ayat 45 menyebut dengan perkataan “zalim”, dan ayat 47 menyebut dengan perkataan “fasiq”. Jelas menunjukkan bahawa undang-undang Allah ini adalah satu kewajipan yang wajib dilaksanakan. Di Malaysia bagaimana?

c. Menghampirkan diri dengan Allah. Ini adalah satu kemestian yang perlu ada bagi seorang hakim. Hakim yang mendekatkan diri dengan Allah, perlulah dihormati keputusan mereka. Keputusan mereka tidak boleh dipertikai. Tetapi sekiranya mereka tidak menghampirkan diri dengan Allah?

Dr Wahbah Zuhaili berkata ( Dr Wahbah Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. Ke 10, Darul Fikr, jilid 8, ms 5922 ) bahawa hakim di dunia tidak akan mampu untuk menandingi keputusan Hakim yang sebenar, iaitu Allah.

d. Tujuan sebenar penghakiman ialah untuk mendapat redha Allah. Tiada guna sesuatu pemutusan hukuman, yang dibenci oleh Allah, disebabkan ketidak adilan seorang hakim. Ia terlaksana dengan menegakkan kebenaran, dan menyekat kezaliman. Apakah gunanya seorang yang zalim, tetapi diberi kemenangan berdasarkan kehebatan peguam yang berbicara?

Allah SWT berfirman

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu-bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah an Nisa : 135)

e. Perkara yang diperlukan untuk memutuskan sesuatu hukuman :

- Hakim (pemutus hukuman)
- Hukuman yang dijatuhkan atau diputuskan
- Perkara dihukumkan dengannya, iaitu memutuskan dengan kebenaran
- Orang yang dikenakan hukuman
- Perkara yang dihukumkan baginya iaitu berdasarkan syara’

Maka, sudah menjadi kesalahan bagi seorang hakim itu memutuskan sesuatu dengan tidak berasaskan kepada kebenaran, atau bercanggah dengan syara’ atau sebagainya.

f. Meneliti dan mendasari kaedah-kaedah pembuktian yang dibuat, bukan dibuat sambil lewa atau melihat kepentingan peribadi semata-mata. Kaedah pembuktian yang dibuat seperti pengakuan, penyaksian, bukti, dakwaan dan sebagainya. Keputusan hakim, hendaklah tidak berkait dengan kepentingan peribadi.

g. Berpegang dengan nas-nas syariat yang berpandukan kepada al Quran dan Sunnah. Di dalam menyelesaikan kes Nizar-Zambry ini hendaklah melihat kepada keadilan yang perlu diperjuangkan, dan hak sebagai pemimpin terhadap rakyatnya. Begitu juga melihat kepada undang-undang yang disusun oleh manusia, selagi mana tidak bercanggah dengan al Quran dan Sunnah.

h. Menyelami pertimbangan di antara keadilan, dan nilai-nilai murni. Keadilan bagi seorang hakim ialah perkara yang wajib, manakalah nilai-nilai murni yang terbentuk di dalam keadilan ialah berdasarkan praktikal, hak-hak dan kewajipan. Sekiranya sesuatu itu adalah kebenaran, maka hukumlah dengan kebenaran. Sekiranya salah, hukumlah sebagai satu kesalahan. Bukanlah dengan kepada kehebatan peguam yang berbicara, kemudian terus membuat keputusan.

Allah SWT berfirman

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan (Surah an Nahlu : 90)

Keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya, iaitu meletakkan kesamarataan di dalam kebenaran. Tetapi bukanlah meletakkan keputusan itu, di antara kebenaran dan kebatilan. Kebenaran itu benar, dan kebatilan itu salah. Keputusan mahkamah hendaklah membenarkan kebenaran, dan menafikan kebatilan. ( Abu Qasim al Husain 502 H, al Mufradat Fi Gharibil Quran, tahqiq Syeikh Muhammad Said al Kilani, cet. Darul Makrifah, bah. 1, ms 325 )

Kesimpulan

Ingat, tugas sebagai seorang hakim bukanlah satu perkara yang ringan. Disebabkan keputusan mahkamah inilah, akan menentukan nasib Negeri Perak selepas ini. Disebabkan keputusan inilah, akan menyebabkan samada kezaliman itu yang tertegak, atau keadilan. Maka, berhati-hatilah sekiranya anda sebagai seorang hakim.

Saidina Umar al Khattab ketika menjadi khalifah, pernah mengutuskan surat kepada Abu Musa al Asy’ari RA menjelaskan tentang penekanan sebagai seorang hakim. Di akhir surat tersebut, beliau berkata :

Siapa yang ikhlas niatnya kerana kebenaran, walaupun bukan untuk dirinya, maka Allah SWT akan membuatkan manusia dapat menerima keputusannya. Sesiapa yang menghiasi sesuatu yang tidak sepatutnya pada dirinya, Allah akan mencelanya. Sesungguhnya Allah tidak akan menerima melainkan hambanya yang ikhlas.

( Wizarah al Auqaf Wasy Syu’un al Islamiah al Kuwait, al Mausu’ah al Fiqhiyyah al Kuwaitiah, cet pertama, Dar as Safwah, 1404 – 1427 H, bah. 33 ms 304 )

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal